Ahli Matematik India Yang Namanya Diabadikan Dalam Filem Hollywood

3,953

Sekiranya anda merupakan peminat filem bertemakan biografi, mungkin anda pernah mendengar kisah mengenai Srinivasa Ramanujan. Kisah hidupnya diangkat dalam filem The Man Who Knew Infinity, lakonan Dev Patel, yang juga merupakan pelakon utama dalam filem Slumdog Millionaire.

Figure 1: Poster filem “The Man Who Knew Infinity”, biografi bagi Srinivasa Ramanujan.

Kisah hidup Ramanujan ini merupakan kisah yang agak menakjubkan, kerana Ramanujan merupakan seorang genius dalam bidang yang bukan calang-calang, seorang genius dalam bidang Matematik.

Lebih menakjubkan lagi sebenarnya, kisah Ramanujan ini bukanlah lahir dari kisah orang ternama, yang hidup dalam kerangka masyarakat berpendidikan tinggi, sebaliknya Ramanujan hidup di tengah-tengah bandar Madras di India, dengan ayahnya merupakan seorang kerani, dan ibunya merupakan seorang suri rumah.

Meskipun lahir dalam keluarga yang agak sederhana, Ramanujan menunjukkan ciri seorang Prodigy Matematik semenjak usia 11 tahun, ketika dia pada waktu itu berjaya menghabiskan buku teks matematik dari jirannya yang belajar di kolej.

Minat Ramanujan terhadap matematik adalah amat dalam, di mana dia mendapat banyak penghargaan dan anugerah dari sekolahnya. Salah satu contoh minat mendalam Ramanujan terhadap matematik adalah apabila Ramanujan berjaya menghabiskan buku A Synopsis of Elementary Results in Pure and Applied Mathematics, buku matematik yang mengandungi  sebanyak hampir 5,000 koleksi teori matematik.

Ketika tamat persekolahan, Ramanujan mendapat tawaran biasiswa untuk belajar di Government Arts College di Kumbakonam, namun disebabkan minat Ramanujan hanyalah kepada matematik, Ramanujan berjaya dalam matapelajaran Matematik namun gagal dalam subjek-subjek yag lain.

Biasiswanya ditarik balik dan dia berpindah di kolej lain yang berhampiran dengan rumahnya, dan kes yang sama berulang, dia tidak mampu lulus dalam subjek lain selain Matematik, justeru dia gagal mendapatkan ijazahnya.

Setelah dia gagal dalam menyambung pengajian di peringkat tinggi, Ramanujan hidup dalam keadaan yang agak miskin, namun dia masih membuat kajian dan teori-teori matematik baharu. Dia kemudiannya bertindak menghantar teori-teori tersebut kepada Persatuan Matematik India, dan kertas kajiannya mendapat tumpuan beberapa orang ahli persatuan terbabit.

Ada yang berasa kagum dengan teori yang Ramanujan kemukakan, dan ada yang menuduh Ramanujan mencuri hasil kerja orang lain. Namun begitu, dengan bantuan V. Ramaswamy Aiyer, pengasas kepada Persatuan Matematik India, hasil kerja Ramanujan berjaya diterbitkan, meskipun Ramanujan tiada kelayakan matematik secara formal.

Hasil kerja Ramanujan kemudiannya dihantar ke British, salah satu pusat matematik terkenal dunia, untuk dikomen. Salah seorang ahli matematik British, G. H. Hardy berasa amat kagum dengan hasil kerja Ramanujan, namun ada sedikit ketidakpuasan hati – hasil kerja Ramanujan kelihatan abstrak dan tidak formal.

Hardy kemudian menunjukkan hasil kerja Ramanujan kepada beberapa orang rakannya di Cambridge, dan kebanyakan dari mereka berpandangan serupa – hasil kerja Ramanujan adalah amat menakjubkan. E. H. Neville, salah seorang rakan Hardy mengatakan bahawa tiada satu pun hasil kerja Ramanujan ini yang boleh dibuat sebagai soalan peperiksaan (kerana kesukaran pembuktian teorinya).

Oleh kerana Hardy berminat untuk bekerjasama dengan Ramanujan, dia menjemput Ramanujan untuk datang dan bekerja sebagai penyelidik di England. Namun atas desakan ajaran Brahman, Ramanujan tidak dibenarkan untuk berlayar keluar ke negara lain, dia ditentang oleh ayah dan ibunya sendiri.

Jadi Ramanujan berkahwin dengan seorang gadis berusia 10 tahun yang bernama Janaki (perkahwinan pada usia muda adalah suatu yang normal pada masa itu). Dia terus bekerja sebagai penyelidik di Madras, dan pada masa yang sama mengekalkan persahabatan dengan rakannya di England.

Hal ini berterusan sehinggalah ibu Ramanujan mendapat “mimpi” bahawa Dewi Keluarga, Namagiri menyuruh ibunya membenarkan anaknya untuk “pergi menunaikan tujuan hidupnya”. Selepas itu, Ramanujan diberi kebenaran untuk pergi ke England dan mengembangkan bakatnya di sana. Ramanujan bergerak ke England, dan meninggalkan isterinya di India bersama keluarganya.

Figure 2: Ramanujan (tengah) bersama G.H.Hardy (paling kanan) beserta beberapa orang ahli matematik di Cambridge.

Sewaktu pertama kali bersua muka di London, Ramanujan memberi impressi yang agak baik kepada Hardy. Ramanujan menunjukkan Hardy buku koleksi teorinya, yang mana Hardy menyatakan bahawa ada teori Ramanujan yang salah, ada juga yang telahpun dijumpai oleh orang lain, dan sebilangan besar adalah teori baharu, terutamanya berkaitan dengan penjumlahan infinit (infinite sums) dan turutan infinit (infinite series).

Namun begitu, sewaktu ditanya bagaimana Ramanujan mampu mendapatkan teori-teori baharu itu, jawapan Ramanujan membuatkan Hardy sedikit terkedu – “aku mendapat teori matematik aku terus dari Dewi Namakkal”.

Masalah dengan pendekatan yang digunapakai oleh Ramanujan adalah, meskipun teorinya kelihatan bagus, namun Matematik memerlukan pembuktian. Hal ini tidak secocok dengan Hardy yang merupakan seorang atheis, dan hal ini adalah kelemahan besar Ramanujan – dia mampu mengeluarkan teori matematik yang elegan dan cantik, namun teorinya itu selalunya tidak mempunyai pembuktian yang kukuh.

Maka tugas Hardy dan Ramanujan sewaktu di London telahpun tersedia – Ramanujan perlu membuktikan teori yang telahpun dia cipta, dan Hardy akan bertindak selaku mentor dan penyelia bagi Ramanujan.

Ramanujan terus tinggal di London selama lima tahun berada di bawah seliaan Hardy. Oleh kerana Ramanujan merupakan seorang Brahmin sejati, dia menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di London. Salah satu faktor terbesar yang perlu dia tempuhi adalah dari aspek makanan, kerana dia adalah seorang vegetarian dan pada zaman tersebut terdapat kesukaran untuk mendapatkan makanan berasaskan sayuran di kantin unversiti. Kerana tiada pilihan lain, Ramanujan terpaksa membeli dan masak makanannya sendiri.

Disebabkan pada zaman tersebut terdapat catuan makanan, keadaan kesihatan Ramanujan merosot. Ramanujan kemudiannya disahkan menghidap Tuberculosis (TB) dan kekurangan vitamin yang teruk. Setelah pembuktiannya selesai, Ramanujan berjaya mendapatkan Ijazah Degree beliau dalam bidang Matematik (kajian). Dia juga kemudiannya dilantik sebagai Felo bagi Royal Society sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam bidang Matematik.

Ramanujan akhirnya, pada tahun 1919, pulang ke kampung halamannya di Madras. Ramanujan kemudiannya menghembuskan nafas terakhirnya setahun kemudian, pada tarikh 26 April 1920.

Sukar sebenarnya hendak menerangkan hasil kerja Ramanujan kepada orang awam. Namun begitu, mungkin mudah sekiranya diterangkan bahawa hasil kerja Ramanujan dalam bidang Matematik telahpun memacu pelbagai bidang lain, seperti Signal Processing dan Partition.

Salah satu hasil kerja Ramanujan yang kontroversial adalah hasil tambah bagi nombor 1,2,3,4,5,6,7, sehinggalah infinity yang memberi nilai -1/12. Hasil kepada turutan infinit (infinite Sum) ini adalah ganjil, kerana masakan kalau kita menambah nombor positif, tiba-tiba kita berjaya mendapatkan hasil yang negatif?

Hasil kerja Ramanujan ini kemudiannya digunapakai dalam bidang Fizik Kuantum, terutamanya dalam String Theory dan ada juga hasil kerja Ramanujan yang baru digunakan dalam kajian lohong hitam.

Figure 3: Salah satu hasil kerja Ramanujan yang disiarkan di laman youtube matematik, Numberphile.

Demikianlah kisah dari Srinivasa Ramanujan, seorang genius dalam bidang Matematik, yang sehingga ke hari ini hasil kerjanya masih lagi digunakan dalam pelbagai bidang kajian. Itulah kisah seorang budak dari Madras, tanpa pendidikan matematik formal, namun berjaya mengubah dunia hasil dari ilhamnya. Dialah orangnya, The Man Who Knew Infinity.

RUJUKAN:

H. Hardy, (1937). “The Indian Mathematician Ramanujan”, The American Mathematical Monthly, 44:3, 137-155, DOI: 10.1080/00029890.1937.11987940

Aczel, (2014). “A Century On, This Math Prodigy’s Formulas Are Finally Unravelled”, Discover. https://www.discovermagazine.com/the-sciences/a-century-on-this-math-prodigys-formulas-are-finally-unravelled

Gregersen, (2020). “Srinivasa Ramanujan”, Encyclopaedia Britannica https://www.britannica.com/biography/Srinivasa-Ramanujan

Mohyedin, (2017). “Lelaki Yang Menjadi Bukti Tuhan “Ahli Matematik””, ThePatriots. https://www.thepatriots.asia/lelaki-yang-menjadi-bukti-tuhan-ahli-matematik/

Partitions – Numberphile. https://www.youtube.com/watch?v=NjCIq58rZ8I

ASTOUNDING: 1 + 2 + 3 + 4 + 5 + … = -1/12.  https://www.youtube.com/watch?v=w-I6XTVZXww

The Man Who Knew Infinity Official Trailer #1 (2016) – Dev Patel, Jeremy Irons Movie HD. https://www.youtube.com/watch?v=oXGm9Vlfx4w

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.