Exocoetidae Si Ikan Terbang

730

Exocoetidae adalah salah satu daripada keluarga ikan marin. Ia lebih dikenali umum sebagai ‘ikan terbang’. Setakat ini, terdapat 64 spesies ikan terbang yang telah dikenalpasti dan diletakkan dalam 7 genera yang berbeza.

Walaupun ia dinamakan sebagai ‘ikan terbang’, ikan ini tidak lah mempunyai kebolehan yang sama seperti burung, iaitu untuk terbang tinggi di udara. Terma yang lebih tepat, ikan ini berkemampuan untuk meluncur di atas permukaan air.

Bagaimana ia meluncur?

Tubuh ikan yang berbentuk bergaris arus seakan torpedo itu, membantu ikan ini untuk mengurangkan rintangan ketika ia berenang. Pada masa yang sama, memberikan kebolehan untuk bergerak dengan kelajuan yang pantas di dalam air.

Kebolehan ikan ini untuk meluncur adalah mekanisme pertahanan diri untuk mengelak dari dimakan pemangsa.

Sekiranya ia dikejar oleh pemangsa, ikan ini akan berenang dengan laju. Ia akhirnya akan melompat keluar dari air, dengan kekuatan kuat yang terhasil daripada kuasa tujahan ketika ia berenang.

Kemudian, dengan mengembangkan sirip pektoralnya yang bersaiz besar itu, ia akan berjaya meluncur di atas permukaan air.

Jarak Meluncur

Setelah berada di udara, ikan ini berkeupayaan untuk meluncur pada jarak yang sangat mengagumkan.

Kebiasaannya, satu sesi peluncuran ikan akan membawanya jauh iaitu lebih kurang 50 meter dari tempat ia mula keluar dari permukaan air. Namun, keadaan dan faktor tertentu misalnya seperti keadaan angin yang kuat, membantu ikan ini untuk meluncur lebih jauh, yakni 200 meter atau lebih.

Walau bagaimanapun, spesies yang berbeza mempunyai kelebihan tersendiri. Contohnya:

1. Spesies Exocoetus, yang dilengkapi satu set sirip dan bentuk tubuh yang bergaris arus, memberikannya kelebihan dalam kelajuan, tetapi masa peluncuran yang singkat.

2. Manakala, spesies Cypselurus, yang dilengkapi bentuk tubuh yang meleper, dan 2 set sirip pektoral dan pelvik, memberikannya kelebihan dalam masa dan jarak peluncuran yang lebih lama dan lebih jauh, kira-kira 400 meter.

Memberi ilham kepada reka bentuk

Kemampuan dan bentuk ikan Exocoetidae ini, telah memberi ilham kepada pereka bentuk misil pemusnah kapal, yakni misil Exocet buatan Perancis

Terdapat pelbagai varian atau versi misil Exocet. Namun yang ‘meniru’ kebolehan ‘ikan terbang’ Exocoetidae ini adalah varian SM39.

SM39 dilancarkan dari bawah permukaan laut oleh kapal selam. Ia kemudian akan meluncur di atas permukaan laut, sebelum menghentam kapal musuh, memusnahkannya.

RUJUKAN:

Fish, Frank. (1991) “On a Fin and a Prayer”. Scholars Volume 3, Issue 1.

Kutschera, U. (2006). “Predator-driven macroevolution in flyingfishes inferred from behavioural studies: historical controversies and a hypothesis”. Annals of the History and Philosophy of Biology.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.