Mengapakah manusia mengambil masa yang begitu lama untuk membina tamadun? Spesis Homo sapiens berevolusi buat pertama kali sekitar 250 000 hingga 350 000 tahun dahulu. Tetapi langkah permulaan menuju ketamadunan – seperti bercucuk tanam dan kemudiannya penyebaran amalan pertanian – bermula hanya sekitar 10 000 tahun lalu dan kewujudan tamadun pertama pula berlaku sekitar 6400 tahun lalu.

95% dari sejarah manusia memperlihatkan bahawa kita sama sekali tidak bercucuk tanam, membina penempatan yang besar mahupun membentuk hierarki politik yang kompleks (rumit). Pada zaman-zaman awal, kita hidup dalam kumpulan nomad kecil, memetik buah dan memburu. Kemudian, berlaku suatu perubahan.

Manusia memburu lembu liar, kuda dan rusa di Perancis pada 17 000 tahun lalu

Kita beralih daripada mengamalkan aktiviti pemburuan kepada aktiviti menuai tanaman, pengusahaan tanah dan seterusnya membina kota. Peralihan ini sebenarnya berlaku selepas haiwan-haiwan gergasi (megafauna) di zaman ais – seperti mammoth, sloth tanah gergasi, rusa dan kuda gergasi – sudah pun hilang. Sebab utama manusia mula bercucuk tanam masih tidak dapat diketahui. Tetapi kehilangan haiwan yang sebelumnya menjadi sandaran hidup kita sebagai sumber makanan memaksa budaya manusia berevolusi.


PEMANASAN GLOBAL MENGGALAKKAN PERTANIAN?

Manusia-manusia awal memiliki kepintaran yang cukup untuk mengamalkan aktiviti pertanian. Kesemua kumpulan manusia moden mempunyai tahap kepintaran yang sama, di mana berkemungkinan keupayaan ini berevolusi sebelum populasi manusia berpecah sekitar 300 000 tahun lalu dan kemudian berlaku perubahan kecil setelah itu. Jika nenek-moyang kita tidak bercucuk tanam, ia bukanlah bermaksud mereka tidak cukup pintar untuk berbuat demikian. Terdapat sesuatu dalam persekitaran yang menghindarkan mereka daripada bercucuk tanam – atau mungkin ringkasnya mereka tidak perlu untuk bercucuk tanam ketika itu.

Pemanasan global yang berlaku pada pengakhiran zaman glasier terakhir iaitu 11 700 tahun lalu mungkin membuatkan aktiviti bercucuk tanam menjadi semakin mudah. Suhu yang lebih panas, kewujudan cuaca bermusim, kadar curahan hujan yang tinggi dan kestabilan iklim yang berpanjangan membuatkan lebih banyak kawasan menjadi sesuai untuk aktiviti bercucuk tanam.

Namun, terdapat juga kebarangkalian bahawa aktiviti pertanian bukanlah suatu hal yang mustahil untuk dilakukan di kawasan-kawasan tertentu di muka bumi lantaran bumi sendiri telah mengalami banyak pemanasan global iaitu pada 11 700, 125 000, 325 000 tahun lalu. Pun begitu, pemanasan-pemanasan global awal sama sekali tidak memacu aktiviti pertanian. Maka, perubahan iklim bukanlah satu-satunya faktor yang menggalakkan pertanian.

Migrasi manusia berkemungkinan turut menjadi faktor kepada penggalakkan ini. Apabila manusia terawal (daripada spesis kita) bermigrasi dari Afrika Selatan melalui benua Afrika, keluar ke Asia, Eropah dan Amerika, mereka menemui persekitaran dan tumbuhan makanan yang baru.

Tetapi, manusia telah pun menghuni kawasan tersebut jauh sebelum aktiviti pertanian bermula. Penyebaran aktiviti pertanian secara domestic dalam sejarah manusia ketinggalan sejauh puluhan milenium berbanding migrasi manusia yang berlaku jauh lebih awal.

Bijirin rai, salah satu hasil tanaman terawal


PERTANIAN VS PENGUTIPAN SUMBER MAKANAN

Seandainya peluang-peluang untuk mencipta atau mengamalkan pertanian sudah pun wujud (menerusi pemanasan global dan perpindahan manusia seperti yang dikemukakan ini), maka penangguhan pengamalan pertanian sebagaimana yang berlaku mengisyaratkan bahawa nenek-moyang kita tidak memiliki keperluan atau kemahuan untuk bercucuk tanam.

Aktiviti pertanian mempunyai banyak kelemahan signifikan berbanding aktiviti penguiptan sumber makanan (mengutip hasil hutan dan memburu). Pertanian memerlukan usaha yang lebih banyak dan mengakibatkan kurangnya masa senggang di samping menghasilkan pulangan saiz makanan yang lebih kecil. Apabila seseorang pemburu kelaparan pada waktu siang, dia boleh menikmati makanan yang dipanggang di atas unggun api pada waktu malam.

Sementara itu, pertanian memerlukan usaha keras untuk menghasilkan makanan yang hanya dapat dituai beberapa bulan kemudian – atau bahkan, mungkin tidak dapat dituai sama sekali. Makanan yang diperoleh daripada hasil pertanian pula memerlukan penyimpanan dan pengurusan yang rumit untuk mengagihkannya secara optimum supaya dapat membekalkan makanan yang mencukupi sepanjang tahun.

Seandainya pemburu tidak memperoleh sebarang hasil buruan pada hari ini, dia boleh memburu sekali lagi pada hari esok atau pergi memburu di kawasan lain yang lebih kaya dengan sumber buruan. Namun, petani terikat kepada tanah yang diusahakan olehnya. Petani juga harus berhadapan dengan keadaan alam yang sukar dijangka. Misalnya, hujan turun terlalu lambat atau terlalu cepat, badai kemarau, musim sejuk yang melampau, penyakit tumbuhan dan serangan parasit seperti belalang berupaya mengakibatkan kemusnahan hasil tuaian – dan kemudian membawa kepada kebuluran.

Pertanian mempunyai banyak kelemahan jika dibandingkan dengan pemburuan

Pertanian juga mempunyai kelemahan dari sudut ketenteraan. Pemburu-pengutip boleh bergerak dan menjelajah ke kawasan yang jauh, sama ada untuk melakukan serangan ke atas kumpulan nomad lain atau melarikan diri daripada serangan. Dengan latihan bermain lembing dan busur panah secara berterusan, mereka mampu menjadi pahlawan yang berkebolehan.

Keadaannya berbeza bagi petani di mana mereka harus menjaga ladang. Jadual mereka pula ditentukan oleh kitaran musim. Dengan keadaan sebegini, petani sangat mudah dijangka (kelakuannya oleh pihak musuh) sekaligus menjadikannya sasaran yang mudah. Tambahan lagi, stok simpanan makanan yang mereka miliki cenderung menggamit serangan kumpulan-kumpulan manusia lain yang kelaparan.

Memandangkan sudah terbiasa dengan gaya hidup yang amat mudah, manusia mungkin lebih menggemari kehidupan nomad sebagai pemburu. Hal ini dapat dilihat apabila kaum orang asal Amerika seperti Comanche berjuang bermati-matian menentang penjajah demi mempertahankan budaya dan gaya hidup mereka sebagai pemburu.

Masyarakat asli di Afrika Selatan seperti Kalahari Bushmen juga enggan mengubah gaya hidup mereka menjadi petani dan penternak. Lebih memeranjatkan, apabila para petani Polynesia menemui burung-burung moa di New Zealand yang sifatnya tidak mampu terbang, mereka serta-merta meninggalkan budaya bercucuk tanam secara besar-besaran dan mewujudkan budaya pemburuan burung moa dalam kalangan orang Maori.

AKTIVITI PEMBURUAN DITINGGALKAN

Namun, suatu perubahan berlaku. Bermula daripada 10 000 tahun dahulu dan seterusnya, manusia mula meninggalkan gaya hidup sebagai pemburu dan mengamalkan aktiviti bercucuk tanam.

Terdapat kemungkinan bahawa selepas kepupusan mammoth dan megafauna lain dari zaman Pleistocene serta sesudah pemburuan secara melampau, gaya hidup sebagai pemburu menjadi semakin tidak relevan dan tidak berdaya maju sekaligus memaksa manusia untuk bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman.

Mungkin tamadun tidaklah lahir menerusi tekad manusia untuk berdaya maju, tetapi sebagai susulan daripada sebuah bencana memandangkan bencana ekologi memaksa manusia untuk meninggalkan gaya hidup tradisi mereka sebagai pemburu.

Ketika manusia meninggalkan Afrika untuk membina penempatan di tanah-tanah baru, megafauna sudah pun hilang di serata dunia. Di Eropah dan Asia, megafauna seperti badak sumbu woolly, mammoth dan rusa Irish pupus sekitar 40 000 hingga 10 000 tahun lalu. Di Australia, kanggaru dan wombat gergasi pupus pada 46 000 tahun lalu.

Di Amerika Utara, kuda, unta dan armadillo gergasi serta mammoth dan sloth tanah berkurangan dan seterusnya pupus dari 15 000 ke 11 000 tahun lalu, diikuti kepupusannya di Amerika Selatan sekitar 14 000 hingga 8000 tahun lalu. Selepas manusia bertebaran ke Kepulauan Caribbean, Madagascar, New Zealand dan Oceania, megafauna sudah pun pupus.

Memburu haiwan besar seperti kuda, unta dan gajah memberi pulangan yang lebih besar berbanding memburu haiwan-haiwan kecil seperti arnab. Namun, haiwan-haiwan yang bersaiz besar seperti gajah lambat membiak dan hanya mampu melahirkan dalam kuantiti yang lebih kecil berbanding haiwan-haiwan kecil seperti arnab sekaligus membuatkan haiwan-haiwan besar ini terdedah kepada pemburuan melampau (overhunting).

Maka, dapatlah kita fahami bahawa tradisi pemburuan yang diamalkan oleh nenek-moyang kita ini mengurangkan bilangan megafauna jauh lebih pantas berbanding keupayaan mereka untuk membiak. Situasi ini mungkin merupakan krisis kelangsungan pertama manusia.

Haiwan-haiwan bersaiz besar diburu jauh lebih pantas berbanding pembiakan mereka


Apabila gaya hidup lama tidak lagi relevan dan berdaya maju, manusia dipaksa untuk berinovasi, meletakkan penumpuan yang lebih kepada aktiviti pengumpulan hasil hutan dan seterusnya bercucuk tanam sebagai cara melangsungkan hidup. Gaya hidup dan aktiviti ini (bercucuk tanam) menggalakkan perkembangan populasi manusia.

Memakan tumbuhan berbanding daging merupakan satu kaedah penggunaan tanah yang lebih efisien, justeru pertanian mampu menampung populasi yang lebih ramai di sesebuah kawasan berbanding aktiviti pemburuan. Manusia boleh hidup secara menetap, membina penempatan dan seterusnya membangunkan tamadun.

Rekod-rekod fosil dan arkeologi memberikan petunjuk kepada kita bahawa nenek-moyang kita bole sahaja mengamalkan pertanian lebih awal. Namun, mereka hanya berbuat demikian setelah alternatif yang mereka miliki (untuk mencari makanan) semakin terhad. Berkemungkinan kita boleh terus memburu kuda gergasi dan mammoth buat selama-lamanya (setidaknya sehingga sekarang), namun kita manusia berlebih-lebihan dalam melakukannya sehingga membinasakan bekalan makanan kita sendiri.

Amalan pertanian dan ketamadunan mungkin terbangun bukanlah disebabkan kedua-duanya itu adalah suatu bentuk peningkatan gaya hidup nenek-moyang kita, sebaliknya disebabkan oleh ketiadaan pilihan lain buat manusia. Pertanian merupakan cubaan yang bersifat terdesak oleh manusia dalam rangka memulihara kembali ekosistem yang telah kita rosakkan akibat pemburuan secara melampau.

Jika demikian keadaannya, kita bukanlah meninggalkan kehidupan sebagai pemburu di zaman ais lalu membangunkan dunia moden dengan keinginan yang diniatkan, sebaliknya perubahan ini bersifat suatu kemalangan, yang berlaku disebabkan bencana ekologi yang kita timbulkan ribuan tahun dahulu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.