“Itu burunglah.”

“Bukan, itu pesawatlah.”

“Bukanlah, itu Superman!”

Bagi yang membesar dengan kartun-kartun hujung minggu di TV3, pasti sudah biasa mendengar dialog awal kartun pendek Superman yang dibikin oleh Fleischer Studios ini. Dialog di atas ini merupakan refleksi keinginan manusia untuk terbang di angkasaraya bak adiwira.

Bukan sedikit yang mencuba untuk terbang di udara tetapi tidak berhasil. Tetapi tokoh ini berjaya terbang di udara selama lebih 10 minit dan ia dilakukan satu alaf sebelum kejayaan Wright bersaudara menghasilkan kapal terbang Flyer mereka pada tahun 1903. Orang yang dimaksudkan ialah Abbas ibn Firnas.

Biografi

Abbas atau nama sebenarnya Abu al-Qāsim Abbās ibn Firnās dilahirkan pada tahun 810 Masihi tidak jauh dari bandar Ronda, Malaga, Sepanyol hari ini. Seperti mana para cendekiawan Andalusia lain, tidak banyak rekod berkenaan kisah hidupnya. Wujud kemungkinan semasa kempen Reconquista, kebanyakan rekod termasuk catatan ilmu dan rekod rasmi kerajaan ketika itu dimusnahkan. Yang pasti, beliau berupaya menguasai pelbagai disiplin ilmu yang wujud ketika itu sehingga menarik perhatian kerajaan Bani Umayyah yang memerintah Andalusia.

Justeru tidak hairanlah pada satu ketika, Abbas pernah berkhidmat di bawah beberapa khalifah termasuk Abdul Rahman II dan Muhammad I di ibu kota Andalusia ketika itu, Cordoba. Berikutan penguasaannya dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk muzik, astronomi dan falsafah, beliau diberi jolokan Hakim al-Andalus yang bermaksud si bijaksana dari Andalusia. Salah satu sumbangannya kepada kerajaan berkenaan ialah menghasilkan cara memotong batu kristal yang lebih mudah. Proses pemotongan yang diperkenalkan Abbas membolehkan Andalusia tidak lagi mengeksport batu kuartza ke Mesir yang ketika itu dikuasai pesaing mereka, kerajaan Bani Abbasiyyah. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 887 di Cordoba.

‘Aku ingin terbang’

Keinginan manusia untuk terbang sebenarnya sudah wujud sejak permulaan tamadun manusia lagi. Penemuan pelbagai artifak dari pelbagai tapak tamadun seperti Maya, Mesir Purba, Mesopotamia dan Yunani memaparkan lakaran-lakaran yang menunjukkan manusia boleh terbang. Bagaimanapun, kisah-kisah sebegini diselubungi oleh mitos atau keajaiban yang tidak boleh difahami manusia. Contohnya dalam mitos Yunani, timbul satu kisah bernama Icarus di mana dia boleh terbang dengan dua pasang sayap yang diperbuat daripada bulu pelepah dan lilin. Namun, disebabkan terbang terlalu hampir dengan matahari, Icarus kemudiannya jatuh ke dalam laut dan m4ti l3mas.

Bagi para cendekiawan Islam, minat mereka terhadap bagaimana burung boleh terbang bukan kerana didorong untuk menghasilkan alat penerbangan tetapi mengamati rahsia ciptaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam ayat 19, Surah al-Mulk mafhumnya, “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Ayat di atas jelas menyeru manusia untuk memerhati penciptaan burung supaya mereka boleh belajar daripadanya dan menghargai kebesaran Allah s.w.t. Jika dikaji dalam suasana yang betul, ia boleh membawa kepada penemuan ilmu baru seperti komposisi udara, pengaruh cuaca, penggunaan bahan dalam industri penerbangan dan pengiraan saintifik yang diperlukan untuk menaikkan dan menggerakkan sesebuah pesawat di udara. Bagi para cendekiawan Islam di Andalusia pada abad kesembilan seperti Abbas, kajian yang dibuat sebenarnya lebih mendekatkan mereka kepada Pencipta.

Eksperimen penerbangan

Walaupun Abbas banyak menyumbang dalam pelbagai bidang lain, beliau merupakan pelopor dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa. Beliau menghasilkan alat menyerupai payung terjun dan merupakan orang pertama yang mereka, membina dan menguji alat penerbangannya yang boleh terbang. Tambah menakjubkan, ia dilakukan lebih enam abad sebelum polymath era Renaissance terkenal Leonardo da Vinci membangunkan rekaan mesin terbangnya.

Ujian penerbangan pertamanya ini dibuat dari menara Masjid Cordoba pada tahun 852 di mana Abbas akan terbang sebentar di udara sebelum mendarat di sebuah kawasan lapang. Tiada siapa yang pernah mencuba perkara ini dan peluang untuk selamat juga amat tipis. Alat penerbangan yang direkanya diperbuat daripada sutera dan bulu pelepah burung helang.

Untuk membolehkan Abbas terbang di udara, beliau perlu melompat dari tempat yang tinggi dan meluncur ke bawah sambil mengibaskan kepak dengan tangannya. Tetapi dalam eksperimen pertamanya itu, ia tidak berhasil dengan beliau sendiri mengalami beberapa kecederaan patah tulang. Tetapi memandangkan penurunannya itu dibuat secara perlahan, ia merupakan pelopor kepada penciptaan payung terjun moden.

Rajah 1: Lakaran eksperimen penerbangan pertama Abbas pada tahun 852. Sumber: https://www.outsiderclub.com/flight-of-the-ostrich-strength-of-the-vulture/93902

Bila Abbas meganalisis semula eksperimen pertamanya, beliau mendapati burung memperlahankan penerbangannya di udara dengan menggunakan kedua-dua kepak dan ekor sebelum mendarat dengan baik. Justeru, rekaannya itu harus ditambahbaik bagi meningkatkan peluang untuk beliau terbang di udara. Pada tahun 875 Masihi, Abbas mereka dan membina sebuah peluncur yang diperbuat daripada kayu dan sutera serta dihias dengan bulu pelepah beberapa jenis burung.

Kawasan perlancaran untuknya terbang ialah kawasan bukit-bukau La Arruzafa berhampiran Cordoba. Eksperimen penerbangan keduanya ini disaksikan bukan saja oleh penduduk tempatan tetapi juga pemerintah Bani Umayyah ketika itu, Muhammad I. Dengan izin Allah s.w.t, Abbas berjaya terbang ke udara dan kekal di atas selama beberapa minit dengan bantuan aliran udara. Walaupun beliau masih menghadapi masalah sama semasa mendarat yang mengakibatkan kecederaan di bahagian belakang, eksperimen ini menjadikan beliau sebagai orang pertama yang berjaya terbang ke udara.

Justeru, bila kisah ini tersebar, ia sudah pasti menimbulkan minat ramai orang yang mahu terbang. Beberapa abad selepas kem4tian Abbas, percubaan penerbangan dibuat bukan saja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam. Pada tahun 1007 Masihi, al-Juhari menghasilkan sepasang sayap yang diperbuat daripada kayu dan tali. Apabila sayap tersebut siap, beliau mahu menguji keberkesanan penerbangannya dengan terbang dengan melompat dari sebuah menara masjid di Turkistan setinggi 1,002 kaki. Bagaimanapun, cubaan tersebut tidak berhasil dengan al-Juhari m4ti dalam percubaannya itu.

Seabad berikutnya, Eilmer of Malmesbury cuba meluncur dari ketinggian seribu kaki. Percubaannya dianggap berjaya kerana dia dapat melakukannya pada ketinggian 600 kaki. Tetapi seperti mana eksperimen pertama Abbas, peluncurnya tidak dilengkapi dengan ekor untuk membantunya mendarat. Akibatnya, Eilmer mengalami kecederaan patah kaki pada kedua-dua kakinya. Sejak itu, usaha manusia untuk terbang dihentikan selama beberapa abad sebelum minat itu kembali muncul pada era Renaissance menerusi lakaran-lakaran da Vinci. Bagaimanapun tidak seperti Abbas, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk binaan fizikal.

Era Renaissance turut menyaksikan kerajaan Turki Uthmaniyyah melihat eksperimen penerbangan mereka sendiri. Eksperimen itu ialah terbang dengan roket pada tahun 1633. Ia merupakan sebahagian daripada acara meraikan kelahiran puteri Sultan Murad IV. Berdasarkan catatan Evliya Celebi, Lagari Hassan Celebi berjaya terbang ke udara dengan roket dari satu kawasan di bawah Istana Topkapi, Istanbul sambil disaksikan baginda dan orang ramai. Lagari berjaya kembali ke bumi dengan selamat dan diberi pelbagai anugerah oleh Sultan Murad IV termasuk ganjaran wang emas. Lagari kemudiannya berkhidmat sebagai askar sipahi dan kembali ke rahmatullah semasa kempen ketenteraan Uthmaniyyah di Crimea. Evliya turut melaporkan abang Lagari, Hezarfen Ahmed Celebi berjaya terbang ke udara dengan peluncur setahun sebelumnya.

Rajah 2: Lukisan yang memaparkan demonstrasi penerbangan roket Lagari Hassan Celebi.

Beberapa abad selepas kematian da Vinci, ada yang cuba terbang menggunakan rekaan sayap besarnya. Salah seorang daripada mereka ialah jurutera Jerman Otto Lilienthal. Lilienthal yang dikenali sebagai seorang peluncur yang baik telah mengkaji pelbagai aspek penerbangan seperti perbezaan tekanan udara dan bentuk sayap yang boleh mempengaruhi kestabilan penerbangan. Bagaimanapun semasa percubaan penerbangannya pada tahun 1896, angin tiba-tiba bertiup kuat dan menyebabkan beliau tidak dapat mengawal peluncur lalu terhempas di sebuah bukit di Berlin. Lilienthal kemudiannya m4ti keesokan harinya.

Meluncur tanpa enjin berjaya dikembangkan oleh Wright bersaudara sebelum kapal terbang Flyer mereka berjaya terbang dengan jarak 260 meter. Sejak itu, nama mereka mula harum dalam dunia penerbangan dan dunia penerbangan semakin berkembang dengan mengintegrasikan enjin ke dalam pesawat. Kunci utama kejayaan mereka ialah mengkaji pergerakan sayap burung. Seperti mana Abbas, Wright bersaudara perasan burung menstabilkan penerbangannya dengan menggerakkan sayap sama ada ke kanan atau ke kiri. Untuk menguji teori itu, mereka membina sebuah layang-layang dan peluncur untuk menguji teori berkenaan. Hasil eksperimen ini kemudiannya dimasukkan dalam reka bentuk Flyer seterusnya membawa kepada kejayaan ujian penerbangan mereka pada tahun 1903.

Rajah 3: Ujian penerbangan Wright bersaudara menggunakan Flyer pada tahun 1903.

Pada tahun 1908, Wright bersaudara membuat penerbangan demonstrasi mereka di Perancis dan ia disaksikan oleh ramai orang ketika itu. Setahun selepas itu, dunia penerbangan terus berkembang hasil input Henri Farman dan Louise Bleriot. Kejayaan demi kejayaan yang ditempa dalam dunia penerbangan termasuk menambahbaik konsep penerbangan dan struktur pesawat membolehkan lebih banyak ciptaan dihasilkan seperti roket, jet dan kapal angkasa lepas. Dan pada 20 Julai 1969, manusia dapat pergi ke bulan buat kali pertama menerusi ekspedisi Apollo 11.

Sumbangan lain

Selain bertanggungjawab menghasilkan proses pemotongan batu kristal dan mempelopori dunia penerbangan, Abbas turut memberi input dalam disiplin ilmu lain. Beliau menghasilkan sebuah jam air yang dipanggil al-Maqata di mana ia digerakkan oleh aliran air.

Aliran ini ditutup atau dibuka oleh siri injap-injap dan menunjukkan waktu pada siang dan malam dengan tepat. Abbas juga merupakan orang pertama yang membangunkan astrolab sfera di Eropah. Astrolab ini digunakan untuk membuat pengiraan astronomi dan pemerhatian astronomi dengan menggerakkan gelung peralatan mengikut kedudukan gelung objek cakerawala. Abbas juga turut mempunyai sebuah planetarium di kediamannya di Cordoba dan ia turut dilengkapi kesan khas dan bunyi yang meniru pelbagai fenomena cuaca seperti kilat, petir dan ribut.

SUMBER

  1. Sulaiman, Adibah et. (2013). Ibn Firnas and His Contribution to the Aviation Technology of the World. Advances in Natural and Applied Sciences. https://www.researchgate.net/publication/257656795_Ibn_Firnas_and_His_Contribution_to_the_Aviation_Technology_of_the_World
  2. Rodriguez-Laiz, Antonio. (2018). Abbas Ibn Firnas – the First Man to Fly and Live to Tell the Tale. Aertec Solution. https://aertecsolutions.com/en/2018/05/21/abbas-ibn-firnas-the-first-man-to-fly-and-live-to-tell-the-tale/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.