Aksi Houdini Napoleon Di Elba

201

Napoleon Bonaparte boleh dianggap seorang legenda hidup dalam kalangan peminat sejarah peperangan. Baginda bukan saja seorang jeneral tetapi juga seorang negarawan yang berupaya menjadikan Perancis sebagai sebuah empayar yang luas sehingga menakutkan kuasa-kuasa Eropah lain pada zamannya. Dan kebijaksanaannya dalam peperangan menjadikannya setaraf dengan pemimpin-pemimpin lain seperti Julius Caesar dan Iskandar Agung/Alexander The Great. Tapi di sebalik semua kejayaan ini, ia masih tidak boleh mengatasi satu kejayaan baginda di Elba. Kejayaan yang saya maksudkan ialah melepaskan diri dari Pulau Elba tanpa pengetahuan kuasa-kuasa Eropah lain.

Selepas kegagalan kempen di Rusia dan kuasa-kuasa Eropah membentuk pakatan anti-Napoleon serta berjaya mengalahkan beliau dalam Perang Pakatan Keenam (War of the Sixth Coalition), Napoleon tiada pilihan selain turun takhta berdasarkan Perjanjian Fontainebleau yang dimeterai pada 11 April 1814. Semasa rundingan perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Eropah mahukan Napoleon jauh dari benua tersebut sementara wakil baginda iaitu Armand de Calaincourt menegaskan beliau mahu berada berhampiran dengan Perancis dan Itali. Ini membawa kepada empat pilihan kawasan buangan yang dicadangkan Calaincourt iaitu Corsica, Corfu, Elba dan Sardinia. Perancis enggan membenarkan Napoleon menjejakkan kaki di situ sementara House of Savoy enggan berpisah dengan Sardinia dan Corfu terlalu hampir dengan Greece. Ini menjadikan Elba destinasi buangan bagi Napoleon dan kerabatnya. Dalam perjanjian sama, Perancis yang diperintah oleh Raja Louis XVIII dari Bourbon berjanji akan membayar baginda dua juta franc dan pencen kepada anggota kerabatnya.

Elba menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik dari segi pertahanan sekaligus dapat melindungi Napoleon dari serangan tentera atau cubaan bunuh. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang berpuas hati dengan pilihan baginda ini. Bapa mertua baginda, Maharaja Francis I dari Austria menyifatkan ia satu penghinaan kerana satu masa dahulu, Elba dirampas dari Tuscany dan diilhak ke dalam Perancis oleh Napoleon pada tahun 1802. Dan kebimbangan baginda turut dikongsi oleh Setiausaha Luar Britain, Lord Castlereagh. Bagi Napoleon sendiri, ia satu perjanjian yang baik kerana baginda masih boleh mengekalkan gelaran Maharaja dan diberi hak memerintah Elba.

Semasa di Elba, Napoleon memilih sebuah villa yang menghadap kawasan pelabuhan yang pernah dimiliki oleh keluarga Medici pada abad ke-18 sebagai kediaman rasmi. Baginda turut mereka sebuah bendera baru, merombak sistem pentadbiran sedia ada, membina jalan raya, menambahbaik struktur pertahanan dan mengeluarkan pelbagai arahan berkenaan perkara seperti pertanian sehingga ke perkara yang paling kecil. Bonda dan adinda Napoleon, Letizia dan Pauline turut menggunakan Elba sebagai tempat menganjurkan konsert, pesta dan persembahan teater. Semasa dalam buangan, baginda tidak disertai oleh isteri baginda, Marie Louise. Marie Louise dan putera baginda, Napoleon II kembali ke Austria selepas pemeteraian Perjanjian Fontainebleau. Sebaliknya gundik baginda, Marie Walewska selalu melawat ke Elba bersama anak luar nikah baginda, Alexander Walewski. Semasa dalam buangan ini juga, Napoleon mendapat perkhabaran kematian bekas isterinya, Josephine. Baginda amat berdukacita dengan pemergian Josephine dan berkurung dalam kediamannya selama dua hari.

Tak lama selepas duduk dalam buangan di Elba, seorang pemantau British bernama Neil Campbell perasan akan keresahan yang dihadapi Napoleon. Dan ada sebab kukuh mengapa baginda bersikap demikian. Berdasarkan terma perjanjian, Perancis seharusnya membayar Napoleon dua juta franc tetapi Raja Louis XVIII dilihat tidak berminat untuk memenuhi terma perjanjian tersebut. Bukan itu saja, kaum kerabat dan tentera baginda yang setia juga merasa bosan berada di Elba. Ini yang mendorong Napoleon merancang satu lagi rancangan berani iaitu melepaskan diri dari Elba. Tanpa pengetahuan kuasa-kuasa Eropah lain, baginda membina pasukan tentera laut kecil, 600 Pengawal Diraja dan 2,000 tentera. Dan Elba juga sebenarnya memberi peluang kepada Napoleon untuk mengekalkan hubungan dengan penyokong-penyokong baginda di Eropah terutama Perancis dan mendapatkan sokongan dari orang-orang yang melawat Elba. Ini sesuatu yang amat dibimbangi pihak Britain tetapi ianya masih belum menyedarkan mereka akan rancangan berani baginda.

Figure 1: Campbell sedar keresahan yang dihadapi Napoleon dan bimbang akan tindak-tanduk baginda semasa di Elba.

Bagi Napoleon sendiri, Elba bukanlah destinasi kekal baginya. Ini kerana menerusi koresponden baginda dengan penyokong-penyokong di Perancis, Napoleon tahu Raja Louis XVIII tidak popular dan tidak akan dapat bertahan lama. Malah sebelum Perjanjian Fountainbleau dimeterai lagi, Elba sebenarnya batu loncatan bagi Napoleon untuk bangkit dan membangunkan semula empayar Perancis yang ditinggalkan. Dan dari koresponden yang sama, baginda tahu pihak Britain yang resah mahu memindahkan baginda ke Pulau St. Helena, sebuah pulau yang terletak di selatan Lautan Atlantik. Namun sebab paling penting di sini ialah Napoleon tidak mahu mati dalam keadaan tidak dkenali.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Memandangkan status Napoleon sebagai seorang pemerintah yang sah, baginda boleh saja meninggalkan Elba pada bila-bila masa dan bertolak ke negara-negara lain dengan syarat baginda mendapat keizinan untuk mendarat di situ. Namun agak sukar untuk dilakukan kerana kuasa-kuasa Eropah mahukan baginda terus kekal di sana kerana Napoleon dianggap satu ancaman kepada tanah besar Eropah. Melihat keresahan baginda, Campbell membawa laporan tersebut ke England bersama kapal HMS Partridge. Semasa ketiadaan Campbell, peluang ini direbut oleh Napoleon dengan mengeluarkan arahan menyediakan sebuah flotila termasuk kapal Inconstant yang dicat seperti kapal British. Kapal tersebut diisi dengan bekalan keperluan seperti makanan, minuman dan senjata api. Semasa proses tersebut berlaku, baginda hanya menceritakan usaha ini kepada beberapa orang saja yang boleh dipercayai. Dan untuk mengelak kecurigaan dalam kalangan kuasa-kuasa Eropah, Napoleon meneruskan rutin hariannya di Elba.

Pada malam 23 Februari 1815, kapal HMS Partridge kembali ke Elba tanpa Campbell. Napoleon mengarahkan Inconstant berada di kawasan pesisir pantai untuk mengelak keadaan mereka diketahui. Selepas mendapat tahu Partridge akan mengambil Campbell dari Livorno, Itali pada 26 Februari, Napoleon mengeluarkan arahan sekatan melarang kapal-kapal termasuk kapal nelayan dari meninggalkan Elba. Baginda tahu sekiranya mereka berlayar seperti biasa, pasti perancangannya akan terbongkar. Pada 25 Februari, Napoleon bertemu dengan pembesar-pembesar Elba dan memberitahu akan keberangkatan baginda ke Perancis serta menyediakan arahan untuk disebarkan di sana. Pada 26 Februari, flotila Napoleon bertolak. Flotila ini terdiri daripada Inconstant yang dilengkapi 26 buah meriam, kapal dagang Saint Esprit, yang diupah untuk tujuan ini, Caroline dan tiga buah kapal kecil. Seramai 1,150 orang mengikut Napoleon terdiri daripada 600 tentera, 100 anggota Polish Lancer, 300 anggota batalion Corsica, 50 anggota polis dengan kebanyakannya orang Itali dan Corsica serta 100 orang awam termasuk pembantu-pembantu. Setiap kapal membawa bendera Elba Napoleon.

Walaupun menghadapi masalah angin, flotila Napoleon tidak dapat dikesan oleh kapal-kapal perang Perancis yang meronda perairan antara Elba dengan Corsica. Pada tengah hari berikutnya, sebuah kapal Perancis bernama Zephir mengesan kehadiran flotila dan berjaya menghampiri kapal Inconstant di mana nakhoda Zephir, Kapten Andrieux berbual sebentar dengan kapten Inconstant, Kapten Taillade. Apabila ditanya ke mana destinasi mereka, Taillade menjawab mereka menuju ke Genoa. Dan bila Andrieux bertanya keadaan Napoleon, baginda menyuruh Taillade membalas, “Dia amat baik.” Pada pagi 28 Februari, Campbell tiba di Elba dengan Partridge dan mendapati Napoleon serta tenteranya tiada. Apabila ditanya ke mana mereka pergi, anggota kerabat Napoleon tidak mengetahui destinasi mereka. Berang dengan situasi ini, Campbell segera meminta seorang pelancong British yang hendak berlayar ke Livorno menyampaikan mesej ketiadaan Napoleon. Dan apabila Partridge bertemu dengan kapal-kapal perang Perancis yang meronda perairan tersebut, mereka menyatakan tidak bertembung dengan mana-mana kapal yang membawa baginda. Bagi mereka, mustahil kapal Napoleon berlayar tanpa pengetahuan mereka kerana mereka pasti akan mengesan kapal tersebut. Tetapi itulah yang berlaku dan ini memaksa kapal-kapal tersebut mencari flotila Napoleon sekitar Capraia.

Figure 2: Potret kembalinya Napoleon Bonaparte dari buangan di Elba ke Perancis.

Pada 1 Mac 1815, flotila Napoleon sudah berada di luar pesisir tanjung di Antibes. Memandangkan mereka berada di perairan Perancis, bendera Elba diturunkan dan digantikan dengan bendera Tricolor, bendera kebangsaan Perancis. Pada 1.00 petang, flotila berlabuh di Golfe-Juan, sebuah pelabuhan antara Cannes dan Antibes. Napoleon dan tenteranya mendarat dan mula bergerak menuju ke Paris. Perjalanan baginda tidak menghadapi sebarang penentangan dari mana-mana pihak. Dan pada 20 Mac, Napoleon tiba di Paris dan memulakan penggal pemerintahan kedua sebagai Maharaja Perancis. Namun penggal kedua pemerintahan ini hanya bertahan selama 100 hari saja. Pada Jun 1815, pasukan tentera Napoleon mengalami kekalahan memalukan di Waterloo dan baginda sekali lagi dipaksa turun takhta. Dan seperti yang dirancang, Napoleon dibuang negeri ke St. Helena dan berada di situ sehingga ke akhir hayatnya.

Figure 3: Selepas dipaksa turun takhta buat kali kedua, Napoleon dibuang negeri ke St. Helena dan terus berada di situ sehingga ke akhir hayatnya.

SUMBER

  1. Selin, Shannon. (2016). How did Napoleon escape from Elba? https://shannonselin.com/2016/02/how-did-napoleon-escape-from-elba/
  2. Blakemore, Erin. (2018). How Napoleon Plotted One of History’s Greatest Prison Escape. http://www.history.com/news/elba-exile-napoleon-escape
Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.