Aiman Banna, Illuminati Dan Dajjal

6113
views

Dengar cerita sekarang ada ramai orang kecam Ustaz Aiman Banna, sampai nak report beliau ke pihak berkuasa sebab main-main masa menjawab pertanyaan yang ada kaitan dengan Dajjal.

Aku bagi pandangan yang fair sikit lah:

Pertama, soalan yang orang tanya tu pun tak betul. Soalannya: “kenapa Illuminati ada satu mata?” Sepatutnya soalan yang betul ialah “kenapa Dajjal ada satu mata?” atau “adakah Illuminati itu Dajjal?”

Tapi disebabkan penceramah sini sana setiap kali sebut pasal Dajjal je, terus mengaitkan ia dengan Illuminati dan Freemason, maka orang ramai dah keliru. Nampak tak kesan dan mudaratnya?

Sebenarnya dia macam ini: kita orang Islam percaya ada Dajjal, orang Kristian pun percaya ada Anti-Christ, yang akan muncul pada akhir zaman (end times) untuk menyesatkan manusia.

Dalam hadis disebut Dajjal itu buta sebelah (bukan satu mata ye), dalam kitab Yahudi pun sebut buta sebelah, tapi dalam Bible tak disebut ciri fizikal Anti-Christ.

Apabila muncul gerakan Freemason dan Illuminati pada abad ke-18 di Eropah, ramai penulis Kristian melihat mereka sebagai penyebar ajaran sesat yang menjauhi orang ramai dari agama Kristian. Maka mulalah Freemason dan Illuminati dikaitkan dengan Anti-Christ.

Dan “kebetulan” pula, antara simbol Freemason ni ialah “Eye of Providence” yang menggambarkan “Tuhan” mereka dengan simbol satu mata. Tapi Illuminati tak sama dengan Freemason dan mereka tak pakai simbol satu mata.

Jadi apabila cerita Freemason dan Illuminati ini disebarkan ke Dunia Islam, terutamanya oleh tentera Nazi semasa Perang Dunia Kedua (Hitler bekerjasama dengan Mufti Jerusalem Amin al-Husaini untuk sama-sama lawan British), cendekiawan Islam mula mengaitkan Freemason dan Illuminati dengan Dajjal yang disebut dalam hadis.

Tapi masih, itu adalah tafsiran oleh para cendekiawan sendiri; ada khilaf, ada yang setuju, ada yang tak setuju dengan tafsiran tersebut. Aku cenderung kepada tak setuju dengan tafsiran Freemason = Dajjal, sebab ada banyak lompong dalam teori tersebut.

Kalaulah Freemason/Illuminati itu benar Dajjal, senang, kita hanya perlu mengenalpasti siapakah Freemason/Illuminati, pastu kita lawan. Selesai. Macam dalam cerita Kamen Rider, kita boleh kenalpasti satu musuh yang nyata bernama Gorgom, pastu kerja Kamen Rider cuma perlu pergi melawan diorang. Habis cerita, aman dunia.

Tapi dunia yang nyata adalah jauh lebih kompleks. Unpredictable. Kejap Brexit, kejap Trump. Chaotic. Kita tak tau siapa musuh, siapa kawan. Kita dah keliru tentang kebenaran (post-truth). Itu yang lebih bahaya. Itulah “fitnah” akhir zaman yang sebenarnya.

Tapi Aiman Banna pun patut dikecam sebab beliau mensia-siakan peluang untuk mendidik orang awam. Ini pun satu masalah akhir jaman umat kita: terlalu ramai “ustaz” yang bersifat selebriti dan penghibur; terlalu sedikit ustaz yang mencetus minda orang ramai untuk berfikir secara kritis tentang dunia kita, pada masa yang sama tidak terkeluar dari landasan ilmu agama turath.

Mujur aku bukan ustaz, bolehlah aku cerita dari sudut yang lebih empirikal dan positivis. Nak tahu lebih lanjut, belilah buku Mencabar Teori Konspirasi terbitan Patriots Publication (https://www.thepatriots.store/…/…/mencabar-teori-konspirasi/).

Btw, dah 2019 ni, debat pasal Freemason dan Illuminati ini sangatlah 1919. Zaman ini marilah kita cerita pasal pembangunan sistem politik antarabangsa alternatif kepada sistem yang didominasi oleh Western Powers, tak pun sistem ekonomi alternatif kepada sistem ribawi yang betul-betul boleh membebaskan kita daripada cengkaman “Dajjal”. Itu lagi mustahak, dan lebih aulawiyat.