Oleh: John Mearsheimer

Anda mungkin bersetuju dengan hujah saya yang menentang politikal liberalisme sebagai dasar luar tetapi berhujah bahawa solusi untuk itu adalah jelas: kita memerlukan negara dunia.

Beberapa orang sarjana berpendapat bahawa kita sedang bergerak ke arah negara dunia, sebahagian besarnya adalah kerana negara-bangsa tidak dapat menangani banyak masalah ekonomi, atur selia, keselamatan, dan alam sekitar yang dihadapi dunia sekarang.

Sebaik sahaja tatanan politik yang baru itu wujud, realisme tidak lagi penting, sisi gelap nasionalisme akan dibungkus,[1] dan negara dunia akan mempunyai sebuah sistem politik liberal.

Realisme akan dineutralkan kerana sistem antarabangsa tidak akan lagi anarki; ia akan menjadi hierarki.[2] Logik imbangan-kuasa tidak terpakai di bawah hierarki, kerana terdapat penjaga malam (night watchman) untuk melindungi negara yang lemah.

Politik antarabangsa akan diubah menjadi politik domestik pada skala besar-besaran, membiarkan liberalisme bebas berkembang. Kebanyakan orang di seluruh dunia sudah pasti akan menyimpan kesetiaan kepada negara mereka yang sekarang, tetapi tidak ada satu pun daripada negara-negara itu secara definisinya, akan mempunyai negara sendiri.

Hanya ada satu negara yang bersaiz luar biasa besar, dan orang di mana-mana mungkin akan mempunyai semacam identiti sejagat yang dikaitkan dengan negara itu, identiti yang akan mengatasi atau sekurang-kurangnya memudarkan nasionalisme lama mereka. Tetapi sekalipun jika itu terbukti tidak menjadi hujahnya, negara dunia (überstate) akan berfungsi untuk menjaga bangsa-bangsa yang berseteru itu daripada bergaduh.

Tidak akan ada negara dunia dalam masa terdekat. Sebagai permulaan, hampir tidak ada kemungkinan bahawa mana-mana bangsa dengan negara sendiri akan secara sukarela melepaskan negaranya. Dan sukar untuk membayangkan bahawa bangsa-bangsa yang menyuarakan untuk memiliki negara akan meninggalkan aspirasi tersebut.

Bangsa-bangsa adalah taksub dengan penentuan nasib sendiri (self-determination) dan dengan itu tidak mungkin bersedia untuk meletakkan nasib mereka pada tangan sebuah negara yang sangat besar (superstate) di mana mereka mempunyai kawalan yang terhad.

Ada orang mungkin berhujah bahawa globalisasi menyebabkan bangsa-bangsa bersatu menuju ke arah satu budaya universal yang dapat dijadikan sebagai asas kepada negara dunia.

Terdapat sedikit bukti untuk menyokong kepercayaan ini, dan bukti yang melimpah bahawa walaupun pada zaman Internet, budaya yang berakar umbi tetap berbeza dalam cara yang diakui secara meluas dan sering dirayakan.

Lebih-lebih lagi, menghasilkan satu budaya sejagat akan bermaksud mendapatkan sebahagian besar umat manusia untuk mencapai persetujuan besar-besaran mengenai apakah yang membentuk satu kehidupan yang baik.

Memandangkan ianya mustahil untuk mencapai konsensus seperti itu, maka tidak ada prospek untuk budaya sejagat, yang bermakna bahawa kemungkinan tidak akan ada negara dunia yang berdaya maju dengan sistem politik liberal.

Laluan lain yang dapat difikirkan untuk mencapai negara dunia adalah melalui penaklukan. Sebuah negara-bangsa yang sangat berkuasa akan perlu menyerang dan menundukkan negara-negara lain.

Perkara ini juga tidak akan berlaku. Planet ini terlalu besar untuk sebuah negara menakluki keseluruhannya atau sebahagian besar daripadanya, terutamanya apabila anda mempertimbangkan mengenai kesukaran untuk memprojeksikan kuasa ketenteraan melintasi lautan.

Negara pen4kluk akan menghadapi tentangan yang sengit daripada orang-orang yang berpotensi ditakluki, orang-orang yang akan mempunyai insentif yang kuat untuk bersekutu antara satu sama lain untuk membendung dan akhirnya memusnahkan negara penakluk.

Bahkan Amerika Syarikat, negara yang paling kuat dalam sejarah yang direkodkan, tidak pernah mengisyaratkan untuk menggunakan kuasa ketenteraan bagi mewujudkan negara dunia yang dikuasai Amerika. Sebabnya adalah mudah: ia adalah satu tugas yang mustahil.

Jika analisis saya salah dan negara dunia menjadi kenyataan, ia mungkin tidak akan menjadi sebuah negara yang liberal. Bukan sahaja liberalisme adalah sesuatu yang asing kepada banyak negara, ia juga memakan masa dan sukar untuk berkembang di tempat-tempat yang baru.

Untuk memastikan semua kuasa perpecahan (centrifugal forces) dalam negara dunia dikekang—dan akan ada banyak kuasa perpecahan—pusat akan perlu memerintah dengan kuku besi. Bahkan selepas itupun ia mungkin masih tidak dapat menghalang meletusnya keganasan besar. Inilah salah satu sebabnya mengapa ramai golongan liberal kurang berminat dengan negara dunia. K

edua-dua Kant dan Rawls sebagai contohnya, menentang idea ini kerana mereka menganggap ianya akan menjadi sama ada despotik atau, seperti yang dikatakan Rawls, “sebuah empayar rapuh yang dihancurkan oleh peperangan saudara yang kerap.[3]

Nota

[1] Lihat Luis Cabrera, Global Governance, Global Government: Institutional Visions for an Evolving World System (Albany: State University of New York Press, 2011), bab. 2; Daniel Deudney, Bounding Power: Republican Security Theory from the Polis to the Global Village (Princeton, NJ: Princeton University Press, 2007); Alexander Wendt, “Why a World State Is Inevitable,” European Journal of International Relations 9, no. 4 (December 2003): 491–542. Telah ada minat yang besar di Amerika Syarikat pada beberapa ketika yang berbeza di masa lalu mengenai kemungkinan negara dunia. Malah, realis seperti Hans Morgenthau dan Reinhold Niebuhr berpendapat bahawa pembangunan senjata nuklear memerlukan negara dunia. Untuk latar belakang pemikiran Amerika tentang negara dunia, lihat antara lain Luis Cabrera, “World Government: Renewed Debate, Persistent Challenges,” European Journal of International Relations 16, no. 3 (2010): 511–30; Campbell Craig, “The Resurgent Idea of World Government,” Ethics & International Affairs 22, no. 2 (Summer 2008): 133–42; Thomas G. Weiss, “What Happened to the Idea of World Government?,” International Studies Quarterly 53, no. 2 (June 2009): 253–71.

[2] Ini adalah tema utama dalam buku oleh Dickinson, The European Anarchy. Adalah penting untuk diperhatikan bahawa sistem antarabangsa unipolar pada dasarnya berbeza dengan negara dunia. Dengan unipolariti, sistem ini adalah anarki, kerana ia terdiri daripada pelbagai negara, walaupun satu negara jauh lebih kuat berbanding yang lain. Setiap negara tersebut adalah entiti berdaulat. Dengan negara dunia, secara definisinya hanya terdapat satu negara berdaulat di planet ini, dan dengan demikian sistem antarabangsa adalah bersifat hierarki.

[3] Rawls, The Law of Peoples, ms. 36. Lihat juga Ian Shapiro, Politics against Domination (Cambridge, MA: Harvard University Press, 2016), bab. 5.

…………………………………..

Terjemahan: Muaz Malik

SUMBER: The Great Delusion (2018)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.