Adakah Itachi Seorang Hero?

0
5121
views

Watak Itachi dikatakan seorang shinobi yang genius. Naik pangkat yang tinggi ketika umurnya yang muda. Perkara menarik yang menjadi penumpuan watak Itachi adalah tindakan membunuh seluruh ahli puak keluarganya, Uchiha dan menjadi sumber perkembangan watak adiknya, Sasuke.

Kalau sesiapa dah tonton anime dan dah baca manga ini sampai habis, kita akan tahu Itachi lakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas puak Uchiha adalah sebab untuk mempertahankan Konoha. Selepas pembunuhan itu, Itachi keluar daripada kampung dan dipandang oleh orang Konoha sendiri sebagai pengkhianat dan penjenayah.

Di sini mungkin kita boleh buat dua kesimpulan berkenaan Itachi, iaitu Itachi terpaksa berkorban untuk mempertahankan Konoha ataupun dia tidak terpaksa melakukan hal itu sebab dia memang memilih untuk melakukan hal itu. Bagi aku, Itachi adalah pada kesimpulan kedua. Itachi tidak memiliki psikologi ‘matyr complex’ yang memenuhi kehendak psikologinya untuk menjadi ‘kambing hitam’ demi mempertahankan Konoha.

Macam Madara dan ahli-ahli Uchiha yang lain, Itachi cintakan keamanan. Malah, ayah Itachi, Uchiha Fugaku sendiri pun tidak mahu pertumpahan darah berlaku lagi antara Uchiha dan keluarga Senju. Fugaku memilih untuk melakukan kudeta dengan menjatuhkan Danzo dan Hiruzen supaya Uchiha dapat menguasai tampuk pemerintahan. Fugaku lakukan hal ini kerana melihat Uchiha semakin disisihkan.

Kita mungkin boleh lihat apa yang mahu dilakukan oleh Fugaku dapat mengurangkan pertumpahan darah. Tetapi di mata Itachi kudeta tersebut mungkin akan menimbulkan perang saudara kerana kuasa diambil secara rampasan.

Itachi membesar dalam suasana shinobi berperang dengan pelbagai sebab. Ketika mempunyai pilihan antara sama ada memilih untuk membunuh keluarganya ataupun menyertai kudeta, Itachi memilih untuk membunuh puaknya sendiri kerana dapat mengelakkan tumpah darah dan huru-hara dalam Konoha.

Menurut Jean-Paul Sartre, ahli falsafah Perancis, kewujudan kita adalah sebuah kebebasan. Kita bebas melakukan apa-apa pilihan tanpa pengaruh dan tekanan sosial di sekeliling. Orang yang membuat pilihan dengan kepercayaan bahawa ‘dia tidak mempunyai pilihan lain’ adalah orang yang mempunyai ‘bad faith’. Idea ‘bad-faith’ dibawa oleh Sartre sendiri bahawa, pilihan yang dibuat oleh seorang individu kerana tekanan sosial akan melahirkan nilai yang palsu dan mengabaikan kebebasan mutlak dalam dirinya.

Aku katakan Itachi seorang Sartrean Existentialist sebab kita boleh nampak Itachi boleh ‘move on’ selepas melakukan pembunuhan itu. Dia tidak meratap-ratap, menyesal ataupun apa saja yang dia lakukan atas sebab ‘dia terpaksa berkorban’. Dia memilih jalan itu kerana dia faham dan dia mahu.

Itachi cintakan kemanan dan kampungnya (nasionalis). Dia dibesarkan sebagai seorang shinobi yang paling kurang, pembunuhan terpaksa berlaku. Dia juga membesar sebagai seorang yang tidak terlalu bersosial. Ketika menjadi skuad ANBU, Itachi tidak teragak-agak untuk membunuh musuhnya walaupun musuh itu sudah terdaya lagi untuk melaksanakan misi. Maka, pilihan dia membunuh keluarganya kerana dia memang memilih untuk menjaga keamanan, bukan sebagai individu korban yang dia relakan.

Ada beza antara merelakan diri menjadi korban dengan memilih untuk mempertahankan sesuatu. Pilihan Itachi memang berat, iaitu sama ada untuk memilih kampung ataupun puaknya. Dia pun tahu, kalau secara individu, memang tidak semua yang setuju dengan rancangan Fugaku, tetapi secara kolektif begitulah. Bukannya Itachi tidak tahu. Pilihan yang berat itu, dia berkehendak untuk memilih yang menjadi tujuan kewujudannya menjaga Konoha, bukan merelakan diri menjadi korban kerana Konoha.

Seterusnya, pada peringkat awal, kita akan melihat Itachi adalah seorang yang paling teruk kerana sanggup membunuh puaknya sendiri yang masa itu kita sangka demi untuk mendapatkan Mangekyou Sharingan. Selepas segalanya didedahkan, kita akan dapati Itachi sebagai seorang hero sebab sanggup berkorban untuk Konoha, which bagi aku istilah ‘sanggup berkorban’ agak tidak sesuai untuk Itachi sebab Itachi memilih bukan pasrah.

Itachi memilih untuk membentuk diri dan kewujudannya dengan mempertahankan Konoha melalui pembunuhan puaknya sendiri. Bukan kerana dia mahu mengorbankan hidup dan identitinya demi Konoha.

Jadi, anda rasa dia seorang hero Konoha?

Entahlah, bagi aku, kalau dia seorang yang ‘berkorban’ mungkin dia kelihatan lebih heroic kerana sanggup mengorbankan kehidupannya di Konoha untuk melindungi kampung itu. Tetapi, sebab kalau ikut definisi eksistentialism yang aku letakkan pada Itachi, kelihatannya Itachi agak less heroic sebab dia tidak berkorban apa-apa, cuma itu pilihan dia mahu buat macam itu walaupun ia pilihan yang berat. Melainkan dia membunuh Sasuke juga sebab Itachi sangat sayangkan Sasuke.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here