Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sering mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah seniman ketuhanan kepada kebanyakkan wartawan yang menemuramahnya.

Menurut P.Ramlee, segala kerja seninya selama 20 tahun (pada ketika itu) berkecimpung di dalam bidang itu ada kaitan hubungannya dengan Tuhan. P.Ramlee dengan tegas mengatakan apa sahaja yang beliau ingin lakukan yang bersangkut paut dengan kerjayanya, beliau tidak akan lupa memohon restu kepada Allah SWT.

Ini tidaklah menghairankan kerana P.Ramlee mula mencari erti “ketuhanan” itu sebelum beliau bergelar anak seni lagi. Sewaktu di Pulau Pinang, P.Ramlee pernah berguru dengan Syeikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Malah, sewaktu di Singapura, P.Ramlee menyambung pengajian agamanya dengan seorang kiai yang agak terkenal di sana. Di Jalan Ampas pula, P.Ramlee sering merujuk kepada Seniman Haji Mahadi yang begitu arif di dalam selok-belok agama. Seniman Haji Mahadi merupakan anak kepada ulama Nusantara yang terkenal, iaitu Syeikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi.

P.Ramlee juga sering mengeluarkan ungkapan, “seni saya bukan kerana wang, tetapi seni saya adalah kerana Allah semata-mata”. Satu baris madah yang cukup tinggi dan mendalam maknanya jika dapat ditafsirkan. Menurut P.Ramlee lagi, apabila kita mengenal dan mendekati Tuhan, maka segala cita-cita kita ingin mengangkat martabat agama dan budaya bangsa lebih mudah untuk diterjemahkan dan ianya akan kekal selama-lamanya.

Pesan P.Ramlee ; “Sesungguhnya saya sedar, beberapa ketika ini filem-filem Melayu agak sedikit mundur, tetapi pada pemerhatian saya ianya hanya seketika sahaja. Saya bukan Tuhan yang boleh menentukan atau memastikan sesuatu. Namun saya tetap berkeyakinan, bahawa filem Melayu akan lebih maju lagi di masa akan datang, percayalah. Rahasianya terletak di tangan bangsa Melayu itu sendiri. Yang paling utama masyarakat Melayu itu sendiri harus memberi sokongan kepada perkembangan filem Melayu. Kalau bukan masyarakat Melayu sendiri yang menghargai budaya seni Melayu, siapa lagi?”.

Jika kita memerhatikan di dalam beberapa filem arahannya, kita dapat lihat P.Ramlee memasukkan elemen-elemen agama di dalam filem beliau. Di dalam filem Sumpah Orang Minyak misalnya, terdapat satu fakta yang menarik yang dapat diketengahkan di dalam filem ini. Jika dilihat semasa credit title filem ini dipaparkan, terdapat satu nama yang munculdi bawah Cerita Asal, iaitu Teuku Djaafar. Siapa Teuku Djaafar ini? Di dalam salasilah keluarga P.Ramlee, memang benar beliau ialah keturunan Teuku, tetapi tiada nama Teuku Djaafar yang ada. Jika kita kaitkan dengan babak apabila Si Bongkok bertemu Puteri Bunian, kita akan dapati bahawa ianya sungguh realistik dan seolah-olah memang berada di alam bunian sendiri. Ini menyimpulkan bahawa P.Ramlee mempunyai satu keeistimewaan. Beliau mampu untuk berkomunikasi dengan makhluk Allah yang berada di alam lain.

Selain itu, di dalam filem Pendekar Bujang Lapok misalnya, semasa babak tentera Jepun yang mana askar-askar Jepun bangkit dengan tulang-belulang mereka selepas trumpet ditiup., bukankah ianya mencerminkan keadaan diri kita ketika Hari Kebangkitan Kelak? Trumpet itu dimanifestasikan sebagai tiupan sangkakala. Selepas sangkakala ditiupkan, maka kita akan dibangkitkan dengan tulang-belulang kita. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud Setelah seluruh manusia mati pada tiupan sangkakala yang pertama, maka ditiuplah sangkakala kedua untuk membangkitkan seluruh manusia dari kuburnya. Waktu itu bangkitlah seluruh manusia dan hidup kembali, mereka bangun dan bergegas-gegas menemui Allah Yang Maha Kuasa untuk menerima hisab mereka” Yaasin 51.

Selain filem, P.Ramlee juga turut mengeketengahkan elemen agama di dalam lagu-lagu ciptaan beliau. Sebagai contoh, lagu Ini Kisah Gembala Kambing di dalam filem Ahmad Albab, jika kita mendalami maksud lagu itu, lagu itu bertepatan dengan kehidupan Rasulullah SAW. Antara bait liriknya ialah

 Ini kisah gembala kambing
Hal dunia tak ambil pusing
Walau kocek selalu kering
Hatinya tak pernah runsing
Kerna yakin serta beriman
Jodohnya gadis rupawan
Kahwin free anak hartawan
Secantik putri kayangan

Melalui bait-bait lirik tersebut, ternyata P.Ramlee mengeketengahkan kehidupan Rasulullah SAW. Di dalam sirah Baginda, bukankah pekerjaan Nabi ialah sebagai penggembala kambing kemudian beliau berkahwin dengan Sayyadatina Khadijah Binti Khuwailid Radhiallahuanha yang merupakan seorang hartawan dan memiliki wajah yang rupawan?

Kesimpulannya, benarlah P.Ramlee ini mempunyai keiistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Menurut sesetengah orang, P.Ramlee boleh dikatakan sebagai pendakwah tetapi beliau menyampaikan mesej dakwah itu bukan melalui kaedah tradisional, tetapi beliau menyampaikan dakwah itu melalui lagu dan filem beliau. Oleh itu, tidak hairan mengapa filem-filem P.Ramlee masih relevan hingga ke hari ini.

Sumber:

  1. Temuramah bersama P.Ramlee oleh Purnama Filem, bilangan 27, Mei 1969.
  2. Elmu P.Ramlee, Abuya Kamal, Sena Janjar Enterprise, 2017.
  3. Temubual bersama Nasir P.Ramlee
  4. Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.