Ceritanya bermula, ketika saya di Makassar kira-kira bulan November lepas, saya berdamping dengan seorang teman yang datang dari Sabah. Saya datang ke Makassar dari Jakarta sementara beliau datang dari Tawau menaiki feri. Beliau mengambil penerbangan ke Makassar dari Pulau Tarakan.

Kami berbual panjang di Kota Bugis dan dari minat yang sama, membawa kami bersama-sama menziarahi Makam Sayyid Husein Jamadil Kubro di Wajo, Makam Syaikh Yusof Makassar dan juga Makam Sultan Hasanuddin Gowa.

Beliau menceritakan kepada saya, di Tarakan beliau sempat menziarahi Makam Al Arif Billah Habib Hamzah Al Marzaq. Akhir pertemuan kami, beliau menghadiahkan kepada saya makalah tulisan sejarah ringkas Al Habib.

Saya membaca sepintas lalu dan terus terpanggil untuk menziarahi Pulau Tarakan. Buat kali pertamanya saya mendengar nama keluarga ahlul bait (Keturunan Rasulullah) dari kabilah Al Marzaq. Sering mendengar kabilah Al Idrus, Albar, AlKaf, Jamalulail, Al Haddad, As Saggaf dan banyak lagi. Tapi Al Marzaq memang pertama kali. Banyak lagi saya tidak tahu !

Ya benar, kata orang jauh berjalan luas pandangan, atau mungkin lebih tepat jauh berjalan, banyak lagi yang belum ketahuan.

Semakin hari, jiwa saya membuak untuk ke sana. Guru saya sentiasa berpesan, cintai lah para ulama yang benar, tanpa pengorbanan mereka terdahulu, kita tidak menikmati nikmat Iman sebagaimana sekarang. Disebalik nikmat Islam dan Ihsan ini juga, tercatat ribuan sejarah air mata dan cinta para leluhur.

Saya ingin mengetahui lanjut bagaimana kisah Ulama’ dari Hadramaut ini datang ke Kalimantan Utara dan bagaimana kisah dakwahnya. Apa yang sangat menyentuh hati saya, Al Habib wafat akibat dibunuh dan kepalanya di potong oleh sekelompok manusia yang tidak suka akan dakwahnya.

Pulang dari Makassar, saya tidak dapat menyambung terus perjalanan ke Pulau Tarakan kerana menyelesaikan beberapa urusan dan jemputan di Sydney, Australia dan Kota Surabaya, Jawa Timur.

Alhamdulillah, pada 20hb saya berangkat ke Sabah bumi dibawah bayu. Kenapa Sabah? kerana pelan saya, akan masuk Tarakan melalui Tawau, Sabah. Perjalanan itu lebih menarik bagi saya walaupun saya mempunyai pilihan terbang dari Kuala Lumpur ke Jakarta ke Tarakan. Disamping itu, kerana saya juga ingin mengambil peluang berkongsi dakwah tauhid di bumi subur ini.

Dakwah dan sejarah adalah kecintaan. Menyebar dakwah menggali sejarah adalah impian yang saya cuba realisasikan. Maka, sebaik sampai di Tawau sebelah petang, malamnya terus berkongsi ilmu tauhid bersama sahabat-sahabat yang mengetahui keberadaan saya di Tawau. Kami bermuzakarah kitab Sirrul Asrar karangan Syaikh Yusof Makassar yang telah diterjemahkan ke bahasa melayu oleh saya sendiri. Saya telah cetak 3000 unit dan telah mendapat sambutan yang sangat baik.

Terjemahan Kitab Sirrul Asrar (Rahsia Segala Rahsia)

Dari Tawau membawa ke Lahad Datu dan Sandakan. Saya ingin berkongsi cerita di Sandakan. Selepas berkuliah subuh di sebuah masjid di Sandakan,  saya dipertemukan dengan Habib Syed Kassim Bin Syed Omar Ali Al Marzaq (83 tahun). Habib adalah piut almarhum al Habib Syarif Hamzah Bin Umar Al Marzaq Tarakan, Wali Allah yang saya berhajat ziarahi seperti saya ceritakan di awal.

Takdir pertemuan itu bermula apabila selepas kuliah, saya menyatakan hasrat mencari salah seorang anak cucu almarhum al Habib Syarif Hamzah Al Marzaq yang telah berhijrah dari Tarakan ke Sandakan. Saya juga memberitahu bahawa saya akan Tarakan menjejaki Makam almarhum Habib Syarif Hamzah.

Seorang ahli jemaah mengenali keluarga itu terus menghubungi cucu Habib Kassim memaklumkan hasrat saya.  Syukur, keluarga Habib mengalu-alukan kedatangan saya dan rombongan. Saya juga di bawa menziarahi Makam Ayahanda kepada Habib Kassim yakni Al Habib Syed Omar Ali Bin Syed Yahya Al Marzaq (cicit Habib Syarif Hamzah Al Marzaq).

Saya kongsikan sedikit riwayat hidup Ayahanda Habib Kassim yakni Habib Syed Omar Ali. Al Habib Syed Omar Ali yang lahir di Tanjung Palas, Bulungan adalah seorang Ulama’, tokoh penyebar Islam yang pernah berkhidmat kepada dua kesultanan iaitu Kesultanan Bulungan – Tidung ketika pemerintahan Seri Paduka Maulana Muhammad Kassim Aldin dan Kesultanan Sulu.

Di Bulungan, Al Habib Syed Omar Ali diangkat menjadi Pegawai Kanan Seri Paduka Sultan dan ketua kampong Peningki, Tarakan. Setelah berlakunya kudeta terhadap Kerajaan Bulungan tahun 1924M, Al Habib Syed Omar Ali berhijrah dan berdakwah ke Sulu. Usaha dakwah beliau telah mendapat perhatian Sultan Sulu. 2 tahun kemudian, Seri Paduka Sultan Muhammad Jamalul Kiram telah memberikan penghargaan atas jasa murni beliau dan memberikan mandat sebagai tokoh agama supaya meneruskan penyebaran ilmu akidah ke seluruh wilayah di bawah takluk jajahan Sultan.

Tahun 1931M, Al Habib Syed Omar Ali berhijrah ke Sandakan atas titah perintah Sultan Sulu atas maksud menyebarkan dakwah. Tanggal 17 Januari 1966M, Al Habib Syed Omar Ali menghembuskan nafasnya terakhir dan jenazah Ulama’ ini dimakamkan di Kampung Bokara, Sandakan. Habib meninggalkan 17 orang anak dari banyak isteri.

Penulis dengan Habib Syed Kassim Bin Syed Umar Ali Al Marzaq (piut Habib Syarif Hamzah Tarakan)

Syukur kepada Allah, Allah ketemukan saya dengan piut beliau yang berada di Sandakan sebelum menziarahi makam moyangnya nanti di Kalimantan.

KE TARAKAN

Pada awalnya, saya merancang ke Tarakan 2hb Januari 2018. Ini kerana pada akhir tahun, keadaan cuaca agak kurang baik dan tiada feri terus ke Tarakan dari Tawau hingga hujung tahun. Penerbangan Tawau ke Tarakan juga ditangguhkan buat sementara. Oleh itu, pilihan yang ada hanyalah naik feri ke Nunukan, dan dari nunukan pandai-pandai la cari bot ke Tarakan.

Selasa malam Rabu, saya menghadiri jemputan ceramah di majlis sambutan maulid di Lahad Datu. Kebetulan, ada sahabat dari Tawau turut menghadiri. Sebaik habis majlis, saya langsung menumpang mereka balik ke Tawau dengan harapan dapat masuk Nunukan keesokan harinya.

Akhirnya, 27 Disemberi 2017 (Rabu), saya memulakan permusafiran. Lalu bermula perjalanan dari Tawau ke Nunukan (1 Jam 15 minit) menaiki feri. Tiba di Nunukan, terpaksa menaiki bot laju kecil Pulau Tarakan yang ambil masa 2 jam 30 minit. Sepatutnya bot yang besar, tetapi dek kerana bot besar sudah digunakan untuk mengangkut jemaah Umrah, maka tinggal bot yang kecil sahaja atau boleh dipanggil bot darurat. Ombak memang boleh tahan kuat. Bohong la tidak gementar apatahlagi baru-baru ini ada bot karam dan mengakibatkan banyak kematian.

Sedang naik bot dari Nunukan

Tiba-tiba teringat Hizb Bahr, suatu wirid yang di susun oleh Syaikh Abu Hassan Ad Syadzili ketika berada di lautan. Kerana disusun di laut, hizib itu di nama kan Al Bahr (laut). Sepanjang atas bot, saya mengulangi bacaan wirid  tersebut. Hati kecil berdoa agar perjalanan ini barakah dan selamat.

TIBA DI TARAKAN

Lebih kurang 5 petang, saya tiba di Tarakan. Sepanjang perjalanan, sempat beramah mesra dengan teman-teman yang baru dikenali di atas bot. Benar, Perjalanan bukan sahaja menambah pengalaman akan tetapi juga meramaikan teman. Dari persahabatan, menjadi keluarga.
Peta di atas menunjukkan perjalanan dari Tawau – Nunukan – Tarakan

Malam hanya berehat sebelum bergerak ke Makam Al Habib Syarif Hamzah Al Marzaq di Kampung Enam, kira 20minit dari tempat penginapan saya.  Sebelum saya melanjutkan penceritaan, suka saya berkongsi sejarah ringkas Wali Allah ini.

AL ARIF BILLAH AL HABIB SYARIF HAMZAH AL MARZAQ

Wali Allah yang besar ini bernama Al Arif Bilah Al Habib Al Syarif Hamzah bin Umar bin Muhammd Al Marzaq, leluhur alawyiyin keturunan Rasulullah  dari jalur Sayyiduna Husein r.anhu.

Syarif Hamzah (1643-1699M) adalah pendakwah yang berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan dan adalah anak kepada Sayyid Umar Bin Muhammad Al Marzaq. Sebagimana keturunan Rasulullah yang tersebar luas kerana dakwah, Syarif Hamzah dan saudaranya tidak terkecuali. Beliau berhijrah ke Nusantara  bersama dua orang lagi saudaranya iaitu Syarif Pangeran Al Marzaq dan Syarif Muda Al Marzaq. Dalam perjalanan dakwah tiga saudara ini, mereka telah terpisah.

Syarif Hamzah Al Marzaq banyak menetap di Pulau Tarakan dan telah membangunkan sebuah pesantren. Ketika hidupnya, Habib menginfaqkan dirinya dalam dakwah dan menyeru manusia kepada Tauhid. Di zamannya, beliau telah melihat tiada syariat Islam, maksiat, judi, sabung ayam, minuman keras, pemujaan berhala dan banyak kejahatan bermaharajalela.

Kemana beliau pergi, Syarif Hamzah akan membawa al-Quran, keris, dan tongkat. Hingga sekarang , tiga barang pusaka tersebut masih tersimpan rapi di rumah ahli waris, anak dari keturunan Haji Omar bin Yahya  Al Marzaq di Sandakan, Sabah.

Sebahagian orang tidak menyukai usaha dakwah beliau, akhirnya mereka merancang dan memutuskan untuk membunuh Ulama bertaraf Wali Allah ini.

Suatu hari, Jam 3pagi subuh, telah datang sekelompok manusia ke pondok beliau dan menyerang Syarif Hamzah. Syarif Hamzah telah dilarikan dari rumahnya, diletakkan di atas batang kayu lalu diadakan upacara potong kepala. Maka bercerai lah kepala dari badan Syarif Hamzah. Jasadnya dilarutkan atas air kepala dan terus dibawa ke sesayap bulungan. Jasad beliau dihanyutkan di Sel Pamusian tidak jauh dari pondok, tempat pengajian beliau. Betapa besar pengorbanan Syarif Hamzah, jauh datang berhijrah menyebarkan Islam, dibunuh pula penuh menyayat hati.

Siang hari esoknya, seorang pencari kayu berbangsa Tidung tatkala keluar dari hutan, terkejut menemukan jasad manusia tanpa kepala yang hanyut di sebuah batang kayu mengikuti pasang surut air Sel Pamusian. Pencari kayu itu kemudiannya mengebumikan jasad tersebut dan meletakkan kayu merah sebagai nisannya.

Malam harinya, salah seorang murid Syarif Hamzah telah bermimpi Gurunya dan dalam mimpi itu, Gurunya telah berpesan agar mencari jasadnya dan menyatukan kembali kepala dan badan. Sesuai dengan ilmu dan beberapa petunjuk dari orang kampung, muridnya di bawa ke sesayap Bulungan. Sepanjang pencarian, hujan turun tiada henti. Diceritakan, telah berlaku perjanjian yakni orang tersebut meminta ganti rugi sebagai pertukaran kepala Habib Syarif Hamzah. Lantaran cinta seorang murid akan gurunya, beliau telah mengusahan memberi ‘sejumlah’ kepada sekelompok orang tersebut dan dengan Izin Allah, orang tersebut bersetuju memberi kepala Syarif Hamzah kepada muridnya dan murid tersebut pulang ke Tarakan bersama kelompok orang yang telah membunuh gurunya.

Allah Taala telah menzahirkan karamah dan kemuliaan Habib Syarif Hamzah, ketika kepala beliau mahu disatukan dengan jasad yang di dalam lubang, kepala beliau yang berada di tangan murid terus ‘meloncat pergi’ sendiri ke jasad tanpa sedikitpun kesan goresan dan mata Syarif Hamzah terus tertutup yang sebelum ini terbuka seperti orang hidup. Sepatutnya kepala Syarif Hamzah dibakar dalam suatu acara ritual, akan tetapi dengan kuasa Allah, apabila tiba saat ritual, hujan turun berterusan dengan lebatnya. Apabila mahu dibakar lagi, hujan turun lagi tiada henti-henti hingga ritual itu bertangguh dilaksanakan. Apabila datang murid Habib Syarif Hamzah meminta kepala Gurunya dan sedia menyediakan ganti rugi, mereka memberikan kepala dan acara ritual itu tidak lagi dilaksanakan.

Jasadnya tidak rosak dan mengeluarkan aroma harum demikian juga kepala yang terpisah itu. Kejadian ini telah dipersaksikan ramai orang termasuk orang yang telah membunuh beliau. Orang tersebut akhirnya membenarkan ajaran Syarif Hamzah, dan melafazkan syahadah kemudian berguru dengan anak murid habib. Dakwah tauhid diteruskan oleh murid habib hingga dia meninggal dunia.

Habib dimakamkan di Kampung Enam Sei Pamusian, Kecamatan Tarakan Timur bersebelahan langsung dengan Rumah Balai Adat Tidung, Kota Tarakan. Setiap hari diziarahi oleh ramai orang dari warga keturunan cina, penduduk Tarakan, Bulungan, Malinau, Nunukan, dan Sebatik termasuk juga dari luar iaitu dari Pulau Jawa, Sumatera, Sulawesi, Kalimantan Selatan, Tawau, Sandakan, Brunei hingga Filipina. Setiap tahun juga, akan ada tamu dari Hadramaut, Yaman Selatan.

Berhubung soal mimpi muridnya dan kisah kepala Habib melompat ke Jasadnya, saya serahkan kepada para pembaca. Saya hanya menyampaikan apa yang dikisahkan kerana ia sebahagian kisah sejarah yang saya perolehi dan kisah itu jika digugurkan, maka tidak sempurna sebuah kisah bagaimana penyatuan jasad dan kepala Habib Syarif Hamzah. Apa yang berlaku adalah karamah yakni perkara yang mencarik adat yang berlaku kepada Kekasih Allah. Murid, mimpi, jasad sendiri adalah hanya asbab. Al Musabib (penentu mutlak adalah Allah jua).

ZIARAH MAKAM AL ARIF BILLAH AL HABIB SYARIF HAMZAH AL MARZAQ

Lebih kurang jam 11 pagi, saya tiba di Makam Syarif Hamzah. Kedatangan saya disambut oleh piut dan juga penjaga Makam Habib Hamzah Al Marzaq yang bernama Syed Salim. Kami berbual sambil mengenakan teh. Rumahnya hanya bersebelahan makam. Saya masih ingat di awal perkenalan, Sayyid Salim atau lebih mesra dipanggil Pak Habib bertanya kepada saya,

“Anak datang dari mana?”,  soal Pak Habib

“Dari Malaysia Pak Habib”, jawab saya.

“Saya ini sedang menunggu orang dari Malaysia juga, sepupu saya di Sandakan ada maklumkan yang ada orang dari Kuala Lumpur mahu ziarah Makam”, terang Pak Habib

“Siapa orang itu Pak Habib”, Tanya saya.

“Katanya A…Sunan, begitu la”, jawab Pak Habib.

“Angah Sunan ke Pak Habib?”, teka saya

“Ye, Angah Sunan namanya”, jawab pak Habib

“Saya la empunya nama itu Pak Habib”, jawab saya dengan agak malu

“Allah”, terus habib memeluk saya.

Saya mohon ziarah Makam dan Alhamdulillah kerinduan terubat. Rindu yang lahir walau tanpa pertemuan. Al fatihah

Bersama Syed Salim Al Marzaq, penjaga makam Habib Syarif Hamzah

Jika ada yang bertanya Kenapa saya menziarahi Makam makam mereka? Berbaloikan dengan belanja?

Sahabat sekalian, saya menjawab seperti mana jawapan Guru saya,

Saya lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada, walaupun hanya pusara, tetapi ia mengingatkan saya akan kematian, kerana ia mengingatkan saya bahawa hidup adalah perjuangan kerana saya dapat melihat, jiwa mereka ada kuasa cinta yang hebat sehingga mereka diCintai oleh TuhanNya lantaran Kebenarannya cinta.

Saya ziarah maqam Aulia, kerana pada maqam mereka ada cinta lantaran Cinta Allah pada mereka seluruh tempat persemadian mereka diCintai Allah…Cinta tiada mengalami kematian ia tetap hidup dan terus hidup dan akan melimpah kepada para pencintanya.

Depan Makam Habib Syarif Umar

Saya berziarah kerana sebuah cinta mengambil semangat mereka agar saya dapat mengikut mereka dalam mujahadah. Saya mengangkat tangan disisi maqam mereka bukan meminta kuasa dari mereka tapi memohon kepada Allah agar saya juga diCintai Allah sebagaimana mereka diCintai Allah.

KELUARGA HABIB HAMZAH AL MARZAQ

Syarif Hamzah bin Umar Al Marzaq berkahwin dengan seorang pribumi mualaf yang memeluk agama Islam dan memperolehi seorang anak bernama Syarif Abdullah. Syarif Abdullah dalam berdakwah sering keluar dari Kalimantan  sehingga sekarang tidak diketahui keberadaanya.

Syarif Abdullah berkahwin dengan seorang perempuan mualaf dan hasil perkahwinan itu melahirkan dua orang anak , iaitu Syarif Yahya dan Syarifah Undak.

Syarif Yahya mempunyai tig aorang anak iaitu Syarif Hasan, Syarif Ba’sir dan Sayyid Omar Ali Yahya Al Marzaq. Syarif Hasan bin Syarif Yahya Al Marzaq meninggalkan Kalimantan dan dikhabarkan menyebarkan agama Islam di Goa, Sulawesi Selatan.

Syarif Ba’sir Al Marzaq menjadi Ulama’ besar di Kalimantan Utara dan sering berdakwah di luar Kalimantan namun akhirnya kembali ke Kota Tarakan. Syarif Ba’sir Al Marzaq mempunyai 13 orang anak. Carta salasilah keluarga adalah sepert berikut:

Carta Keluarga yang bermula dari Syarif Umar Al Marzaq

PULANG KE TAWAU

Lantara beberapa urusan di Sabah yang masih tergantung, hari Jumaat pagi saya sudah berangkat pulang ke Tawau. Dari Pulau Tarakan saya menuju ke Nunukan dan dari Nunukan masuk ke Jeti Tawau. Jika tidak, kemungkinan besar saya akan tinggal beberapa hari lagi apatahlagi beberapa minit sebelum berangkat, dikhabarkan kepada saya, di Pulau Tarakan itu juga, meninggalkan banyak sejarah Pemerintahan Kesultanan Islam Bulungan. Peristiwa kudetanya juga sangat menyayat hati hingga ramai kerabat Raja terbunuh dan berlaku penghijrahan rakyat ke Tawau, Sabah.  Sayang sekali !

Insya Allah saya datang lagi dan dari Tarakan kelak, akan membawa permusafiran hingga Balikpapan, Banjarmasin dan daerah-daerah menarik di Kalimantan.

Sebenarnya ini adalah kali pertama saya ke Seberang (Indonesia) melalui jalan laut. Walaupun, Indonesia adalah rumah kedua saya seperti mana kata teman-teman kerana kekerapan ke sana,  saya hanya menggunakan penerbangan. Mungkin kerana destinasi saya adalah Pulau Jawa.

Oh ya, saya pernah ke Indonesia melalui jalan darat. Dari Kuching, Sarawak saya naik bas masuk ke sempadan hingga ke Pontianak, Kalimantan Barat. Tahun 2012 barangkali.  Banyak kisah menarik di sana terutama kisah Pontianak. Insya Allah lain masa, kita bersua.

Saya tutup tulisan ini dengan pantun,

Dari Tawau ke Tarakan,

Menjejaki keluarga Al Marzaq,

Nikmat berjalan lahir perkongsian,

Moga pembaca mendapat manfaat.

Sorry ler T dan Q tak sepadan. Hanya itu diperjalankan. Sekian

Angah Sunan, LFO

Nota Editor: Setiap klik pada setiap iklan dalam instant article akan membantu kelangsungan kami untuk kekal relevan menulis di internet. Terima kasih.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.