Ada Apa Pada Mugabe?

0 109

Orang Malaysia ni kuat politik sangat. Sampai Mugabe letak jawatan pun nak dikaitkan dengan politik Malaysia.

Itu sebabnya saya sentiasa menekankan “political neutrality” dan “non-partisanship”. Selain ia merupakan etika asas penjawat awam, ketaksuban terhadap politik kepartian sebenarnya boleh memandulkan minda dan daya intelek.

Ada pentaksub pro-pembangkang kata Mugabe macam PM. Pentaksub pro-pemerintah pula kata Mugabe macam mantan PM. Masing-masing “missed the point” apa masalah sebenar disebalik kebangkitan dan kejatuhan Mugabe. Mengapa bapa kemerdekaan Zimbabwe yang sepatutnya dirai sebagai wira bangsa menjadi begitu rupa.

Mugabe tak macam sesiapa pun. Mugabe is Mugabe. Kisahnya harus diteliti berdasarkan konteks sejarah dan sosial Zimbabwe.

Tentera yang menjatuhkan Mugabe bukan nak menegakkan hak rakyat atau hak demokrasi whatsoever. Mereka bukan tentera Thailand yang bertindak sebagai “pengadil” kepada pergelutan politik. Kepala tentera Zimbabwe, Constantine Chiwenga sendiri merupakan politikus parti pemerintah ZANU-PF (Zimbabwe African National Union—Patriotic Front) yang bermanfaat daripada rampasan tanah (“land grab”) yang diperkenalkan oleh Mugabe sejak tahun 2000.

Mereka menggulingkan Mugabe demi mempertahankan kroni mereka, Emmerson Mnangagwa yang dilucut daripada jawatan naib presiden. Mnangagwa ni bukan Nelson Mandela, dia merupakan orang kanan Mugabe yang banyak buat kerja-kerja kotor untuk Mugabe, sampai diberi gelaran “Crocodile” atas sifat kejamnya. Cuma kebelakangan ini Mugabe lebih percayakan isterinya Grace dan ingin menggantikan Mnangagwa dengan Grace.

Jadi, keseluruhan drama kudeta merupakan sebuah “ugly power struggle” yang tak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat Zimbabwe. Geng Mnangagwa-Chiwenga sebenarnya nak mempertahankan kedudukan ZANU-PF daripada dicabar oleh pembangkang (Morgan Tsvangirai dan Joice Mujuru) yang ingin memansuhkan dasar rampasan tanah Mugabe.

Al-kisahnya, sejak 2000 Mugabe memperkenalkan dasar populis yang merampas tanah daripada rakyat Zimbabwe berkulit putih dan diberikan kepada warga peribumi Afrika. Tapi dasar ini bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa malah merosakkan ekonomi. Masalah terbesar ialah ketirisan. Banyak tanah telah diambil oleh orang-orang seperti Mnangagwa dan Chiwenga. Produktiviti jatuh, eksport menjunam, dan lebih teruk, inflasi merayap.

Dasar Mugabe dilihat oleh Dunia Barat sebagai pelanggaran hak asasi manusia, maka Zimbabwe dikenakan sekatan ekonomi. Namun Zimbabwe dapat bertahan kerana adanya bantuan ekonomi China. Mugabe meneruskan dasar populisnya dengan retorik anti-Barat. Ramai yang buat spekulasi bahawa Chiwenga dapat menggulingkan Mugabe kerana dapat “tacit approval” daripada China: China tutup sebelah mata asalkan kepentingannya di Zimbabwe tidak tersentuh.

Kalau nak buat analogi, keadaan Mugabe lebih mirip Juan Domingo Peron, presiden Argentina dari 1946 hingga 1955. Seperti Mugabe, Peron juga memperkenalkan dasar ekonomi populis yang ingin mengambil hati rakyat massa tanpa mengambil kira kesannya terhadap ekonomi, akhirnya Argentina mengalami inflasi merayap dan menyebabkan Peron menjadi semakin tidak popular dan digulingkan oleh tentera pada 1955.

Seperti Mugabe, kesilapan Peron terbesar ialah percubaan untuk menjadikan isterinya, Eva Peron (kisahnya pernah difilemkan sebagai “Evita” lakonan Madonna) sebagai pewaris politiknya, satu tindakan yang menyebabkan Peron dibenci oleh ramai elit dalam kerajaan. Cuma, Eva telah meninggal dunia sebelum sempat menjadi naib presiden seperti yang dikehendaki Peron.

Kedua-dua Argentina dan Zimbabwe merupakan negara yang tumbang kerana legasi ketidakseimbangan ekonomi imperialisme dan kolonialisme Barat, dan dasar populisme yang gagal untuk merawat keadaan ketidakseimbangan tersebut.

Jadi, kalau kita boleh ketepikan politik buat seketika, banyak benda kita boleh belajar sebenarnya daripada perkembangan dunia. Daripada kes Zimbabwe ini saja kita dah boleh belajar pasal masalah pasca-kolonial di Afrika, masalah populisme di negara-negara Dunia Ketiga dan banyak lagi.

Bukannya siang malam politik politik saja. Get a life please.

Bacaan lanjut:
Sabelo J. Ndlovu-Gatsheni (2015). Mugabeism? History, Politics, and Power in Zimbabwe.

Tinggalkan pesanan

Alamat email anda tidak akan disiarkan.