Adat Istiadat Kematian Masyarakat Dusun Lama

0
812
views

KEMATIAN merupakan sesuatu yang lumrah pada setiap makhluk yang bernyawa. Di dalam Islam, kita diajarkan untuk menerima hal ini sebagai sebahagian daripada Qada’ dan Qadar daripada Sang Pencipta, lambat atau cepat, kematian pasti akan menjemput, cuma saja yang menjadi persoalan adalah bila dan di mana nyawa kita akan terpisah daripada jasad. Semuanya menjadi sebahagian daripada suratan takdir yang harus diterima dengan hati yang redha sementara kita harus menjalani hidup di muka bumi berpandukan landasan yang telah digariskan oleh-Nya.

Bagi masyarakat Dusun lama, mereka melihat kematian sebagai satu musibah atau bencana. Bahkan sehingga ke hari ini, walaupun majoriti etnik ini telah menganut dua agama samawi terbesar di dunia iaitu Kristian dan Islam, namun terdapat sebilangan kecil daripada mereka bersama-sama dengan etnik Dusun yang masih kekal dengan anutan nenek moyang yang memandang urusan kematian dalam konteks yang tidak boleh lari daripada adat dan tradisi lama. Bahkan sekelompok yang begitu kuat dan kental dengan pengaruh adat masih mengutamakan Kinohoringan, entiti yang diyakini wujud dan dipuja sebagai Tuhan serta diyakini memberikan dampak yang besar kepada kehidupan harian etnik ini.

Bahkan uniknya, etnik ini juga turut memiliki sistem kepercayaan lama di mana mereka telah meyakini akan wujudnya Syurga dan Neraka serta setiap manusia akan menerima balasan bergantung kepada tatacara kehidupannya sewaktu masih berada di alam yang fana ini.

Etnik Dusun yang menetap di Toboh dan Bundu Tuhan yang terletak dalam daerah Ranau merupakan antara contoh terbaik sekiranya kita ingin menyaksikan bagaimana masyarakat Dusun pada masa lalu berhadapan dengan unsur-unsur mistik sehingga melahirkan sistem budaya dan adat yang tidak ada duanya di tempat lain.

Sewaktu menghadapi musibah kematian, mereka meyakini bahawa terdapat dua peringkat yang harus dijalani oleh mereka yang ingin terlepas daripada belenggu bencana yang tidak diundang itu. Peringkat-peringkat itu dikenali sebagai amalan pemisahan dan amalan pembersihan. Peringkat-peringkat ini juga turut melibatkan empat hari penting dalam pelaksanaannya, iaitu hari pertama iaitu hari kematian, hari ke tiga, hari ke tujuh dan hari ke sepuluh.

Adat pemisahan dilakukan pada hari pertama dan ketiga. Adat pembersihan dilakukan pada hari ke empat dan ke sepuluh. Sekiranya kematian melibatkan orang yang sudah berkahwin atau mati secara tidak semulajadi seperti membunuh diri dan kemalangan, akan ada adat tambahan yang akan dilakukan bagi melengkapkan upacara kematian.

UPACARA PEMISAHAN

Masyarakat Dusun lama akan menjalankan upacara ini secepat mungkin sebaik sahaja kematian berlaku. Bagi mereka, kematian akan mengundang bencana dan kehadiran roh jahat, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini si mati akan dikebumikan secepat mungkin kerana kematian melambangkan bahawa si mati bukan lagi sebahagian daripada anggota keluarga. Upacara pemisahan dipecahkan kepada berikut :

Momolobong (Upacara pengebumian)

Terdapat rekod yang dicatatkan bahawa sebelum era 1930-an masyarakat Dusun menjalankan upacara mogihad iaitu menangisi kematian si mati sambil memukul-mukul lantai yang terbuat daripada bambu di sekeliling mayat sehingga lantai rosak dan mayat jatuh ke tanah. Tanah di mana tubuh si mati itu jatuh akan dijadikan pusara persemadiannya yang terakhir. Keluarga si mati akan meninggalkan rumah berkenaan bagi mengelakkan bertembung dengan roh jahat yang pastinya akan membawa bala.

Selepas era 30-an, masyarakat Dusun di sekitar kawasan berkenaan mula menjadikan tajau (tempayan) sebagai tempat penyimpanan mayat (dipercayai di sesetengah tempat, adat menyimpan mayat di dalam tajau telah lama dipraktikkan sejak turun-temurun). Mayat akan diletakkan dalam keadaan duduk dan dikebumikan di tanah yang dikhaskan untuk penduduk kampung. Selepas tahun 1960-an mayat-mayat mula dikebumikan menggunakan keranda. Gaya hidup yang jauh lebih baik dan moden menjadikan amalan merosakkan rumah tidak lagi praktikal untuk terus diamalkan.

Mogihad (Menangisi si mati)

Seperti yang disebutkan di atas, Mogihad adalah sebahagian daripada tatacara Momolobong yang melibatkan rumah kediaman si mati dirosakkan. Memandangkan ia sudah tidak praktikal lagi maka setelah itu upacara Mogihad mengalami perubahan. Upacara ini lazimnya akan dilaksanakan oleh mereka yang telah berumur sama ada dalam kalangan ahli keluarga atau anggota masyarakat yang lain. Mereka akan dikenali sebagai ‘Si Mogihad’. ‘Si Mogihad’ akan datang ke hadapan keranda, menangis dengan kuat sambil melafazkan kata-kata yang menggambarkan kesedihan mereka kerana kehilangan si mati. Dalam kalangan tetamu yang hadir menziarahi si mati, mereka juga boleh melakukan upacara ini sebelum kemudian meneruskan aktiviti mereka semula seperti minum tapai yang dihidangkan.

Mongongkoriu (Memberikan bekal)

Si mati akan dibekalkan dengan beberapa barang-barang yang kononnya akan diperlukan oleh mereka untuk melanjutkan kehidupan di alam seterusnya seperti pinggan mangkuk, pakaian, alat-alat untuk bertani dan barang-barang peribadi. Pemberian barang-barang ini diharapkan akan memudahkan si mati di alam seterusnya.

Porundun ( Pengorbanan haiwan)

Pengorbanan haiwan dilakukan sebagai ‘peneman’ si mati di alam seterusnya. Nilai atau bilangan haiwan yang dikorbankan melambangkan status kekayaan si mati sewaktu hayat nya di dunia ini. Lazimnya haiwan yang akan disembelih adalah ayam. Haiwan yang telah disembelih ini kelak akan dijadikan makanan bagi tetamu yang hadir menziarahi si mati.

Momisok (Bergelap/memadamkan lampu)

Pada malam setelah upacara pengebumian selesai akan ada upacara bergelap atau memadamkan lampu. Semua anggota keluarga yang ada akan berkumpul di ruang tamu. Barang-barang milik si mati juga akan diletakkan di satu sudut. Di sinilah kita melihat masyarakat Dusun lama begitu bergantung dengan Bobolian sebagai perantara antara mereka dengan alam ghaib. Bobolian ini akan memimpin upacara Momisok dengan membacakan rinait (mantera) memanggil roh si mati untuk secara simbolik mengambil barang-barang yang diperlukannya dan beredar sejurus selesai melakukan hal itu.

Popotongkiad (Memisahkan ), atau Momopus ( Mengakhiri)

Fasa terakhir dalam upacara pemisahan akan dilaksanakan pada hari ketiga. Upacara ini juga akan diketuai Bobolian, dilakukan bagi memastikan roh orang yang telah mati tidak kembali ke pangkuan keluarga. Sekiranya hal itu terjadi, maka ahli keluarga berkenaan akan ditimpa bala bencana dan juga penyakit. Sekiranya si mati adalah kanak-kanak, Popotongkiad akan dilakukan ke atas kedua ibu bapanya. Sekiranya si mati isteri atau suami kepada seseorang, balu atau duda kepada si mati akan menjalani ritual ini dikenali sebagai popotingkod do puod. Puod dianggap merbahaya kerana ia seakan bisa yang akan meracuni pasangan yang ditinggalkan beserta orang-orang disekeliling mereka andai ritual itu tidak segera dilaksanakan.

Sekiranya si mati merupakan seorang petani, adat Mangangkib pada hari ke tiga juga akan turut dilakukan. Adat ini dikenali sebagai ‘memberikan ‘ bahagian daripada tanah dan tanaman milik si mati untuk di bawa ke alam seterusnya. Salah seorang daripada ahli keluarga si mati akan turun ke bendang atau huma bagi melaksanakan upacara ini. Upacara Tababasan Do Sunsuion (Memutuskan jambatan) juga akan dilaksanakan sebagai tanda terputusnya jambatan antara yang telah mati dan yang masih hidup.

Selesai upacara pemisahan, upacara pembersihan menyusul setelah itu. Tujuan upacara ini dilakukan bagi memastikan kaum keluarga dan sanak saudara si mati bebas dari belenggu roh jahat yang hadir sejak di hari pertama kematian berlaku. Upacara ini juga dijalankan bagi memulihkan kembali semangat ahli keluarga si mati yang dirundung kesedihan setelah kehilangan orang yang dicintai.

Upacara pembersihan sebenarnya telah bermula sejak hari pertama kematian lagi, tetapi yang utama dilakukan pada hari ke tujuh dan ke sepuluh.

Mangauh dan Momotomou (Upacara pembersihan menggunakan abu dan daun hijau)

Tauh (abu hitam, siud (tempat menangkap ikan) dan daun-daun hijau dipercayai sebagai antara benda yang ditakuti oleh roh-roh jahat. Abu akan dibungkus dengan daun hijau sebelum disangkutkan di luar pintu rumah atau mana-mana pohon yang sedang berbuah. Petanda kehadiran makhluk halus atau roh-roh jahat ini adalah dipercayai apabila mereka mendongak ke atas, ke arah pohon-pohon yang sedang berbuah di mana siud berisi abu hitam yang dibungkus daun hijau disangkutkan maka buah-buah daripada pohon itu akan gugur.

Silau dan Bidau.

Pada hari ketiga untuk upacara popotongkiad atau momopus, sejenis tumbuh-tumbuhan seakan lalang akan digunakan sebagai ponopu (penyapu) pada tubuh ahli keluarga si mati untuk memutuskan ikatan di antara mereka. Ahli keluarga si mati akan berdiri sambil Bobolian menyapu tubuh mereka dengan Ponopu diiringi lafaz rinait (mantera) khusus untuk upacara berkenaan.

Moninong Do Sunduan (Memanggil Semangat)

Sunduan bermaksud semangat orang yang masih hidup sementara rosod adalah keterbalikan daripada Sunduan iaitu roh orang yang telah mati. Bagi memulihkan semula semangat ahli keluarga si mati, sunduan harus dilaksanakan segera bagi mengembalikan semula semangat mereka atau ahli keluarga si mati akan jatuh sakit.

Monoduli do Ginawo di Songinmiau (Meneguhkan semangat ahli keluarg yang masih hidup)

Pada hari kesepuluh upacara pembersihan mencapai kemuncak menerusi perlaksanaan ritual ini. Setelah perlaksanaan ritual ini selesai anggota keluarga yang masih hidup dipercayai mampu meneruskan kembali aktiviti mereka seperti biasa. Bobolian akan melaksanakan ritual ini dengan meminta dan menyeru roh si mati agar tidak kembali ke pangkuan ahli keluarga dan hadir walau dalam perasaan atau mimpi sekalipun.

Modtudau

Satu ritual menjaga mayat sebelum pengkebumian. Lazimnya Modtudau dilakukan sekiranya ada ahli keluarga si mati yang masih belum tiba. Lazimnya mereka yang akan berjaga tidak boleh tidur sehinggalah upacara pengkebumian selesai, sekiranya letih, boleh diganti dengan yang lain. Sepanjang Modtudau berjalan mereka yang terlibat lazimnya mengisi waktu dengan minum tapai atau bermain daun terup.
Sehingga ke hari ini, sekiranya berlaku kematian dalam kalangan etnik Dusun, orang ramai akan dimaklumkan menerusi paluan gong bertalu-talu atau bunyi tembakan senapang. Selain kedua bunyi ini, bunyi-bunyian yang lain adalah ditegah sama sekali. Ini sebagai tanda menghormati keluarga si mati yang masih berkabung dan bersedih di atas pemergian orang yang mereka cintai.

Bagi memastikan setiap anggota masyarakat mematuhi peraturan ini Kaadat dicipta sebagai satu bentuk penangguhan sebarang bentuk aktiviti. Sekiranya ada yang melanggar larangan yang ditetapkan, sogit atau denda akan dikenakan kepada sang pelaku. Sekiranya mangsa meninggal dunia akibat kemalangan atau bunuh diri maka ia dikenali sebagai kakadaton yang menyebabkan kadaat. Ritual khas akan segera dilaksanakan dan setiap orang kampung harus segera dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

KONKLUSI

Sekali lagi kita melihat ketertiban dan susunan kehidupan etnik dusun yang telah diatur dengan peraturan atau sistem undang-undang adat bagi memastikan setiap anggota masyarakat bertatasusila dan tidak melakukan perkara-perkara yang mampu mencontengkan arang kepada peradaban etnik itu sendiri.

Sekiranya kita meneliti ritual kematian etnik Dusun, seakan terdapat unsur rigid agar ahli keluarga si mati melupakan kesedihan akibat kehilangan orang yang tersayang. Namun seandainya kita memperhalusinya dengan lebih mendalam, ia sebagai satu bentuk ikhtihar agar setiap anggota masyarakat menerima kematian sebagai satu lumrah atau fitrah yang pastinya akan menimpa setiap makhluk yang bernyawa.

Setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain. Kematian pastinya menimbulkan duka dan kesedihan yang mendalam, namun terus hanyut di buai kesedihan justeru akan membawa impak yang negatif kepada individu yang seterusnya akan mempengaruhi orang-orang di sekeliling mereka.

Secara halus, filosofi di sebalik ritual kematian etnik Dusun cuba mengajak kita untuk merenungkan semula hakikat kematian, ‘Yang pergi tak akan kembali, yang hidup harus meneruskan kehidupan’.

-SAM-

#SayangSabah
#SayangSarawak