Moving Forward As One

Adakah Korea Utara Negara Komunis?

1,511

Adakah Korea Utara itu komunis? Seperti negara Cuba, Korea Utara sering digambarkan sebagai negara yang benar-benar sedang mempraktikkan sistem komunisme, bahkan mereka lebih komunis berbanding negara China, Vietnam dan Laos dari seluruh lima negara ‘komunis’ yang masih ada.

Tapi betul ke Korea Utara komunis? Adakah mereka menganggap diri dan negara mereka sebagai komunis? Dan jika tidak, maka Korea Utara sebenarnya negara jenis apa?

Seperti apa saja yang ada di negara itu, persoalan tentang adakah Korea Utara itu komunis juga sedang menjadi satu hal yang rumit untuk dijawab.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

Adakah Korea Utara sebuah negara?

Nama penuh yang rasmi untuk Korea Utara adalah Republik Rakyat Demokratik Korea, atau singkatannya, DPRK. DPRK adalah negara yang berdaulat sepenuhnya dengan jalinan hubungan diplomatik bersama beberapa negara lain.

Jawapan tentang status kenegeraan Korea Utara perlu rujuk kembali kepada fakta yang berasal dari perpecahan DPRK dan Republik Korea (Korea selatan). Sama seperti krisis di antara China (Republik Rakyat China) dengan Taiwan (Republik China), Korea Utara dan Korea Selatan masing-masing mengaku sebagai kerajaan sah di seluruh semenanjung Korea.

Oleh itu tidak wujud “negara” seperti Korea Utara, atau Korea Selatan. Yang wujud adalah Republik Rakyat Demokratik Korea dan Republik Korea.

Apa itu komunisme?

Mari kita mulakan dengan ideologi komunis dan pergi kepada persoalan yang lebih besar: pernah wujud ke negara komunis? Dari sudut pandangan yang lebih logik: tidak, tak pernah wujud sebuah negara komunis.

Simbol identiti komunisme.

Memang banyak negara yang diperintah oleh parti komunis (Macam Kesatuan Soviet) tapi komunisme hanyalah sebuah fasa akhir, di mana sosialisme akan menyediakan langkah-langkah yang membuka jalannya.

Oleh itu, kita boleh katakan bahawa semua negara ‘komunis’ yang masih wujud dan bekas-bekas negara komunis sebenarnya boleh digambarkan dengan lebih tepat sebagai negara sosialis yang sedang membangun ke arah komunisme.

Dengan itu, jika kalian bertanya kepada Korea Utara apakah negara mereka komunis, mereka mungkin akan menerangkannya dengan cara yang sama: sebagai negara sosialis yang sedang berusaha menuju komunisme.

Tugu pahlawan di Korea Utara

Benar, kita selalu dengar orang kata “tapi mereka mengaku mereka komunis!” , ini jelas tak berasas, jawapan yang terbaik adalah merujuk kepada sebuah negara yang memiliki ideologi yang cuba mencapai status komunisme tanpa negara itu sendiri telah mencapai keadaan sebagai komunisme.

Jadi mereka ini apa sebenarnya? Jika bertanya “Apakah Korea Utara itu komunis”, ciri-ciri apa yang perlu ada pada sebuah negara untuk melayakkan ia dianggap sebagai mempraktikkan “Komunisme”?

Walaupun penulis pernah menjelaskan tentang komunisme-sosialisme dalam artikel-artikel sebelum ini, penulis akan terang sekali lagi. Siapa lagi yang lebih baik untuk membantu penerangan penulis selain dari Karl Marx sendiri kan?

Apa Kata Marx

“Dalam fasa tertinggi masyarakat komunis, setelah memperhambakan subordinasi individu (individu yang lebih lemah) kepada pembahagian kerja, dengan itu anti tesis antara mental dan fizikal pekerja telah lenyap; setelah bekerja bukan saja menjadi cara meneruskan hidup tetapi turut menjadi kehendak utama kehidupan; setelah kuasa produktif meningkat dengan perkembangan individu secara menyeluruh, dan semua sumber kekayaan bersama mengalir dengan lebih banyak – barulah dapat merentas ufuk sempit hak borjuasi secara keseluruhan dan masyarakat akan menulis pada sepanduk  : Dari semua orang berdasarkan kemampuan, kepada semua orang berdasarkan keperluan!” – Karl Marx, Critique of the Program Gotha (1875)

Oleh itu, apa yang dimaksudkan Marx adalah untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan serius (iaitu komunisme. ‘Tahap rendah adalah sosialisme.), ada beberapa prasyarat yang diperlukan, terutamanya, buruh tidak lagi menjadi keperluan  untuk mencapai kehidupan, dan apa yang dilakukan seseorang itu haruslah berdasarkan pilihan masing-masing.

Karl Marx

Sebenarnya Marx menulis banyak lagi sebab mengapa semua ini berlaku, tetapi hari ini kita boleh katakan apa yang dia cuba sampaikan mungkin ada kebaikannya tetapi sudah tak relevan dengan situasi hari ini, tak kira lah ideologi ini progresif setinggi mana sekali pun.

Dia juga menyebut tentang perkembangan kuasa produktif yang menekankan pemahaman Marxisme mengenai situasi material yang mengatur kehidupan. Sekiranya tidak ada kemajuan dalam pengeluaran, komunisme adalah sangat mustahil. Kekayaan bersama mesti melimpah ruah memasuki era pasca kekurangan, di mana orang ramai tidak perlu lagi takut akan mati kelaparan atau diusir dari rumah mereka.

Kemudian, pada baris terakhirnya adalah ayat yang popular. Dari semua orang berdasarkan kemampuan masing-masing, kepada semua orang berdasarkan keperluan masing-masing. Ini merangkumi segala kaitannya dengan komunisme.

Oleh itu, kita kembali kepada persoalan utama. Adakah Korea Utara komunis?  Bagi penulis, Korea Utara tak membawa ciri-ciri komunisme. Usahkan perkara lain di mana Engels menerangkan tentang bagaimana komunisme itu tidak bernegara, Korea Utara pasti memerlukan rakyat bekerja untuk menyara hidup, kekayaan bersama mengalir tetapi bukan dalam jumlah yang setara, kuasa produktif tak berada pada tahap yang cukup tinggi dan belum tentu jika bekerja kini dah jadi satu kehendak hidup di sana.

Kawasan perindustrian di Korea Utara

Ini bukan kritikan terhadap Korea Utara saja, kerana tak ada mana-mana negara komunis yang berjaya mencapainya. Dengan tahap produktif semasa, belum ada mana-mana negara dalam sejarah yang pernah melakukannya dan Korea Utara tidak terkecuali. Dan mereka sendiri tak pernah klaim apa-apa tapi orang lain yang membuat klaim di atas nama mereka.

Oleh itu, dalam mencari jawapan tentang adakah Korea Utara itu komunis, soalan yang sepatutnya mungkin “adakah Korea Utara sebenarnya mahukan komunisme?” Adakah mereka komunis secara ideologi?

Korea Utara sebelum ini merupakan negara yang berprinsip Marxis-Leninisme seiring dengan idea anti-revisionis yang bermakna mereka berkongsi sedikit pengaruh Maoisme, dan untuk satu jangka masa yang panjang, potret Marx dan Lenin boleh dilihat di Dataran Kim Il Sung.

Namun semua Ini telah berubah dalam beberapa dekad kebelakangan ini, di mana ramai yang mendakwa ini membuktikan bahawa Korea utara tidak lagi mempraktikkan idea-idea komunis. Tapi tentulah pandangan ini agak pelik. Ia tidak ada kaitan dengan landasan ideologi atau apa saja yang dikatakan oleh Marx, semua itu hanya estetika. Tapi masih ada penjelasannya.

Kebangkitan Juche dan kaitan dengan komunisme Korea Utara

Korea Utara sejak tahun 1970-an telah mempromosikan ideologi Kimilsungisme – yang kini lebih dikenali sebagai Juche. Bagi menjelaskan Juche dengan lengkap, kita perlu tulis artikel berbeza. Tapi secara ringkas, Juche membawa maksud ‘kemandirian’ dan menyokong falsafah seorang manusia adalah penentu nasib mereka sendiri.

Falsafah asas utama yang Kim Jong-Il sokong sebagai bentuk unik kepada teori sosialis sehingga saat itu adalah, sementara materialisme sejarah Marxis menegaskan situasi material sebagai kuasa yang mengatur perubahan dalam struktur masyarakat, Juche menegaskan bahawa walaupun tanpa situasi material yang tepat,  sebuah negara boleh membangun dan mengekalkan sosialisme melalui keyakinan ideologi yang kuat dan dorongan manusia.

Rakyat Korea Utara sedang menyembah hormat tugu Kim Il-sung dan Kim Jong-il

Ramai yang berpendapat ini mungkin antara punca mengapa Korea utara masih tidak runtuh di saat beberapa negara blok sosialis lain seperti Soviet telah jatuh.

Ia turut menegaskan konsep ‘sosialisme gaya kita’, yang merupakan keistimewaan Juche dalam situasi Korea. Mungkin negara lain tak boleh ‘copy-paste’ idea-idea itu ke dalam sistem masing-masing, tetapi itulah sebabnya mereka berbeza. Juche menyeru kebebasan ideologi untuk negara-negara sosialis.  Negara yang ingin menjadi komunis tidak boleh mengikut dogma.

Lain macam betul gambar ini..

Korea Utara meraikan situasi unik yang ada pada mereka dan mahu mencapainya dengan gaya tersendiri, jadi, tak hairanlah jika gambar Karl Marx dan Vladmir Lenin tidak lagi ada tempat di Korea Utara. Melalui kerangka struktur Juche, sementara mereka terhutang budi sikit sebanyak dengan pengaruh ideologi, pendahulunya tak banyak mempengaruhi ideologi Korea Utara.

Falsafah itu benar-benar timbul setelah berlaku perpecahan antara DPRK dan negara-negara jirannya seperti Republik Rakyat China dan Kesatuan Soviet, di mana pada masa itu Korea Utara mulai mengambil pendekatan yang lebih terasing dan bersikap lebih berdikari.

Imej satelit menunjukkan perbezaan ketara antara Korea Utara dan Korea Selatan pada waktu malam.

Adakah Korea Utara sebuah negara komunis? Tidak. Tak pernah ada negara komunis yang pernah wujud. Korea Utara secara rasmi sekurang-kurangnya adalah sebuah negara sosialis yang dipandu oleh idea-idea Juche yang sedang menuju ke arah fasa terakhir sebuah negara komunis tak berkelas.

Bahkan, walaupun nama rasminya adalah “Republik Rakyat Demokratik Korea”, ramai pihak pemerhati telah menggambarkan sistem politik Korea Utara lebih cenderung ke arah pemerintahan monarki mutlak atau “kediktatoran hereditari (keturunan)”. Atas sebab yang sama ini lah kerajaan Korea Utara adakalanya digelar sebagai Dinasti Kim.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

Negara Republik Rakyat China sekurang-kurangnya masih mengaku mereka mempraktikkan komunisme walaupun hakikatnya apa yang kita lihat hari ini jelas bertentangan dengan dasar-dasar asas komunis sendiri. Berbeza dengan Korea Utara yang tidak lagi mengaku mereka adalah komunis.

Sesiapa pun tentu akan ada pendapat tersendiri mengenai sistem pemerintahan negara Korea Utara mahu pun mana-mana negara yang kononnya ‘komunis’, tetapi secara rasminya inilah ideologi yang Korea Utara pegang, Juche, dan ia diasaskan dan diperintah secara ketenteraan diktator unitari melalui Parti Pekerja Korea yang berideologi Juche-Songun.

RUJUKAN:

Myers, Brian Reynolds (2011). The Cleanest Race: How North Koreans See Themselves and Why It Matters. Melville House

Suh, Dae-Sook (1981). Korean Communism, 1945–1980: A Reference Guide to the Political System. Honolulu: The University Press of Hawaii.

Ruangan komen telah ditutup.