SARAWAK DARULHANA, mungkin satu nama yang begitu asing bagi rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya kerana perkisahannya tidak begitu diwar-warkan buat pengetahuan semua.  Ditambahlagi, kajian sejarah tidak begitu menyeluruh di Sarawak sebaliknya jika kita menggodek sejarah kerajaan kuno ini terpapar namanya di manuskrip-manuskrip kuno yang menjadi rujukan di Negara Brunei Darussalam mahupun bumi Kalimantan itu sendiri.

Dalam pada itu ramai juga yang berkata melalui cerita oral bahawa asas kepada kerajaan Melayu Islam di Sarawak ini bermula di Santubong kerana kewujudan satu makam pemerintahnya di kaki Gunung Santubong yang dijaga serta dipelihara sehingga ke hari ini.  Dan tidak kurang juga yang pasti dan yakin bahawa Kesultanan Sarawak Darulhana adalah terletak tidak jauh dari Astana Sarawak sekarang yang mana disitu juga terdapat beberapa perkuburan lama yang batu nisannya menyerupai makam-makam diraja Kesultanan Brunei dahulukala.

Menguak pintu sejarah kewujudan kerajaan kuno ini diperkira berlaku sekitar abad ke 16 Masihi iaitu bermulanya cerita seorang putera Kesultanan Brunei yang bernama Pengiran Muda Tengah.  Sekitar tahun 1598, kakandanya iaitu Sultan Abdul Jalilul Akbar ibni Sultan Muhammad Hasan telah ditabalkan menjadi raja Brunei yang ke-10 selepas kemangkatan ayahanda mereka iaitu Almarhum Sultan Muhammad Hasan ibni Sultan Saiful Rijal.

Pada zaman kegemilangan Sultan Muhammad Hasan, baginda dikenali sebagai seorang sultan Brunei yang gagah dan masyhur malah merupakan pemain utama di dalam memperkembangkan syiar Islam di Filipina.  Sistem pentadbirannya juga dikatakan sebagai yang terbaik pernah ada.  Turut sama digelar sebagai “Marhum Di Tanjung”.

Apabila kemangkatan ayahandanya itu juga, putera sulung telah ditabalkan sebagai pengganti namun di dalam diam dikatakan putera daripada perkahwinan yang lain iaitu yang bernama Pengiran Muda Tengah turut mempunyai impian yang sama.  Sebagai seorang sultan yang bijak pada masa itu dan bagi menjaga keharmonian keluarga dan kerajaan, Sultan Abdul Jalilul Akbar membuat satu keputusan seumpama kata bidalan “menarik tepung di dalam rambut, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerakan”.

Maka dititahkan adindanya iaitu Pengiran Muda Tengah untuk membuka satu kerajaan baru di wilayah jajahan Kesultanan Brunei Darussalam iaitu Sarawak. Perihal penghijrahan Pengiran Muda Tengah ada terkandung di dalam manuskrip sejarah Brunei Darussalam lama iaitu:

“Setelah tawaran lantikan menjadi Sultan Sarawak diterima oleh Pengiran Muda Tengah, maka baginda seterusnya menjunjung penentuan masa keberangkatan adinda baginda itu ke Sarawak.  Keberangkatan Pengiran Muda Tengah diiringi oleh 1000 orang Brunei yang terdiri daripada keturunan Sakai, Kedayan dan puak dari Pulau Bunut.  Pengiran Muda Tengah turut membawa beberapa orang pembesar dan anak orang baik-baik yang asalnya memegang peranan penting di dalam tampuk pemerintahan istana Brunei..”

Usai ketibaannya di Sarawak setelah bermusyawarah dengan seluruh rombongannya maka dibinalah istana, lapau dan kota untuk menjadi benteng mengawal istananya.  Disinilah faktor keselamatan dan keadaan geografi dijadikan subjek utama yang mana menyaksikan Pengiran Muda Tengah memilih satu kawasan yang berbukit di persisiran sungai agar ianya selamat dari serangan musuh dan mudah untuk rakyatnya meneruskan penghidupan.  Jadi jika dikatakan Santubong sebagai tempatnya maka ianya tidaklah begitu sesuai kerana terletak di muara menjengah Laut Cina Selatan.  Dan jika pemilihan kawasan sekitar Astana Sarawak sekarang adalah merupakan bekas tapak istananya itu lebih masuk akal.

Apabila siaga segalanya iaitu setelah pengurniaan gelaran Diraja disempurnakan barulah Pengiran Muda Tengah memasyhurkan diri baginda dengan nama Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, sultan pertama Kerajaan Kesultanan Sarawak Darulhana. Baginda turut popular dikenali sebagai Sultan Tengah.  Antara pengurniaan gelaran pembesar kesultanan baru ini adalah Datu Patinggi Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Setia Diraja dan Datu Temenggung Laila Wangsa.  Perlulah diingatkan bahawa didalam sejarah Sarawak moden itu sendiri iaitu ketika pemerintahan Brooke kesemua gelaran ini digunapakai sehingga di ketika Sarawak, Malaysia sekarang.

Sebagai satu kerajaan yang baru maka adalah perlu untuk pemerintahnya mendapat sokongan daripada kerajaan-kerajaan yang sudah lama wujud.  Maka bermulalah episod Sultan Tengah mengembara dari satu kerajaan ke kerajaan yang lain.  Destinasi pertama lawatan antarabangsa baginda berlaku pada tahun 1599.  Rombongan Kesultanan Darulhana berangkat ke Pahang iaitu sebahagian daripada empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga suatu ketika dahulu.  Dipilihnya negeri Pahang kerana baginda mempunyai seorang ibu saudara iaitu yang bernama Raja Bonda.  Raja Bonda adalah permaisuri kepada Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah yang memerintah Pahang dari tahun 1592 hingga 1614.

Keberadaan baginda di negeri Pahang tidaklah lama kerana kejadian menampar pasangan tariannya telah dimurkai oleh Sultan Pahang pada masa itu.  Demi menjaga airmuka keluarga diraja Raja Bonda iaitu bonda saudara Sultan Tengah maka baginda akur dengan segala titah ayah saudaranya.  Di ketika perjalanan pulang ke Sarawak, bahtera rombongan Sultan Tengah telah dilanda ribut sehingga kemudinya patah.  Akhirnya baginda bersama rombongannya terdampar di Sukadana.

Di Sukadana, hal pertama yang dilakukan oleh Sultan Tengah adalah bertemu dengan pemerintah Sukadana pada masa itu.  Penambahan Giri Mustika itulah nama raja Sukadana yang ditemuinya yang setelah memeluk Islam dikenali sebagai Sultan Muhammad Saifuddin.  Diceritakan Sultan Muhammad Saifuddin tertarik dengan budi pekerti Sultan Tengah yang sentiasa kelihatan gagah berani, beradab, bersopan santun dan soleh serta sentiasa dekat dengan masyarakat tempat lebih-lebih lagi apabila berbicara soal keagamaan.

Dek kerana itulah, akhirnya Sultan Tengah dijodohkan dengan satu-satunya adinda perempuan baginda yang bernama Puteri Surya Kesuma.  Walau sudah menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Sukadana, Sultan Tengah masih tetap ingin memperkembangkan syiar Islam kerana sejak di zaman pemerintahan ayahandanya di Brunei lagi baginda sudah menjadi pendakwah.

Sekitar tahun 1600, Sultan Tengah bersama dengan isterinya iaitu Puteri Surya Kesuma dengan diiringi lebih kurang 40 perahu lengkap dengan alat senjata telah menyusuri Sungai Sambas sehingga ke Kuala Bangun.  Apabila sampai di Kuala Bangun, baginda tertarik untuk tinggal di kawasan tersebut disamping mengajar penduduk-penduduk tempatan mengenai agama Islam.  Malah di Kuala Bangun, baginda sempat membuka kebun buah-buahan.  Disinilah Puteri Surya Kesuma, isteri Sultan Tengah melahirkan putera sulung mereka yang dinamakan Pengiran Sulaiman.  Dan seterusnya kebahagiaan Sultan Tengah dan isterinya semakin bertambah dengan kedatangan dua orang putera dan dua puteri iaitu yang dinamakan Pengiran Badaruddin, Pengiran Abdul Wahab, Radin Rasmi Puteri dan Radin Ratnawati.

Setelah itu sekali lagi, Sultan Tengah bersama rombongannya berangkat ke Kota Lama iaitu satu kawasan yang rata-rata penduduknya bukan beragama Islam.  Kedatangan Sultan Tengah langsung tidak menjadi ancaman kepada pemerintahnya yang bernama Ratu Sapudak.  Malah kedatangan baginda cukup diraikan dengan penuh adat istiadat menyambut seorang raja.  Ratu Sapudak berbesar hati menjemput baginda untuk menetap di sebuah tempat yang kemudian disebut dengan nama “Kembayat Sri Negara”.

Mangkatnya Ratu Sapudak secara mendadak menyaksikan legasi kerajaan telah diwarisi oleh anak saudara yang juga menantunya iaitu yang bernama Raden Kencono iaitu putera kepada Ratu Timbang Paseban.  Apabila naik takhta Raden Kencono menggelar dirinya sebagai Ratu Anom Kesumayuda. Pada masa itu juga jauh sebelum Ratu Sapudak mangkat, bagi menjaga hubungan baik antara keluarga Sultan Tengah maka telah dikahwinkan Pengiran Sulaiman dengan puteri bongsu Ratu Sapudak yang bernama Mas Ayu Bungso.

Oleh kerana Pengiran Sulaiman merupakan biras kepada Ratu Anom Kesumayuda maka dilantiknya Pengiran Sulaiman sebagai salah seorang Menteri Besar di dalam Kerajaan Sambas dengan mengguna nama Raden Sulaiman. Sebagai Menteri Besar, Raden Sulaiman bertanggungjawab untuk segala urusan hubungan dengan negara luar dan pertahanan negeri. Ketika menjadi Menteri Besar Kerajaan Sambas inilah, Raden Sulaiman dianugerahkan dengan seorang putera yang dinamakan Raden Bima.

Pada tahun 1630, Sultan Tengah membawa isteri serta putera puterinya untuk ke Matan.  Semasa di Matan, sekali lagi baginda berkahwin atas dasar hubungan kerajaan dengan puteri dari Matan.  Hasil perkahwinan tersebut melahirkan seorang putera yang diberikan nama Pengiran Mangku Negara.

Sementara itu, lain pula kejadian yang menimpa Raden Sulaiman sepeninggalan ayahandanya ke Matan.  Diceritakan Raden Sulaiman telah mendapat tentangan yang hebat daripada Raden Aryo Mangkurat. Raden Aryo Mangkurat dikhabarkan adalah penganut agama Hindu tegar manakala Raden Sulaiman pula dikatakan amat mendokongi perluasan syiar Islam di Kerajaan Sambas. Di sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, penganut agama Islam semakin bertambah di dalam Kerajaan Sambas dan ini tidak menyenangkan hati Raden Aryo Mangkurat.

Pelbagai fitnah dan taktik kotor telah digunakan oleh Raden Aryo dan akhirnya kerana tidak tertahan dengan tekanan dan melibatkan keselamatan keluarga maka Raden Sulaiman telah mengambil keputusan untuk berpindah. Maka berpindahlah Raden Sulaiman dengan seluruh anggota keluarganya diikuti oleh pengikut ayahandanya yang terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu Sarawak dan Melayu Brunei ke satu kawasan tidak jauh dari Kerajaan Sambas.

Di Sungai Sambas Kecil itulah wujudnya satu kerajaan Islam di Sambas yang bergelar Kerajaan Kesultanan Sambas dan Raden Sulaiman merupakan sultan yang pertama yang bergelar Sultan Muhammad Shafiuddin 1 ibni Sultan Ibrahim Ali Omar Shah yang memerintah dari tahun 1631 hingga 1668.

Berbalik kepada cerita Sultan Tengah di Matan, mungkin kerana sudah terlalu lama di perantauan maka timbullah keinginannya untuk kembali ke Sarawak Darulhana.  Hampir 30 tahun lamanya baginda membiarkan pembesar-pembesar negeri menguruskan satu kerajaan yang baru ditubuhkan itu.  Tiba saatnya baginda memohon perkenan untuk membawa pulang seluruh keluarganya timbul pula permintaan daripada Sultan Matan.

Permintaan Sultan Matan adalah untuk Sultan Tengah meninggalkan isteri dan anaknya iaitu Pengiran Mangku Negara di Matan.  Ini kerana isteri Sultan Tengah iaitu puteri Matan pada ketika itu merupakan satu-satunya zuriat baginda.  Dan kepada Pengiran Mangku Negaralah baginda bersandar untuk menjadi pewaris kerajaannya kelak.  Tidak mampu untuk menghampakan permintaan tersebut maka ditinggalkannya isteri dan anaknya dibawah jagaan ayahanda mertuanya.  Dan Pengiran Mangku Negara setelah kemangkatan datuknya menjadi Sultan Matan seterusnya.

Kepulangan Sultan Tengah ke Sarawak Darulhana telah sampai ke penghujungnya dan hanya tinggal beberapa batu sahaja untuk menyelusuri bahtera baginda memasuki Sungai Sarawak.  Ketika di muara Sungai Sarawak itulah diceritakan bahawa Sultan Tengah tidak begitu sihat kerana cirit birit.  Untuk harus untuk mereka singgah sebentar di satu kawasan yang bernama Pasir Kuning mencari ubat dan keredaan sedikit dari perjalanan laut yang panjang.

Ketika di Pasir Kuning (Santubong sekarang) itulah salah seorang daripada pengiring baginda telah berpaling tadah.  Baginda telah diradak dengan tempuling atau tombak dan dikatakan baginda Sultan Tengah sempat beradu tenaga dengan si pembunuhnya sehingga si pembelot itu turut terkorban dek hunusan keris Sungai Tengah.  Namun kerana kecederaan akibat dari radakan itu juga menyebabkan Sultan Tengah tidak mampu diselamatkan lalu mangkat di Santubong pada tahun 1641.

Berita kemangkatan Sultan Tengah di Santubong akhirnya sampai ke istana Sarawak Darulhana di Kuching, Sarawak lalu segala pembesar istana dan rakyatnya telah mudik ke muara Sungai Sarawak.  Baginda dimakamkan dengan penuh adat istiadat kemangkatan keluarga diraja Negara Brunei Darussalam di kaki Gunung Santubong.  Sementara itu mengenai permaisuri Sarawak Darulhana iaitu Puteri Surya Kesuma memilih untuk pulang ke kampung halamannya iaitu Sukadana atau Kerajaan Tanjungpura membawa bersama-sama putera dan puterinya. Di Sukadanalah juga, dua putera iaitu Pengiran Badaruddin dilantik menjadi Pengiran Bendarahara Seri Maharaja dan Pengiran Abdul Wahab sebagai Pengiran Temenggong Jaya Kesuma.

Cerita oral mengatakan bahawa komplot pembunuhan Sultan Tengah sememangnya sengaja dirancang bagi memastikan bahawa tiada mana-mana kerajaan yang lebih gah dari Kerajaan Brunei di Pulau Borneo.

Begitulah pengkisahan panjang sebuah kerajaan kuno yang pernah wujud sekitar akhir abad ke 16 Masihi yang bernama Kerajaan Kesultanan Sarawak Darulhana.  Sultan Ibrahim Ali Omar Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Hasan ibni Sultan Abdul Rijal merupakan sultan yang pertama dan terakhirnya.   Makamnya sehingga sekarang masih utuh dijaga dan dipelihara sebagai antara saksi kewujudan sebuah kerajaan kuno yang dinamakan Kerajaan Kesultanan Sarawak Darulhana.

Ketahuilah bahawa keberadaan kerajaan kuno ini bukanlah cerita dongengan sebaliknya penceritaannya cukup lengkap dinyatakan di manuskrip sejarah kuno di Negara Brunei Darussalam dan Sambas, Kalimantan kerana perkaitannya yang rapat.  Sesungguhnya sejarah Sarawak bukanlah bermula di era Brooke memerintah sahaja sebaliknya lebih berusia daripada itu.

Tertarik dengan satu frasa kata yang diabadikan oleh Mendiang Tuan Muda Anthony Brooke suatu waktu dahulu di Sarawak yang berbunyi:

-“Selamat Datang Yang Maha Mulia Ka-Negri Sarawak Darul-hana”-

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

#SarawakDarulHana

Rujukan:

  1. Jurnal Darussalam, Bilangan 1 – Pusat Sejarah Brunei terbitan 1995
  2. Jurnal Darussalam, Bilangan 3 – Pusat Sejarah Brunei terbitan 1999
  3. Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam
    http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah
  1. Kesultanan Sambas
    http://melayuonline.com/ind/history/dig/67/kesultanan-sambas
  1. Kesultanan Matan – Tanjungpura

http://melayuonline.com/ind/history/dig/443/kerajaan-matan–tanjungpura

  1. Muhammad Hassan

https://www.revolvy.com/main/index.php?s=Muhammad%20Hassan%20(Brunei)&item_type=topic

  1. Penemuan Makam Sultan Pertama Sarawak

http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=6937


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

3 Comments

  1. As Salam…kalau versi Sejarah Realiti Negara Siam Kedah pula , Sultan Rijaluddin Mohammad Johan Syah berkahwin dgn puteri Maharaja China Islam , iaitu adinda kpd Syed Ajjal @ lebih dikenali dlm sejarah dgn nama Laksemana Cheng Ho…..

    Sultan Rijaluddin & puteri Maharaja China Islam ini dikurniakan 5 org anak iaitu 4 putera & 1 puteri…

    1.Sultan Syeikh Tabim Ali
    -sewaktu muda Raja negeri Toung O (Burma)
    -dikenali dgn gelaran Yot Fa sewaktu menaiki takhta Maharaja Siam Ayutthaya..

    2.Sultan Jalil Yaakob Syah
    -sewaktu muda menjadi Raja Kedah Langkasuka
    -dikenali dgn gelaran Khun Waranwangsa sewaktu mjadi Maharaja Siam Ayutthaya

    3.

  2. As Salam…kalau versi Sejarah Realiti Benua Siam Islam Negara Kedah pula , Maharaja Benua Siam Islam Negara Kedah,Sultan Rijaluddin Mohammad Johan Syah yg dari keturunan Maharaja Merong Wangsa berkahwin dgn puteri Maharaja China Islam , iaitu adinda kpd Syed Ajjal @ lebih dikenali dlm sejarah dgn nama Laksemana Cheng Ho…..

    Sultan Rijaluddin & puteri Maharaja China Islam ini dikurniakan 4 org cahaya mata iaitu 3 putera & 1 puteri…

    1.Sultan Syeikh Tabim Ali
    -sewaktu muda Raja negeri Toung O (Burma)
    -dikenali dgn gelaran Yot Fa sewaktu menaiki takhta Maharaja Siam Ayutthaya..
    -Puterinya menjadi Raja Pattani yg pertama

    2.Sultan Jalil Yaakob Syah
    -sewaktu muda menjadi Raja Kedah Langkasuka
    -dikenali dgn gelaran Khun Waranwangsa sewaktu mjadi Maharaja Siam Ayutthaya

    3.Tunku Nur Aisyah
    -dikahwinkan dgn Sultan Zahiruddin Bahadur Syah , Raja Islam Monggol India..
    -dikenali dgn gelaran Mah In Ta Tiral semasa menjadi Raja Perempuan Ayutthaya.

    4.Sultan Muhammad Yusuf
    -Raja Pasai
    -digelara Prasat Tong sewaktu menjadi Maharaja Siam Ayutthaya

    Tunku Nur Aisyah & Sultan Zahiruddin dikurniakan 4 putera iaitu:-

    1.Sultan Syed Hisbullah Muadzam Syah
    -Raja kota Beruas Gangga Negara
    -digelar SongTham sewaktu jadi Maharaja Ayutthaya

    2.Sultan Syed Hassan
    -Sultan Borneo
    -digelar San Tubong sewaktu jadi Maharaja Ayutthaya

    3.Sultan Shaari Alauddin Riaayat Syah
    -Sultan Pagoh & Johor

    4.Penggiran Mustapa Kecil Bongsu
    -Sultan Brunei
    -dikenali dgn gelaran Prasat Thong jadi Maharaja Ayutthaya..

Reply To Anonymous Cancel Reply