Abramovich Pun Kena TPO?

613

https://bit.ky/kombowww

Baru-baru ini, dunia kewangan dikejutkan dengan pelbagai pendedahan fail-fail FinCEN tersebut termasuk pergerakan aliran wang haram membabitkan beberapa bank terkemuka dunia.

Dunia sukan tidak terlepas terpalit dengan pendedahan ini apabila pemilik Chelsea, Roman Abramovich dikatakan mempunyai pegangan pemilikan rahsia terhadap beberapa pemain yang bukan dari kelabnya itu.

Pendedahan fail FinCEN mendedahkan Abramovich mempunyai pegangan pemilikan 12 orang pemain menerusi syarikat pegangannya yang berpangkalan di luar negara, Leiston Holdings.

Antara pemain yang terlibat ialah bekas pemain sayap Watford, Andre Carillo semasa bersama Sporting Lisbon, Gael Etock dan Valentin Viola. Apa yang dilakukan Leiston sebenarnya ialah pemilikan pemain melalui pihak ketiga (TPO).

Di sini, pelabur akan mengambil sejumlah besar pemilikan pemain termasuk nilai perpindahan pada masa akan datang daripada kelab-kelab yang memerlukan duit. Antara kes pemain TPO yang terkenal ialah Carlos Tevez dan Javier Mascherano semasa mereka berpindah ke West Ham pada hari terakhir perpindahan 2006-2007.

Kes tersebut kemudiannya menimbulkan perdebatan hangat lebih-lebih lagi selepas West Ham terselamat daripada penyingkiran Liga Perdana Inggeris (PL) pada akhir musim. Sheffield United yang tersingkir pada akhir musim tersebut memfailkan saman di mahkamah sebelum kedua-dua pihak bersetuju membuat penyelesaian luar mahkamah dengan kos melebihi £10juta.

Hammers turut didenda £5.5 juta oleh tribunal liga akibat isu TPO. TPO kemudiannya diharamkan liga pada tahun 2008 sebelum disusuli oleh pengharaman FIFA pada tahun 2015.

Bagi bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak (FA), Lord Triesman, ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Dalam satu temubual bersama rancangan terbitan BBC, Panorama, Triesman berkata, “Saya tidak fikir ia munasabah bagi seorang pemilik kelab bola sepak memiliki pemain dari kelab-kelab lain.

Inilah sebab mengapa TPO diharamkan. Ia mencetuskan kecurigaan dan bayangan terhadap sukan bola sepak. Selepas melihat dokumen-dokumen, jika saya pengerusi FA, sudah pasti saya mahu ia disiasat.”

Pendedahan ini timbul tatkala Chelsea membelanjakan lebih £200 juta untuk mendapatkan pemain-pemain baru bagi saingan liga yang baru bermula minggu lepas. Sebelumnya pada tahun 2016, satu laporan aktiviti mencurigakan (SAR) difailkan sebuah bank terhadap Abramovich.

Dalam SAR tersebut, mereka melaporkan lebih AS$1 bilion bayaran mencurigakan membabitkan beberapa shell company dipercayai milik jutawan Rusia itu. Salah satu transaksi kewangan yang dikesan ialah sembilan transaksi membabitkan sebuah syarikat dari Cyprus dengan Leiston berjumlah AS$156 juta.

Leiston turut menarik perhatian umum apabila disebut dalam satu laporan siasatan Der Spiegel pada tahun 2018 sebagai syarikat pelaburan untuk TPO. Siasatan Panorama mendapati kedua-dua syarikat berkenaan dimiliki oleh Abramovich.

Chelsea turut diberi keutamaan membeli pemain yang dimiliki Leiston sekiranya berminat. Jadi, bagaimana perkara ini bermula? Pada tahun 2011, Leiston meminjamkan €1 juta (RM4.85 juta) kepada Sporting bagi membolehkan mereka mendapatkan Carillo dari Allianza Lima.

Seperti dalam mana-mana perjanjian TPO, ia mengandungi pelbagai klausa termasuk bayaran sebanyak 45% kepada Leiston sekiranya Lisbon menerima tawaran perpindahan Carillo melebihi €6 juta (RM29.1 juta)

Akaun kelab turut menunjukkan Lisbon berhutang dengan Leiston €2.6 juta pada 2014-2015. Bila diminta mengulas isu TPO, legenda Liverpool John Barnes menyifatkan walaupun ia tidak menyalahi undang-undang secara dasarnya, amat penting bagi pemain mempunyai identiti dan kesetiaan terhadap kelab dan para penyokong.

Beliau menambah, “Dari segi pandangan moral dan integriti sukan, bila anda menyertai sesebuah kelab, integriti dan kesetiaan anda kepada kelab harus mencecah 100%.” Apabila pendedahan ini timbul, seorang jurucakap Abramovich menegaskan jutawan Rusia itu tidak melakukan apa-apa kesalahan dan bila ia ditanda sebagai rahsia, itu tidak bermakna ia menyalahi undang-undang.

Malah, jurucakapnya menambah memandangkan perkara itu berlaku sebelum pengharaman FIFA pada tahun 2015 dan mereka tidak sedar tentang perkara itu, maka itu tidak sepatutnya menjadi isu.

RUJUKAN:

BBC News. (2020). FinCEN Files: Roman Abramovich had secret stakes in rival players. Dipetik daripada https://www.bbc.com/news/uk-54229269

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.