Rabu, 23 September 2026
Alam Melayu

Abdul Rahim Kajai: Bapa Kewartawanan Melayu

Bagi
mana-mana individu yang melihat kerjaya kami sebagai penulis, mungkin ada yang
beranggapan pekerjaan sebegini kacang sahaja. Hakikatnya, ia bukan satu tugas
yang mudah terutama dalam bidang kewartawanan kerana perlu mencari dan
mengesahkan sesebuah maklumat, memilih prosa dan perkataan yang sesuai bagi
sesebuah artikel dan akhir sekali melihat sejauh mana artikel berkenaan memberi
impak kepada pembaca. Atas sebab itulah, tidak salah untuk kita memberi
penghormatan kepada Bapa Kewartawanan Melayu terbilang, Abdul Rahim Kajai.

Abdul
Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim Haji Salim merupakan anak jati
Setapak, Kuala Lumpur dan dilahirkan pada tahun 1894. Nama Kajai dipilih beliau
sempena nama kampung ibu bapanya iaitu Kampung Kajai yang terletak di Sumatera
Barat. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Setapak pada tahun 1900,
Abdul Rahim berjaya hingga ke Darjah Lima dengan cemerlang pada tahun 1905.
Dengan pencapaian sebegini, ia turut membuka peluang kepadanya melanjutkan
pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kuala Lumpur.

Namun,
ibu bapanya merasakan ia bukan satu langkah yang terbaik. Sebaliknya, Haji
Salim memilih menghantar Abdul Rahim ke Makkah untuk mempelajari ilmu agama dan
Bahasa Arab. Selain merupakan tempat baginya menimba ilmu, bapanya juga
menguruskan perniagaan katering untuk memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah
ketika itu. Walaupun tidak berjaya ke sekolah Inggeris, beliau berusaha mempelajari
Bahasa Inggeris termasuk meminjam buku dari rakan-rakannya. Selepas berada di
Makkah selama tiga tahun, beliau kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1909 dan
mula bekerja sebagai penjilid buku dan pengatur huruf Melayu di Pejabat Cap Kerajaan
di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun.

Kemudian,
beliau berhijrah ke Singapura (1912-1913) untuk bekerja sebagai pengatur huruf
Inggeris di Malaya Publishing House (MPH). Semasa di Singapura inilah, Abdul
Rahim bertemu dengan bakal isterinya dan selepas menempoh alam baru bernama
rumahtangga, beliau sedar kerjaya sebagai pengatur huruf dilihat tidak
mencukupi. Atas sebab itulah, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan menimba
pengalaman sebagai pelukis sementara di Jabatan Ukur, Kuala Lumpur dan pada
masa sama menyumbang rencana-rencana sosial dan agama serta berita untuk dua
akhbar iaitu Utusan Melayu dan Lembaga Melayu.

Bagaimanapun,
beliau diuji dengan kematian bapanya pada tahun 1913 tatkala sudah merasa
selesa dengan pekerjaannya. Ini memaksa Abdul Rahim kembali ke Makkah bukan
saja untuk menjaga kakak/adiknya tetapi juga menguruskan perniagaan yang
ditinggalkan Allahyarham Haji Salim. Dan lebih banyak onak menanti apabila
Perang Dunia Pertama meletus pada 28 Julai 1914. Letusan perang ini
mengakibatkan beliau terpaksa duduk lebih lama di Makkah kerana kebanyakan
laluan perkapalan antarabangsa ditutup atas sebab keselamatan. Semasa di sana,
beliau menggunakan masa lapangnya membaca akhbar agar sentiasa cakna dengan
situasi semasa di Timur Tengah termasuk Perang Jarrab dan Perjanjian Darin.
Semua peristiwa ini menarik perhatian imaginasinya dan menambah kesedaran
tentang kepentingan kewartawanan dalam membentuk pandangan orang ramai.

Abdul
Halim akhirnya berjaya kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 1917 selepas
kebanyakan laluan perkapalan dibuka semula. Dengan kewujudan pelbagai akhbar
Melayu yang timbul bak cendawan tumbuh selepas hujan, beliau juga sedar untuk
menjadi seorang penulis dan wartawan yang berwibawa, seseorang penulis itu
perlulah mempunyai kemahiran bahasa dan ilmu yang hebat. Dan sepanjang awal
tahun 1920-an, Abdul Rahim menghadiri pelbagai kursus bagi menyediakannya
dengan sepak terajang dunia kewartawanan. Pada tahun 1925, beliau diambil
bekerja dengan akhbar Sinar Zaman yang ketika itu diketuai Mohd Yunus Abdul
Hamid. Abdul Rahim dipilih kerana mempunyai kenalan semasa berada di Timur
Tengah dan atas sebab itu juga, beliau dihantar kembali ke sana sebagai
koresponden akhbar mereka.

Selepas
dua tahun berada di Makkah, Abdul Rahim sekeluarga kembali ke Tanah Melayu
selepas mendengar berita kematian bondanya yang tercinta. Semasa di Kuala
Lumpur, beliau mula bekerja sebagai penulis khas bagi akhbar mingguan Saudara
yang ketika itu dikelola Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi. Pada masa inilah, nama
penanya Abdul Rahim Kajai digunakan dalam setiap penulisan artikelnya. Berkat
kesungguhan dan etika kerjanya, beliau menjadi penolong editor dan editor pada
tahun 1930. Semasa masa lapangnya, Abdul Rahim turut menghasilkan Hikayat
Dzul-Ruhain yang mengandungi penerbitan semula hasil kerja Syed Sheikh.

Walaupun
namanya mula meniti di bibir para pembaca, Abdul Rahim tidak mahu berhenti di
situ saja. Beliau kemudian menyertai pasukan penerbitan Majlis selepas ia
ditubuhkan pada 17 Disember 1931 sebagai editor. Abdul Rahim berusaha menukar
Majlis sebagai sebuah akhbar harian yang berprestij tetapi gagal. Majlis terus
kekal sebagai sebuah akhbar yang hanya diterbitkan dua kali seminggu. Kecewa
dengan usahanya itu, beliau kemudian menyertai Warta Malaya pada tahun 1935 dan
menjadi antara tonggak utama akhbar Melayu bebas pertama pada tahun 1930-an.
Perlu diingat, akhbar Melayu ketika itu didominasi pemilikannya oleh orang Arab
bukan Melayu, orang Arab-Melayu dan golongan Jawi Peranakan.

Menerusi
Warta Malaya yang mula diterbitkan pada 1 Januari 1930, ia memecah dominasi
golongan berkenaan dan menjadi pilihan ramai sehingga ke luar negara. Selain
sibuk menulis untuk Warta Malaya, Abdul Rahim juga turut menyumbang kepada dua
akhbar sisipan iaitu Warta Ahad dan Warta Jenaka. Kesibukan ini mendorongnya
berpindah ke Singapura dan antara rakannya di situ ialah pengasas Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Onn Jaafar dan bakal presiden pertama
Singapura Yusof Ishak. Akhbar-akhbar seperti Warta Melayu memainkan peranan
utama mencetuskan kesedaran bangsa itu dengan menceritakan kehidupan dan
masalah yang dihadapi oleh orang Melayu serta mengupas secara mendalam punca-punca
kelemahan bangsa itu dan masalah yang disebabkan oleh dasar-dasar British yang
bersifat diskriminasi. Warta Malaya turut mencatat sejarah sebagai akhbar
Melayu pertama yang dilanggan agensi-agensi berita antarabangsa.

Walaupun
dianggap berjaya menarik perhatian pembaca dengan pendekatan yang bersifat
proaktif dalam pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial, ia tidak
mampu berlawan dengan Utusan Melayu dan ditamatkan penerbitannya pada tahun
1941. Ramai tokoh utama Warta Malaya diserap masuk ke Utusan Melayu termasuklah
Abdul Rahim sendiri. Selain menjadi editor untuk Utusan Melayu, beliau juga
merupakan editor bagi sisipan berkala akhbar berkenaan iaitu Utusan Zaman dan
majalah Mustika (kini dikenali sebagai Mastika).

Apabila
Perang Dunia Kedua meletus, Abdul Rahim memutuskan untuk kembali ke Kuala
Lumpur. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu melepasi pelbagai sekatan
jalan hanya untuk sampai ke sana. Tetapi beliau berjaya sampai pada 11 Januari
1942, dua hari sebelum kereta perisai Jepun bergerak ke bandar berkenaan.
Selepas keadaan kembali normal, Abdul Rahim berjaya mendapat keizinan jabatan
propaganda Jepun untuk menerbitkan akhbar Perubahan Baru yang diterbitkan pada
tahun 1942. Selepas Perubahan Baru kelihatan stabil, beliau menghalakan semula
pandangannya ke Singapura menerusi penerbitan Berita Malai yang diterbitkan
pada 1 Januari 1943.

Namun,
Allah lebih menyayangi lelaki yang berjaya menyuntik semangat orang Melayu
dengan penulisannya yang bersifat segar dan kritis. Pada Ogos 1942, Abdul Rahim
jatuh sakit dan kesihatannya terus merosot sehinggalah beliau kembali ke
rahmatullah pada 5 Disember 1943 pada usia 49 tahun. Kehilangan beliau
merupakan satu tamparan hebat kepada gerakan kewartawanan dan nasionalisme
Melayu. Legasinya terus subur sehingga ke hari ini menerusi kewujudan Anugerah
Kajai, satu anugerah kewartawanan ulung yang diwujudkan pada tahun 1982.
Pemenang anugerah bukan saja mendapat penghormatan dan prestij tetapi juga
berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM30,000, sijil penghargaan dan trofi
sumbangan Institut Media Malaysia (MPI). Tetapi jika kita mahu menghormati
legasi lelaki bernama Abdul Rahim Kajai ini, hormatilah ia dengan menjadi
penulis yang telus dan berintegriti, bukannya sebagai penulis yang bersifat
mata duitan atau hanya berminat mengejar kisah berunsur sensasi dan
kontroversi.

SUMBER

1.
Teh Leam Seng, Alan. (2019). New Straits Times. Father of Malay Journalism. https://www.nst.com.my/lifestyle/pulse/2019/01/452146/father-malay-journalism

2.
Addly, Aman. (2014). Tokoh Negara Malaysia. Abdul Rahim Kajai. http://penatokoh.blogspot.com/2014/02/abdul-rahim-kajai.html

3. Abdul Rahim, Tarmizi. (2015). Jasa Rahim Kajai
kepada negara. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jasa-rahim-kajai-kepada-negara-1.84525

Kongsi

No comments yet