Antara 16 Oktober hingga 28 Oktober 1962, dunia menjadi saksi kepada peristiwa dunia hampir musnah berikutan tercetusnya Krisis Peluru Berpandu Cuba. Krisis tercetus berikutan tindakan Kesatuan Soviet memasang sistem peluru berpandu di Cuba sebagai tindak balas pihak Amerika Syarikat memasang sistem peluru berpandu di Itali dan Turkey. Selama 13 hari, semua berdebar-debar kerana bimbang akan berlakunya perang nuklear antara kedua-dua kuasa besar ini. Namun semua itu berakhir apabila Soviet menarik balik sistem peluru berpandu dari Cuba, disusuli dengan Amerika di Itali dan Turki serta janji Amerika untuk tidak menyerang Cuba tanpa sebarang provokasi. Namun tahukah anda, dunia hampir berada di ambang perang nuklear berikutan konflik antara China dengan Kesatuan Soviet?

Pada Mac 1969, satu kontinjen Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menyerang pos sempadan tentera Soviet di Pulau Zhenbao mengakibatkan 58 tentera Soviet mati termasuk seorang kolonel tentera. China pula mengalami 29 kematian di pihak mereka. Berang dengan tindakan Beijing, Moscow mengebom kedudukan tentera PLA di tebing Sungai Ussuri dan menyerang Pulau Zhenbao. Empat kereta kebal T-62 menyerang peronda China dari kawasan yang dikawal mereka. Namun serangan tersebut tidak menjadi di mana satu daripada kereta kebal T-62 dimusnahkan dan membunuh komander unit tersebut. Pada 16-17 Mac, Moscow berjaya membawa pulang mayat tentera mereka tetapi gagal membawa keluar kereta kebal T-62. Moscow yang terdesak dan tidak mahu rahsia ketenteraan mereka jatuh ke tangan Beijing cuba memusnahkan kereta kebal tersebut pada 21 Mac tetapi digagalkan oleh tentera PLA. Kereta kebal tersebut dibawa keluar dari sungai dengan bantuan tentera laut China dan kini menjadi sebahagian daripada koleksi Muzium Ketenteraan China. Tentera PLA hanya kembali ke Pulau Zhenbao pada September tahun yang sama dengan tentera Soviet diberi arahan tegas untuk tidak menyerang mereka.

China pula memberi versi berbeza mengenai serangan di Pulau Zhenbao. Ramai menyifatkan kewujudan Revolusi Kebudayaan China menjadi punca ketegangan hubungan China-Soviet, sekaligus membawa kepada insiden berdarah pada Mac 1969. Menurut versi Beijing, Soviet menghantar kereta kebal, kereta perisai dan artileri untuk mengebom kedudukan tentera PLA di Pulau Zhenbao. Namun, tentera PLA berjaya bertahan selama tiga hari dan menghalau keluar tentera Soviet dari Pulau Zhenbao. Semasa pertempuran berlangsung, China turut menghantar dua platun infantri yang disokong unit artileri sementara Soviet menghantar 30 tentera dan kenderaan tempur ke Pulau Zhenbao. Dua kenderaan tempur Soviet musnah selepas bertempur selama sejam. Moscow yang tidak berputus asa melancarkan serangan kedua tetapi digagalkan pihak Beijing di mana lima kenderaan tempur Soviet musnah. Serangan ketiga Moscow juga berakhir dengan kegagalan di mana satu kereta kebal T-62 dan empat kereta perisai musnah dengan dua lagi kereta perisai rosak teruk. China menjadikan kejayaan ini sebagai sebahagian daripada propaganda mereka dan menyifatkan tentera Soviet rosak dari segi moral dan politik.

Pada tahun yang sama, pertempuran sekali lagi meletus di sempadan China-Soviet, kali ini di Xinjiang. Pada 13 Ogos, tentera Soviet menyerang sepasukan tentera PLA yang masuk ke zon kawalan mereka, mengambil alih zon tersebut dan membunuh 30 anggota tentera PLA. Untuk beberapa dekad, insiden ini dirahsiakan oleh Beijing dan atas sebab yang baik iaitu untuk mengelak perang. Dan China melihat insiden ini berpotensi mencetuskan Perang Dunia Ketiga (WWIII) dan perang nuklear antara kedua-dua kuasa besar ini. Memang benar China mempunyai bilangan tentera yang ramai tetapi mereka tidak mempunyai kemudahan logistik dan kekuatan tentera udara diperlukan untuk merampas wilayah Soviet. Dan dengan sempadan Soviet-China yang panjang dan luas ini, ia sebenarnya memberi peluang kepada Moscow untuk merancang serangan balas dan boleh saja memindahkan tentera diperlukan untuk operasi di Timur Jauh. Jika berlakunya perang antara kedua-dua belah pihak, Soviet bukan saja boleh merampas Manchuria tetapi juga menyerang semua bandar strategik dan kemudahan penting China bagi menjejaskan jentera perang Beijing.

Dan jika Beijing cuba melancarkan serangan nuklear ke atas Moscow pada ketika itu, ia sama sekali tidak akan menakutkan mereka. Ini kerana kelengkapan senjata nuklear Beijing tidak memuaskan, tidak berkualiti dan tidak mempunyai jarak diperlukan untuk menyerang kemudahan penting Moscow. Begitu juga dengan kapal terbang pengebom mereka jika mereka cuba meniru taktik tentera Amerika di Hiroshima dan Nagasaki. China mempunyai beberapa pesawat TU-4 (salinan dari pesawat Amerika B-29) dan H-6 (salinan dari pesawat Soviet TU-16 Badger) dan kebanyakan pesawat ini boleh saja ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Moscow. Moscow juga dilihat setaraf dengan Amerika dari segi keupayaan senjata nuklear di mana mereka boleh saja memusnahkan bandar-bandar strategik dalam sekelip mata. Namun sedar masyarakat antarabangsa memerhati setiap tindak-tanduk mereka, Soviet boleh saja menyerang kemudahan nuklear China atau menyerang pasukan tentera PLA dengan serangan taktikal. Jika ini berlaku, Soviet tidak mempunyai masalah menghapuskan kemudahan nuklear China sebelum ia menjadi ancaman kepada mereka.

Selepas insiden di Pulau Zhenbao dan Tieleketi, Amerika Syarikat berhati-hati dalam memberi reaksi mereka. Walaupun yakin konflik sempadan China-Soviet ini menyakinkan Washington bahawa perpecahan mereka ini masih berlaku, pegawai-pegawai Rumah Putih berbeza pendapat akan kemungkinan dan kesan yang membawa kepada konflik lebih besar. Melalui saluran rasmi dan tidak rasmi, Soviet cuba mengagak sikap Washington terhadap China. Antaranya pada tahun sama konflik di Pulau Zhenbao tercetus, Soviet mencadangkan kepada Washington untuk melancarkan serangan bersama ke atas kemudahan-kemudahan nuklear China tetapi Amerika enggan berbuat demikian. Walaupun tindakan ini menunjukkan Washington enggan membenarkan China terbakar tetapi Amerika juga enggan mengusahakan sebarang inisiatif yang melindungi Beijing daripada amukan Moscow.

Tapi sebab paling penting yang menghalang konflik sempadan China-Soviet dari merebak ialah kata-kata bekas panglima perang tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua (WWII) merangkap Presiden Amerika Syarikat, Jeneral Dwight D. Eisenhower. Eisenhower menyifatkan sekiranya Rusia benar-benar mahu berperang dengan China, maka halangan terbesar bukan dari segi ketenteraan atau politik tetapi kemampuan logistik diperlukan untuk mentadbir sebuah wilayah bersaiz benua. Ini belum dicampur cabaran keselamatan terutamanya dari populasi yang pasti menentang pendudukan tentera Soviet di negara mereka. Soviet pasti tidak mahu mengulangi kesilapan Jepun semasa Perang China-Jepun Kedua.

Moscow juga pasti akan mengambil kira kedudukan Taiwan dalam permainan ini. Seperti yang kita sedia maklum, Taiwan merupakan wilayah yang dikuasai oleh kelompok Kuomintang selepas dihalau keluar dari tanah besar China oleh pihak komunis pada 1948. Katalah sekiranya perang tercetus dan entah bagaimana Beijing terselamat, pasti pentadbiran Rumah Putih tidak teragak-agak melepaskan individu yang ada karisma seperti Chiang Kai-Shek untuk memulihkan semula China dan berpihak kepada mereka. Jika Moscow tetap berkeras juga, maka tidak mustahil China akan lebih mendampingi pihak Barat, satu sebab yang mendorong Moscow untuk menghentikan ia sebelum terlambat.

Selepas tahun tersebut, hubungan China-Soviet dingin tetapi kedua-dua pihak cuba memulihkan hubungan diplomatik termasuk menghantar kembali duta mereka yang dipanggil selepas krisis tercetus. Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal dan perbincangan berkenaan sempadan Soviet-China juga tidak ke mana selama sedekad. Pada dekad tersebut, China mula berbaik-baik dengan Amerika Syarikat di mana ini membawa kepada lawatan rahsia Henry Kissinger ke Beijing pada tahun 1971 sebelum lawatan rasmi Presiden Richard Nixon pada tahun berikutnya. China dan Soviet turut meningkatkan kehadiran tentera masing-masing di sempadan kedua-dua negara.

Perbincangan berkenaan sempadan kedua-dua negara hanya dicapai pada tahun 1991 di mana kedua-dua pihak bersetuju Pulau Zhenbao milik Beijing. Ini disusuli pula dengan perbincangan pada tahun 2003 di mana Rusia bersetuju menyerahkan Pulau Tarabarov (Pulau Yinglong), Pulau Zhenbao dan separuh dari Pulau Bolshoy Ussuriysky (Pulau Heixiazi) kepada China. Perjanjian ini disahkan oleh Duma (Parlimen Rusia) dan Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPCSC) pada tahun tersebut. Ini disusuli pula oleh penentuan sempadan yang disahkan oleh kedua-dua negara pada tahun 2008.

SUMBER

 

Farley, Robert. (2016). National Interest. How the Soviet Union and China Almost Started World War III. http://nationalinterest.org/feature/how-the-soviet-union-china-almost-started-world-war-iii-15152?page=show

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.