Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid bin Abdul Kadir merupakan antara tokoh agama yang terkemuka di negeri Terengganu Darul Iman. Meskipun beliau bermula sebagai seorang tokoh agama dan pendakwah, namun, namanya mekar sebagai salah seorang yang bertanggungjawab membela nasib rakyat Terengganu dan berperanan penting dalam kebangkitan rakyat pada waktu itu.

Sejarah awal

Haji Abdul Rahman Limbong yang dilahirkan pada tahun 1868 turut dikenali sebagai Tok Limbong dan Haji Derahman Limbong merupakan anak jati Terengganu yang dilahirkan di Kampung Jenguk Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa beliau telah dilahirkan di kampung ibunya, iaitu di Belukar Bilang, Ulu Telemong. Haji Abdul Rahman Limbong dikenali dan disayangi ramai dengan personaliti yang begitu menyenangkan. Beliau merupakan seorang yang peramah, berperibadi baik, mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang, malah sangat pemurah dengan masyarakat setempat. Berdasarkan kisah-kisah serta biografi sejarah yang ditulis, Haji Abdul Rahman Limbong dikatakan mempunyai fizikal yang kecil dan sikap serta penampilan yang ditonjolkannya menyamai seorang sufi.

Haji Abdul Rahman Limbong telah mendapat pendidikan awalnya daripada bapa saudaranya, iaitu Haji Tun Mohammad Zin (Tun Mamat) di Mekah, dan beliau telah menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Mekah. Bapa saudaranya adalah orang yang bertanggungjawab memberi pendidikan awal tentang selok belok agama kepada Haji Abdul Rahman Limbong dan Tun Mamat juga sangat rapat dengan anak saudaranya itu. Sekembalinya dari Mekah, Haji Abdul Rahman Limbong yang begitu cintakan ilmu telah berguru pula dengan Haji Yaacob Paya Bunga, dan hasil didikan yang diberikan oleh guru ini telah membuatkan beliau mampu menghabiskan pengajiannya dalam masa dua bulan sahaja. Setelah itu, Haji Abdul Rahman Limbong menyambung lagi pengajiannya dengan Haji Wan Musa, yang juga berada di Paya Bunga, Kuala Terengganu.

Setelah selesai pengajiannya dengan Haji Wan Musa, Haji Abdul Rahman Limbong begitu ingin sekali menuntut ilmu daripada ulama’ terkemuka di Terengganu pada waktu itu, iaitu Tokku Paloh. Apa yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong pada peringkat awal beliau memulakan pengajian dengan Tokku Paloh ialah dengan berkhidmat sebagai khadam. Kerja-kerja yang dilakukan oleh beliau termasuklah memotong kayu, membersihkan halaman, membersihkan surau, menyediakan air di kolah dan pelbagai kerja lain. Apa yang menarik, Haji Abdul Rahman Limbong akan mendengar kuliah dan pengajian yang disampaikan oleh Tokku Paloh secara senyap-senyap dari belakang kawasan surau kuliah tersebut diadakan. Hal ini berlanjutan beberapa lama, sehinggalah Tokku Paloh menyedari akan hal tersebut dan akhirnya beliau berjaya menuntut ilmu secara formal seperti pelajar-pelajar yang lain.

Haji Abdul Rahman Limbong sangat disayangi oleh Tokku Paloh, malah pembentukan peribadi dan personaliti beliau amat dipengaruhi tarbiah yang diberikan oleh Tokku Paloh. Tokku Paloh sendiri dikatakan pernah membayangkan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai penggantinya sebagai ulama’ terkemuka di Terengganu. Kisah Haji Abdul Rahman Limbong yang sangat disayangi oleh Tokku Paloh ini juga sebenarnya banyak mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anak murid Tokku Paloh yang lain.

Terdapat suatu kisah di mana anak-anak murid Tokku Paloh yang lain ini mengekori Haji Abdul Rahman Limbong kerana ingin mengetahui apakah rahsia yang dimilikinya sehingga begitu disayangi oleh Tokku Paloh. Sewaktu mereka sedang mengekori beliau, secara tiba-tiba Haji Abdul Rahman Limbong telah hilang dan lenyap daripada pandangan mereka yang sedang mengekori itu. Hal ini dikaitkan dengan karamah atau keistimewaan yang dimiliki oleh Haji Abdul Rahman Limbong hasil ketinggian ilmunya. Peristiwa karamah dan perkara luar biasa ini sebenarnya acapkali berlaku pada Haji Abdul Rahman Limbong di mana dalam satu kisah yang lain yang berlaku di antara beliau dengan seorang pengemis.

Terdapat seorang pengemis yang datang meminta sedekah kepada beliau dan Haji Abdul Rahman Limbong telah mengarahkan pengemis itu untuk mengambil hanya segantang beras di sebuah tempat simpanan padi. Namun, akibat tamak, pengemis itu mula mengambil beras dalam jumlah yang banyak kerana menyangka Haji Abdul Rahman Limbong tidak akan mengetahuinya. Secara tiba-tiba, pengemis itu tidak dapat mencari jalan keluar dan terperangkap sehinggalah Haji Abdul Rahman Limbong muncul dan pengemis itu meminta maaf atas sikap tamaknya itu.

Gelaran Limbong yang digunakan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ini sebenarnya kerana beliau bertugas sebagai seorang guru agama di Kampung Limbong, Chukai, Kemaman, Terengganu selepas tamat pengajiannya. Selain itu, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa gelaran Limbong ini diperoleh kerana beliau sering mengunjungi kawasan Kampung Limbong di Kemaman tersebut.

Pengalaman kerja

Haji Abdul Rahman Limbong bertugas sebagai seorang guru agama dan merupakan tokoh ilmuan yang terkemuka di Terengganu. Beliau sering menjadi rujukan masyarakat dalam menyelesaikan banyak permasalahan yang berkaitan dengan hal ehwal agama dan undang-undang. Beliau pernah dihantar ke Mekah sebagai salah seorang tahanan politik, dan pada waktu itu, beliau berpeluang untuk mengajar di masjid di Mekah. Ramai dalam kalangan orang dari Tanah Melayu datang ke Mekah pada waktu itu untuk menuntut ilmu daripada Haji Abdul Rahman Limbong.

Selain itu, Haji Abdul Rahman Limbong juga merupakan seorang peniaga yang rajin bekerja serta seorang petani. Sebahagian besar daripada rutin hariannya banyak dihabiskan dengan menenun pakaian, membuat terompah, terendak serta pelbagai lagi barangan dan peralatan yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa Haji Abdul Rahman Limbong bukan sahaja berperanan dalam menyampaikan dakwah dan menyebarkan agama Islam, malah beliau turut mempunyai peranan dalam aspek ekonomi rakyat pada waktu itu dengan mengusahakan pelbagai perniagaan dan bertani.

Peranannya sebagai seorang ahli perniagaan terserlah apabila beliau berjaya menghantar 500 tan kapur ke daerah Kuantan, dengan bantuan sebuah kapal buatannya sendiri, yang diselenggara oleh lima orang anak kapal dan diketuai oleh Haji Wan Nawang Sedara. Dalam pekerjaannya sebagai seorang petani pula, Haji Abdul Rahman Limbong bersama-sama dengan para penduduk kampung telah mengusahakan tanaman pisang, jagung, padi serta kapas. Dek kerana keterlibatannya dalam usaha tani inilah yang menjadi titik tolak bagaimana beliau mula memperjuangkan nasib para penduduk yang sebahagian besarnya bekerja sebagai petani pada masa itu.

Perjuangan menentang penjajah

Kisah perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong dalam menentang para penjajah adalah panjang, dan beliau adalah antara individu penting dalam kebangkitan rakyat Terengganu pada waktu itu. Meskipun beliau tidak terlibat secara fizikal dalam siri-siri pemberontakan yang berlaku di Terengganu pada tahun 1922, 1925 dan 1928, namun semangat, motivasi dan sokongan yang diberikan olehnya kepada para penduduk telah menaikkan semangat mereka untuk terus berjuang.

Antara siri perjuangan yang paling diingati ialah bagaimana beliau menyokong penentangan terhadap  perintah undang-undang cukai tanah dan larangan untuk menebas hutan yang dilaksanakan oleh pihak British pada waktu itu. Keadaan ini telah menyebabkan pihak British berasa tercabar dengan tindakan yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong sehingga beliau diberi amaran oleh pihak British.

Pada tahun 1923, Haji Abdul Rahman Limbong telah mewakili beberapa orang penduduk dari kawasan Hulu Terengganu (Telemong) untuk menghantar surat kepada Komisioner Tanah Terengganu. Tujuan utama penghantaran surat berkenaan ialah untuk meminta pihak Komisioner bagi mempertimbangkan semula isu pemilikan tanah rakyat dan isu itu dapat dibawa kepada kerajaan. Beliau juga berharap agar surat itu dapat menjadi permulaan untuk keadilan demi para penduduk.

Setelah beberapa siri penentangan, peristiwa turun naik mahkamah dan tekanan yang diberikan oleh pihak British, Haji Abdul Rahman Limbong telah ditangkap di rumahnya di Kampung Beladau atas tuduhan terlibat dengan pemberontakan pada tahun 1928. Beliau telah dibawa ke Istana Maziah dan disoal siasat pada 28 Mei 1928. Atas nasihat yang diberikan oleh Dato’ Seri Amar Diraja, Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya telah dibuang negeri ke Mekah sebagai hukuman untuknya dan segala perbelanjaan dan urusan penghantaran beliau ke Mekah telah diuruskan oleh pihak kerajaan negeri Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong telah meneruskan usaha dakwahnya dan mengajar agama kepada orang-orang Tanah Melayu yang berkunjung ke Mekah pada waktu itu. Haji Abdul Rahman Limbong telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 6 November 1929, dan telah dikebumikan di bumi Mekah.

Kesimpulan

Haji Abdul Rahman Limbong, sebagai anak jati Terengganu telah banyak memberi sumbangan kepada para penduduk tempatan, sama ada dalam bidang agama, undang-undang atau ekonomi. Meskipun, keterlibatannya dalam perjuangan menentang penjajah bukanlah secara langsung dan tidak secara fizikal, namun, semangat yang sentiasa ditiupkan buat para penduduk amat penting dan membuka jalan buat mereka untuk tidak terlalu tunduk kepada pihak penjajah. Pendekatan secara hikmah yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong dalam memenangi hati rakyat adalah nilai penting yang menjadikan beliau antara tokoh penting dalam sejarah Terengganu.

Rujukan

Abdul Qayyum, M. S., & Mohd Roslan, M. (2011). Haji Abdul Rahman Limbong dan Kebangkitan Rakyat di Terengganu 1928. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 25–26.

Berhanundin, A., Kamaruzzaman, Y., Mansoureh, E., & Ruzaini, S. (2015). Haji Abdul Rahman Limbong (1868-1928) Fighter Against The Colonialist. Mediterranean Journal of Social Sciences, 6(6), 281–289.

Mohd Roslan, M. N., Mohamad Fauzi, Z., & Noorzahidah, M. Z. (2011). Keterlibatan Ulama ’ dalam Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 25–26.

Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul  Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia         Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.

Muhammad Yusoff Hashim. (1991). Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.