Tanggal 28 Januari ini (2018), genaplah ulang tahun kelahiran seorang tokoh akademik dan sarjana tersohor tanah air iaitu Y. M. Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid yang ke-96 tahun! Wow! Betapa besarnya angka umurnya, begitu jugalah besarnya sumbangan beliau dalam bidang ilmu dan kemajuan rakyat negara ini yang dipeloporinya. Semoga Allah SWT terus mengurniakan beliau kesihatan tubuh badan yang baik dan kehidupan seharian beliau yang senantiasa dirahmati Allah SWT.

Berkaitan dengan usia Prof. Ungku Aziz yang panjang itu, pada artikel kali ini, penulis berminat untuk membincangkan secara ringkas perihal lapan orang tokoh ulama dan sarjana Islam yang hidup melebihi usia 90 tahun dan mencecah hidup umur seabad. Senarai ini adalah kajian penulis sendiri berdasarkan tokoh-tokoh ulama dan sarjana Islam terkemuka dalam sejarah Alam Melayu dan antarabangsa yang penulis ketahui dan pasti akan tahun kelahiran dan kematian mereka berdasarkan beberapa sumber.

Terdapat juga beberapa orang tokoh sarjana Islam dan ulama yang diketahui mempunyai usia melebihi 90 tahun dan mencecah usia seabad (mengikut kalender Masihi) seperti Ibnu Miskawayh, 89-98 tahun (320 H (932 M) / 325 H (936 M) / 330 H (941 M) – 1030 M), Mimar Sinan, 89-99 tahun (1489 / 1490 / 1494 / 1499 – 1588), Engku Tua Raja Ahmad ibni Raja Haji fisabilillah, 94-101 tahun (17??-18??), bahkan Shaykh Wan Daud al-Fatoni dikatakan mencecah usia 78-127 tahun! (1133 H (1720 M) / 1153 H (1740 M) / 1183 H (1769 M) – 1847 M).

Namun, seperti yang dapat dilihat, anggaran tahun-tahun kelahiran mereka terdapat perbezaan yang begitu besar jika dibandingkan dengan pelbagai pandangan sarjana dalam pelbagai sumber. Sekurang-kurangnya, dalam senarai yang disusun oleh penulis di bawah, meskipun terdapat beberapa perbezaan pendapat tentang anggaran kelahiran mereka bagi beberapa orang tokoh, tetapi perbezaan tahun tersebut hanyalah sejauh satu tahun. Sekiranya ada tokoh ulama dan sarjana Islam lain yang sebenarnya layak dimasukkan dalam senarai tetapi tiada dalam senarai ini, penulis memohon maaf atas kejahilan penulis dan diharap para pembaca dapat kongsikan tokoh ulama dan sarjana Islam tersebut dalam ruangan komen. Senarai ini akan disusun mengikut kiraan menaik:

8. Shaykh Hj. Abdullah Fahim (91 / 92 tahun) (1869 / 1870 – 27 April 1961)

Shaykh Abdullah bin Ibrahim merupakan tokoh ulama dan juga Mufti pertama negeri Pulau Pinang selepas kemerdekaan negara. Beliau dilahirkan pada tahun 1286 H (1869 M), tetapi ada juga catatan ilmiah yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1870. Gelaran “Fahim” atau beliau lebih dikenali sebagai Pak Him bermaksud “orang yang faham agama.”

Beliau adalah datuk kepada mantan Perdana Menteri kita yang kelima iaitu Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi. Beliau dilahirkan di Makkah. Bapanya, Shaykh Ibrahim bin Tahir membuat keputusan untuk menetap di Tanah Suci tersebut untuk mendalami ilmu-ilmu agama dan mengajar di Masjidil Haram sehinggalah beliau meninggal dunia. Shaykh Abdullah juga mengikuti jejak langkah ayahnya dengan melakukan perkara yang sama.

Beliau mendalami pelbagai bidang ilmu agama seperti Usuluddin, Syariah, Tasawwuf, Kesusasteraan Arab, Falak dan Tafsir selain mempelajari ilmu politik dan antarabangsa daripada ramai guru dan ulama di sana. Walau bagaimanapun, beliau lebih dikenali sebagai seorang ulama yang pakar dalam ilmu Falak.

Apabila beliau kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1916, beliau dilantik sebagai guru agama dan mudir (Pengetua) di beberapa buah pondok dan madrasah di Pulau Pinang, Kedah dan Perak, bahkan beliau pernah dilantik sebagai guru agama kepada Sultan Kedah ketika itu. Pada tahun 1944, beliau telah membuka, mentadbir dan mengajar di Sekolah Agama Daeratul Ma’arif al-Wataniyyah di Pulau Pinang.

Beliau juga adalah antara tokoh ulama Tanah Melayu yang memainkan peranan yang besar dalam membangkitkan semangat orang Melayu menentang penjajahan Inggeris terutamanya ketika penubuhan Malayan Union. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh pemimpin UMNO terutamanya dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam menasihati Tunku berkenaan hal-hal politik semasa.

Bahkan, Shaykh Abdullah Fahim adalah ulama yang bertanggungjawab dalam menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang sesuai iaitu pada 31 Ogos 1957 apabila diminta nasihat oleh Tunku Abdul Rahman berkenaan perkara tersebut. Apabila Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ditubuhkan pada tahun 1960, Shaykh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama.

7. Prof. Shaykh Dr. Yusuf al-Qardawi (91 tahun) (9 September 1926-)

Prof. Shaykh Dr. Yusuf bin Abdullah adalah seorang tokoh ulama antarabangsa terkemuka kelahiran Mesir dan lulusan Universiti al-Azhar. Gelaran “al-Qardawi” adalah dinisbahkan pada nama keluarganya iaitu “Qaradh.” Beliau mula melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1952 daripada peringkat Ijazah Sarjana Muda sehinggalah berjaya memperoleh PhD pada tahun 1973 dengan tesis berkenaan Fiqh az-Zakat.

Beliau terlibat dengan pertubuhan Ikhwan al-Muslimin sejak di bangku sekolah lagi dan pernah dipenjarakan ketika zaman pergolakan politik di Mesir pada era 1950-an. Beliau banyak menjalankan pelbagai kegiatan dan memberi sumbangan dalam bidang pendidikan, dakwah dan kebajikan kepada umat Islam khususnya di Mesir dan Qatar. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Penyelia Hal Ehwal di Kementerian Wakaf dan Jabatan Kebudayaan Islam al-Azhar, Pengasas dan Dekan Fakulti Shari’ah dan Pengajian Islam, Universiti Qatar (1977-1990), Pengarah Kolej Agama, Qatar (1961-1972), Pengarah Bahagian Pengajian Islam di Fakulti Pendidikan, Qatar (1973) dan Pengarah Pusat Pengkajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar (1991 sehingga kini).

Sebagai tokoh ulama yang dihormati dan disegani, beliau merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Ahli Majlis Rabitah al-Alam al-Islami di Makkah, Ahli Lembaga Fiqh Islam di Makkah, Ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis termasuk Penasihat Syariah di beberapa buah bank Islam. Beliau juga merupakan pengasas laman web “Islam Online” yang terkenal.

Dalam dunia akademik, beliau lebih dikenali dengan karya-karya penulisannya dalam pelbagai bidang fiqh seperti Fiqh al-Maqasid, Fiqh al-Nusus, Fiqh al-Waqi’, Fiqh al-Muwazanat, Fiqh Alawlawiyyat, Fiqh al-Taghayyur, Fiqh al-Jihad, Fiqh al-Thaurah, Fiqh al-Iqtisadi al-Islami, Fiqh ad-Daulah, Fiqh al-‘Aqalliyyat, Fiqh al-Wasatiyyah dan Fiqh al-Da’wah. Antara penulisan beliau yang masyhur ialah seperti Fiqh az-Zakat dan al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.

Sumbangan beliau mendapat pengiktirafan di seluruh dunia dan ini dapat dilihat melalui pelbagai anugerah yang diterimanya seperti Anugerah Ekonomi Islam Bank Pembangunan Islam (1411H), Anugerah Antarabangsa Raja Faisal Arab Saudi dalam bidang Pengajian Islam (1413H), Anugerah Kecemerlangan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1996), Anugerah Sultan Hassanul Bolkiah Brunei dalam bidang Fiqh (1997), Anugerah Sultan al Uwais, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) (1999), Anugerah Antarabangsa Dubai (2000) dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Malaysia (2009).

6. Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi (92 / 93 tahun) (1895 / 1896 – 13 Oktober 1989)

Shaykh Muhammad Idris bin Abdul Rauf merupakan seorang tokoh ulama terkenal di Alam Melayu pada abad ke-20. Beliau lahir di Makkah tetapi kedua-dua ibu bapanya berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak. Tarikh lahirnya ialah pada 28 Zulkaedah 1896 bersamaan 12 Mei 1896 sebagaimana yang beliau nyatakan sendiri dalam Kamus al-Marbawinya. Walau bagaimanapun, terdapat juga pendapat sarjana dan kajian yang menyatakan tarikh lahirnya ialah pada 1 November 1895. Gelaran “al-Marbawi” dinisbahkan pada nama kampung halaman kedua-dua orang ibu bapanya. Pada usianya 10 tahun, beliau bersama keluarganya pulang ke Tanah Melayu dan disekolahkan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak, sebelum melanjutkan pengajian agama di beberapa buah pondok di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kemudian, beliau bekerja sebagai guru mengajar agama di sebuah sekolah di Perak. Beliau melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar di Mesir pada tahun 1924 sehingga berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan terus menetap di sana selama 33 tahun iaitu sehingga tahun 1967. Ketika dalam pengajian di Mesir beliau aktif dalam kegiatan penulisan majalah persatuan pelajar Melayu di sana, bahkan beliau juga mempunyai syarikat percetakan sendiri di Mesir yang bernama Matba’ah al-Marbawiyyah.

Beliau amat dikenali sebagai penulis Qomus al-Marbawi, kamus dwi-bahasa Arab-Melayu yang popular di Mesir dan Alam Melayu yang diterbitkan pada tahun 1937 dan diulang cetak sehingga kini tidak kurang daripada 24 kali. Selain itu, beliau banyak menghasilkan penulisan ilmu-ilmu agama seperti Kitab Bahrul Mazi, Tafsir Qur’an Marbawi, Bulughul Maram, Usul al-Islam dan banyak lagi.

Atas sumbangannya yang besar dalam bidang agama dan penulisan, beliau dikurniakan gelaran Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Beliau juga merupakan penerima anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama iaitu pada tahun 1908 Hijrah bersamaan tahun 1987 ketika berusia 91 tahun.

5. Prof. Emeritus Shaykh Dr. Abdul Karim Zaydan (92 / 93 tahun) (1921 – 27 Januari 2014)

Shaykh Abdul Karim bin Zaydan bin Biej al-‘Aani adalah seorang tokoh ulama dan sarjana tersohor kelahiran Iraq. Dalam sijil kelahirannya, tercatat tahun kelahirannya ialah pada tahun 1917, tetapi menurut beliau sendiri, tahun sebenar kelahirannya ialah pada tahun 1339 H bersamaan tahun 1921 M. Ini disebabkan anggaran umur yang dilakukan oleh sistem pendaftaran kelahiran tempat tersebut ketika itu. Beliau menerima pendidikan sekolah dan pengajian tinggi di Iraq dan Mesir. Beliau berjaya memperoleh PhD daripada Universiti Kaherah, Mesir pada tahun 1962 dalam bidang Syariah.

Beliau merupakan Pensyarah yang lama berkhidmat di Universiti Baghdad di Iraq dan pernah dilantik sebagai Profesor malah Dekan sehingga dikurniakan gelaran Profesor Emeritus oleh universiti tersebut atas pengiktirafan sumbangannya yang besar dalam bidang akademik terutamanya dalam bidang Syariah. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor di Universiti San’a di Yaman dalam bidang Syariah.

Beliau telah menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah yang berharga dan menjadi rujukan utama dalam bidang Syariah dan dakwah di banyak universiti dan pengajian tinggi seluruh dunia serta diterjemah ke dalam banyak bahasa. Antara karya beliau tersebut ialah seperti Kitab al-Wajiz fi Usul al-Fiqh dan Kitab Usul ad-Dakwah. Pada tahun 1997, pada usia 76 tahun, Kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkannya Hadiah Antarabangsa Raja Faisal dalam bidang pengajian Islam atas sumbangan besarnya dalam bidang tersebut terutamanya penghasilan 11 jilid kitab kajian terperincinya berkenaan wanita dan keluarga dalam perundangan Islam.

4. Tuan Guru Hj. Salleh Masri (95 / 96 tahun) (1875 – 30 Mei 1971)

Tuan Guru Haji Saleh bin Baki merupakan seorang tokoh ulama dan pendidik di Tanah Melayu. Beliau dilahirkan di Kampong Rasah, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Nenas, Seremban sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Sumatera. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Madrasah Sungai Dua, Pulau Pinang selama tiga tahun, sebelum belajar di Madrasah Padang Lalang selama tiga tahun dan berangkat ke Mesir untuk mendalami ilmu agama di Universiti al-Azhar pada tahun 1899.

Sekembalinya beliau di Tanah Melayu, beliau telah membuka Madrasah Masriyyah di Pulau Pinang pada 17 Mac 1906. Madrasah tersebut dinamakan “Masriyyah” atau “Misriyyah” sempena nama tempat Mesir, tempat beliau mendalami pengajian agama. Begitu juga dinisbahkan dengan gelarannya “Masri” atau “Misri.” Ini kerana sistem pengajian di madrasah tersebut dilaksanakan mirip seperti sistem pengajian moden di Universiti al-Azhar iaitu menggabungkan pengajian agama dengan pelajaran akademik yang lain seperti Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Mantik dan Kraftangan. Kepimpinan, peranan dan ketokohan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Haji Salleh menyebabkan madrasah tersebut muncul sebagai madrasah yang amat berpengaruh di negeri Pulau Pinang, terutamanya di Seberang Prai dan melahirkan ramai tokoh ulama tanah air terkemuka daripada institusi pengajian tersebut.

3. Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz (96 tahun) (28 Januari 1922-)

Prof. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid merupakan seorang tokoh cendikiawan yang sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana rakyat Malaysia secara umumnya mengenali tokoh ini. Beliau banyak menyumbang jasa terhadap perkembangan kemajuan rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini. Ayah beliau merupakan keluarga kerabat diraja Johor manakala ibunya pula seorang wanita berbangsa Turki. Beliau dilahirkan di London tetapi dibesarkan di Batu Pahat, Johor.

Beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya dan berjaya memperoleh PhD juga dalam bidang ekonomi di Universiti Waseda, Jepun. Beliau mula dilantik sebagai Pensyarah di Universiti Malaya pada tahun 1952 dan dinaik pangkat sebagai Profesor pada tahun 1961. Pada tahun 1968, beliau mencatat sejarah Universiti Malaya apabila dilantik sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia pertama menjawat jawatan Naib Canselor di universiti pertama ditubuhkan di Tanah Melayu (Malaysia) tersebut. Bahkan, setakat ini, beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya yang paling lama berkhidmat dalam sejarah universiti tersebut iaitu selama 20 tahun (1968-1988).

Pada tahun 1978, atas ketokohan dan kesarjanaannya, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja, jawatan tertinggi dalam bidang akademik dan beliau merupakan satu-satunya orang yang memegang gelaran seumur hidup tersebut di Malaysia sehingga ke hari ini. Pada tahun 1986, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus, satu lagi gelaran berprestij dalam bidang akademik. Beliau banyak menyumbangkan jasa kepada negara. Beliau merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang pertama. Beliau juga adalah antara orang yang bertanggungjawab memberi idea dan menubuhkan Lembaga Urusan Tabung Haji, sebuah badan yang bertanggungjawab menguruskan jemaah haji Malaysia. Di Universiti Malaya, beliau adalah tokoh yang terlibat dalam pengasasan Pusat Asasi Sains dan Akademi Pengajian Islam yang telah melahirkan ramai sarjana dalam kedua-dua bidang akademik tersebut.

2. Tok Ku Paloh (99 / 100 tahun) (1817 – September 1917)

Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus merupakan seorang tokoh ulama berketurunan Sayyid yang berpengaruh di Terengganu dan Patani. Beliau dilahirkan pada tahun 1233 Hijrah bersamaan tahun 1817 Masihi di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan awal pengajian ilmu-ilmu agama daripada bapanya, Sayyid Muhammad al-Aidrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar, seorang tokoh ulama yang berpengaruh dalam hal ehwal agama Islam di negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pengajian agamanya di Makkah dan berguru dengan ramai ulama. Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu, beliau memusatkan aktiviti pengajaran agamanya di Kampung Paloh, Terengganu. Antara anak muridnya ialah tokoh-tokoh ulama pejuang tanah air seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut, malah baginda Sultan Terengganu sendiri ketika itu iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beliau begitu berpengaruh dalam kerajaan Terengganu sehingga dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu. Di bawah pentadbiran beliau, Kampung Paloh ditadbir mengikut undang-undang Syariah.

Tok Ku Paloh juga seorang tokoh ulama pejuang tanah air. Sepanjang hayatnya, pihak Inggeris tidak berjaya mencampuri urusan pemerintahan negeri Terengganu sepertimana yang telah terjadi di negeri-negeri Tanah Melayu yang lain ketika itu. Hanya selepas beliau meninggal dunia dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun selepas itu, baharulah pihak Inggeris berjaya mencampuri urusan pemerintahan negeri Terengganu (1919).

Tok Ku Paloh juga pernah membantu pejuang-pejuang Pahang iaitu Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan anaknya, Mat Kilau berlindung daripada pihak Inggeris, walaupun beliau menerima tekanan hebat daripada delegasi Inggeris dari Pahang yang diketuai oleh Hugh Clifford. Selain seorang pejuang agama, bangsa dan tanah air, beliau juga seorang pengamal tariqat Naqsyabandiyyah. Beliau meninggalkan beberapa penulisan berharga terutamanya karyanya berkenaan akidah dan tasawwuf yang bertajuk Ma’arij al-Lahfan li-at-Taraqqi ila Haqaiq al-Irfan.

1. Shaykh Arsyad al-Banjari (101 tahun) (19 Mac 1710 – 13 Oktober 1812)

Shaykh Muhammad Arsyad bin Abdullah adalah tokoh ulama silam terkemuka yang paling panjang usianya yang penulis ketahui dan dapat dipastikan. Beliau dilahirkan pada tanggal 15 Safar 1122 Hijrah bersamaan 19 Mac 1710. Beliau merupakan seorang ulama besar dan Mufti Kesultanan Banjar (Banjarmasin, Kalimantan) yang berpengaruh sekitar abad ke-18, baik dalam bidang keagamaan, sosial mahupun politik. Beliau juga merupakan anak angkat kepada Sultan Tamhidullah II, iaitu Sultan Banjar ketika itu. Beliau mendalami ilmu-ilmu agama di Makkah dan Madinah dengan tokoh-tokoh ulama di sana selama 35 tahun bersama-sama tiga orang sahabatnya yang juga tokoh-tokoh ulama Melayu silam tersohor iaitu Shaykh Abdul Samad al-Falimbani, Shaykh Daud al-Fatoni dan Shaykh Abdul Wahab Bugis sebelum pulang semula ke kampung halamannya dan berdakwah, mengajar dan membimbing masyarakat dengan membuka pondok pengajian pesantren, memajukan kawasan kampungnya dan menegakkan institusi keagamaan di negerinya seperti mahkamah Syariah.

Shaykh Arsyad bukan sahaja dihormati dan disegani sebagai seorang tokoh ulama dalam kalangan masyarakat Melayu, bahkan pegawai-pegawai Belanda turut menghormati ketokohan beliau dengan memanggilnya dengan panggilan “Tuan Haji Besar.” Beliau memiliki hubungan yang rapat dengan golongan istana Kesultanan Banjar sebagai seorang penasihat Sultan terutamanya dengan Sultan Tamjidillah dan puteranya, Sultan Tahmidillah. Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasilkan banyak kitab pengajian agama yang menjadi rujukan para ulama Alam Melayu. Antara kitabnya yang masyhur ialah “Sabil al-Muhtadin li-Tafaqquhi fi Amr ad-Din” yang membahaskan perkara-perkara fiqh ibadat dalam mazhab Syafi’e. Beliau meninggal dunia pada 13 Oktober 1812 bersamaan 6 Syawal 1226 Hijrah dalam usia 102 tahun mengikut kalender Masihi atau 105 tahun menurut kalender Hijrah.

————————————————

Sebenarnya, terdapat ramai lagi tokoh ulama dan sarjana Islam tanah air dan antarabangsa yang panjang usianya (lebih 80 tahun), seperti Abdul Qadir al-Jilani, 87 tahun (1078-1166), Shaykh Ahmad Deedat, 87 tahun (1918-2005), Shaykh Tahir Jalaluddin, 87 tahun (1869-1956), Prof. Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, 87 tahun (1931-) dan ramai lagi.

Ada juga tokoh ulama dan sarjana Islam yang meninggal dunia pada usia muda (kurang 49 tahun) seperti Imam Nawawi, 45 tahun (1233-1277) dan Imam Hasan al-Banna, 42 tahun (1906-1949). Mereka semua memanfaatkan usia mereka sebaiknya dalam menabur jasa dan sumbangan kepada umat Islam terutamanya dalam aspek ilmu, dakwah, kepimpinan dan pembangunan masyarakat. Contohilah akhlak mereka, perjuangan mereka, pelajari dan manfaatkanlah ilmu-ilmu peninggalan mereka. Semoga mereka yang telah meninggal dunia dicucuri rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT. Bagi mereka yang masih hidup, semoga kehidupan mereka senantiasa di bawah rahmat dan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda apabila ditanya oleh seorang lelaki, siapakah (golongan) manusia yang terbaik, lalu baginda menjawab: “Sesiapa yang panjang usianya dan baik amalannya….” (riwayat at-Tirmizi). Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa tiga perkara yang akan berterusan pahalanya kepada seseorang walaupun setelah seseorang itu telah mati ialah sedekah jariah, ilmu yang pernah diajarkan olehnya dan dimanfaatkan oleh orang lain serta doa daripada anak yang soleh dan solehah. Berlumbalah kita melakukan tiga perkara tersebut untuk mendapat keredaan Allah SWT sebagai “saham” setelah kematian kita kelak sementara hayat kita masih ada di muka bumi ini.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan mereka dalam perbincangan di atas dan sumbangan mereka, para pembaca boleh merujuk sumber-sumber rujukan berikut:

SENARAI RUJUKAN:

– Chamil Wariya, Abdullah Ahmad Badawi, Perjalanan Politik PM ke-5, Utusan Publications, 2004.

– Mohammad Redzuan Othman, “Syeikh Junid Tola (1886-1948): Ulama Progresif, Penggerak Kesedaran Politik dan Kemajuan Sosio-Ekonomi Masyarakat,” dalam Persada Jauhari. Kumpulan Esei Sempena Persaraan Prof. Emeritus Dato Wira Dr. Mohd. Yusoff Hashim, 2012.

– Abdul Rahman Hj. Abdullah (ed.), Biografi Agung Sheikh Arsyad al-Banjari, Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd., Jan 2016.

– Ahmad Fauzi Abdul Hamid, “The Sayyids and Non-Confrontational Propagation of Islam to The Malay World via Adaptation of Local Knowledge,” dalam Nurul Farhana Low Abdullah & Mohamad Rashidi Pakri (eds.), Retracing Tradition for a Sustainable Future: The Malaysian Experience, Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), 2013.

– Mohd. Syafiq Borhannuddin, “Ungku Aziz Perspective on ‘Development,’” dalam Turkish Journal of Islamic Economics, Vol. 2, No. 1, Februari 2015, hlmn. 1-15.

– Syed Hadzrullatfi Syed Omar, Rohaizan Baru, Engku Ibrahim Engku Wok Zin, et al., “Works by Terengganu’s Scholars of The 19th Century in Dignifying The Study of Islamic Knowledge Based on The Qur’an,” dalam Asian Social Science, Canadian Center of Science and Education, Vol. 10, No. 9, 2014, hlmn. 128-136.

– Zulkifli Hasan, “Yusuf al-Qaradawi dan Sumbangan Pemikirannya,” dalam Gjat, Vol. 3, No. 1, Jun 2013, hlmn. 51-66.

– Faisal Ahmad Shah, “Sumbangan Sheikh Mohamed Idris al-Marbawi dalam Penentuan Identiti Perawi: Tumpuan Kepada Kitab Bahr al-Madhi.”

– Wan Mohd. Saghir Abdullah, “Tok Ku Paloh Al-Aidrus Pejuang Islam dan Bangsa Melayu,” dalam ruangan Bicara Agama, Utusan Online, pautan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0918&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_01.htm&arc=hive#ixzz54XNb4G7b, arkib 18 September 2006, dirujuk pada bulan Januari 2018.

– Laman web rasmi as-Shaykh Abdul Karim Zaidan, pautan: http://drzedan.com/, diakses pada bulan Januari 2018.

– Wan Mohd. Saghir Abdullah, “Abdullah Fahim – Ulama Mahir Ilmu Falak,” dalam ruangan Bicara Agama, Utusan Online, pautan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0219&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz557g95Eqx, arkib 19 Februari 2004, diakses pada bulan Januari 2018.

– Laman web rasmi penerima Hadiah Antarabangsa Raja Faisal, pautan: http://kfip.org/professor-abd-alkarim-zedan-biej/, dirujuk pada bulan Januari 2018.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.