Beberapa hari lalu, saya ada menerima panggilan telefon daripada seseorang yg tak dikenali. Salam bersambut, beliau pun memperkenalkan diri. Senang cerita, beliau selesa dipanggil Pak Ya. Setelah bermukadimah, saya pun dengan sopan bertanya – adakah apa-apa yg boleh saya bantu? Tenang suara beliau menjawab – beliau berterima kasih di atas usaha saya mengisahkan cerita-cerita orang macam beliau – insan-insan yg satu ketika dulu memperjudikan nasib untuk negara dan kini hidup terasing tanpa dikenali sesiapa. Kata beliau, beliau tidak kisah berkeadaan begitu. Bagi beliau, dapat melihat anak cucu berlarian girang dan selamat membuatkan beliau sudah bersyukur negara ini aman. Cuma, kisah-kisah perjuangan itu jangan dilupakan, supaya generasi yg aman hari ini tidak lupa apa yg pernah dilalui datuk nenek mereka demi memperolehi apa yg ada pada hari ini. Memanglah kalau dilihatkan, ada keadaan di mana jenayah dan masalah berlaku. Tapi, di dunia ini, di tempat mana yg tak ada masalah? Memang ada negara aman, kadar jenayahnya rendah, tapi bagaimana pula keadaan individu masyarakat itu sendiri? Ada negaranya bebas dan aman, dan perilaku seks bebas misalnya bersepah-sepah juga. Saya sekadar mengiakan..dan kata Pak Ya, beliau ada cerita nak dikongsi. Lama beliau terdiam sebelum menyambung..begini kisahnya..

“Dulu saya ni anggota pasukan keselamatan juga. Pasukan mana..tak payahlah saya cerita. Cuma di zaman itu, saya sama saja sepertimana anak-anak muda lain – masuk pasukan keselamatan. Mulanya masuk kerana tak ada kerja. Lama-lama jadi cinta dan bersemangat apabila mendengar kisah yg diperturunkan oleh orang-orang lama tentang perjuangan. Saya ni nak kata baik sangat tu tidaklah..tapi, saya tak banyak kerenah – senang bawak diri. Maklumlah, kita hidup merantau. Jadi, saya tak ada banyak masalah..

Dalam unit saya tu, ada seorang anggota. Kami panggil dia Wak Dol. Wak Dol ni orang Johor – badannya besar. Sekali tengok, memang takut sikit sebab nampak macam kalau dia hempuk orang, dah sah-sah patah tulang orang tu. Tapi, Wak Dol ni lurus orgnya – betul bendul. Nampak je badan besar, tapi tak berapa cerdik. Apa orang suruh, dia akan buat. Jarang sangat dia melawan. Kadang-kadang, ada yg mengambik kesempatan kepada dia. Tapi, melihat kepada kelurusan dia tu, lama-lama pegawai jadi sayang. Suruhlah apapun – pukul 2-3 pagi pun dia sanggup buat. Bila masuk operasi, dialah punya kerja – bawak GPMG dengan peluru berselirat di badan.

Saya ni tidur di sebelah katil Wak Dol. Kesian saya tengok kadang-kadang dia dipermainkan orang, dan saya tak sampai hati. Maka sayalah jadi buddynya. Ada saja orang nak kenakan dia, menghadaplah saya dulu. Bukanlah saya marah, tapi saya akan tegur. Wak Dol jadi sayang pada saya. Ke mana saya pergi dia akan ikut. Adakalanya merimaskan jugak. Tapi bila tengok muka dia tu, saya jadi kesian. Tak jadi saya marah dia.

Dan satu benda pasal Wak Dol ni, dia kuat makan. Nasik kosong dengan minyak bekas goreng ikan pun jadilah – dia tak memilih. Bagilah apa saja, dia telan. Disebabkan gamaknya dia rasa saya ambik berat pasal dia, duit gajinya pun nak dibagi kepada saya. Saya tak sampai hati dan melarang. Jadi, bagi menggantikan itu, bila gaji, saya ajak dia keluar makan di bandar. Sukanya dia dapat makan macam-macam. Memanjang saya dibelanjanya, sampai saya naik segan. Nasib baiklah saya ni bukan jenis mengambik kesempatan. Kadang-kadang terhibur tengok gelagatnya – makan nasik ayam sekali hadap sampai 3 pinggan. Terkebil-kebil orang kedai tu tengok. Paling saya tak boleh lupa, dia selalu minta saya bantu dia hantar duit kepada orang tuanya di kampung, sebab dia tak pandai menulis. Asal dapat gaji saja, kami akan keluar. Pertama sekali dia akan hantar duit ke kampung. Lepas tu..makan..

Sekali tu kami operasi di Gubir. Gubir memang semua orang tau – kawasan panas. Kawasan kami beroperasi tu memang berbukit-bukit. Penat jangan ceritalah – naik turun bukit, redah hutan. Si Wak Dol ni, tak cukup dengan beban dia sendiri, sanggup menawarkan diri nak bawak pek saya. Saya tak sampai hati. Dia merajuk..katanya saya dah tak mau kawan dengan dia. Bila kami berhenti rehat, kami pun masak nasik. Muram je muka Wak Dol saya tengok. Saya tengok pelan je dia suap nasik. Sayapun tak berselera dibuatnya – yelah, rasa bersalah jugak. Nasik berlauk sambal ikan bilis yg saya bawak tu akhirnya saya tawarkan kepada dia. Yelah..kesian jugak tengok dia. Bukan main seronok dia – habis licin mess tin tu disapunya. “Sedapnya sambal ni”, katanya. Barulah dia senyum semula. Sejak daripada tu, bila kami berenti masak nasik, dia akan mengintai – ada lagi tak bekalan sambal saya. Walaupun terasa agak geram sebab bekalan tu terpaksa saya kongsi dengan dia..saya bagi jugak.

Di hari ketiga, nak jadi cerita, sedang kami memanjat satu bukit, tiba-tiba terdengar tembakan. Kami semua meniarap ke tanah. Kelam-kabut jadinya. Pegawai suruh tembak balas. Bersimpang-siur peluru masa tu, dan nak jadi cerita, kaki saya terkena peluru. Pedihnya bukan kepalang. Disebabkan serangan yg bertali arus, kami terpaksa berundur cari perlindungan. Kawan-kawan dah susup-sasap melarikan diri. Saya pulak tersekat di sebalik batang balak. Ingatkan dah sampai ajal saya, sebab dalam keadaan kelam-kabut tu, siapa sajalah terperasankan saya yg tak ada dalam kumpulan.

Tapi, ternyata ianya belum ajal saya. Tetau saja muka Wak Dol terjengul. Diheretnya saya daripada belakang kayu balak tu dan dihenyak atas bahunya. Macam dalam cerita Rambo, sambil dia berlari tercungap-cungap, dia melepaskan tembakan. Saya pada masa tu dah jadi macam anak patung – terpaksa biarkan dia buat saja apapun. Teroleng-oleng saya di atas belakangnya, terutama bila dia melompat. Tak sangka saya..Wak Dol bukan main kuat.

Tau-tau, kami dah sampai ke lokasi pengunduran pasukan. Saya dengar pegawai sibuk buat panggilan mintak bantuan sambil beberapa orang kawan melepaskan tembakan rambang. Tapi, rasanya musuh dah kehilangan jejak kami, sebab tak ada tembakan balas. Wak Dol letak saya ke tanah sebelum dia terjelepok terbaring di sebelah saya. Nafasnya tercungap-cungap.

” Kau ok ke Pak Ya?” tanyanya. Saya hanya mengangguk. Dia senyum. Pandangannya diubah ke langit. ” Terima kasih pak Ya..sebab selalu tolong aku. Aku mintak maaf kalau aku ada buat salah kat kau..dan aku mintak halal apa yg aku makan. Lepas ni aku tak mintak dah nasik kau..” katanya perlahan.

Saya terkejut dengan apa yg dikata Wak Dol. Apa yg dia merepek ni? Saya usahakan bangun, dan barulah saya nampak darah membuak-buak keluar daripada perut Wak Dol. “Tuan..Wak Dol kena..Wak Dol kena..” jerit saya..dah tak fikir apa dah masa tu. Kelam-kabut pegawai saya datang. Kawan-kawan yg lainpun pakat melompat dekat. Saya hanya mampu meriba kepala Wak Dol. Medik cuba merawat luka Wak Dol, tapi susah. Nampaknya, perutnya ditembusi 3 butir peluru. Wak Dol cuma senyum. Dia tolak tangan medik. Tergagau-gagau dia cari tangan saya sebelum dia pandang pegawai saya dan suruh pegawai saya sampaikan salam kepada mak dan ayahnya. Dia jugak mintak maaf kepada pegawai saya kalau dia ada buat salah. Begitu jugak kepada kawan-kawan yg lain. Saya dah tak dapat tahan airmata masa tu. Pelan-pelan saya ajar dia mengucap. Dalam senyum, Wak Dol menghembuskan nafas terakhirnya di riba saya.”

Suasana di telefon diam sekejap. Saya cuma mampu telan air liur. Terasa ada ketul besar pulak. Pak Ya menyambung..dengan suara sebak.

“Terima kasih nak. Janganlah berhenti kisahkan cerita-cerita orang macam kami ni, yg selalu orang lupakan. Kami tak mintak duit, kami tak mintak apa-apa, cuma kami mintak supaya anak cucu ingat – betapa kami telah hilang banyak benda dalam hidup kami kerana kami mahu anak cucu hari ni dan masa depan tak perlu melalui apa yg kami lalui..”.

Selepas meletak telefon, saya termenung panjang. Betul, ada masanya saya rasa macam nak berhenti menulis. Orang sekarang bukan kisah cerita-cerita perjuangan sebegini. Ramai yg lebih suka cerita cintan-cintun fantasia bulan madu. Tu belum kira yg memandang rendah jasa anggota pasukan keselamatan kita – tak kira yg lama atau baru. Bukan sikit juga pada hari ni yg lebih simpati dengan bekas-bekas komunis berbanding pejuang-pejuang kita.

Tapi, mendengar kisah-kisah seperti Wak Dol dan Pak Ya mengingatkan saya kembali akan amanah sebegini yg mereka harapkan utk seseorang lakukan, dan saya bertekad – insyaallah saya akan terus laksanakan…=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

2 Comments

  1. Assalamualaikum wrbth.
    terharu bila baca kisah Pak Ya ni…hanya mereka yg pernah melaluinya saja yg mengerti akan pahit getirnya…aku sokong Tuan Punya web ni utk terus menulis kisah2 macamni dan semoga kisah2 mcm ni dapat memberikan kesedaran kpd bangsa kita sekarang ni…

Reply To atan Cancel Reply