7 Urban Legend Terkenal Permainan Video

0
763
views

Bermain permainan video merupakan suatu pengalaman yang mengasyikkan. Suasana, rekaan bunyi, dan visual yang memukau membantu menyemarakkan lagi minat para gamers terhadap permainan video yang mereka mainkan. Sesetengah permainan video meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada gamers walaupun lama selepas mereka meletakkan controller. Ini mewujudkan budaya fandom dikalangan gamers yang rajin berbicara, berkomunikasi dan berbincang antara satu sama lain di luar apa sahaja perkaran berkenaan permainan video yang mereka mainkan.

Perkara ini dimarakkan lagi oleh kewujudan Internet pada awal 80-an yang membolehkan komuniti-komuniti fandom terbentuk dan mewujudkan ruang diskusi, perdebatan atau apa sahaja bentuk perbualan berkaitan permainan video yang mereka minati. Tetapi biasalah, di mana sahaja platform perbincangan, ada sahaja ruang untuk khabar angin tersebar.

Jetpack Langkawi

Dari khabar angin yang diselitkan unsur-unsur seram, ke khabar angin yang sangat mengarut, wujud sahaja khabar angin di luar sana yang disebarkan oleh para gamers yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan khabar angin ini tersebat di ruang maya, maka ia lebih mudah untuk meresap dan bercambah menjadi urban legend. Di sini disenaraikan 7 urban legend popular permainan video, berserta status kesahihannya untuk tatapan para pembaca.

Gambar 1: Cip Playstation 2 yang dikatakan boleh memandu sebuah peluru berpandu nuklear

1. Playstation 2 sebagai Senjata Pemusnah

Pada penghujung tahun 2000, sebuah portal akhbar (World Net Daily) melaporkan bahawa FBI, Pihak Kastam Amerika Syarikat dan juga pihak perisikan Tentera AS sedang menyiasat dakwaan tentang penghantaran sejumlah 4,000 konsol Playstation 2 (PS2) yang kononnya dibeli oleh kerajaan Iraq. Laporan berita itu menyatakan yang kemampuan dan prestasi yang dimiliki oleh cip pemprosesan PS2 membolehkan ia dijadikan sebagai komponen utama yang boleh menghidupkan senjata pemusnah seperti peluru berpandu nuklear dan juga UAV (Unmanned Aerial Vehicle). Laporan itu juga menambah yang kemampuan cip pemprosesan PS2 adalah 1.5 kali ganda lebih hebat dari mana-mana PC yang ada pada ketika itu dan membolehkan ia melakukan kira-kira simulasi ketenteraan yan rumit lantas memampankan lagi keupayaan ketenteraan Saddam Hussein.

Status: Tak Logik!

Kisah di atas, jika diselidiki dengan lebih teliti, adalah mengarut semata-mata. Memanglah PS2 ketika dilancarkan terkenal dengan kemampuan pemprosesannya, namun begitu, ia tidaklah melebihi kemampuan komputer-komputer peribadi yang berkemampuan tinggi yang sudahpun berada di pasaran pada ketika itu. Buat apalah Saddam Hussein bersusah payah membeli beribu-ribu PS2, jika PC yang ada berlambak di pasaran pun sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan Saddam Hussein. Belum lagi apabila disentuh tentang kebenaran dakwaan ini dari segi teknikal, jika disentuh, sudah tentu urban legend ini akan nampak dangkal dan mengarut semata-mata.

2. Fallout Menilik Masa Depan?

Gambar 3: Fallout 3

Fallout 3 merupakan sebuah permainan video RPG (role playing games) yang sangat popular dan dilancarkan pada tahun 2008. Ia adalah permainan video “Open World” yang mempamerkan dunia maya dan ruang permainan yang sangat besar untuk diterokai. Permainan video ini menuntut setiap pemain untuk menjelajah dan meneroka setiap ceruk dunia maya Fallout. Setiap sudut, setiap sisi yang ada pasti menawarkan peristiwa dan pengalaman yang menarik kepada pemain. Disebabkan dunia yang terlalu luas, ia menyukarkan para pemain untuk meneroka keseluruhan permainan video ini, maka dengan mudahlah wujud khabar angin dan urban legend. Salah satu darinya adalah tentang Urban Legend Stesyen Nombor Misteri yang dikatakan mampu meramal masa hadapan.

Fallout 3 menawarkan pelbagai saluran radio kepada para pemain sebagai peneman mereka sewaktu menjelajah. Didakwa oleh sesetengah pemain, wujud satu saluran radio misteri dalam Fallout. Ia hanya boleh diaktifkan melalui siri tugasan yang perlu disempurnakan oleh pemain. Selepas diaktifkan, pemain akan dapat mendengar siaran radio oleh seorang penyampai yang menyebut satu siri nombor secara statik. Mengikut dakwaan pemain, nombor-nombor tersebut sebenarnya adalah Kod Morse, dan jika ianya diterjemah, ia akan menunjukkan mesej-mesej yang mengundang beribu persoalan. Ada di antara mesej tersebut disertakan dengan tarikh dan peristiwa seakan-akan meramalkan tentang perkara yang akan berlaku. Antara peristiwa yang diramalkan adalah kematian Queen Elizabeth, penganugerahan pelakon terbaik Oscar Awards untuk Britney Spears, dan banyak lagi.

Status: Mengarut!

Ada tiga sebab utama kenapa urban legend di atas ini mengarut. Pertama, meramalkan masa depan adalah sesuatu yang sangat mustahil. Kebanyakan mereka yang mendakwa boleh meramal masa depan selalunya adalah penipu yang kebanyakan ramalannya hanyalah kebetulan sahaja. Kedua, peristiwa yang diramalkan siaran radio misteri ini juga tidak menjadi kenyataan.Stesyen Nombor misteri ini meramalkan yang Queen Elizabeth akan mati pada 19 March 2014, namun begitu Queen Elizabeth masih lagi hidup sehingga sekarang. Ketiga, urban legend di atas dinafikan sendiri oleh Bethesda, pembangun permainan video Fallout. Menurut mereka stesyen radio yang digembar-gemburkan itu tidak wujud dan hanya khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

3. Sindrom Pekan Lavender, Pokemon

Gambar 4: Lavender Town dalam Pokemon Red/Green

Seperti juga Fallout, Pokemon adalah permainan video yang direka dengan dunia maya yang menuntut penjelajahan dan penerokaan ke atas pemain. Pokemon Red/Green merupakan siri permainan video Pokemon yang pertama di pasarkan pada bulan Februari, tahun 1996. Pokemon dikenali di seluruh dunia sebagai permainan video yang bersifat ceria dan mesra kepada kanak-kanak. Namun begitu permainan video ini walaupun seakan nampak suka ria dari luar, sebenarnya mempunyai sisi gelapnya sendiri. Antaranya, adalah Pekan Lavender yang merupakan sebuah lokasi yang disajikan kepada para pemain sejurus selepas keluar mereka dari Terowong Batu (Rock Tunnel).

Pekan ini hanyalah sebuah pekan kecil yang tidak mempunyai sebarang gimnasium pun yang menjadi sasaran setiap pemain bagi mengumpulkan lencana. Tetapi, pekan Lavender memiliki mercu tanda yang terkenal di kalangan pemain iaitu menara Pokemon. Di menara inilah pokemon-pokemon yang mati dikebumikan oleh pemilik mereka. Menara ini mempunyai 7 tingkat yang menempatkan pusara pokemon-pokemon yang mati. Tambahan pula, menara ini juga dihantui oleh Pokemon jenis hantu sepeti Haunter dan juga Ghastly.

Pekan Lavender bukan hanya popular di kalangan pemain kerana direka sebagai tempat angker dengan tema yang seram dan menakutkan. Ia juga menjadi subjek kepada salah satu urban legend yang paling popular dalam Pokemon, iaitu Sindrom Pekan Lavender (Lavender Town Syndrome). Dikatakan lagu tema yang meriringi lokasi ini menjadi penyebab kepada kematian ramai kanak-kanak sewaktu permainan video ini mula-mula dilancarkan. Lagu tema yang mengiringi pekan Lavender dikatakan direka dengan nada binaural pada frekuensi yang tinggi. Ini menyebabkan beratus-ratus kanak-kanak mencederakan diri mereka sendiri dan ada di antara mereka yang membunuh diri. Nintendo lantas menarik balik Pokemon Red/Green dari pasaran dan merubah komposisi lagu tema tersebut dengan membuang nada binaural yang dituduh menjadi penyebab kepada kejadian bunuh diri tersebut.

Status: Seram…….Fiksyen

Seperti juga urban legend Polybius yang saya pernah kupas sebelum ini, urban legend pekan Lavender juga tidak pernah kedengaran di mana-mana sebelum tahun 2010. Pelik, bila melihatkan dakwaan mereka yang peristiwa ini berlaku pada tahun 1996. Walaupun urban legend ini nampak benar bila melihat sains di sebalik nada binaural (Trivia: Memang ada catatan perubatan tentang kesan buruk yang dibawa oleh nada binaural) namun begitu, ia tidaklah terlalu serius sehingga boleh menyebabkan pendengar membunuh diri.

Ditambah pula, tiada sebarang rekod yang boleh didapati mengenai kes bunuh diri yang pelik berlaku di Jepun sekitar tahun 1996, menjadikan dakwaan ini sesuatu yang tiada asasnya. Urban Legend ini mungkin wujud disebabkan oleh peristiwa yang berlaku pada tahun 1997, apabila satu episod anime Pokemon yang ditayangkan menyebabkan kanak-kanak yang menonton mengalami sawan oleh kerana keamatan visual yang tinggi. Namun begitu, kedua-dua peristiwa ini tidak boleh dikaitkan begitu sahaja. Sindrom Pekan Lavender hanyalah satu kisah mitos yang digembar-gemburkan oleh para pemain.

4. Bigfoot dalam Grand Theft Auto?

Gambar 5: Kelibat Bigfoot seperti yang didakwa

Grand Theft Auto (GTA) adalah permainan video popular yang menjadi perintis kepada konsep “Open World” dan juga “Sandbox”. Permainan video ini dikenali dikalangan ramai sebagai permainan video yang ganas dan sarat dengan tema kriminal dan jenayah. Pun begitu, kebanyakan pemain bukanlah inginkan pengalaman melakukan jenayah tanpa implikasi, tetapi sebaliknya pemain hanyalah inginkan kepuasan melalui penerokaan dan penjelahan dunia maya GTA. GTA tidak ketinggalan menawarkan pelbagai pengalaman yang unik dan menarik bagi setiap pemain yang seterusnya dijadikan kisah yang diceritakan dan dikongsikan sesama mereka. Salah satu kisah yang menarik adalah tentang kelibat Bigfoot yang kelihatan di sekitar hutan maya San Andreas.

Kabar angin tentang kelibat bigfoot yang dikatakan boleh dilihat di sekitar hutan di San Andreas menimbulkan rasa ingin tahu dan tanda tanya kepada para pemain lantas menyebabkan hutan itu diterokai berjam-jam lamanya oleh para pemain yang ingin melihat sendiri bigfoot itu.

Status: Mitos…seperti mana mitosnya Bigfoot itu sendiri

Rockstar (pembangun permainan video GTA) sendiri menafikan yang bigfoot wujud di dalam kod permainan video GTA. Ia hanya khabar angin yang disebarkan tanpa sebarang bukti yang kukuh. Namun begitu, oleh kerana popularnya urban legend ini, Rockstar membuat keputusan untuk menampilkan bigfoot dalam GTA5.

5. Herobrine, Saka yang menghantui Minecraft

Gambar 6: Herobrine?

Minecraft merupakan permainan video “sandbox” yang menawarkan dunia yang dijana sendiri oleh komputer (procedurally generated) kepada pemain. Dunia yang dipamerkan dalam Minecraft adalah terlalu luas mengatasi Fallout, Pokemon, mahupun dunia sebenar sendiri. Ketika ia dilancarkan ia menerima reaksi yang sangat mengejutkan di mana ia terjual sebanyak 144 juta unit di seluruh dunia dan menjadi permainan video ke-2 terlaris dalam sejarah. Ini mewujudkan satu komuniti yang rancak yang dianggotai oleh berpuluh juta pemain yang terdiri dari pelbagai bangsa melangakui batasan benua seantero dunia. Pun begitu, Minecraft juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa khabar angina yang tersebar.

Dikatakan di dalam dunia Minecraft yang terlalu luas itu, wujudnya satu entiti yang bagaikan antithesis kepada pemain. Ia direka mempunyai persamaan dengan karakter pemain, kecuali matanya yang serba putih. Diberi nama sebagai Herobrine, penampakannya selalunya diiringi oleh kabus yang tebal. Jika tidakpun diiringi dengan kabus tebal, ia akan ditemui pemain berkelakuan aneh dan membina struktur-struktur yang pelik pada pandangan pemain dan selalu dilihat memusnahkan struktur binaan pemain. Mengikut dakwaan pemain, Herobrine sebenarnya adalah satu penjelmaan semula adik kepada pencipta Minecraft, Markus Alexej Persson (atau nama gelarannya, Notch) yang telahpun meninggal dunia.

Status: Khabar Angin

Sesetengah pemain yang muak dengan urban legend Herobrine, mula menjalankan penyiasatan mereka sendiri bagi menangkis khabar angin yang terlalu marak tersebar. Menggali menerusi kod permainan mendapati yang tiadapun sebarang kod Herobrine yang wujud di dalam permainan video ini. Pemain juga mendapati yang kebanyakan gambar-gambar Herobrine yang dimuatnaik adalah gambar palsu yang telah diubahsuai melalui Photoshop. Para penyiasat juga pergi lebih jauh lagi dengan bertanyakan kepada Notch tentang kebenaran urban legend tersebut, Notch sendiri menafikan yang beliau mempunyai adik dan Herobrine lansung tidak wujud dalam kod Minecraft seperti yang digembar-gemburkan.

 6. Penampakan Entiti dalam Mario?

Gambar 7: Entiti dalam Super Mario Galaxy 2 yang memerhati dari jauh

Super Mario Galaxy 2 (SMG2) adalah permainan video 3D platformer yang menampilkan maskot utama Nintendo, Mario dan dilancarkan oleh syarikat itu pada tahun 2010. Pemain diletakkan dalam perspektif watak utama (Mario) yang terpaksa menharungi laluan dan halangan berliku bagi menyelamatkan Princess Peach dari genggaman musuh utama Mario, Bowser. Dalam salah satu laluan berhalangan yang ada didalam permainan video ini, pemain boleh melihat penampakan entiti yang seakan-akan memerhati pemain dari jauh. Bentuknya juga menyeramkan dengan reka luarnya tidak menyerupai manusia dan lebih menyerupai makhluk asing. Penampakan entiti ini seolah-olah sama dengan urban legend Slender Man yang memerhati pemain dari jauh dan menimbulkan rasa tidak senang keatas pemain.

Status: Misteri yang belum terbongkar…tapi perlukah ia dirungkai?

Komuniti gamers membuat penyiasatan terperinci terhadap urban legend ini. Memang benar, apabila diamati, entiti tersebut wujud dan benar-benar memerhati pemain dari jauh. Menambah lagi tanda tanya, apabila pemain memeriksa dengan lebih teliti terhadap kod permainan. Siasatan mereka mendapati yang entiti tersebut diletakkan pada ruangan yang tidak boleh dimainkan dan dinamakan sebagai Hell Valley. Entiti tersebut pula dinamakan sebagai ShadowPeopleofHellValley. Penemuan ini menyebabkan misteri urban legend ini bertambah sukar untuk dirungkaikan dan menjadi bualan hangat dikalangan ahli komuniti. Namun begitu, kita semua perlu kembali meneliti balik urban legend ini, dari perspektif yang berbeza. Tiada apa yang misteri pun pada aset entiti tersebut. Ia hanyalah aset permainan yang diletakkan para pembangun bagi menghias dan mempelbagaikan lagi suasana dalam permainan video. Tiada lansung unsur misteri mahupun seram yang patut ditimbulkan kerana ia hanyalah perkara picisan yang tidak patut diberi perhatian.

7. Kisah Kartrij Legend of Zelda yang berhantu

Gambar 8: Ben Drowned
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=RhG2D5LCqsU

Legend of Zelda adalah permainan video terbitan Nintendo yang membawa banyak revolusi dan menjadi perintis kepada pembentukan genre RPG yang ramai gamers kenali sekarang. Permainan video ini mempamerkan seorang remaja bernama Link yang ditugaskan untuk menyelamatkan Puteri Zelda dan kerajaan Hyrule dari kebinasaan yang dicetuskan oleh antagonis utama siri ini, Ganon. Legend of Zelda sentiasa diiktiraf oleh pemerhati dan para pengkritik sebagai antara permainan video yang terhebat dalam sejarah oleh kerana konsep, jalan cerita dan reka bentuknya yang canggih dan sentiasa menjadi rujukan para pembangun permainan video. Namun begitu, selain diangkat sebagai sebagai mahakarya, Legend of Zelda juga dikenali dikalangan para gamers sebagai permainan video yang dikaitkan dengan urban legend kartrij berhantu, Ben Drowned.

Dikhabarkan oleh seorang pemain, yang beliau telah membeli sebuah kartrij Nintendo 64 (N64) yang dijual dari seorang lelaki tua. Lelaki tua itu mendakwa yang kartrij itu dulunya adalah milik seorang kanak-kanak yang telah mati lemas. Ketika kartrij itu mula dihidupkan melalui N64, pemain itu melihat yang satu save game yang diberi nama sebagai Ben. Beliau yang menyangka yang itu adalah nama pemilik asal kartrij tersebut meneruskan permainan tanpa sebarang syak wasangka. Namun begitu, perkara yang pelik mula berlaku apabila karakter di dalam permainan video semuanya memanggil karakter yang beliau reka sebagai Ben, sedangkan beliau menggunakan nama lain sebagai karakter utamanya. Pemain tersebut cuba untuk memadamkan save game Ben tersebut, namun usahanya tidak berjaya.

Kartrij itu seakan-akan dirasuk oleh roh Ben, apabila rekaan bunyi dan suara dalam permainan video pun berubah. Ada lagu yang dimainkan secara terbalik, bunyi-bunyi iringan yang dirosakkan dan banyak lagi. Tekstur dalam permainan video juga hilang sedikit demi sedikit menimbulkan rasa takut pada pemain tersebut dan teks “You shouldn’t have done that” juga sering terpampang pada dialog NPC (non-playable charater). Pemain juga sering diganggu oleh patung Link yang memerhatikannya dengan wajah yang menyeramkan. Lebih memburukkan keadaan apabila pemain tersebut memuat naik videonya bermain permainan video berhantu itu. Dikatakan yang roh Ben berjaya menghantui seluruh ruang maya apabila videonya dimuat naik ke Internet.

Status: Kisah palsu yang menarik….

Kisah yang diceritakan melalui hantaran pengguna 4Chan, Jadusable ini menimbulkan tanda tanya kepada komuniti. Masakan tidak, hantarannya diselangi oleh video yang membuktikan segala cerita yang beliau sampaikan. Namun begitu, seorang pengguna, HolyHeeroYui berjaya mengorek rahsia bagaimana video-video yang dimuatnaik oleh Jadusable dapat dilakukan. Ini menimbulkan perdebatan di antara ahli dalam komuniti apabila ada penentangan dari dua pihak, satu yang percayakan kisah Jadusable dan satu lagi pihak yang skeptik. Akhirnya, pada tahun 2013, Jadusable sendiri tampil menjelaskan bahawa kisah tersebut hanyalah satu mitos dan rekaannya semata-mata

Rumusan

Inilah dunia permainan video. Pengalaman yang mengasyikkan ketika bermain sering mengundang rasa ingin tahu yang tinggi kepada para pemain lantas menimbulkan ruang untuk membentuk urban legend. Kebanyakan urban legend yang saya paparkan di atas adalah mitos dan cerita rekaan yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Namun begitu, urban legend ini menambahkan rencah dan perisa di dalam komuniti dan menyemarakkan lagi perbincangan dan perdebatan di antara pemain. Apa yang pasti, kisah-kisah ini perlu dianggap sebagai khabar angin sahaja, kisah mitos yang perlu dianggap sebagai picisan, dan tidak lebih dari itu.

Rujukan:

Yezpitelok, Maxwell dan Cantrell, Asher (April 2011), “8 Creepy Video Game Urban Legends (That Happen to Be True)”. Cracked

McGee, Maxwell dan Cooper, Hollander (Ogos, 2017), “Gaming’s creepiest urban legends to make sure you don’t sleep tonight”. Gamesradar

Gybson,Natasha (2017), “14 Outrageous Video Game Urban Legends That You Probably Believed”. Ranker

Gestalt (Disember, 2000), “Saddam Hussein uses PlayStation 2 to conquer the world Or not, probably…” Eurogamer

Towell, Justin (Ogos, 2010), “Is this the most elaborate gaming hoax of all time?” Gamesradar

Hernandez, Patricia (Oktober, 2016), “Pokemon’s Creepy Lavender Town Myth, Explained”. Polygon.

TamashiiHiroka (September 2011), “Lavender Town Syndrome Debunked”. YouTube

TheRealJadusable (2013), “Jadusable Confessions, Reddit” Reddit. https://www.reddit.com/r/IAmA/comments/tphqf/i_am_jadusable_creator_of_the_haunted_majoras/