Moving Forward As One

Adakah Karier Bola Sepak Christian Eriksen Bakal Berakhir?

724

Kes Christian Eriksen, pemain tengah Denmark, yang diserang ‘Sudden Cardiac Arrest’ baru-baru ini merupakan satu dari banyak contoh tentang kepentingan resusitasi dalam sesebuah keadaan kecemasan. Perlawanan piala EURO tersebut terpaksa diberhentikan selepas jantung beliau dikatakan terhenti seketika. Selain Eriksen, terdapat beberapa atlet bola sepak profesional yang lain pernah mengalami keadaan yang serupa. Antaranya Eri Irianto (Persebaya), Marc Vivian Foe (Espanyol), Daniel Jarque (Sepanyol) dan Iker Casillas (Porto).

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Insiden yang menimpa Eriksen yang terjatuh pengsan secara tiba-tiba ketika aksi Denmark menentang Finland ini benar-benar mencemaskan kita semua. Sehingga saat artikel ini sedang ditulis, masih belum diketahui punca kejadian serangan jantung itu berlaku. Kelab bola sepak Inter Milan bersungguh menafikan kes serangan jantung yang dialami oleh Eriksen mempunyai kaitan dengan vaksin Pfizer. Beliau dibenarkan discaj dari hospital kelmarin selepas menjalani rawatan selama beberapa hari di sana.

Mutakhir ini, ramai yang memuji beberapa individu penting yang datang melakukan CPR ketika waktu kecemasan itu. Selain bantuan CPR, mesin AED (automated external defibrillator) yang terdapat di sekitar stadium menjadi antara faktor utama yang menyelamatkan pemain Denmark tersebut. AED merupakan satu alat untuk menganalisis ritma jantung dan memberikan kejutan eletrik bagi mengembalikan irama jantung menjadi normal.

Imej CPR.

Jadi, apakah itu yang dinamakan CPR? CPR atau ‘Cardio-Pulmonary Resuscitation’ adalah satu kaedah rawatan atau prosedur kecemasan pemulihan sistem jantung dan paru-paru/pernafasan dengan cara memastikan bekalan darah dan oksigen dapat dihantar ke seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung di mana ianya telah berhenti berdenyut dan berfungsi secara normal.

CPR hanya boleh dilakukan apabila kita mendapati seseorang tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan atau ketika mereka dalam keadaan tidak sedar, tidak responsif dan tidak bernafas atau mengalami kesukaran untuk bernafas.

Mengimbau kembali sekitar tahun 1956, Peter Safar dan James Elam adalah mereka yang pertama mencipta resusitasi mulut ke mulut. Pada tahun berikutnya, tentera Amerika Syarikat cuba menggunakan kaedah tersebut bagi menghidupkan kembali mangsa yang tidak responsif dalam peperangan. Maka secara rasminya pada 1960, teknik resusitasi CPR telah dikembangkan dengan lebih meluas di dalam dunia perubatan.

Peter Safar dan James Elam

Tindak balas CPR sangatlah membantu dalam menyelamatkan nyawa seseorang sekiranya pernafasan atau jantungnya berhenti, namun adakah mencukupi dengan hanya bantuan CPR sahaja? Dengan hanya bergantung kepada CPR semata-mata tidak mungkin menghidupkan semula fungsi jantung. Tujuan utamanya adalah untuk mengembalikan sebahagian aliran darah yang beroksigen ke otak serta jantung. Umumnya, bantuan CPR akan diteruskan sehingga mangsa tersebut mengalami peredaran spontan atau disahkan mati.

Berikut merupakan langkah-langkah yang disyorkan oleh American Heart Association (AHA) untuk melakukan CPR atau Bantuan Asas Hidup (BLS):

Ketika kita melihat seseorang individu tidak sedarkan diri, pastikan tidak ada sebarang kebahayaan (danger) dan periksa respons (response) dengan menepuk bahu serta bertanya adakah mangsa baik-baik sahaja, dan kita berteriak (shout) untuk menghubungi talian 999. Seterusnya kita menilai peredaran udara dan pernafasan (airway and breathing).

Jika mangsa tidak bernafas, mulakan dengan sebanyak 30 tekanan dada (chest compression) di tengah tulang dada pada kadar 100-120 mampatan/minit, pada kedalaman 5-6 cm yang diselangi dengan 2 ventilasi (rescue breath). Sekiranya mempunyai orang lain yang boleh membantu dalam memberikan CPR, maka hendaklah ditukar pada setiap 2 minit atau 5 kitaran yang selang pertukarannya mestilah tidak lebih dari 10 saat setiap kali denyutan nadi diperiksa.

Berbeza dengan kanak-kanak, semasa dilakukan tekanan dada, kita hendaklah menggunakan hanya dengan satu tangan dan ventilasi yang lebih lembut, bukan dengan kedua-dua tangan sepertimana yang kita lakukan terhadap orang dewasa. Berbeza juga halnya dengan bayi, kita perlu menggunakan dua jari dan bukannya seluruh tangan.

Tambahan pula, garis panduan terkini mengesyorkan supaya dilakukan pemampatan sahaja (compression-only CPR) di samping memantau ritma jantung mangsa. CPR akan dihentikan sekiranya seseorang itu mula bernafas dengan sendiri, bantuan tiba untuk mengambil alih mangsa berkenaan dan petugas yang terpaksa berhenti akibat keletihan fizikal.

Jadi secara ringkasnya, izinkan saya mempermudahkan untuk anda, ingatlah beberapa kata kunci yang penting dalam melakukan CPR:

1. Bahaya (Danger)

2. Respons (Response)

3. Peredaran udara (Airway)

4. Pernafasan (Breathing)

5. Tekanan dada (Chest compression)

6. 30:2 nisbah

7. 100-120 mampatan/minit

8. 5-6 cm kedalaman

9. 2 minit atau 5 kitaran

10. 10 saat

Penting atau tidak mempelajari CPR ini? CPR jelas membuktikan dalam peningkatan peluang hidup pada mereka yang mengalami serangan jantung. Dalam setiap keadaan kecemasan seperti serangan jantung, kepentingan masa sangatlah dititikberatkan.

Sekiranya dilakukan dengan segera, CPR dapat menggandakan peluang seseorang untuk bertahan hidup. CPR dapat menyelamatkan nyawa kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan juga masyarakat seluruhnya. Menurut CDC, penyakit jantung merupakan penyebab utama kematian rakyat di Amerika Syarikat sekaligus meragut nyawa lebih daripada 600,000 orang setiap tahun.

Bakal berakhir?

Berbalik semula kepada cerita Christian Eriksen sebentar tadi, beliau mungkin tidak lagi bermain bola sepak dalam liga Itali seperti biasa. Hal ini kerana, pemain yang mempunyai masalah jantung kebanyakannya tidak dibenarkan lagi kerana ini akan merisikokan nyawa mereka. Walaubagaimanapun, syukur Eriksen berjaya diselamatkan nyawanya walaupun beberapa ketika sudah tidak bernafas dan tiada respon jantung.

Ramai yang memuji beberapa individu penting yang menyelamatkan Eriksen selepas insiden yang berlaku. Namun, sebagai seorang Muslim, kita harus percaya Allah SWT Tuhan yang maha berkuasa menyelamatkan nyawa-nyawa manusia. Sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran,

“Allah yang menciptakan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, ada pula antara kamu yang dikembalikan-Nya kepada peringkat umur yang sangat lanjut sehingga dia menjadi tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” – Surah an-Nahl 16: 70

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kesimpulannya, sukan bola sepak bukan hanya perlawanan antara 22 orang pemain yang merebut sebiji bola, namun ia merupakan sebuah sukan yang penuh dengan keindahan. Doa yang terbaik untuk Eriksen, keluarga beliau dan dunia bola sepak. Saya amat berharap agar silibus BLS diterapkan di setiap peringkat, hal ini kerana ia akan meningkatkan jumlah responden pertama dalam komuniti sebagai mereka yang terlatih melakukan CPR lantas menyelamatkan lebih ramai nyawa manusia.

Artikel dikirimkan oleh Azim Sholehin untuk The Patriots. 

Ruangan komen telah ditutup.