Moving Forward As One

Ahmet Riza Bey: Pejuang Raja Berperlembagaan Uthmaniyah Yang Dilupakan

649

Gerakan politik Turki Muda dianggap sebagai kelompok liberal yang telah menjadi punca kepada kemerosotan Empayar Uthmaniyah, dan mereka amat dibenci sama ada oleh golongan kerabat Dinasti Uthmaniyah mahu pun oleh Gerakan Nasionalis yang dimulakan Mustafa Kemal Ataturk.

Namun, ada satu nama yang kian dilupakan dalam sejarah gerakan ini, dia adalah salah seorang pengasas Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan (CUP) yang menjadi pendesak kepada pembentukan sistem raja berperlembagaan Empayar Uthmaniyah.

Nama yang dimaksudkan adalah Ahmet Rıza Bey, beliau adalah seorang pemikir yang menganjurkan konsep pemerintahan berteraskan agama Islam namun selari dengan idea-idea positivisme, sekularisme dan liberalisme melalui tindakan dari dalam organisasi.

Ahmet Riza bersama beberapa anggota CUP

Ahmet Rıza adalah anggota Turki Muda dan pemimpin CUP yang unik kerana pandangannya yang konservatif dan lebih cenderung memilih jalan kedamaian berbanding jalan revolusi. Dia juga seorang yang berpegang kepada teori positivisme.

Ahmet Rıza menyokong untuk menggulingkan Sultan Abdülhamid dan mengembalikan parlimen perlembagaan, tetapi dia juga menuntut pelaksanaan sistem pemerintahan Empayar Uthmaniyah yang lebih berpusat dan berdaulat, yang dikuasai oleh orang Turki sepenuhnya tanpa pengaruh Eropah.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

Walaupun terlibat secara langsung dengan Turki Muda dan CUP, Ahmet Rıza mungkin merupakan satu-satunya tokoh pembangkang yang bersifat konservatif dan dia percaya bahawa pemerintahan Islam perlu dikekalkan walaupun Uthmaniyah mungkin akan digulingkan.

CUP adalah badan inovasi tradisi politik Turki yang turut memberi sumbangan besar kepada penubuhan Republik Turki selain dari Pe.rang Kemerdekaan yang dilancarkan Mustafa Kemal Ataturk untuk menentang pendudukan penjajah Barat.

Walau bagaimanapun Jawatankuasa ini sering dikritik kerana kegagalan  membawa kebebasan yang dijanjikan sebelum revo.lusi 1908 dan telah dianggap sebagai memecahbelahkan Empayar Uthmaniyah.

Konsep “Unionisme” yang dibawa CUP pada waktu itu kini kebanyakannya dilihat lebih sinonim dengan gambaran buruk tentang oportunisme, partisan dan pengkhianatan politik.

Ahmet Riza merupakan seorang pendidik

Selain kritikan mengenai kegagalan politik, CUP juga menjadi simbol kemandulan falsafah. Semua orang tahu bahawa ahli-ahli jawatankuasa itu adalah politikus yang pragmatik, tidak pernah meraikan pandangan dan kritikan.

Semua ini benar hingga pada tahap tertentu. Namun kita boleh andaikan mereka tidak ada idea dan pemikiran tetapi ada formula untuk aktivisme, ia bukan cakap kosong semata-mata.

Walaupun jawatankuasa ini bermula di institusi pendidikan tinggi yang telah diasaskan oleh Sultan Abdülhamid II, kebanyakan ahli jawatankuasa bukanlah pembaca yang baik.

Ramai pengasas dan pemimpin Jawatankuasa penggerak revolusi termasuk Talat Pasha, Bahaattin Şakir dan Dr. Nazım adalah ahli politik bawaan atau tentera, tetapi mereka adalah pemikir yang kurang memberikan impak.

Sebaliknya, Ahmet Rıza, salah seorang pengasas jawatankuasa itu, adalah seorang yang berfikiran tinggi dan bukannya seorang aktivis profesional. Ahmet Rıza mewakili salah satu sayap Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan yang kuat tapi dikalahkan oleh sayap lain termasuk “penganjur parti” selepas rombakan semula jawatankuasa itu pada tahun 1905.

Talaat Pasha

Ahmet Rıza akhirnya menjadi musuh kepada jawatankuasa tersebut selepas berakhirnya Pe.rang Dunia Pertama, namun peranannya sebagai salah seorang pengasas organisasi tidak hilang dalam sejarah.

Ahmet Rıza dilahirkan pada tahun 1858 di Istanbul. Bapa beliau, Ali Bey adalah anggota Şura-yı Devlet (Dewan Negara) dan Meclis-I Ayan (Majlis Tokoh-tokoh). Rakan-rakannya menggelar dia sebagai “İngiliz Ali Bey” (Ali Bey Si Inggeris) kerana dia gemar memakai pakaian ala Inggeris. Ibu Ahmet Rıza adalah Naile Hanım, yang merupakan wanita dari keluarga mualaf keturunan Austria.

Ahmet Rıza bersekolah di Beylerbeyi Rüştiyesi (sekolah rendah) dan Galatasaray Sultanisi (sekolah tinggi). Di samping itu dia belajar secara peribadi di rumahnya di Beylerbeyi dan terbiasa dengan budaya Barat melalui ibunya.

Dia bertugas sebagai penterjemah di Jabatan Terjemahan sebelum berhenti kerja dan menemani bapanya yang hidup dalam buangan di Antalya.

Kesan dari kemiskinan populasi pinggir kota di Anatolia menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menyumbang kepada sektor pertanian negara dan pergi ke Paris untuk mendaftar di Fakulti Kejuruteraan Pertanian.

Sultan Abdülhamid II

Setelah menamatkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Pertanian, Ahmet Rıza kembali ke Turki sebagai seorang pakar pertanian. Dia bekerja sebagai kakitangan awam di Kementerian Pertanian untuk seketika.

Sementara itu, dia berusaha mendirikan perusahaan pertanian dengan bergantung kepada jentera pertanian moden, namun dia gagal melakukannya.  Selepas itu, dia mula berubah pandangannya tentang faktor kemiskinan penduduk desa.

Dia kemudian berpendapat bahawa punca sebenar kemiskinan adalah kerana kurangnya pendidikan. Maka, dia menjadi pegawai di Kementerian Pendidikan. Dia ditugaskan sebagai Pengarah Pendidikan di provinsi Bursa. Setelah empat tahun berusaha, dia sekali lagi berubah pandangan dan kembali menemani bapanya di Antalya.

Pada tahun 1889, Ahmet Rıza mengunjungi Paris untuk sambutan ulang tahun ke-100 Revolusi Perancis. Dia memutuskan untuk tinggal di sana dan meneruskan pengajian. Dia sudah memahami falsafah Auguste Comte, iaitu positivisme sejak dari semasa tinggal di Turki.

Di Paris, dia menyertai banyak kuliah di Universiti Sorbonne untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya.  Dia berpegang teguh pada slogan CUP, “kepatuhan dan kemajuan”. Dia turut menyertai Persatuan Positivis dan menulis artikel dalam jurnal persatuan tersebut bagi membuktikan yang agama Islam tak pernah menolak mahu pun menghalang kemajuan.

Mustafa Kemal Ataturk.

Bagi golongan sekular dan liberalis hari ini, mereka mungkin beranggapan bahawa Islam dan positivisme tidak mungkin boleh bersama. Tetapi Ahmet Rıza bertegas bahawa dia tidak nampak apa perbezaan di antara kedua-duanya.

Pentadbiran Uthmaniyah memanggil Ahmet Rıza pulang selepas dalam satu persidangan, di mana dia menggunakan gambaran liberal yang melampau mengenai situasi kaum wanita di Uthmaniyah pada tahun 1891.

Namun, dia memilih untuk terus tinggal di Paris dan mengirimkan surat kepada para pegawai yang terlibat dengan menyatakan bahawa dia menganggotai  organisasi yang bukan rahsia dan dia hanya bekerja untuk kepentingan negara di Paris.

Apa yang menarik adalah dia bahkan memohon sokongan kewangan dari Sultan Abdülhamid II untuk melanjutkan pengajiannya di universiti. Dia mempelajari sejarah negara-negara yang progresif dan menyiapkam memorandum yang ditulis untuk Abdülhamid II sendiri.

Sultan mendorong dia untuk melanjutkan pelajaran dan menggalakkannya agar sentiasa menulis pandangan dari pemikirannya kepada Sultan. Ahmet Rıza turut menulis memorandum untuk Wazir Agung pada masa itu.

Walaupun terlibat secara langsung dengan Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan yang masih bergerak secara rahsia, Ahmet Rıza tidak turut serta dalam jawatankuasa itu sehingga tahun 1894.

Dia menulis banyak artikel untuk menunjukkan hala tuju politiknya yang menjadikan dia legenda di kalangan anggota jawatankuasa itu di Turki dan di luar negara.

Ahmet Rıza secara terbuka menentang pembant.aian etnik Armenia.

Sebelum itu, jawatankuasa tersebut dikenali sebagai “İttihad-I Osmani Cemiyeti” (Jawatankuasa Kesatuan Uthmaniyah), yang cuba ditukar oleh Ahmet Rıza kepada Jawatankuasa Peraturan dan Kemajuan Uthmaniyah.

Setelah beberapa rundingan antara Jawatankuasa Pusat dengan Ahmet Rıza, “Osmanlı İttihat ve Terakki Cemiyeti” (Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan Uthmaniymyah) diterima sebagai nama rasmi organisasi revolusi itu.

Sultan Abdülhamid II menyedari Ahmet Rıza telah beralih kepada jawatankuasa tersebut. Dia cuba untuk memujuk Ahmet Rıza agar pulang, tetapi Ahmet Rıza menolak panggilan Sultan dan kekal di Paris untuk terus menerbitkan artikel dalam Meşveret yang mencerminkan kedudukan politik dan situasi intelektual Jawatankuasa di Paris. Akhirnya dia menjadi pemimpin seluruh Unionis di Eropah.

Ahmet Rıza bukanlah seorang revolusioner bawaan.  Penglibatannya dalam Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan hanyalah kerana dia melihat ada peluang untuk merealisasikan pemikirannya melalui aktivisme jawatankuasa itu.

Dia berpendapat bahawa pendidikan awam yang bergantung kepada prinsip sekular dan positivis harus menjadi asas kemajuan. Namun, di sisi lain, dia menentang segala jenis tindakan kega.nasan demi mewujudkan pemikiran atau apa saja jenis ideologi.

Pengusiran besar-besaran etnik Arnenia

Boleh dikatakan, idea yang dibawanya agak rad.ikal, tetapi dia memiliki keperibadian yang liberal, yang menyebabkan dia terpisah dari jawatankuasa selama bertahun-tahun.

Di Universiti Paris, dia melanjutkan kuliahnya mengenai positivisme, yang dipengaruhi dari pakar matematik Pierre Laffitte. Dia dipengaruhi oleh pandangan Laffitte tentang Islam dan ketamadunan Timur khususnya.

Laffitte percaya bahawa Islam adalah agama yang paling maju, maka ia sepatutnya lebih mudah bagi umat Islam untuk melalui positivisme.

Ahmet Rıza menjadi salah seorang anggota Persatuan Positivis yang paling aktif, dan sejak tahun 1905 dia telah tampil sebagai “wakil masyarakat Muslim” di Comité Positif Occidental, yang menyebabkan penyebaran sifat antarabangsa positivis.

Dia juga menentang sebarang campur tangan kuasa asing dalam politik Uthmaniyah, walaupun ia mungkin membawa manfaat bagi Sultan terutamanya dalam isu hutang negara.

 

Ahmet Rıza menentang gesaan Sultanzade Sabahaddin (anggota kerabat Dinasti Uthmaniyah yang menjadi pemberon.tak) untuk melancarkan revolusi Turki Muda dan campur tangan Eropah dalam politik Uthmaniyah semasa Kongres Pembangkang Uthmaniyah pada tahun 1902 di Paris.

Dia turut menentang status autonomi bagi wilayah-wilayah timur yang berpopulasi etnik Armenia. Semasa Kongres Kedua Pembangkang Uthmaniyah pada tahun 1907, Ahmet Riza pada mulanya agak berat untuk menyokong tindakan kekerasan demi menggulingkan sultan, tetapi kemudian dia menukar pandangannya.

Selepas 10 tahun, Ahmet Rıza menjadi penentang Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan walaupun pimpinan jawatankuasa itu dan Turki Muda telah menjemput dia ke Istanbul selepas revolusi 1908 dan dia diraikan sebagai “bapa pembebasan Turki.”

Selepas Uthmaniyah kalah dalam Pe.rang Dunia Pertama, hampir keseluruhan pucuk pimpinan Turki Muda dan jawatankuasa itu sama ada akan diusir, dibu.nuh atau dibur.u oleh Mustafa Kemal Ataturk kerana tindakan Tiga Pasha dianggap sebagai punca kemerosotan Uthmaniyah.

Walaupun Enver Pasha pernah cuba menebus kesalahannya dengan menawarkan sokongan kepada Pe.rang Kemerdekaan, tetapi Mustafa Kemal tidak pernah memaafkan Enver.

Enver Pasha

Namun Ahmet Rıza dibenarkan membantu Pe.rang Kemerdekaan dengan menyebarkan idea-idea Mustafa Kemal di Paris yang bermula pada bulan Jun 1919.

Selepas kejayaan Perjanjian Lausanne, dia kembali ke Istanbul pada tahun 1926. Dia meninggalkan dunia politik dan mula menulis memoir dan sejarah Jawatankuasa  Kesatuan dan Kemajuan di rumahnya di Vaniköy.

Terlepas peluang membeli buku kami pada harga RM 20 sebelum ini? Jangan risau! Promosi RM 20 satu buku kembali lagi termasuk buku terbaru kami Srivijaya. Jom beli di: https://shp.ee/a7hiexq

Dia terjatuh dan patah tulang pinggul pada 26 Februari 1930, kemudian dimasukkan ke hospital tetapi tidak dapat bertahan dan akhirnya meninggal dunia pada hari yang sama. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Kandilli. Hasil penulisannya diterbitkan sebagai buku selepas kema.tiannya.

Ahmet Rıza juga merupakan satu-satunya ahli politik Turki Muda dan CUP yang menentang dan meng.utuk pembu.nuhan beramai-ramai etnik Armenia ketika ia sedang berlangsung.

RUJUKAN:

Taglia, Stefano. (2015). Intellectuals and Reform in the Ottoman Empire: The Young Turks on the Challenges of Modernity. Routledge.

Ruangan komen telah ditutup.