Kesultanan Riau-Lingga merupakan pecahan daripada empayar Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Disebabkan perjanjian antara penjajah Inggeris dan Belanda pada tahun 1824 yang membahagi-bahagikan wilayah penguasaan mereka, selain faktor konflik dalaman istana dan pengaruh kuat Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor ketika itu, telah menyebabkan Kepulauan Riau-Lingga yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Johor dan Yang Dipertuan Muda Bugis ketika itu dipisahkan wilayah pentadbirannya dengan tanah besar Johor.

Sepanjang pemerintahan Kesultanan Johor-Riau-Lingga terutamanya selepas berpecahnya kepulauan Riau-Lingga menjadi kesultanan yang baharu, keilmuan Islam, bahasa dan kesusasteraan Melayu berkembang dengan begitu pesat sekali dengan Kepulauan Riau-Lingga sebagai pusatnya. Hal ini pernah dibincangkan oleh penulis dalam artikel penulis yang bertajuk “Kesultanan Riau-Lingga, Pusat Kegemilangan Institusi Keilmuan dan Persuratan Melayu Pada Akhir Abad ke-19 dan Awal Abad ke-20,” siaran pada 26 Ogos 2017.

Dalam sejarah Kesultanan Johor-Riau-Lingga, terdapat beberapa orang Yang Dipertuan Muda Bugis (YDPM) yang amat dikenali sebagai seorang yang warak, berilmu agama tinggi dan menguatkuasakan undang-undang Islam dalam pentadbiran mereka seperti Raja Haji fisabilillah (YDPM keempat), Raja Ali bin Raja Ja’afar (YDPM kelapan), Raja Haji Abdullah (YDPM kesembilan) dan Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi (YDPM ke-10). Ketika zaman pentadbiran Raja Ali bin Raja Ja’afar, beliau telah mengamalkan tareqat Naqsyabandiyyah dan semua anak kerabat diraja Johor-Bugis turut mempelajari dan mengamalkan tareqat tersebut. Antara ulama yang menjadi guru mereka seperti Shaykh Ismail bin Abdullah al-Minqabawi. Pulau Penyengat sering dijadikan pusat kegiatan ibadat tareqat mereka.

Terdapat juga Sultan Johor-Riau yang amat dikenali dengan kewarakannya seperti Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah ibni Sultan Mahmud Riayat Shah. Baginda merupakan Sultan Johor-Riau dan juga merupakan Sultan Riau-Lingga yang pertama apabila terbentuknya Kesultanan Riau-Lingga. Baginda amat dikenali sebagai seorang abid yang kuat beribadat, selalu bercampur dan bergaul dengan para ulama’ dan sering menangis ketika sedang beribadat kerana kekhusyukannya terutamanya ketika sedang membaca khutbah Jumaat. Umumnya, persekitaran keilmuan Islam dan perundangan Islam di Kepulauan Riau-Lingga semasa pemerintahan dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis menjadikan kepulauan tersebut pusat keilmuan Islam dan juga pusat kesusasteraan dan kebudayaan Melayu yang cemerlang pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Riayat Shah (Sultan Mahmud III) sebagai Sultan Johor-Riau (Dinasti Bendahara) dan Raja Ja’afar sebagai YDPM keenam, terdapat seorang lebai daripada Minangkabau (Sumatera Barat) datang belayar ke Pulau Lingga yang dikenali sebagai Lebat Tamat. Beliau mengakui bahawa dirinya sebagai seorang yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu-ilmu agama terutamanya ilmu hakikat (ilmu tasawwuf atau sufisme). Beliau menamakan ajarannya sebagai Ajaran “Isa” atau “Isi” dan mengajar ajaran sesatnya kepada orang ramai. Ajarannya begitu jauh terpesong sehingga beliau mendakwa bahawa dirinya adalah Allah SWT (na’uzubillahi min zalik). Ramai orang awam yang terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut. Pengikutnya yang bertambah ramai mengagung-agungkan dirinya dan menganggap guru mereka itu sebagai seorang wali yang penuh dengan karamah. Beliau juga mengajar bahawa terdapat seekor burung dari syurga yang akan menyucikan diri seseorang itu daripada segala najis dan hadas besar. Setiap kali beliau dan para pengikutnya belayar menaiki perahu, maka setiap kayuhan mereka akan berzikir, “Habib ar-Rahman, Allahumma solli ‘alaih.” Lama-kelamaan ajaran sesat tersebut semakin menjadi-jadi dan mengarut.

Raja Ja’afar menjadi murka apabila beliau mengetahui tentang perkara tersebut daripada para pegawainya di Lingga. Lebai tersebut bersama-sama para pengikutnya ditangkap, disuruh bertaubat dan dicukur botak kepala mereka. Tidak cukup di situ, Lebai Tamat belayar keluar dari Pulau Lingga menuju ke Lampung (hujung selatan Sumatera) dan beliau mereka suatu ajaran sesat yang baharu. Kali ini, beliau mendakwa dirinya kepada orang ramai di sana bahawa beliau adalah jelmaan Raja Haji fisabilillah yang syahid di Teluk Ketapang, Melaka, dan dihidupkan semula. Untuk meyakinkan orang ramai, beliau menceritakan semua perihal peribadi tentang Raja Haji dan anak-anak Almarhum untuk membuktikan bahawa beliau adalah Almarhum Raja Haji yang dihidupkan semula. Ramai orang Bugis di Lampung mempercayai dakwaan beliau dan terpengaruh dengan ajaran sesatnya. Dengan pengikutnya yang bertambah ramai yang mengagung-agungkan dirinya sehingga ke tahap menyembah, maka pengaruh dan kuasanya semakin besar sehingga beliau diberi dua tiga buah perahu.

Lebai Tamat kemudiannya belayar ke Pulau Lingga semula menaiki bot yang dikibarkan bendera kuning untuk menyebarluaskan ajaran sesatnya. Ketika itu, Raja Ja’afar telah berangkat pulang ke Riau dan adindanya, Raja Idris dilantik sebagai wakil beliau di pulau tersebut. Lebai Tamat mengadap Raja Idris dengan membawa hadiah dan beberapa orang suruhannya. Lebai Tamat kemudiannya berjaya mempengaruhi Raja Idris sehingga beliau memanggil Raja Idris dengan panggilan Idris sahaja. Pengarang Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada terdapat tipu muslihat yang dilakukan oleh Lebai Tamat ke atas Raja Idris (sihir, pukau) atau Raja Idris sendiri benar-benar terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut. Oleh sebab itu, pengaruh Lebai Tamat menjadi kebal dengan adanya perhubungan baik antara beliau dengan Raja Idris.

Apabila Sultan Mahmud mengetahui ajaran sesat tersebut, baginda menjadi sangat murka. Lebai Tamat dibawa mengadap baginda. Baginda kemudiannya menyuruh Lebai Tamat menukarkan mukanya kepada muka Almarhum Raja Haji fisabilillah yang sebenar untuk membuktikan bahawa dakwaannya benar, tetapi semestinya perintah tersebut tidak boleh dilakukannya. Maka, atas perintah Sultan Mahmud, Lebai Tamat dan para pengikutnya daripada kalangan orang-orang Bugis semuanya dijatuhi hukuman bunuh. Para pengikutnya yang lain lari bertempiaran. Tetapi, Lebai Tamat berjaya melarikan diri dengan belayar ke Inderagiri.

Di Inderagiri juga, Lebai Tamat terus menyebarluaskan ajaran sesatnya kepada orang ramai di sana. Sultan Mahmud bertambah murka dan memerintahkan supaya Raja Ja’afar mencari jalan supaya Lebai Tamat dapat ditangkap dan dibunuh untuk mengelakkan beliau daripada menyesatkan lebih ramai orang ramai dan memburukkan-burukkan kerabat diraja Johor-Bugis kerana dakwaannya sebagai jelmaan semula Almarhum Raja Haji fisabilillah. Apabila Raja Ja’afar mendapat surat perintah tersebut, maka beliau mengarahkan anakanda saudaranya, Raja Ismail, belayar ke Inderagiri untuk memujuk Lebai Tamat dengan segala tipu helah untuk dibawa ke Riau bagi dijatuhkan hukuman bunuh.

Raja Ismail belayar ke Inderagiri dan berjumpa dengan Lebai Tamat dengan penuh hormat dan kemuliaan. Raja Ismail berpura-pura menyatakan bahawa beliau dan Raja Ja’afar mempercayai dakwaan dan ajaran Lebai Tamat serta menjemput beliau ke Riau bagi diraikan secara kehormat. Akhirnya Lebai Tamat termakan tipu helah Raja Ismail dan bersetuju untuk belayar bersama ke Riau. Sepanjang pelayaran mereka ke Riau, Raja Ismail meneruskan memberi penghormatan kepada Lebai Tamat untuk terus memastikan kepercayaan penuh Lebai Tamat terhadap beliau.

Di Riau, Raja Ja’afar bersama orang-orangnya bersiap sedia “menyambut” kedatangan Lebai Tamat seperti menyambut kedatangan raja dan orang-orang kenamaan. Apabila Raja Ismail dan Lebai Tamat berlabuh di pantai Riau, mereka “disambut” secara besar-besaran. Lakonan tersebut berakhir apabila orang-orang Raja Ja’afar menangkap Lebai Tamat dan diikat. Lebai Tamat kemudiannya dihukum bunuh dengan dipancung. Kepalanya dibawa ke Lingga untuk dipersembahkan kepada Sultan Mahmud. Dengan kematian Lebai Tamat, maka berakhirlah ajaran sesat yang dibawa olehnya dan ajaran tersebut terus terkubur.

Dari segi hukum Islam, orang Islam yang mendakwa bahawa dirinya adalah Tuhan atau dewa untuk disembah dan diagung-agungkan boleh dianggap telah keluar daripada agama Islam (murtad) sekiranya tidak bertaubat. Mereka dan para pengikut mereka perlu diajar ajaran Islam yang sebenar dan disuruh bertaubat. Sekiranya mereka tetap berdegil, bahkan bertindak menyebarluaskan lagi ajaran sesat mereka, maka mereka wajar dibunuh, seperti yang dilakukan oleh Sultan Mahmud dan Raja Ja’afar terhadap Lebai Tamat dan para pengikutnya. Pihak pemerintah dan pihak berkuasa agama perlu sentiasa memantau sebarang aktiviti yang menyalahi akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, selain penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Ini kerana golongan penyebar ajaran sesat merupakan golongan yang sesat lagi menyesatkan yang boleh mengancam akidah umat Islam dan menggugat keharmonian masyarakat. Mereka sebenarnya mencari pengaruh dan kuasa bagi mendapatkan kerusi kepimpinan, harta dan sanjungan demi memenuhi kepentingan diri mereka sendiri.

Walaupun kerabat diraja Johor-Riau ketika itu terlibat dalam kegiatan sufisme, tetapi mereka berpandukan ajaran Islam yang sebenar dengan merujuk kitab-kitab agama dan bimbingan para ulama’ yang betul. Raja Ja’afar sendiri diceritakan dalam Tuhfat al-Nafis sebagai seorang yang selalu berdamping dengan para ulama, selalu membaca kitab-kitab usuluddin dalam bahasa Melayu yang dibimbing oleh para ulama sebenar, suka mendengar kisah-kisah raja di luar negeri dan qari-qari al-Qur’an yang datang dari luar negeri akan digajikannya selama beberapa bulan dengan gaji yang lumayan untuk mengajar dirinya, anak-anaknya dan para pegawainya mengaji al-Qur’an.

Bimbingan daripada para ulama yang sebenar amatlah wajib bagi memastikan ibadat atau amalan yang diamalkan selari dengan syariat Islam yang sebenar. Pengarang Tuhfat al-Nafis ada menceritakan tentang salah seorang pegawai Yang Dipertuan Muda mengalami masalah mental yang menyebabkannya mencederakan orang lain selepas dia mengamalkan suatu zikir selama dua tiga hari tanpa bimbingan daripada gurunya. Itu sebablah amalan bertalaqqi amatlah ditekankan dalam tradisi keilmuan Islam supaya tidak terpesong daripada akidah dan syariat Islam sebenar.

Oh ya, bercerita berkenaan Sultan Mahmud Riayat Shah (Sultan Mahmud III) ibni Sultan Abdul Jalil Muadzam Shah (Sultan Abdul Jalil V) iaitu Sultan Johor-Riau yang keempat dalam Dinasti Bendahara yang memerintah pada tahun 1761-1812, penulis ingin merakamkan jutaan tahniah kepada Kerajaan Republik Indonesia di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo kerana telah mengurniakan pengiktirafan Pahlawan Nasional Indonesia kepada Almarhum baginda sultan pada bulan November lalu (9hb Nov. 2017).

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kisah dan analisis kisah di atas, para pembaca boleh merujuk rujukan-rujukan ilmiah di bawah:

 

Senarai rujukan

Raja Ali Haji, diselia oleh Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.

Denisova, T., “Malay Muslim Historiography from 16th to 19th Century on Tasawwuf and Sufis in The Malay World,” dalam Jurnal Qolbu, Oktober 2017, hlm. 107-118.

Muhammad Hafiz Samsudin, “Sejarah Pengaruh Dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor dan Riau-Lingga Pada Abad ke-18-19 M,” Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda seliaan Dr. Nurulwahidah Fauzi, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply