Ada Apa Pada Lambang Albania Oleh Shaqiri Dan Xhaka?

0
1515
views

Bola sepak merupakan sukan yang paling berbau politik. Kalau perlawanan antara kelab negeri ia boleh menimbulkan semangat kenegerian (misalnya Real Madrid vs Barcelona dilihat sebagai pertarungan antara Castille dan Catalonia), kalau perlawanan antara pasukan negara ia menzahirkan kebencian dan permusuhan antara negara (misalnya Jepun vs Korea Selatan).

Mungkin disebabkan formasi pasukan bola sepak ini paling mirip dengan formasi pasukan tentera: ada attack, ada defense, dan pintu gol itu ibarat kubu pertahanan. Jadi tak hairan dunia bola sepak penuh dengan kisah-kisah di mana negara yang kalah dalam perang “membalas dendam” secara simbolik menerusi perlawanan bola sepak.

Yang paling klasik ialah kemenangan Argentina ke atas England melalui “hand of god” Maradona pada Piala Dunia 1986. Ia dilihat sebagai “revenge” ke atas Perang Falklands tahun 1982 di mana UK “merampas” Kepulauan Falklands (Argentina panggil Kepulauan Malvinas) daripada Argentina.

Di Piala Dunia kali ini, kemenangan Portugal ke atas Morocco diraikan oleh media Portugal sebagai “revenge” ke atas Pertempuran Alcácer Quibir tahun 1578 di mana kemenangan Morocco ke atas Portugal menyebabkan kemangkatan Raja Sebastian dan kepupusan keturunan Dinasti Aviz (penakluk Melaka). Portugal hilang kedudukan sebagai kuasa dunia semenjak itu. Memang unforgiveable.

Dua hari lepas, dua pemain Switzerland beretnik Albania bernama Shaqiri dan Xhaka meraikan kemenangan ke atas Serbia sebagai “revenge” terhadap Serbia yang menindas etnik Albania di Kosovo. Al-kisahnya, selepas penamatan Perang Dingin pada 1991, etnik-etnik Yugoslavia seperti Croatia, Slovenia, Bosnia dan Kosovo mula menuntut kemerdekaan, tapi “big brother” Yugoslavia iaitu Serbia tak bagi. Apabila tuntutan kemerdekaan Kosovo dinafikan oleh Serbia, maka tercetuslah Perang Kosovo 1998-1999. Dan keluarga Shaqiri dan Xhaka ni mempunyai sejarah hitam ditindas dan diseksa oleh kerajaan Serbia.

Isyarat tangan yang Shaqiri dan Xhaka tunjukkan tu merupakan lambang burung helang berkepala dua (double-headed eagle) yang ada pada bendera Albania. Rusia sebagai penganjur meminta agar bendera itu diharamkan untuk menjaga hati Serbia yang merupakan “little brother” dan proksi Rusia. Tapi ironiya, kesemua jata negara Albania, Rusia dan Serbia guna lambang helang berkepala dua, kerana itu merupakan simbol Empayar Rom. Albania, Rusia dan Serbia merupakan serpihan Empayar Rom Timur atau “Byzantine”.

Adakah bola sepak sukan yang menyemai asabiyah dan ultra-nasionalisme? Bincangkan. (10 markah)