Tidak lama dahulu, saya teringat kenyataan Presiden George W. Bush dalam satu majlis di Amerika yang dipaparkan dalam berita. Antara kenyataan beliau yang saya tidak boleh lupakan ialah pengisytiharan bahawasanya Washington merupakan polis dunia yang tidak boleh dicabar penguasaannya. Dan 14 tahun selepas itu, kenyataan itu dimainkan semula tetapi dalam bentuk berbeza oleh Donald Trump semasa mengadakan lawatan mengejut ke kem tentera Amerika di Iraq. Kenyataan beliau mudah saja: Amerika bukan lagi polis dunia. Ia satu kenyataan yang mengejutkan tetapi jika melihat kantung kewangan Washington, maka fahamlah mengapa Trump mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Ini satu kenyataan yang pahit tetapi terpaksa diakui oleh mana-mana warga Amerika: Washington berbelanja terlalu besar melebihi kemampuannya dalam menguruskan fiskal negara. Untuk tahun hadapan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Washington membelanjakan sejumlah $717 bilion hanya untuk menguruskan semua cabang angkatan tenteranya bukan saja di Amerika tetapi di seluruh dunia. Bagi sesetengah pihak, apa yang dilakukan hanyalah memastikan jentera perang mereka sentiasa dalam keadaan baik. Tetapi hakikatnya, belanjawan sebegini hanyalah satu cubaan persembahan kuasa Amerika ke atas negara-negara dunia terutama kuasa-kuasa besar lain. Untuk menjadi polis dunia bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan wang, saya tegaskan wang yang BANYAK!

Dengan belanjawan sebegini rupa, apa sebenarnya yang diraih Washington dari usaha sebegini? Kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan China walaupun menganggap Washington sebagai pesaing, lebih berminat menjaga status sedia ada dan wilayah yang dimiliki dari terlibat dengan konflik secara langsung dengan negara Uncle Sam itu. Ancaman pengganas seperti dipaparkan dalam banyak drama televisyen, drama dalam talian atau filem? Mereka tidak akan wujud jika tidak kerana dasar sembrono Uncle Sam yang suka mencetuskan konfik dan mencampuri soal dalaman negara lain. Malah, jika kaedah sekarang ini diteruskan, ia hanya akan menambah lebih ramai pengganas dari mengurangkan ancaman mereka.

Dan ini satu hakikat yang perlu dihadapi dua parti utama di sana. Amerika sebenarnya sudah muflis berikutan pengurusan kewangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Ironinya, Republikan yang sentiasa mendabik diri mereka sebagai penjaga perbendaharaan negara menggunakan sepenuhnya kelebihan majoriti di Capitol Hill untuk menambah perbelanjaan kerajaan persekutuan dan memotong cukai-cukai (salah satu daripada janji Trump semasa kempen pemilihan presiden 2016). Akibatnya, defisit kewangan Amerika mencecah $779 bilion pada tahun 2017, naik daripada defisit $665 bilion dari tahun 2016. Kali terakhir Washington berhadapan situasi meruncing ini pada tahun 2012 semasa ia cuba pulih dari krisis kewangan yang berlaku pada 2007 dan 2008.

Angka berkenaan dijangka akan terus bertambah jika sumber dari Pejabat Belanjawan Kongres itu benar. Menerusi sumber tersebut, presiden menghantar cadangan belanjawan yang menolak defisit ke arah $1 trilion itu pun dengan syarat Amerika tidak dilanda krisis kewangan baru. Angka tersebut akan bertambah hingga $1.527 trilion pada tahun 2028. Pertambahan hutang sebegini juga akan bertambah dengan pertambahan kadar faedah lagi-lagi bila Rizab Persekutuan mula mengurangkan polisi pengembangan radikal mereka yang digerakkan semasa krisis kewangan 2007 dan 2008. Kos faedah yang akan ditanggung Washington dijangka bertambah dari $315 bilion kepada $819 bilion pada tahun 2028. Ini sudah pasti akan menambah peruntukan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Amerika untuk faedah dari 1.6% hingga 3.1%.

Pada tahap ini, bayaran faedah yang perlu dibayar Washington sama dengan program ketiga yang dibiayai mereka iaitu program sosial. Dan dalam tempoh dua dekad, ia akan menyamai pembiayai program Keselamatan Sosial yang dianggap program kerajaan paling mahal. Bayaran faedah sebegini akan menelan peratusan KDNK sebanyak 6.3%. Bagi pentadbiran Trump, mahu tidak mahu, sebarang perbelanjaan yang tidak diperlukan perlu dipotong atau dirancang semula. Nak mengharap Kongres bekerjasama? Jangan harap jika potongan tersebut membabitkan geran-geran kepentingan awam, menghentikan kakitangan-kakitangan kongres atau menutup monumen-monumen yang di bawah bidang kuasa mereka seperti Washington Monument.

Washington hanya boleh berharap ada berita baik di medan ekonomi seperti pertambahan produktiviti, kadar faedah yang rendah (tidak mustahil tetapi amat sukar dicapai) dan pertambahan kadar pertumbuhan ekonomi. Tetapi terima kasih kepada perang dagang yang dilancarkan Trump, ia akan membawa kepada perubahan bersifat negatif dan suka atau tidak, penggubal-pengubal undang-undang terpaksa menambah perbelanjaan sedia ada untuk merangsang ekonomi, sekaligus menambah defisit sedia ada. Kongres boleh saja mencadangkan pemotongan belanjawan yang diperuntukkan untuk program domestik tetapi agak sukar dicapai kerana pertambahan populasi warga emas yang pastinya memerlukan bantuan dari program Keselamatan Sosial, Medicare dan Medicaid, sekaligus menambah perbelanjaan sedia ada.

Jika trend ini tidak ditangani dengan segera oleh Rumah Putih dan Kongres, defisit KDNK akan bertambah dari 78% (2018) kepada 105% (2028), 148% (2038) dan 210% (2048). Ramalan defisit ini lebih tinggi dari apa yang dihadapi Greece ketika ini yang mengakibatkan masalah ekonomi, masalah sosial dan ketidakstabilan politik. Kali terakhir hutang kerajaan melebihi 70% ialah pada tahun 1946 di mana Washington berhadapan dengan prospek hutang dengan peratusan 106%. Dengan defisit dan hutang yang sebegini besar, kenaikan faedah sudah pasti tidak boleh dielakkan dan pertumbuhan KDNK juga akan bertambah perlahan. Ini akan mengakibatkan pengurangan pelaburan, pengurangan pendapatan negara dan pengurangan simpanan bukan saja di pihak kerajaan dan pelabur swasta tetapi juga untuk orang awam. Ini sudah pasti akan mengurangkan kadar produktiviti dan pertumbuhan gaji serta pengeluaran ekonomi. Jika trend sebegini berterusan, ia akan mengancam kedudukan institusi-institusi kewangan Amerika, inflasi harga barang dan pengurangan nilai dolar.

Kongres boleh saja mencadangkan kenaikan cukai tetapi ia sudah pasti tidak popular sama dengan langkah pengurangan perbelanjaan. Tetapi jika itu dapat membantu mengembalikan kedudukan kewangan Amerika pada keadaan baik, pemotongan perlu dibuat pada bahagian pertahanan terutama membabitkan kontinjen tentera mereka yang ditempatkan di luar negara. Tetapi semua itu tidak akan memberi kesan melainkan Washington menelan jadam dengan meneliti semula dasar luar mereka. Suka atau tidak, mana-mana polisi yang bersifat lapuk seharusnya digugurkan atau diubahsuai mengikut keperluan semasa.

Dan dengan kenyataan mengejut Trump pada 26 Disember lalu sehingga mendorong Setiausaha Pertahanan James Mattis meletak jawatan, mereka perlu menilai semula peranan mereka di pentas dunia termasuk memberi peluang kepada sekutu mereka menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan pihak luar termasuk Amerika. Selain mengadakan potongan perbelanjaan, Amerika juga perlu berani menggerakkan reformasi ekonomi mereka demi kepentingan ekonomi jangka panjang.

Walaupun ada yang menganggap dasar America First memang selayaknya digelakkan tetapi dalam konteks ekonomi hari ini, tanggungjawab Amerika terhadap rakyatnya seharusnya diutamakan. Walaupun ada yang berkongsi sentimen Mattis bahawa sekutu-sekutu Barat tidak seharusnya diabaikan, sebarang bentuk campur tangan termasuk perang yang memakan kos yang banyak hanya akan dilaksanakan bagi tujuan yang benar-benar penting, bukan untuk memuaskan ego sesetengah pentadbiran dari Eisenhower hingga Trump.

SUMBER

Bandow, Doug. (2018). National Interest. The One Reason America Can’t Police the World Anymore: Washington Is Broke. https://nationalinterest.org/blog/skeptics/one-reason-america-cant-police-world-anymore-washington-broke-39852?page=0%2C1


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.