Adiwira Malaysia: Antara Keluang Dan Cicak

0
1942
views

Bila kita sebut pasal superhero atau adiwira kegemaran ramai, perkara pertama muncul dalam kepala ialah adiwira dari Barat. Memadai dengan menyebut nama Iron Man, Spiderman, Captain America, Superman, Batman dan Wonder Woman, semua orang pasti tahu pasal mereka. Tetapi adakah kita juga punya adiwira yang setanding dengan kaliber dan keupayaan mereka? Mari kita lihat.

Bagi peminat animasi era 90-an, kita sentiasa terhibur dengan gelagat Usop Sontorian. Kita akan sentiasa tergelak melihat gelagat Usop, ahli keluarga dan kawan-kawannya terutama ayam peliharaan Usop, Selebet dan rakan karibnya, seekor katak bernama Arba. Dari situ, syarikat UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd, dengan pengkarya di sebalik Usop Sontorian, menghasilkan superhero pertama di Malaysia iaitu Keluang Man.

Keluang Man punya latar belakang sama dengan pelindung kota Gotham, Batman/Bruce Wayne. Kedua-duanya pelindung bandar masing-masing (Batman (Gotham City) dan Keluang Man (Bandar Tumpoi), sentiasa meronda pada waktu malam untuk membanteras jenayah, menjadi sasaran pihak berkuasa kerana melakukan perbuatan vigilantisme dan ada pembantu sendiri iaitu Robin (Batman) dan Tiung Man (Keluang Man). Dan kedua-duanya dihantui tragedi yang mendorong mereka menjadi adiwira. Bezanya, Bruce Wayne menjadi yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh dalam satu rompakan. Sementara Borhan, nama sebenar Keluang Man ialah seorang pesakit mental yang hilang ingatan selepas dibelasah oleh pesaingnya, Samsir. Dan kedua-duanya juga mempunyai rogue gallery yang hampir sama. Tidak salah untuk saya katakan rogues gallery untuk Keluang Man sebenarnya diinspirasikan oleh rogues gallery bagi Batman. Contoh paling mudah, Badut ialah versi Malaysia bagi Joker sementara Meow ialah versi kita bagi Catwoman.

Walaupun tona animasi bersifat komedi bersesuaian dengan sasaran penonton iaitu kanak-kanak, ia tidak menghalang Keluang Man mendapat tempat di hati peminat. Selain ketangkasan dan kecekapan beliau memberkas penjenayah, Keluang Man juga kreatif menyediakan senjata dan peralatan untuk melawan jenayah. Walaupun tidak ada sumber kekayaan dan pembekal senjata seperti Batman, itu tidak menghalang Keluang Man melawan penjenayah, kadang-kadang dengan senjata jauh lebih canggih sehingga berjaya menewaskan mereka. Dan jika dianalisis gaya pertarungan Keluang Man, beliau menggabungkan seni persilatan dan berfikir pantas dalam pertarungan, menjadikan beliau satu lawan yang sukar diteka pergerakannya. Ciri ini dikongsi dengan beberapa watak dalam komik seperti Spiderman dan Deadpool (Marvel Comics) serta Batman (DC Comics).

Walaupun siri animasi ini mendapat sambutan memberangsangkan, ia tidak bertahan lama kerana tidak ada pengembangan watak dan plot penceritaan berkenaan Keluang Man, Tiung Man, rogues gallery, pihak berkuasa, media dan sebagainya. Akibatnya, kisah yang disampaikan dilihat terlalu statik dan menjejaskan kualiti penceritaan keseluruhan Keluang Man. Selain itu, krisis ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 turut beri kesan kepada produksi lalu tenaga kerja sedia ada terpaksa berpecah demi meneruskan kesinambungan kerjaya dalam bidang masing-masing. Pihak produksi berusaha menghidupkan kembali siri ini untuk memenuhi permintaan penonton termasuk dalam bentuk komik tetapi akhirnya, Keluang Man hanya tinggal kenangan. Walaupun Keluang Man menjadi kenangan bagi kanak-kanak dan remaja era 90-an seperti saya, ia masih tidak menafikan cubaan berani UAS Animation Studios menghasilkan adiwira pertama di Malaysia iaitu Keluang Man.

Jika anda sangka selepas Keluang Man, Malaysia tidak lagi ada superhero kesukaan ramai, anda salah. Pada tahun 2006, KRU Studios menghasilkan sebuah filem adiwira versi mereka iaitu Cicak Man. Menampilkan raja komedi Malaysia pada ketika itu, Saiful Apek sebagai Hairi, seorang saintis yang mendapat kuasa luar biasa selepas termakan cicak radioaktif dan menjadi adiwira yang ada kelebihan seperti cicak. Sesiapa yang mengikuti filem tersebut pasti perasan persamaan transformasi Hairi dan Peter Parker sebelum menjadi adiwira dalam kisah masing-masing. Kedua-duanya pintar, menjadi mangsa buli sama ada di sekolah atau di tempat kerja dan mendapat kelebihan luar biasa selepas terdedah kepada haiwan yang diubahsuai struktur genetiknya. Parker digigit labah-labah radioaktif sementara Hairi pula terminum kopi yang ada cicak radioaktif di dalamnya.

Cicak Man turut menggunakan kuasanya seperti Parker (Spiderman) dan Clark Kent (Superman) untuk membanteras jenayah di Kota Metrofulus. Walaupun Hairi tidak ada keupayaan seni mempertahankan diri, beliau menggunakan sepenuhnya persekitaran di sekelilingnya untuk menewaskan musuh-musuhnya termasuk klon Cicak Man yang dikeluarkan oleh majikan beliau, Profesor Klon (Haji Aznil Haji Nawawi). Gaya pertarungan yang tidak ortodoks ini menyebabkan musuh seperti Ginger I dan Ginger II (Adlin Aman Ramlie dan AC Mizal) sukar mengagak pergerakan beliau seterusnya dan menyukarkan usaha menangkap beliau.

Walaupun filem tersebut mendapat sambutan ramai di pawagam dengan kutipan tiket RM6.7 juta dan beberapa penggiat industri melihat ia memberi nafas baru kepada industri seni tanah air, ada juga yang melihat ia satu filem yang kosong jiwanya. Mansur Puteh dalam kritikannya menyifatkan Cicak Man tiada unsur estetika atau budaya yang mendorong masyarakat untuk berfikir. Selain itu, pemilihan tona komedi walaupun bersesuaian dengan imej dibawa Saiful Apek dilihat sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan naratif filem dan apa yang membezakan ia dengan adiwira-adiwira di luar sana.
Cicak Man terus menjadi sebutan di hati penonton sama seperti Keluang Man. Namun, Cicak Man juga menghadapi nasib sama seperti adiwira pertama Malaysia. Susunan plot yang tidak kemas, terlalu bergantung kepada penampilan cameo, skrip tidak memuaskan dan paling penting, falsafah adiwira itu sendiri menyebabkan ia dianggap kisah hiburan semata-mata dan tidak lebih dari itu. Tona komedi yang jadi pilihan Yusry Abdul Halim untuk ketiga-tiga siri Cicak Man dan disokong oleh barisan pelakon popular tidak dapat menyelamatkan Cicak Man daripada menghadapi nasib sama seperti Keluang Man. Jika Keluang Man terpaksa ditamatkan atas sebab kegawatan ekonomi, Cicak Man pula tidak lagi menjadi sebutan kerana tidak lagi berpotensi sebagai filem pecah panggung dan dianggap hero picisan semata-mata.

Walaupun kita punya pandangan berbeza berkenaan Keluang Man dan Cicak Man, kita tidak dapat menafikan jasa kedua-dua adiwira ini kepada pertumbuhan industri seni terutama animasi. Jika tidak kerana mereka berdua, agak sukar untuk kita melihat adiwira kebanggaan anak-anak kecil di kaca televisyen seperti Ejen Ali dan Boboiboy. Kedua-dua Ejen Ali dan Boboiboy meneruskan legasi perjuangan Keluang Man dan Cicak Man, seterusnya membina nama negara di peringkat antarabangsa. Siapa kata kita tiada adiwira? Kita ada, cuma kita malu mengakui kewujudan mereka.

Sumber:

1. Idealis Mahasiswa, Cicakman: Pengkritik Bangga https://archive.is/20061231204555/http://www.idealis-mahasiswa.net/artikel-harian/dec2006/24dec01.html
2. Lent, John A. (2001) Animation in Asia and the Pacific. John Libbey. ms 143-144. ISBN 978-1-86462-036-8

Previous articlePerayaan Yang Disambut Serentak Oleh Orang Cina, Korea Dan Jepun
Next articleJAXA: Agensi Angkasa Jepun
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.