Afrin: Antara Erdogan Dan Assad

1659
views

Sekarang tengah trending pasal “Afrin”. Kalau korang nak tahu betapa rumitnya geopolitik, cuba korang buat sedikit analisis tentang Afrin.

Apa yang berlaku ialah Afrin, sebuah wilayah di utara Syria telah jatuh ke tangan tentera Turki, setelah 58 hari serangan Turki di bawah kod “Operation Olive Branch” yang dilancarkan oleh Erdogan pada 20 Januari 2018 yang lepas.

Akibat daripada itu, puluhan ribuan penduduk Afrin terutamanya etnik Kurdi melarikan diri daripada pembantaian oleh tentera Turki.

Tak ada pula orang kita nak #SaveAfrin macam #SaveAleppo dulu. Ye lah, yang jahat mesti Assad. Erdogan, “singa Islam” mana mungkin membunuh orang. Tak mungkin. Tak mungkin.

Tindakan Turki ialah rentetan daripada perjuangan kemerdekaan orang Kurdi sejak 1980-an dan Perang Syria sejak tahun 2011. Seperti saya pernah cerita dahulu, orang Kurdi ialah bangsa yang bertebaran di Turki, Syria dan Iraq. Cita-cita mereka adalah untuk menubuhkan sebuah negara Kurdistan yang merdeka.

Cita-cita sebegini pasti akan menggugat keutuhan wilayah Turki, kerana bahagian Timur Turki merupakan kawasan majoriti Kurdi. Maka sejak 1980-an lagi kerajaan Turki telah mengisytiharkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), gerakan pejuang kemerdekaan Kurdi sebagai kumpulan teroris dan memeranginya.

“Musuh kepada musuh saya ialah kawan saya”. Akibat daripada pertelingkahan berkenaan sempadan dengan Turki, Presiden Syria ketika itu, Hafez Assad telah memberi bantuan dan sokongan kepada cawangan PKK yang beroperasi di utara Syria. Isu ini hampir mencetuskan perang antara Syria dan Turki pada tahun 1998. Namun kedua-dua negara berdamai dengan syarat Syria mengharamkan parti Kurdi.

Keadaan huru-hara ketika Perang Syria membawa kepada kemunculan ISIS. Orang-orang Kurdi di utara Syria pun mengangkat senjata untuk melawan ISIS, dan mereka mendapat bekalan senjata daripada US. Kurdi bertambah kuat.

Selepas ISIS dijatuhkan, militia Kurdi seperti YPG dan SDF berjaya mengawal kawasan utara Syria (Rojava) yang bersempadanan dengan Turki. Dan perkembangan sebegini pasti membuat Erdogan makan tak kenyang, tidur tak lena.

Kalau ikutkan hati, nak saja Erdogan menyerang geng Kurdi ini terus. Tapi masalahnya mereka disokong US. Kawasan Rojava, termasuk Afrin merupakan wilayah Syria, sekutu Rusia. Erdogan cari nahas kalau menyerang Kurdi tanpa ada “green light” daripada kedua-dua kuasa besar ini.

Walaupun di luar Erdogan nampak seperti singa, di dalam beliau ialah seekor musang. Maka dengan liciknya Erdogan memanipulasi kepentingan Turki sebagai rakan US dan Rusia. Walaupun Assad tu BFF Putin, tapi dalam keadaan ini Putin pun suruh Assad sabar sikit. Dan Trump pun pejam sebelah mata malah menafikan hubungan antara Kurdi dan US. Realpolitik.

Maka Erdogan pun mendapat “free hand” untuk mencantas Kurdi di Afrin. Yang merisaukan, Erdogan bekerjasama dengan “jihadis” anti-Assad seperti Faylaq al-Sham dan Jabhat al-Shamiyah untuk menawan Afrin. Kerana kedudukan mereka boleh “encircle” Afrin dari timur dan barat. Walaupun mereka ni perangai ganas silap hari bulan boleh mengkafirkan Erdogan.

Tindakan Erdogan akan memperkuatkan kumpulan pemberontak anti-Assad. Maka Assad pun menghantar bantuan kepada YPG untuk melawan Turki, tapi apakah daya terlalu sedikit berbanding kekuatan Turki.

Jadi di sini boleh nampak bagaimana kepentingan geopolitik mengatasi faktor ideologi. Sunni (Erdogan) bekerjasama dengan Takfiri untuk membantai Sunni (Kurdi). Pro-Zionis (US) dan Anti-Zionis (Rusia) memberi restu kepada tindakan Islamis (Erdogan), dan Syiah (Assad) boleh pula sokong Sunni (Kurdi) untuk melawan Sunni (Erdogan). Kalau kita hanya menilai keadaan berdasarkan logik sektarian/ideologi, kita akan menjadi keliru.

Bukan nak kata Erdogan jahat. Cuma tindakan beliau tidak jauh berbeza dengan Assad iaitu untuk mempertahankan kepentingan negara. Jadi kita tak boleh beremosi dalam mencakna isu politik antarabangsa.