Black Hawk Down: Malaysia Menyelamatkan Amerika

0
3506
views

Hampir 500,000 orang terkorban dalam pergelutan berdarah Somalia yang telah bermula lebih daripada 27 tahun dahulu. Selepas kekalahan dalam Perang Ethiopia-Somalia akibat campurtangan Kesatuan Soviet dan Republik Cuba, rejim Somalia mengetatkan lagi dasar-dasar kuku besi.

Perang saudara tidak dapat dielakkan, dan salah satu pertempuran yang diratapi Malaysia ialah Pertempuran Mogadishu (1993) dimana negara kehilangan Lans-Korperal Mat Aznan Awang selepas APC Condor yang dipandu oleh beliau ditembak oleh RPG.

Pada asasnya, misi ini tidak begitu gah di dada akhbar dan media. Ia bukan seperti kisah pertempuran Stalingrad. Ia bukan seperti di Iwo Jima. Ia sekadar Mogadishu, yang tentu ramai tidak mampu cari lokasinya di peta dunia.

Tetapi hakikatnya berbeza. Pertempuran ini bermula pada 3 Oktober 1993 apabila angkatan Amerika Syarikat – Kompeni Bravo Batalion Ketiga, Rejimen Renjer Ke-75, Pasukan Delta dan Rejimen Airborne berganding bahu untuk memberkas dua orang rapat Jeneral Mohamed Farrah Aidid, iaitu Omar Salad Elmi dan Mohamed Hassan Awale.

Berdasarkan perancangan Mejar-Jeneral William F. Garrison, Pasukan Delta akan merusuh bangunan sasaran melalui helikopter-helikopter MH-6 Little Bird, sementara empat kumpulan paratrooper Pasukan Renjer akan mendarat daripada helikopter MH-60L Black Hawk (Super 6-1 dan Super 6-4) untuk membentuk sempadan pertahanan di sekeliling bangunan ini agar unit penyerang Humvee dan M939 dapat tiba.

Operasi ini dijangka akan selesai dalam 30 minit sahaja. Tetapi gangguan geografi, perancangan dan ketidaksangkaan membuatkannya satu misi yang amat mencabar. Konvoi tidak dapat menggunakan jalan-jalan Mogadishu akibat disekat golongan militia. Debu-debu mula mengganggu misi akibat angin kuat daripada kipas helikopter.

Pasukan Renjer Keempat pula tidak sengaja membuat sempadan di luar titik perancangan. Mereka tidak mahu mengambil risiko apabila juruterbang Black Hawk memberikan bantuan, takutkan helikopter itu dibedil ketika mereka menempuhi serangan musuh.

Prebet Kelas Pertama (PFC) Todd Blackburn pula terjatuh semasa sedang mendarat daripada ketinggian 21 meter. Beliau tercedera di bahagian kepala dan belakang leher, dan terpaksa dikeluarkan oleh Sarjan Jeff Struecker dalam Humvee, menyebabkan kematian Sarjan Dominick Pilla selepas ditembak di kepala.

Pada pukul 4:20pm, Super 6-1 dibedil RPG dan terhempas. Juruterbang Cliff Wolcott dan Donovan Briley terkorban, bersama dua ketua kru. Tetapi bukan semua yang mati – Staf Sarjan Daniel Busch dan Sarjan Jim Smith terselamat dan mula bermati-matian pertahankan lokasi tersebut, sementara MH-6 dapat mendarat dengan juruterbang keduanya keluar agar dapat membawa Busch dan Smith ke tempat selamat pada ketika juruterbang utama MH-6 menembak daripada kokpit. Malangnya, Daniel Busch terkorban akibat terkena empat das tembakan.

Sudahlah pertempuran semakin memuncak, berlaku pula kesilapan komunikasi antara pasukan khas dan konvoi. Pasukan konvoi tersalah faham bahawa mereka perlu dihubungi pasukan khas dahulu sebelum bergerak, begitu juga pasukan khas yang menunggu pasukan konvoi. Semasa kekeliruan 20 minit ini, Super 6-4 pula ditembak.

Pasukan khas terpaksa berundur ke lokasi nahas. 90 askar Renjer dan Delta terperangkap dalam serangan yang teruk, walaupun ada bantuan udara. Di lokasi nahas kedua, penembak tepat Delta, Master Sarjan Gary Gordon dan Sarjan Kelas Pertama Randy Shughart membunuh ramai penyerang-penyerang Somalia. Tetapi hanya juruterbang, Michael Durrant, sahaja yang terselamat selepas dibelasah teruk tentera-tentera militia Aidid.

Pihak Somalia tidak berhenti untuk mengepung tentera-tentera Amerika, yang sedang bertahan dengan senjata-senjata mereka dan juga serangan roket dan senjata MH-6.

Operasi yang bermula sekitar pukul 4:00pm telah berlangsung sampai 2:00AM. Pada waktu inilah ketenteraan gabungan Malaysia-Pakistan dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu daripada Task Force Infantri 2-14 dan Divisyen Gunung Ke-10 tiba. Unit-unit ini sebenarnya tidak dirancang pun sebelum operasi bermula.

Tekad untuk memastikan semua unit penyelamat selamat, Mejar-Jeneral Garrison melepaskan konvoi penyelamat dalam bilangan yang besar – lebih daripada 100 kenderaan seperti Condor (Malaysia), kereta kebal M48 (Pakistan) dan Humvee bersama M939 lagi (AS). Konvoi ini bergerak dalam kumpulan sejauh tiga kilometer, bersama helikopter-helikopter Black Hawk dan Cobra yang lain.

Lebih daripada 100 orang berdarah Malaysia membanjiri kawasan pertempuran bersama ketenteraan Amerika Syarikat untuk bertarung selama enam jam. Dan Lans-Korperal Mat Aznan Awang merupakan salah seorang daripada 20 orang yang terkorban dalam operasi ini. 82 orang tercedera.

“Jasa-jasa Malaysia akan sentiasa diingati dan ketenteraan Amerika Syarikat mengucapkan sejuta terima kasih atas keberanian Angkatan Tentera Malaysia dalam operasi penyelamatan tentera-tentera kami dalam pertempuran dua puluh tahun yang lalu. Seorang tentera Malaysia telah terkorban, dan sembilan lagi tercedera dalam misi di Mogadishu ini.” – Thomas Kelly.

Brigadier-Jeneral Greg Gile (komander Ranger AS) – “sebuah pertempuran yang akan sentiasa hidup pada muka sejarah – pihak anda (Malaysia) telah dibuktikan sebagai aset yang penting untuk menjayakan misi ini. Terima kasih kepada tentera-tentera anda, pihak Rangers terselamat.” – 14 Oktober, 1993.

Mejar-Jeneral Thomas Montgomery (komander PBB) – “kita memang sedar tentang kerugian yang diratapi tentera-tentera anda (Malaysia) yang berani. Kami tidak akan sesekali lupa dan akan sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan.”

Leftenan John Breen mengutuskan nota kepada tentera-tentera Malaysia dengan kenyataan dalam konteks, “ramai tentera-tentera Amerika masih lagi boleh bersama dengan keluarga-keluarga mereka kerana bantuan yang diberikan. Saya akan berjuang bersama anda dimana-mana sahaja.”

Al-Fatihah kepada Lans-Korperal Mat Aznan Awang.

Previous articleSejarah Penciptaan Kalendar Masihi: Sistem Rom, Julian Dan Gregorian
Next articleIf Cats Disappeared From The World (2016): Hakikat sebuah Kehidupan.
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.