Sejak kemerdekaan, Malaysia telah secara perlahan-lahan membina reputasi baiknya sebagai sebuah negara membangun yang progresif, dinamik dan menjalinkan hubungan diplomatik yang membina dengan banyak negara-negara di dunia. Kedaulatan negara tetap utuh meskipun Malaysia bukanlah kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia mahupun China.

Malah Malaysia merupakan salah satu negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Malaysia juga merupakan ahli Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terletak di dalam zon aman, bebas dan neutral (zone of peace freedom and neutrality – ZOPFAN).

Sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia bijak berdiplomasi dengan negara-negara lain sekiranya berhadapan konfrontasi, kerana Malaysia tidak gemar untuk menyelesaikan masalah dengan cara kekerasan atau perang. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna Malaysia adalah sebuah negara lemah yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Ucapan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Mat Sabu di Dialog Shangri-la IISS 2019 di Singapura pada 1 Jun 2019 yang menyatakan bahawa ‘kita tidak mampu mengejar kapal perang China’ telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan rakyat Malaysia yang menyaksikannya.

YB Menteri Pertahanan mungkin mempunyai pendapat yang berbeza. Namun begitu, seseorang Menteri atau pegawai kerajaan tidak patut secara terbuka menyatakan secara langsung atau tidak langsung tentang kelemahan keupayaan pertahanan negara. Kenapa perlu menceritakan kelemahan negara di mata dunia? Sebaliknya, kelemahan ini perlu ditutup dengan menonjolkan keupayaan negara dalam diplomasi.

Sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka di abad ke 15, cara diplomasi telah digunakan oleh pemerintah kesultanan ini dalam mengembangkan empayarnya dengan persahabatan yang dijalin dengan Dinasti Ming di China, sekaligus berjaya melebarkan wilayahnya sehingga melewati batas moden Semenanjung Malaysia pada hari ini. Walaupun Melaka akhirnya dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis, kemashyuran dan kegemilangan kesultanan Melayu Melaka sehingga kini dijadikan semangat untuk warga Malaysia berbangga dengan sejarah silamnya.

Sewaktu Kesultanan Kedah diserang oleh Siam pada tahun 1821, Kedah telah berjaya dijajah dan kekal di bawah pemerintahan Siam dan ditukarkan nama kepada Syburi. Cara diplomasi telah digunakan oleh pemerintah Kedah untuk mendapatkan semula takhta. Akhirnya Siam menyerahkan semula tampuk pemerintahan Kesultanan Kedah kepada Sultan Abdul Tajuddin Halim Syah II pada tahun 1842. Jika tidak kerana cara diplomasi ini, wilayah utara negara kita pada hari ini akan berakhir di Pulau Pinang dan Kedah akan menjadi provinsi dalam Thailand.

Sedang negara-negara jiran berperang untuk mendapatkan kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu merdeka dengan cara diplomasi dengan pihak British pada tahun 1957. India dan Pakistan, yang juga merupakan jajahan British berperang dengan dahsyat pasca kemerdekaan 1945 dan kesannya boleh dilihat sehingga kini.

Lain pula bagi negara kita. Pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu disatukan dengan Sabah, Sarawak dengan Singapura dengan aman melalui cara referendum dan diplomasi. Singapura juga dipisahkan daripada Malaysia juga dengan cara aman – walaupun terdapat pertelingkahan kaum di Singapura pada tahun 1964, ianya tidaklah mencapai tahap keganasan yang berlaku di Pakistan dan India pada tahun 1945. Tidak seperti Pakistan dan India, Malaysia dan Singapura menjalinkan hubungan yang baik diantara kedua-dua negara sejak 1965.

Malaysia berkembang pesat selepas kemerdekaan dan telah mencapai pelbagai kejayaan cemerlang. Menurut World Economic Forum (WEF), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang ekonominya paling kompetitif di dunia pada tahun 2018. Selain itu, passport Malaysia juga diiktiraf Global Passport Index antara yang terbaik di dunia sehingga kini– indikasi bahawa reputasi negara di mata dunia adalah cemerlang. Selain itu, Malaysia juga kekal sebagai antara negara top-25 paling aman di dunia oleh Global Peace Index pada tahun 2018. Kuala Lumpur, ibu negeri Malaysia juga merupakan bandaraya ke-tujuh paling dikunjungi di dunia tahun lalu, jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah destinasi yang menarik, selamat dan tenteram.

Sekiranya Malaysia tidak berupaya menjaga kedaulatannya, mempertahankan sempadannya dan memelihara keutuhan wilayah maritimnya, mana mungkin Malaysia mampu mengecapi  semua kejayaan-kejayaan ini.

Malaysia Baru sudah melewati tempoh waktu lebih dari setahun. Rakyat Malaysia mahukan perubahan supaya Malaysia menjadi lebih baik daripada pemerintahan terdahulu. Menteri Pertahanan Malaysia tidak seharusnya secara terang menceritakan kelemahan pertahanan negara. Akan tetapi ucapan beliau mengenai Malaysia sebuah negara yang berdiplomasi adalah tepat dan relevan untuk menjelaskan pendirian hubungan luar Putrajaya.

Mungkin tiba waktu untuk menteri-menteri kita mempertimbangkan untuk berbicara dalam bahasa Melayu dalam forum-forum antarabangsa sekiranya penguasaan bahasa kebangsaan mereka adalah lebih baik daripada bahasa Inggeris. Ini penting kerana bahasa cuma alat, akan tetapi mesej yang disampaikan itu lebih utama bagi mengutarakan hasrat negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa kita masih mampu menjadi negara yang hebat dan ‘masih mampu mengejar kapal perang China’, asalkan bijak berdiplomasi dan berhubungan baik di peringkat antarabangsa.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.