Negara kita telah berjaya melahirkan ramai pemikir hebat dalam bidang pendidikan. Nama – nama yang masyhur seperti Aminuddin Baki, Zainal Abidin Ahmad, dan Tun Abdul Razak sering kali meniti di bibir rakyat negara kita sebagai tokoh pendidikan di negara kita.

Sebenarnya, masih terdapat seorang lagi pejuang tanah air dalam bidang pendidikan yang sewajarnya mendapat penghormatan yang setaraf diatas jasa – jasa yang telah beliau sumbangkan untuk mengangkat martabat bangsa kita. Beliau juga telah memerah keringat untuk melihat anak bangsanya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa lain di luar sana. Beliau telah berkorban sepanjang hayat untuk melihat anak – anak Melayu berada di puncak kejayaan.

Gerangan tersebut ialah tokoh pendidikan teknikal negara, Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid. Beliau merupakan mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pertama. Nama ini sering timbul apabila kita berbicara tentang perkembangan pendidikan teknikal dan kejuruteraan di negara kita. Tidak keterlaluan untuk mengelarkan beliau sebagai Bapa Teknikal Negara juga.

Beliau merupakan seorang anak Melayu yang menceburi bidang ini dan kemudiannya terlibat secara langsung dalam membangunkan sistem pendidikan profesional khususnya di bidang kejuruteraan. Tan Sri menjadi pelopor dalam usaha menggerakkan sistem asing itu bertukar menjadi sistem kebangsaan yang berorientasikan keperluan dan kepentingan masyarakat setempat. Banyak perkara yang telah dilakukan oleh Ainuddin dalam usaha mengangkat pendidikan khususnya bidang teknikal dan kejuruteraan setaraf dengan bidang lain.

PERINTIS KEPADA PENUBUHAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)

Jasa dan pengorbanan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid  masih lagi boleh dilihat hingga ke hari ini dan pasti diingati sampai bila-bila terutama kepada warga UTM. Beliau merupakan contoh terbaik yang wajar diikuti dan dijadikan sebagai teladan untuk kita semua. Semangat dan kesungguhan beliau membangunkan anak bangsa ketika nasib bangsa Melayu seperti telur di hujung tanduk wajar dipuji kerana ia merupakan permulaan kepada pembangunan bangsa Melayu hingga mampu menyaingi bangsa lain pada masa kini.

Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua UTM di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan di Skudai, Johor. Pada permulaan zaman kegemilangan beliau, UTM pada masa kini hanyalah sebuah Sekolah Teknik yang ditubuhkan dalam tahun 1925 iaitu ketika Tanah Melayu masih berada dalam pemerintahan British. Pada waktu itu, sekolah ini menjadi tempat melatih pegawai-pegawai kerajaan.

Kemudian, sekolah ini dibaikpulih dan dinaiktaraf menjadi Maktab Teknik. Beliau berpeluang menjadi pengetua di Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) dan peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh beliau sebagai medium memperjuangkan nasib orang Melayu yang semakin lama semakin terhakis.

Bukan itu sahaja, beliau juga mengimpikan untuk menaiktaraf Maktab Teknik kepada sebuah universiti, iaitu Universiti Teknologi. Impiannya itu hampir menjadi kenyataan pada tahun 1972  apabila kerajaan meluluskan permohonannya itu disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan iaitu masalah kekurangan jumlah tenaga manusia di bidang kejuruteraan dan teknologi.

Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) telah dinaiktarafkan kepada sebuah Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) yang setaraf dengan ITB di Bandung dan beliau dilantik sebagai Reaktor pertamanya. Dua tahun kemudian, impiannya menjadi kenyataan sepenuhnya apabila nama Institut Teknologi Kebangsaan ditukar secara rasmi pada tahun 1974 kepada Universiti Teknologi Malaysia selepas beliau dan Lembaga Pengurus Institut memohon kepada kerajaan untuk menukar nama Institut kepada Universiti agar orang ramai tidak keliru dan melihatnya tidak setaraf dengan universiti-universiti lain.

Selepas menubuhkan UTM, beliau telah meneruskan perjuangan untuk membela nasib orang Melayu dengan berusaha mengurangkan syarat kemasukan ke universiti khususnya buat orang Melayu. Beliau mencadangkan supaya hanya kepujian dalam matematik dan Bahasa Melayu sahaja dijadikan syarat kemasukan dan tidak memasukkan kredit dalam Bahasa Inggeris.

Hasilnya, lebih ramai pelajar Melayu dapat memasuki UTM, dan dengan sendiri mengubah komposisi pelajar di universiti itu. Hal ini jelas menunjukkan kesungguhan beliau ingin membantu anak bangsanya walaupun terpaksa berhempas pulas memerah keringat yang ada.

MELAKAR UNIVERSITI BERLANDASKAN ISLAM

Ketika Tan Sri Ainuddin Wahid mula-mula sampai di kampus Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) beliau mendapati rata-rata pelajar Melayu  berkelakuan seperti ‘hantu’. Hal ini kerana akhlak serta sahsiah dan disiplin mereka sangat rendah. Keadaan kampus riuh rendah dengan pelajarnya yang berpakaian selekeh.

Biarpun surau telah diperbaharui namun keadaan surau itu setiap kali masuk waktu solat seperti pelajar-pelajar Melayu di ITK bukan beragama Islam. Hal ini telah menimbulkan kemasygulan dalam hati beliau terhadap sahsiah pelajar Muslim. Oleh sebab yang demikian beliau telah muncul dengan idea untuk mengadakan kelas Pendidikan Agama Islam bagi menambah pengetahuan para pelajar tentang akhlak, sahsiah dan disiplin yang amat dituntut dalam Islam.

Beliau seterusnya membentangkan hal tersebut kepada bahagian Majlis Penasihat ITK. Kegigihan serta usaha beliau itu tidak berakhir begitu sahaja, beliau seterusnya telah pergi berjumpa dengan orang yang telah melantik beliau iaitu Tun Razak bagi mendapatkan pandangan beliau sebelum usul tersebut dihantar ke Kementerian Pelajaran. Hujah yang diberikan Tan Sri Ainuddin telah menyebabkan kertas cadangan beliau diluluskan tanpa banyak soal. Tun Razak amat kenal akan Ainuddin yang bersemangat nasional dan teguh pegangan agamanya.
Biarpun pada awalnya beliau ingin memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam kepada pelajar bukan Islam juga, namun rasional beliau masih mampu menerima nasihat telah membatalkan hasrat beliau itu. Beliau sedar akan implikasi politik yang kurang baik dari segi hubungan kaum mungkin berlaku.

Akhirnya telah diperkenalkan matapalajaran Tatasusila kepada pelajar bukan Islam. Kelas Pendidikan Agama Islam akan diadakan selama dua jam sahaja pada setiap minggu. Sungguhpun begitu, kesannya amat besar kepada para pelajar.

Pelajar juga diasingkan mengikut kefahaman agama masing-masing untuk memudahkan sesi pengajaran diadakan. Pelajar telah mula menujukkan perubahan yang positif  setelah mengikuti matapelajaran Pendidikan Agama Islam dan Tatasusila. Kesedaran terhadap pentingnya menutup aurat juga beliau tingkatkan.

Pelbagai usaha telah beliau lakukan bagi memastikan pelajar-pelajar Melayu tidak hilang ciri keislamannya. Dengan cara ini sekali lagi beliau telah melakarkan namanya dalam sejarah sebagai individu pertama di Malaysia yang meletakkan landskap universiti bercirikan Islam serta memperkenalkan Pendidikan Agama Islam dan Tatasusila di peringkat universiti.

BAPA TEKNOKRAT MELAYU

Kesedaran tentang kemajuan bangsa Melayulah yang menjadikan Tan Sri Ainuddin Wahid seorang pendidik yang amat dikenang oleh pelajar-pelajarnya. Seawal menjadi pengetua di Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL), beliau telah berusaha untuk melahirkan lebih ramai teknokrat berbangsa Melayu.

Bahasa merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pelajar Melayu untuk memasuki MTKL. Hal ini kerana bahasa pengantar di MTKL merupakan bahasa Inggeris manakala majoriti pelajar Melayu datang daripada sekolah beraliran Melayu. Pelajar Melayu juga menghadapi masalah untuk belajar di MTKL memandangkan semua buku teksnya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Beliau tidak menunggu lama sebelum membuat keputusan untuk mengajak pensyarah berbangsa Melayu yang lain untuk melakukan suatu perkara yang tidak akan dilakukan oleh manusia moden kini iaitu menterjemah buku teks yang sedia ada kepada bahasa Melayu. Para pensyarah tersebut tidak membantah apa yang dipinta oleh Ainuddin ketika itu. Hanya demi melihat lebih ramai orang Melayu di MTKL mereka sanggup bersengkang mata untuk menterjemah buku -buku tersebut.

Seterusnya, beliau turut mendapati bukan sahaja MTKL menghadapi masalah kekurangan pelajar Melayu tetapi juga pensyarahnya. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh beliau adalah beliau telah pergi meminta bantuan pekerja daripada organisasi kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains untuk dipinjamkan ke MTKL bagi mengajar disana.

Seterusnya beliau turut meminta pensyasrah dari luar negara untuk dihantar ke MTKL terutama dari Indonesia bagi mengajar dalam bahasa Melayu. Akhir sekali, beliau telah meminta bantuan badan – badan persatuan pelajar iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk mempromosikan MTKL agar lebih ramai pelajar Melayu yang mengetahui kewujudan maktab yang akan menghasilkan ramai teknokrat seperti beliau kelak.

GPMS tidak menolak pinta beliau sebaliknya telah berusaha berkempen tentang MTKL sekaligus membuat kelas tuisyen kepada pelajar di sekolah bagi membantu mereka memasuki MTKL dengan mudah.

MENGANGKAT BAJU MELAYU SEBAGAI PAKAIAN RASMI

Tan Sri Ainuddin telah menunjukkan semangat nasionalis Melayu ketika majlis konvokesyen UTM pada tahun 1978. Semasa itu beliau memegang jawatan sebagai  Naib Canselor UTM. Ainuddin dengan lantangnya menegaskan bahawa setiap mahasiswa diwajibkan untuk memakai Baju Melayu berwarna hitam berserta samping hitam di dalam jubah graduasi yang juga berwarna hitam.

Mortar board telah ditukarkan kepada songkok hitam untuk kaum lelaki. Bagi mahasiswi pula, mereka akan memakai jubah yang sama seperti mahasiswa. Yang membezakannya ialah mereka diwajibkan untuk memakai baju panjang yang mencecah hingga ke buku lali di dalam jubah tersebut. Mortar board yang sering kali dipakai ketika majlis konvokesyen pula telah ditukarkan kepada tudung putih.

Bagi memastikan perkara ini terlaksana dengan lancar, pihak universiti telah membekalkan songkok bagi lelaki dan tudung putih bagi perempuan secara percuma. Perkara ini diterima dengan hati yang sangat terbuka bagi kaum Melayu kerana akhirnya pakaian tradisi yang juga merupakan pakaian kebangsaan mendapat tempat yang selayaknya.

Namun perkara yang dilakukan oleh Ainuddin ini telah ditentang sekeras – kerasnya oleh kaum-kaum lain terutama sekali kaum Cina. Apabila konvokesyen dengan pakaian sebegini hendak diadakan pada 1978, pihak MCA yang mewakili suara kaum Cina telah menjadikan perkara ini sebagai suatu isu yang sangat besar sehingga dibahaskan di Parlimen.

Konvokesyen yang sepatutnya dijadualkan pada 7 Oktober 1978 telah ditunda sehingga 20 Disember 1978. Daripada seramai 100 orang graduan yang sepatutnya menerima Ijazah pada hari itu, hanya 46 orang graduan sahaja yang hadir. Daripada 46 orang graduan yang hadir, hanya 4 orang sahaja yang bukan Melayu.

Mereka memboikot majlis itu hanya kerana mereka perlu memakai Baju Melayu. Perkara yang dilakukan oleh Ainuddin sebenarnya tidak salah malah menjadi ikutan oleh Universiti Islam Antarabangsa 10 tahun selepas itu. Universiti itu mempunyai pelajar dari serata pelosok dunia dan perkara itu tidak menjadi suatu masalah.

Perkara ini membuktikan bahawa kaum lain akan berasa tergugat jika warisan Melayu dijadikan sebagai perkara rasmi di dalam negara kita. Jadi kita seharusnya bangga dengan pakaian warisan yang kita ada dan sewajarnya menjadikan ia sebagai pakaian rasmi menggantikan kod pakaian pada masa ini yang menggunakan kod pakaian barat bagi majlis – majlis rasmi.

MUZIK ALAM MELAYU DIKEMBALIKAN

Selain itu, Ainuddin telah membawa warisan seni Alam Melayu yang telah lama berkubur. Warisan tersebut ialah Gamelan dan Rebana Ubi. Muzik itu pada ketika itu hanya ditempatkan di muzium dan tidak lagi dimainkan di mana – mana tempat di Tanah Melayu. Jadi, Ainuddin telah mengambil inisiatif untuk mengangkat warisan seni muzik Melayu ini untuk berada di tempat yang sepatutnya dengan membawa masuk gamelan ke dalam konvokesyen pertama UTM pada tahun 1978.

Berbeza dengan isu kod pemakaian yang telah dikeluarkan oleh Ainuddin, penggunaan muzik Alam Melayu ini tidak ditentang oleh mana – mana pihak kerana muzik ini dapat menawan pendengaran para tetamu bahkan mereka mengagumi ikhtiar yang telah dilakukan oleh Ainuddin yang membawa masuk sesuatu perkara yang telah lama berkubur dari Alam Melayu.

Perkara ini sepatutnya dicontohi oleh orang Melayu pada zaman ini bagi mengangkat martabat bangsa kita. Jika orang Korea berbangga dengan industri muzik mereka yang dikenali sebagai K-Pop, kita juga sepatutnya berbangga dengan warisan nenek moyang kita yang ada seperti gamelan, tarian zapin dan tarian mak inang.

MEMACU NEGARA KE ARAH YANG LEBIH MAJU

Tan Sri Abdul Wahid merupakan individu pertama yang memperkenalkan Jabatan Petroleum di UTM ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Naib Canselor. Pada waktu itu, bidang ini kurang popular dan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada orang Melayu. Bukan itu sahaja, teknokrat tempatan yang mahir dalam bidang ini amatlah sedikit malah mereka juga tidak mempunyai kemahiran yang cukup untuk mengendalikan industri petroleum di negara sendiri.

Syarikat seperti Esso dan Shell yang dimiliki oleh bangsa asing sahaja yang mampu untuk mengusahakan industri petroleum di negara kita. Beliau merasakan situasi ini boleh diubah jika anak tempatan dilatih dalam bidang ini dan terdapat usaha mendedahkan kepentingan bidang ini kepada generasi muda.

Oleh kerana inilah beliau berusaha mewujudkan bidang petroleum di UTM di samping menanam minat dalam generasi muda untuk menceburi bidang ini. Pada hari ini, usaha beliau selama ini telah membuahkan hasilnya. Malaysia telah berjaya untuk memiliki syarikat petroleum sendiri iaitu Petronas dan tidak perlu lagi bergantung kepada bantuan bangsa asing untuk mengusahakan hasil petroleum yang terdapat dalam negara.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, orang Melayu sewajarnya mengikut jejak langkah yang telah dilakukan oleh Ainuddin bin Abdul Wahid dalam usaha mengangkat martabat bangsa Melayu supaya bersukat sama paras, bertimbang sama berat dengan bangsa – bangsa maju yang lain. Beliau sangat cintakan ilmu sehingga mendapat tiga pangkat Doktor Falsafah daripada tiga buah universiti berbeza yang sangat terkemuka di dunia.

Selain itu, ketokohan Ainuddin telah menambat hati panel pemilihan sehingga berjaya dinamakan sebagai pemegang anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1421. Tidak ketinggalan juga, syarikat – syarikat swasta menggunakan kepintaran yang terdapat pada Ainuddin untuk mengembangkan perniagaan mereka. Mereka telah melantik Ainuddin untuk menjadi Pengarah di Sapura Telecommunications Bhd (Sapura Telecoms) dan Cement Industries of Malaysia.

Ainuddin bukan sahaja mendapat perhatian dari kalangan rakyat biasa sahaja malah dia telah mencuri tumpuan golongan Raja – Raja Melayu. Beliau telah dikurniakan beberapa pingat kebesaran negara atas keringkat beliau antaranya ialah Panglima Setia Mahkota (1975) dan Pingat Sri Paduka Mahkota Johor (1978). Setelah beberapa dekad lamanya membawa banyak perubahan kepada orang Melayu khususnya dan Malaysia amnya beliau akhirnya telah dijemput Ilahi untuk bertemu dengan penciptanya pada 18 Mei 2013 kerana sakit tua.

Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Mantan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak telah mengambil langkah drastik untuk mengenang jasa pejuang pendidikan tanah air ini dengan cara menubuhkan Ainuddin Wahid Endowment Fund . Biasiswa ini bertujuan untuk membiayai 5 orang pelajar pada setiap tahun di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Teknologi Mara.

Anak-anak Melayu seharusnya mengenang usaha yang telah dilakukan oleh Ainuddin Abdul Wahid kerana tanpa beliau orang Melayu tidak akan dapat mencapai cita-cita mereka untuk menjadi seorang jurutera. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sewajarnya meletakkan nama Ainuddin di dalam sukatan pembelajaran supaya jasa dan pengorbanan beliau terus diingati dan dikenang sepanjang zaman.

Nama beliau seharusnya diletakkan di institusi-institusi terkemuka negara supaya anak Melayu pada zaman ini dapat mencontohi ketokohan dan keperibadian yang terdapat pada diri Ainuddin itu sendiri. Walaupun terdapat sebuah masjid yang menggunakan nama beliau, tetapi perkara itu tidak cukup buat seorang tokoh yang telah mencurahkan bakti kepada negara yang tercinta ini.

Ainuddin bin Abdul Wahid merupakan seorang tokoh bukan sahaja dalam bidang bahkan merupakan seorang Melayu yang sangat lantang bersuara demi anak bangsanya. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan mendapat tempat yang selayaknya di sisi Allah. Al – Fatihah.

Artikel disumbangkan oleh H. Faizi untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Jangan hirau warna bendera, Kerana itu penyebab huru hara, Jangan kisah pengikut siapa, Asalkan dia pembela bangsa. Hairul Faizi bin Hairulnizam merupakan seorang anak muda yang berusia 19 tahun. Meminati bidang penulisan yang berkaitan dengan fakta dan sejarah. Berpegang teguh kepada semangat berilmu untuk berjasa digarapkan sekali dengan misi untuk mendidik bangsa. Bercita cita untuk membawa aura penulisan yang lebih menarik untuk menambat hati anak muda . Di barisan hadapan sebagai pembela, Ilmu di dada menabur jasa, Semakin memuncak cita-cita, Semakin tunduk pada yang Esa.

Comments are closed.