Perjuangan para ulama dalam mendapatkan usaha kemerdekaan dan membanteras penindasan bukan sesuatu yang baru dalam sejarah. Tanah air kita sendiri menyaksikan kelibat Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh yang menolak pendudukan British.

Di Libya pula, Sheikh Umar Mukhtar mengetuai perjuangan menentang pendudukan Itali sehinggakan pihak musuh mengagumi kesungguhannya itu. Di Afrika Selatan, perjuangan menentang rejim aparteid bukan saja disertai figura hebat seperti Nelson Mandela tetapi juga ulama seperti Abdullah Haron.

Imam Abdullah Haron merupakan anak jati Newlands-Claremont, Cape Town dan dilahirkan pada 8 Februari 1924 . Beliau merupakan anak bongsu dari lima adik-beradik dan dibesarkan oleh ibu saudara dari sebelah ayahnya selepas ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Selepas mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Talfalah, Imam Abdullah berkelana ke Makkah untuk menuntut ilmu agama dengan salah seorang gurunya ialah Sheikh Abdurahman al-Alawi al-Maliki. Sekembalinya ke Cape Town, beliau berguru pula Sheikh Abdullah Taha Gamieldien dan Sheikh Ismail Ganief. Semasa tempoh ini juga, beliau turut mendirikan rumah tangga dengan Galiema Sadan pada tahun 1950 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Imam Abdullah merupakan antara imam paling muda dilantik di Afrika Selatan pada tahun 1955. Beliau hanya berusia 32 tahun semasa dilantik sebagai imam untuk mengetuai solat berjemaah di Masjid Jalan Stegmann, Cape Town. Sebagai seorang agamawan yang mempunyai pandangan dunia yang luas, beliau berusaha mengeratkan hubungan komuniti pelbagai bangsa Muslim di situ.

Beliau bertanggungjawab menubuhkan kelas-kelas pendidikan untuk orang dewasa, kumpulan diskusi di mana tajuk dipilih oleh golongan belia dan golongan wanita diajak menyertainya sekali. Dan bagi menarik minat kanak-kanak dengan masjid, Imam Abdullah menggalakkan mereka duduk di saf hadapan dan bukan saf belakang serta memberi peluang kepada mereka menjadi imam solat berjemaah.

Bagi memastikan anak-anak muda bersifat celik minda terutama dengan perkembangan semasa, Imam Abdullah turut menjemput figura-figura dari luar komuniti Muslim seperti pemimpin kesatuan pekerja dan ahli politik liberal datang dan bercerita situasi semasa yang berlaku ketika itu. Kesediaan agamawan ini bergabung dengan ramai pihak untuk meruntuhkan sistem aparteid termasuk kelompok Kristian dan komunis menjadikannya sebagai antara figura yang amat ditakuti oleh rejim aparteid.

Salah seorang bekas pelajarnya yang juga bekas pemain ragbi, Yusuf ‘Jowa’ Abrahams masih ingat bagaimana gurunya berusaha meningkatkan kesedaran menentang rejim aparteid terutama membabitkan golongan yang paling terkesan iaitu orang kulit hitam Afrika Selatan.

Beliau berkata, “Beliau mengatakan kepada kami bahawa kami perlu meruntuhkan sistem aparteid dan bekerja ke arah masa hadapan.” Manifestasi semangat anti-aparteidnya dibuktikan menerusi kunjungannya ke kawasan-kawasan majoriti komuniti kulit hitam seperti Langa, Gugulethu dan Nyanga. Dan mereka mempunyai gelaran mesra untuk agamawan itu iaitu mfundisi atau imam.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai imam di Masjid Jalan Stegmann, Imam Abdullah turut bekerja sebagai jurujual untuk syarikat pembuat manisan Wilson Rowntree. Dengan kerjanya itu, ini memudahkan beliau bergerak ke sana-sini tanpa perlu bimbang dengan implikasi perundangan walaupun selepas rejim melaksanakan langkah mengehadkan pergerakan penduduk dan memisahkan mereka mengikut kaum berdasarkan Akta Kawasan Kumpulan. Undang-undang ini mendapat kecaman ramai termasuk beliau sendiri. Pada tahun 1961, Imam Abdullah menggelar akta tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun dan tidak Islamik.

Tapi akibatnya empat tahun kemudian, seperti mana jutaan penduduk Afrika Selatan yang lain, beliau dan keluarganya kehilangan kediaman mereka. Kebanyakan imam sama ada takut atau enggan masuk campur dalam isu aparteid kerana itu bukan tugas mereka melawan penindasan dan kezaliman pemerintah.

Tetapi bagi Imam Abdullah, ia merupakan satu tanggungjawab dan itu mendorongnya terlibat dengan pergerakan rahsia anti-aparteid. Secara senyap-senyap, beliau mula berhubung dengan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) dan Kongres Pan-Afrika (PAC) yang ketika itu melancarkan perjuangan bersenjata terhadap rejim aparteid. Selain kedua-dua organisasi itu, Imam Abdullah turut berhubung dengan Black Sash, sebuah pertubuhan kebajikan dan perundangan yang dianggotai sukarelawan berbangsa kulit putih.

Pada tahun 1966 dan akhir tahun 1968, Imam Abdullah berangkat ke Arab Saudi untuk menunaikan fardu haji di Makkah. Pada akhir tahun itu juga, beliau berkesempatan bertemu dengan Raja Faisal dan Menteri Pendidikan Saudi, Hasan Abdullah Ali Shaykh untuk membincangkan isu pendidikan. Tempoh tersebut turut menyaksikan Imam Abdullah berkelana ke Mesir untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin Afrika Selatan yang duduk dalam buangan dan menghadiri satu persidangan perwakilan Muslim yang turut dihadiri wakil PAC dan ANC.

Dari Kaherah, beliau kemudiannya bertolak ke London di mana ketika itu, anak sulungnya Shamela sedang melanjutkan pelajaran di sana. Di sinilah, Imam Abdullah mengadakan pertemuan dengan seorang paderi Anglican dari Katedral St Paul, Canon John Collins.

Collins ialah seorang paderi yang bertanggungjawab meraih dana untuk membantu keluarga-keluarga aktivis politik yang miskin selepas mereka ditahan, dibunuh atau dipaksa duduk dalam buangan. Kedua-duanya menjalin hubungan akrab dan Imam Abdullah bersedia membantu menyeludupkan wang untuk membantu keluarga-keluarga pemimpin dan aktivis politik yang ditimpa kesusahan sekembalinya ke Afrika Selatan.

Rajah 2: Canon John Collins.

Tetapi semasa beliau berada di luar negara, rejim aparteid sudah memerhatikan gerak-gerinya melalui Cawangan Keselamatan Afrika Selatan dan dinasihatkan berhijrah ke luar negara untuk mengelak dari menjadi mangsa kekejaman rejim.

Sekembalinya ke Afrika Selatan untuk menjaga bapanya yang kurang sihat, Imam Abdullah cuba memohon berhijrah ke Kanada tetapi ditolak oleh pihak kerajaan. Pada tahun 1969, tidak lama selepas kembali dari luar negara, beliau ditahan oleh pihak berkuasa dan empat bulan selepas itu atau 27 September 1969, meninggal dunia semasa dalam tahanan mereka.

Pada hari pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Mowbray, lebih 30,000 orang dari pelbagai latar belakang dan agama datang memberi penghormatan terakhir dan mengadakan protes anti-kerajaan dan anti-polis. Salah seorang yang hadir ialah guru berfahaman Marxist, Victor Wessels.

Pada hari tersebut, dia berkata, “Beliau (Imam Abdullah) meninggal dunia bukan saja untuk orang Islam. Beliau mati demi perjuangan iaitu perjuangan membebaskan manusia dari kezaliman dan penindasan.” Satu upacara penghormatan turut diadakan di London pada 6 Oktober 1969 di St Paul oleh Canon Collins. Canon Collins menggelar beliau sebagai seorang syuhada, satu penghormatan yang diraih beliau merentasi perbezaan agama dan kaum.

Rajah 3: 30,000 orang menghadiri pengebumian Imam Abdullah. Kredit: https://www.bbc.com/news/world-africa-49850411

Sehingga hari ini, usaha untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa-mangsa aparteid termasuk Imam Abdullah terus digerakkan. Menurut rekod rasmi rejim, beliau meninggal dunia selepas terjatuh dari tangga dan menegaskan kecederaan pada tubuhnya iaitu dua rahang yang patah dan 27 kesan lebam akibat kejadian itu. Ironi kerana mereka juga dikenali dengan taktik penyeksaan yang kejam ke atas ramai mangsa.

Namun, keterangan rasmi itu ditolak keluarga beliau dan meminta satu lagi inkues dijalankan sempena 50 tahun kematian beliau. Kempen ini turut disokong oleh seniman Afrika Selatan terkenal, Haroon Gunn-Salie dan menyifatkan inkues patut dijalankan kepada kesemua mangsa rejim yang mati dalam tahanan agar dapat memberi ketenangan kepada keluarga waris.

RUJUKAN:

Brown, Audrey. (2019). The imam who died fighting racism in South Africa. BBC. https://www.bbc.com/news/world-africa-49850411


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.