Adakah Sistem Pusaka Dalam Adat Pepatih Bercanggah Dengan Syarak?

0
1032
views

Saya pernah ditanya, kenapa orang Minang masih mempertahankan sistem pusaka adat pepatih sedangkan ia bercanggah dengan hukum faraidh dalam Islam? Bukankah di tanah Minang ramai ulama yang berkaliber?

Jawapan saya :-

1) Dalam adat pepatih yang diamalkan oleh masyarakat Minang, terdapat amalan berkaitan harta pusaka yang dinamakan Harta Pusaka Tinggi di mana harta tersebut merupakan warisan turun temurun dari harta sebelah ibu (perempuan). Sesuatu harta yang dimiliki oleh ibu dari nenek dari moyang perempuan dan ke atas, akan turun kepada anak perempuan kepada cucu perempuan dan ke bawah.

2) Terdapat perselisihan pendapat di kalangan para ulama Minang berkaitan adat Harta Pusaka Tinggi.

3) Sebahagian ulama Minang menentang amalan ini manakala sebahagian yang lain menerimanya. Antara ulama yang menolak keras amalan Harta Pusaka Tinggi ini ialah Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi. Beliau berpendapat bahawa amalan pusaka begini adalah haram kerana bercanggah dengan hukum faraidh dalam Islam.

4) Manakala antara ulama yang mengharuskan pengamalan Harta Pusaka Tinggi ini ialah Syeikh Abdul Karim Amrullah (bapa Buya Hamka). Beliau berpendapat bahawa Harta Pusaka Tinggi ini bukanlah termasuk dalam hukum faraidh tetapi ianya termasuk dalam hukum wakaf.

5) Amalan menurunkan harta dari sebelah pihak ibu kepada anak perempuan adalah merupakan Wakaf Ahli (Wakaf Keluarga) yang bertujuan melindungi kepentingan dan kebajikan pihak isteri memandangkan sudah menjadi adat bagi suku Minang bahawa suami sering bermusafir atau merantau keluar untuk mencari rezeki.

6) Di samping itu, mereka juga berhujah bahawa antara ciri adat Harta Pusaka Tinggi yang menyebabkan ianya termasuk dalam hukum wakaf bukan hukum faraidh ialah harta tersebut tidak boleh dijual atau digadai di mana pemilik baru hanya dibolehkan mengambil manfaat dari harta tersebut sahaja. Sifat ini berbeza dengan harta faraidh yang mengharuskan pemilik baru menjual atau menggadaikan harta tersebut.

7) Di samping itu, terdapat satu lagi jenis harta dalam adat pepatih iaitu Harta Pencarian yang bermaksud harta yang diperolehi selain dari Harta Pusaka Tinggi. Ulama Minang bersepakat bahawa harta ini wajib diwariskan berdasarkan hukum faraidh.

8) Maka dalam adat pepatih, Harta Pusaka Tinggi diturunkan kepada pihak perempuan berdasarkan hukum wakaf dan Harta Pencarian diwariskan menurut hukum faraidh.

9) Sebab itulah ramai ulama Minang berpendapat bahawa adat Harta Pusaka Tinggi ini masih terpayung di bawah pepatah “Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah”