Moving Forward As One

ACAB: Band Bawah Tanah Paling Gemilang

3,077

Nothing to win,
Nothing to gain,
Everyday same all story again,
Nothing change,
We are trapped in their own game.

ACAB boleh dikatakan antara band paling sukses dalam arena muzik bawah tanah negara. Walaupun ACAB tidak pernah mengangkat muzik mereka ke arus perdana tetapi ianya sudah cukup membuatkan band tersebut sangat dikenali. Boleh dikatakan suatu ketika dahulu, sesiapa yang mahu belajar main gitar, pastikan lagu dari ACAB akan jadi pilihan awal. Lebih mengujakan lagi kebanyakkan lagu ACAB boleh diterima oleh mat rock kapak. Persoalannya sekarang bagaimana ACAB boleh tercipta?

Sebenarnya asas ACAB telah dimulakan oleh Megat Hafiz dan Edy J Herwan sejak mereka bermain dalam band Sex and Violence. Ketika itu mereka hanya tubuhkan banda hanya semata-mata untuk berseronok bermain muzik. Disebabkan mereka berdua tekad untuk lebih serius dalam muzik, maka terhasil kumpulan ACAB pada tahun 1994.

Mereka berdua telah menjemput masuk Anas, Sham dan juga Black untuk melengkapkan lagi line up ACAB. Salah satu tujuan penubuhan ACAB ketika itu adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat Malaysia genre muzik oi yang belum pernah dimainkan oleh mana-mana band sekalipun. Pada tahun 1995 ACAB telah mengeluarkan demo bertajuk ACAB bagi menandakan kehadiran mereka dalam industri muzik Malaysia. Demo ini terjual sekitar 500 unit walaupun promosi kurang dilakukan. Antara kejayaan demo ini adalah lagu-lagunya telah dijadikan sebagai cap mohor bagi pergerakan skinhead negara.

Lantaran daripada kejayaan kecil ini, ACAB telah melancar EP Unite & Fight setahun selepas itu. Malangnya ketika proses rakaman sedang berlangsung, Anas dan Black telah menarik diri. Hal itu tidak memberi kesan yang ketara kepada ACAB kerana berjaya juga menyiapkan EP tersebut dengan bantuan anggota baru iaitu Zul. EP ini telah terjual sebanyak 2000 unit dan dipasarkan ke luar negara.

Tahun 1997 menyaksikan Zul pula menarik diri lantas membuatkan hanya tinggal Megat dan Edy sebagai anggota ACAB. Ianya tidak menjadi masalah apabila Edy telah mengambil alih posisi drum. Manakala Megat pula menjadi pemain gitar dan vokalis. Disebalik penarikan diri beberapa ahli kumpulan, ACAB masih lagi mampu menghasilkan album yang mantap melalui Eastern Oi yang berjaya terjual sebanyak 10,000 unit dalam masa singkat.

Disebalik kejayaan ini, terdapat berita yang mendukacitakan iaitu Edy J Herwan telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada ACAB. Situasi ini menyebabkan hanya Megat seorang sahaja yang tinggal sebagai ahli ACAB dan beliau tetap teruskan perjuangan walaupun dilanda sedikit kesedihan. Semua ini dapat dilihat melalui lagu Rintangan Hidup Dunia yang dirakamkan dalam album Tribute To Rusty Blade.

Memasuki tahun 2001, Sham dan Edy kembali ke pangkuan ACAB lantas membuatkan album kedua mereka iaitu Skinhead 4 Life terzahir.. Dalam album tersebut, lagu Skinhead For Life dan Skinhead Selamanya menjadi antara yang paling banyak menjadi siulan peminat. Ajaibnya album ini adalah ianya berjaya dijual sebanyak 4000 unit dalam masa sebulan sahaja.

Selepas itu, ACAB tidak menoleh ke belakang lagi dengan hasrat untuk menghasilkan album berbahasa Melayu pertama mereka iaitu Orang Timur. Album ini sebenarnya lebih kepada tribute kepada SYJ kerana hanya mengandungi dua sahaja lagu daripada ACAB. Buat pengetahuan anda semua, SYJ boleh dikatakan sebagai antara influence utama ACAB dalam penulisan lirik dan penghasilan lagu.

Kita semua tahu ketika era Battle of Band, SYJ merupakan band yang agak “liar”. Penampilan SYJ boleh dikatakan agak ganas dan lagu mereka juga banyak bercerita mengenai keadaan semasa negara melalui lagu Orang Timur, Syurga Di Hujung Jarum serta Hati Syaitan. Mungkin dari situ ACAB mendapat ilham daripada SYJ.

Kebanyakkan lagu ACAB juga menceritakan mengenai hal-hal semasa yang terjadi di Malaysia serta perjuangan golongan pekerja (B40). Manakala muzik ACAB bukanlah pure oi seperti kebanyakkan band oi di barat. Boleh dikatakan ACAB telah mengadunkan oi dan heavymetal/rock kapak sebagai cap mohor mereka. Melalui album Orang Timur, peminat rock kapak terus mampu menghadam muzik dan lirim yang dibawa oleh ACAB.

Dua tahun selepas itu barulah ACAB mengeluarkan album berbahasa Melayu ciptaan mereka sepenuhnya yang bertajuk Bangun. Album ini boleh dikatakan sebagai yang terakhir sebelum ACAB berhibernasi begitu panjang.

ACAB membuat kejutan apabila muncul kembali dengan imej baru iaitu THE ACAB bersama anggota baru iaitu Megat, Edy, Irfan dan Mono. Kumpukan baru ini mengangkat rock indie sebagai genre utama mereka dan berhasrat untuk meluaskan empayar ke arena arus perdana. Sayangkan kumpulan ini kurang mendapat perhatian peminat walaupun telah mengeluarkan album This is The ACAB. Mungkin semuanya berpunca daripada perubahan genre muzik yang kurang digemari oleh peminat. Selepas itu The ACAB terus terkubur untuk selama-lamanya.

Hari ini ACAB kembali daripada lena yang panjang dan pada 2020 lalu, ACAB telah mengeluarkan album Demonstration ’95 Revisited dengan satu lagu baru. Baru-baru ini telah berlangsung gig Bangun Orang Timur oleh ACAB dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Di masa hadapan, mungkin ACAB boleh mengadakan konsert sebagai mana Butterfinggers pada 2019.

Kehadiran ACAB telah meninggalkan impak yang cukup dalam buat arena muzik bawah tanah negara. Malah kumpulan ini juga digelar sebagai The Godfather of Skinhead/Oi. Kehadiran ACAB telah membangkitkan beberapa kumpulan yang bermain muzik oi iaitu The Official dan The Suspect Aka. Jadi lagu ACAB manakah yang sedang menari-mari di halwa pendengaran anda?

RUJUKAN:

Bunga Nuing Channel. (2020, Mac 7). Penubuhan (A.C.A.B) skinhead. [Fail video]. Dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=HwgM3D59htc

Gegar. (2021, April 9). Begitu Begini DJ Nazz bersama A.C.A.B. [Fail video]. Dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=eRC3MfaUNXQ&t=149s

Music Addicted Malaysia. (2020, Ogos 16). Skinhead, ACAB dan jiwa rock melayu. [Facebook update]. Dipetik daripada https://www.facebook.com/MusicAddictsMalaysia/posts/364490571618009

Ruangan komen telah ditutup.