Ada Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang The Exchange 106 dan Tun Razak Exchange (TRX)?

5754
views

Tahun 2018 sudah pun tiba. Tahun ini, kita akan menyaksikan Malaysia bakal melakar sebuah pencapaian yang baharu dengan terbinanya sebuah menara tertinggi di Malaysia mengatasi Menara Berkembar Petronas (KLCC) setelah 20 tahun memegang ‘title’ sebagai menara tertinggi di Malaysia.

The Exchange 106 (atau dikenali juga sebagai TRX Signature Tower), dengan ketinggiannya 492 meter, mempunyai 106 tingkat, terletak di tapak TRX berdekatan Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Maju Expressway (MEX) dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini. The Exchange 106 bakal mengatasi ketinggian KLCC, 451.2 meter sekaligus meletakkan KLCC sebagai menara kedua tertinggi di Malaysia nanti. Walaubagaimanapun, KLCC tetap menjadi menara berkembar tertinggi di Malaysia dan di dunia.

The Exchange 106 dibina dengan kaedah pembinaan dan penggunaan peralatan yang canggih sekaligus dapat mengurangkan tempoh pembinaan sebanyak 3 tahun lebih awal daripada jangkaan tempoh siapnya. Pada asalnya, ketinggiannya hanya mencecah 439 meter sebelum diubah sehingga mencapai ketinggian 492 meter. Ianya dibina dengan konsep ‘column-free’ supaya dapat memaksimumkan pengunaan ruang. ‘Core’ pula dibina pada tengah-tengah bangunan. Menggunakan ‘laminated glass wall’ pada seluruh ‘facade’ membenarkan cahaya matahari dan dalam masa yang sama menghalang haba menembusi ke dalam bangunan dapat mengurangkan pengunaan ‘artificial lighting’ serta penghawa dingin sekaligus dapat mengurangkan pengunaan tenaga elektrik. Ia mempunyai 106 tingkat yang terbahagi kepada 7 zon utama ( Low Zone, Mid Zone, Low High Zone, Sky Lobby, High Zone, Super High Zone dan Sky Floor) dan 6 tingkat parking bawah tanah.

Konsep seni bina The Exchange 106 ini adalah simbolik kepada peningkatan pembangunan kewangan Islam global daripada asal satu biji benih yang berkembang ke seluruh dunia. The Exchange 106 dijadikan sebagai satu mercu tanda buat TRX untuk menunjukkan bahawa Malaysia bakal memacu sistem kewangan Islam ke peringkat global.

Tun Razak Exchange (TRX) bakal menjadi hub kewangan antarabangsa (international financial hub) untuk memacu ekonomi negara dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang berteknologi tinggi dan rekaan yang moden. Komponen TRX termasuklah 3,800+ unit residensi, hotel-hotel mewah, 10 juta kaki persegi ruang pejabat dan 2 juta kaki persegi ruang perniagaan. Keluasan TRX dengan 70 ekar tanah bakal mengandungi 26 menara termasuk The Exchange 106 dan 24% daripada keluasan tanah adalah untuk elemen hijau dan ruang terbuka. TRX dibangunkan oleh Mulia Group Developer (syarikat Indonesia) manakala Master Plan TRX direka hasil kolaboratif antara firma antarabangsa, Machado and Silvetti Associates dan firma tempatan, Arkitek Jururancang Malaysia. TRX bakal menjadi asas kepada kelestarian perniagaan dengan pembangunan yang menitik beratkan kepentingan alam sekitar. TRX merupakan projek yang pertama di Malaysia di dalam mencapai LEED for Neighboring Development (LEED ND) Gold Conditional Approval dan Green Building Index (GBI) Township Provisional Platinum.

Pembinaan TRX ini adalah selari dengan peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempelopori pembangunan kewangan Islam. Malaysia merupakan negara yang berada pada tangga teratas dunia dalam dana-dana Islam (54%) dan terbitan ‘sukuk’ (69%) serta berada tangga teratas Asia dalam aset perbankan Islam. Dijangka dengan pembinaan TRX ini, dapat melonjakkan lagi pembangunan dan kemajuan Malaysia dalam sistem kewangan Islam.

Pembangunan projek berskala mega ini bakal memberikan impak yang positif kepada ekonomi negara terutama dalam sektor kewangan Islam. Isu TRX ini pernah menjadi hangat disebabkan skandal 1MDB (kerana asalnya ia dimiliki oleh 1MDB) dan telah mencetuskan kesangsian di dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun pembangunan projek ini tetap dilaksanakan. Timbul sebahagian masyarakat yang agak skeptikal dan berpandangan negatif terhadap projek ini kerana dianggap membazir bahkan dicadangkan supaya elok disumbangkan perbelanjaan projek ini kepada yang lebih memerlukan. Perlu diingatkan bahawa projek berskala mega ini juga telah membuka banyak peluang pekerjaan terutama di dalam sektor pembinaan. Tak semua kita kena guna perbelanjaan kepada bentuk kebajikan sahaja tetapi perlu juga kepada pembangunan untuk meningkatkan lagi dapatan negara.

TRX merupakan salah satu projek berskala mega yang sedang giat dibangunkan di Malaysia. Antara projek berskala mega yang lain yang sedang dan akan dilaksanakan ialah Menara Warisan Merdeka (KL118), Tradewinds Tower, Bukit Bintang City Square, HSR, ECRL, Melaka Gateway, Bandar Malaysia, MRT2 dan MRT3, AeroCity dan banyak lagi yang bakal melonjakkan lagi kemajuan pembangunan di Malaysia. Wallahu’alam.