Agimat Dan Azimat Dalam Bahasa Tagalog

0
510
views

Agimat dalam bahasa Tagalog merupakan objek yang dipakai atau barang yang dipercayai pemakainya mempunyai kesaktian.

Kononnya orang yang memakai agimat akan memperolehi bermacam-macam khasiat seperti kebal oleh peluru, anak panah atau senjata tajam yang lainnya malah menjadi penyembuh kepada pelbagai penyakit atau penyakit tertentu mengikut jenis agimat yang dipakai.

Nama lain bagi agimat yang memiliki pengertian yang sama ialah ‘anting-anting’. ‘Anting’ bermaksud ‘gantung’ maka ia bermaksud objek yang digantung (di leher sebagai contoh) untuk dipakai sebagai barang sakti yang dipercayai memberikan manfaat kepada si pemakai secara ghaib.

‘Agimat’ dan ‘anting-anting’ menariknya memiliki hubungan dengan perkataan ‘azimat’ dan ‘anting-anting’ dalam bahasa Melayu yang biasa. Namun ‘anting-anting’ dalam bahasa Melayu secara umumnya bukanlah bermaksud objek sakti atau memiliki unsur-unsur khurafat dan tahyul, sebaliknya adalah sejenis barang kemas kaum wanita yang dipakai di telinga. Ia biasa dipakai sedemikian rupa sehingga umumnya bergantungan di telinga pemakainya.