9/11 – Di Sebalik Debu Bangunan

938

Dalam suatu malam, 246 orang tidur untuk bersedia menaiki penerbangan esok pagi. 2,606 orang tidur untuk bersedia syif pagi esoknya. Begitu juga dengan 343 anggota bomba dan 60 pegawai polis. Dan tiada seorang pun mampu menjangkakan bahawa tepat pada pukul 10 tarikh 11 September, 2001, hidup mereka terus berubah. Terlalu ramai orang terkorban dalam tragedi 9/11. Apa yang lebih menyayatkan ialah timbulnya titik-titik konspirasi diatas kubur konkrit mereka selepas dua buah pesawat menghentam sebuah menara berkembar yang dikenali sebagai Pusat Perdagangan Dunia, Amerika Syarikat.

Boleh dikatakan apa yang berlaku telah mengubah landskap dunia. Timbunan-timbunan konkrit telah melepaskan habuk bertoksik seperti karsinogen, ke seluruh Lower Manhattan. Agensi Perlindungan Persekitaran (EPA) dengan pantas membuat kerja dari segi analisis kualiti udara serta keselamatan negara (Gates, 2006).

Beberapa kematian didapati berkait dengan habuk bertoksik ini, yang mana 18,000 orang lagi dijangkakan sakit kerananya. Bayi-bayi pula ditemui mempunyai masalah paru-paru sejak dalam kandungan lagi. Dan Program Kesihatan WTC menelankan belanja sebanyak AS$4.2 juta untuk menguji dan merawat sebarang penyakit berkaitan dengan toksik.

Dalam sebuah kajian diterbitkan pada Disember 2012, seramai 55,000 orang yang didaftarkan dalam suatu senarai berkaitan WTC telah diteliti selama 4-5 tahun lamanya. Tujuan penelitian adalah untuk mengenalpasti simtom-simtom kanser dalam kalangan mereka. Dan didapati mangsa dan pekerja pemulihan sangatlah terdedah dengan unsur-unsur barah yang menyebabkan kanser-kanser prostat, tyroid dan myeloma. 17 tahun selepas serangan, sebuah firma guaman New York melaporkan 15 orang menghidapi kanser payu dara lelaki angkara serangan ini (Welch, 2018).

Sementara manusia mula gugur kesakitan, begitu juga dengan ekonomi Amerika Syarikat. Setelah buka saja pasaran saham, Purata Industri Dow Jones menjunam 684 mata (-7.1%). Dalam masa seminggu, penyusutan didapati berada pada paras 1,369.7 mata (-14.3%), sekaligus melenyapkan AS$1.4 trilion dalam bentuk saham dari pasaran (Barnhart, 2001).

Bandaraya New York boleh dikatakan terhenti seketika. Sebanyak 430,000 kerja tergantung, bersamaan AS$2.8 bilion tidak sampai kepada keluarga pekerja dalam tempoh tiga bulan. Sektor pengeksportan paling terkesan yang mana KDNK bandaraya tersebut dihentam dengan kerugian –AS$27.3 bilion. Keadaan mendesak di New York memaksa campurtangan persekutuan yang mana Presiden George W. Bush mengizinkan sokongan sebanyak AS$21.7 bilion dengan segera.

Kesakitan bagi pasaran-pasaran besar turut diturunkan kepada perniagaan kecil-kecilan terutamanya di Lower Manhattan. Sebanyak 18,000 pekerjaan lenyap pada tarikh 11 September sahaja, yang mana Pentadbiran Perniagaan Kecil meluluskan bantuan dalam bentuk pinjaman.

Dan dalam masa ini, syarikat-syarikat insurans berada dalam keadaan kemurungan. Perniagaan mereka dihentam teruk oleh kerana gangguan urusniaga (AS$11 bilion), pampasan hartanah (AS$9.6 bilion), tanggungan (AS$7.5 bilion), pampasan pekerja (AS$1.8 bilion) dan bayaran lain-lain (AS$2.5 bilion). Sekelip mata, industri insurans dilucutkan kewangan sebanyak AS$32.4 bilion (hari ini bernilai AS$47.27 bilion).

Setiap sen ini tidak mencukupi untuk mengembalikan ribuan nyawa yang gugur pada hari tersebut. Sekali lagi pada 11 September 2019, kaum keluarga mereka berhimpun di Ground Zero dalam suasana hiba. Ramai dalam kalangan mereka menulis nama mangsa korban sebagai tanda penghormatan. Dan melihat keadaan semasa, dengan pembangunan semula di kawasan WTC, Amerika Syarikat dilihat telah membuka lebaran baharu.

Sungguhpun begitu, “9/11” kekal sebagai tarikh yang amat penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Kepentingannya menjangkaui 22 November iaitu Jumaat Presiden John F. Kennedy ditembak. Mahupun 24 Julai pada ketika Neil Armstrong menjadi manusia pertama untuk berjalan di Bulan.

RUJUKAN:

At least 15 men near Ground Zero after 9/1 have breast cancer, law firm says https://www.cbsnews.com/news/at-least-15-men-near-ground-zero-after-911-have-breast-cancer-law-firm-says/

Buildings Rise From Rubble While Health Crumbles. https://www.nytimes.com/2006/09/11/arts/television/11dust.html

CCCEH Study of the Effects of 9/11 on Pregnant Women and Newborns
https://web.archive.org/web/20110726045732/http://www.familiesofseptember11.org/docs/CCCEH%20Study%20Intro.pdf

The Economic Effects of 9/11: A Retrospective Assessment
https://fas.org/irp/crs/RL31617.pdf

Markets Reopen, Plunge
https://www.chicagotribune.com/business/chi-010917markets-story.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.