Kalau anda nampak ada orang mengedarkan risalah tentang “kejatuhan Khilafah” depan masjid selepas sembahyang Jumaat semalam, jangan rasa pelik, sebab hari ini merupakan ulang tahun kejatuhan Khilafah Islam (“Islamic Caliphate”) tanggal 3 Mac 1924.

Walaupun saya bukanlah peminat Hizbut Tahrir (organisasi yang aktif menyebarkan idea membina semula Khilafah), tapi saya tidaklah menolak mentah-mentah sebuah institusi yang sudah menjadi sinonim siyasah (politik) orang Islam selama 13 abad. Walaupun ramai menganggap idea khilafah tidak lagi relevan dalam orde dunia Westphalia hari ini yang berasaskan model negara-bangsa (“nation-state”), namun ada baiknya kalau kita meneliti konteks khilafah (pemerintahan khalifah) untuk memahami apakah relevannya kepada maslahat umat.

Khalifah merupakan gelaran bagi pemerintah tertinggi dunia Islam (“Dar al-Islam”) selepas kewafatan Rasulullah pada 632 Masihi. Khalifah boleh membawa maksud “Khalifat Rasul Allah” (pengganti Rasulullah) atau “Khalifat Allah” (pengganti/wakil Allah). Para Khalifah yang awal seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar guna gelaran Khalifat Rasul Allah, manakala para khalifah semasa Dinasti Bani Umayah (661-750) dan Dinasti Bani Abbasiyah (750-1258 dan 1261-1517) lebih suka guna gelaran Khalifat Allah untuk menunjukkan ketinggian kedudukan mereka. Yang menariknya, di bawah pemerintahan Dinasti Bani Uthmaniyah (1517-1924), gelaran “Khalifat Rasul Allah” diguna pakai semula.

Tak semua khalifah ni pemerintah yang adil dan soleh, ramai juga yang zalim dan lemah. Tapi selain tahun 1258-1261 di mana institusi Khalifah digantungkan seketika akibat serangan orang Mongol, tak pernah umat Islam meninggalkan idea khilafah kerana ia melambangkan perpaduan (“unity”) umat. Yang anehnya pada hari ini, idea khilafah hampir menjadi “oblivion” malah dipandang sebagai idea yang kolot dan tak bertamadun. Dan istilah khilafah turut dirosakkan oleh ISIS.

“Universal caliphate” yang terakhir ialah Khilafah Uthmaniyah atau “Ottoman Caliphate” dalam Bahasa Inggeris. Seperti Umayah dan Abbasiyah, pemerintah Uthmaniyah juga memperolehi gelaran khilafah menerusi peperangan dan kekerasan. Pada tahun 1517, Uthmaniyah di bawah pemerintahan Sultan Selim I telah menyerang kerajaan Mamluk di Kaherah yang merupakan penaung kepada khalifah Abbasiyah selepas kejatuhan kota Baghdad pada tahun 1258. Akibat daripada kekalahan Mamluk, khalifah Abbasiyah yang terakhir iaitu Al-Mutawwakkil menyerahkan gelaran khalifah kepada Selim I.

Ramai yang mempertikaikan keabsahan (“legitimacy”) khilafah Uthmaniyah kerana Bani Uthmaniyah ni bukan orang Arab. Mereka orang Turki. Namun kalau dilihat secara retrospek, kita boleh faham kenapa Uthmaniyah begitu mahukan khilafah.

Awal abad ke-16 merupakan tempoh yang kritikal bagi umat Islam. Kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol dan Portugal sudah menghapuskan kuasa umat Islam di Andalusia dan mereka mencapai kejayaan besar dalam teknologi pelayaran. Menjelang 1510-an, Portugal sudah berjaya menguasai Hormuz (1507), Goa (1510) dan Melaka (1511) yang merupakan pusat perdagangan orang Islam yang terpenting ketika itu. Kerajaan Mamluk tidak mampu menghadapi kekuatan Portugal, membolehkan Portugal menguasai Lautan Hindi yang selama ini dianggap sebagai “tasik orang Islam” (“Moslem Lake”).

Uthmaniyah berjaya memperkasa semula jawatan khalifah yang sudah menjadi lemah semasa Dinasti Abbasiyah. Selepas Uthmaniyah mengambil alih khilafah, mereka bersungguh-sungguh untuk memperbaiki imbangan kuasa (“balance of power”) antara dunia Islam dan dunia Eropah. Uthmaniyah menekankan pembangunan tentera laut sehingga melahirkan kapten-kapten yang hebat seperti Hayreddin Barbarossa, Kemal Reis dan Piri Reis. Bukan saja Uthmaniyah berjaya menguasai semula Lautan Hindi dan Laut Mediterranean, malah di darat, Uthmaniyah berjaya mencapai daerah jantung Eropah iaitu Vienna pada 1529.

Walaupun tak seluruh dunia Islam berada di bawah penguasaan Uthmaniyah, namun autoritinya diiktiraf oleh sultan-sultan di Morocco, India, Aceh malah di Parsi selepas kejatuhan Safawiyah yang beraliran Syiah. Dengan menyatukan kembali dunia Islam yang berpecah, Uthmaniyah bukan saja memanjangkan kelangsungan hidup (“survival””) umat Islam, malah mengancam kelangsungan hidup Eropah yang sedang menekan dunia Islam.

Di mata imperialis Eropah seperti Britain, selagi khilafah tak jatuh, selagi itu mereka tak dapat menguasai dunia Islam. Dengan memecahkan umat Islam kepada negara-negara bangsa yang berasingan, umat Islam hanya akan bergerak atas dasar kepentingan negara (“national interest”) dan tidak sesekali bergerak sebagai satu umat.

Cuma cabarannya: sekiranya kita mahu menghidupkan kembali institusi khilafah, apakah bentuknya? Monarki? Republik? Persekutuan? Empayar? Supranational Union? Dan siapa yang boleh diberi amanah untuk menerajuinya? Orang Turki? Orang Arab tak setuju. Orang Arab? Orang Turki dan orang Parsi tak setuju. Orang Malaysia? Mungkin orang Indonesia tak setuju. Adakah kita terlalu “selesa” dengan idea negara-bangsa sehingga menganggap khilafah sebagai sesuatu yang tidak relevan malah tidak bernilai langsung untuk diperdebatkan?

Sesuatu yang wajar direnungkan oleh kita semua.

(dalam gambar: Erdogan mengadakan peringatan kemangkatan Sultan Abdul Hamid II ke-100 pada 10 Februari 2018 baru-baru ini. Sultan Abdul Hamid II merupakan khalifah Uthmaniyah terakhir yang berkuasa sebelum kudeta Young Turks tahun 1908 yang menjadikan khalifah sebagai boneka. Apa yang bermain dalam otak Erdogan?)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.