7 Operasi Pembunuhan KGB Yang Terkenal

0
1582
views

Bukanlah satu perkara asing penglibatan agensi perisikan Soviet, KGB dalam pelbagai aktiviti keganasan dengan tujuan menghapuskan atau menakutkan musuh-musuh negara tersebut. Dan setahun lepas melalui pendedahan dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang dinyahsulit, wujud sebuah bahagian dipanggil Jabatan 13. Jabatan yang dikenali sebagai Bahagian Tugasan Khas ini menggunakan ‘tindakan eksekutif’ atau ‘pencairan aset’ (pembunuhan) untuk mana-mana ancaman kepada Kesatuan Soviet. Jabatan ini turut mempunyai dua makmal khas untuk menghasilkan racun dan dadah khas untuk menampakkan pembunuhan sasaran mereka kelihatan seperti kematian biasa. KGB mempunyai senarai cubaan bunuh yang panjang tetapi cukup saya dedahkan beberapa cubaan bunuh yang terkenal.

LEON TROTSKY

Figure 1: Leon Trotsky

Leon Trotsky bukanlah nama asing dalam Kesatuan Soviet kerana beliau bersama Vladimir Lenin bertanggungjawab menggerakkan kelompok Bolshevik ke puncak pemerintahan semasa Revolusi Oktober 1917. Dan apabila Lenin bergelar presiden, beliau dilantik sebagai setiausaha luar dan berunding dengan pihak Bersekutu berkenaan menamatkan penglibatan Rusia dalam Perang Dunia Pertama (WWI). Apabila Perang Saudara Rusia tercetus, Trotsky dilantik sebagai komisar perang dan membina kekuatan kekuatan Tentera Merah (Red Army) untuk menewaskan ketumbukan tentera anti-Soviet. Ramai menyangka Trotsky berpotensi sebagai pengganti Lenin tetapi semua itu berakhir selepas Lenin meninggal dunia dan Joseph Stalin diangkat sebagai pemimpin baru Soviet.

Ini mengakibatkan konflik antara beliau dengan Stalin bermula dengan seruan meneruskan agenda revolusi termasuk menolak sistem birokrasi lama era Tsar yang masih dipraktikkan. Trotsky turut mengkritik keras rejim kerana berusaha menghapuskan demokrasi dalam parti dan dasar ekonomi yang lemah. Stalin bertindak balas dengan memecat Trotsky dari semua jawatannya secara perlahan-lahan dari 1925-1927 dan melarang beliau kembali ke Soviet selama-lamanya. Walaupun hidup dalam buangan di Eropah dan Mexico, Trotsky masih meneruskan agenda menentang kapitalisme dan Stalin.

Buktinya, selepas beliau memilih Mexico City sebagai destinasi buangannya, Trotsky mempunyai penyokong dalam kalangan warga Mexico dan warga Amerika serta mempunyai hubungan sulit dengan pelukis terkenal, Frida Kahlo. Dan beliau turut membentuk Persidangan Antarabangsa Keempat untuk meneruskan perjuangan melawan kapitalisme dan Stalin. Stalin yang semakin hilang sabar menghantar sekumpulan pembunuh untuk membunuh beliau. Cubaan pertama berlaku pada 24 Mei 1940 apabila sekumpulan ejen menembak rumahnya dengan mesingan tetapi gagal dan terpaksa berundur.

Tiga bulan selepas itu, seorang lelaki bernama Frank Jacson masuk ke rumah dan bertemu dengan beliau di mana lelaki itu memintanya menyemak sebuah artikel. Tatkala Trotsky menyemak artikel tersebut di bilik bacaannya, Jacson menetak kepalanya sehingga berdarah dengan kapak ais. Bagaimanapun Trotsky berjaya bergelut dengan Jacson dan pengawal-pengawal yang mendengar kekecohan segera melucutkan senjata dan membelasah Jacson. Walaupun berjaya dibawa ke hospital, Trotsky meninggal dunia sehari selepas itu pada 21 Ogos 1940.

Bagi Jacson pula, sukar untuk menentukan identiti sebenarnya. Ini kerana bila mereka memeriksanya, terdapat satu surat pengakuan di bawah nama seorang penyokong Trotsky bernama Jacques Mornard. Mornard menyatakan motif pembunuhannya kerana Trotsky enggan merestui perkahwinannya dengan seorang kenalan beliau bernama Sylvia Ageloff dan cuba memaksanya melancarkan plot pembunuhan ke atas Stalin. Tetapi cerita sebenar terbongkar apabila identiti Mornard/Jacson sebenar ialah Ramon Mercader, seorang komunis dari Sepanyol yang direkrut oleh NKVD semasa Perang Saudara Sepanyol. Mercader dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara oleh pihak berkuasa Mexico. Walaupun Kesatuan Soviet menafikan secara rasmi penglibatan mereka, Stalin menganugerahkan secara rahsia Order of Stalin terhadap Mercader dan anugerah Hero Kesatuan Soviet selepas dibebaskan dari penjara.

Figure 2: John Wayne

Stalin merupakan antara peminat terbesar dalam dunia perfileman dan mengagumi karya-karya seperti filem Charlie Chaplin dan Tarzan. Dan menerusi filem juga, Stalin menjadikan ia sebagai asas kepada polisi-polisi negaranya, satu perkara yang kemudian dikecam penggantinya, Nikita Khruschev. Maka tidak hairanlah mengapa Stalin juga sanggup mengeluarkan arahan membunuh pelakon legenda Hollywood, John Wayne kerana beliau menyokong tindakan industri ketika itu menyenaraihitam sesiapa yang terlibat dengan aktiviti komunisme.

Pada tahun 1951, dua ejen KGB yang menyamar sebagai ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) datang ke pejabat beliau di studio Warner Brothers. Namun rancangan mereka diketahui ejen FBI sebenar dan mereka segera ditahan. Ketika dalam tahanan, mereka mendedahkan plot tersebut dan mahu mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat. Dua tahun selepas itu, satu lagi plot diwujudkan tetapi dibatalkan oleh Khruschev kerana beliau merupakan peminat ‘The Duke’. Dalam satu pertemuan antara mereka berdua di kediaman Wayne pada tahun 1958, Khruschev berkata, “Keputusan membunuh kamu diputuskan pada lima tahun terakhir kegilaan Stalin. Bila Stalin mati, saya membatalkan terus arahan tersebut.”

Namun dengan kematian Stalin, bukan bermakna cubaan bunuh ke atas pelakon berkarakter ini berakhir. Pada tahun 1955, sekumpulan komunis yang berpangkalan di Burbank, berhampiran Hollywood merancang untuk membunuh beliau. Tetapi cubaan tersebut gagal apabila sekumpulan pelagak ngeri yang setia dengan Duke menyerbu premis mereka di Burbank dan memaksa mereka keluar terus dari Los Angeles. Pada tahun 1966, wujud cubaan penembak curi untuk menembak Wayne semasa melawat tentera Amerika di Vietnam tetapi gagal. Ini berdasarkan keterangan beliau kepada penulis biografinya, Michael Munn pada tahun 1974.

LEV REBET

Bagi warga Ukraine, Lev Rebet merupakan seorang wira kerana bersikap tegas terhadap komunisme dan seorang nasionalis. Namun sikap ini tidak digemari Kesatuan Soviet dan menganggapnya satu ancaman kepada mereka. Dan ini dikuatkan melalui penerbitan buku-bukunya semasa hidup dalam buangan seperti The Formation of Ukrainian Nation (1951) dan The Theory of Nations (1956). Pada tahun 1957, Rebet dibunuh semasa melawat Munich di mana kematiannya pada mulanya dianggap kematian biasa.

Namun semua itu berubah apabila seorang ejen KGB bernama Bohdan Stahinsky mendedahkan bagaimana KGB membunuh Rebet dan Stepan Bandera pada tahun 1962. Ketua perisikan Jerman Barat, Reinhard Gehlen mendedahkan Stahinsky menyatakan info tersebut selepas dipujuk isterinya yang berketurunan Jerman. Pada mulanya perisikan Barat terutama CIA dan Gehlen tidak percaya dengan dakwaannya membunuh mereka dengan pistol kabus tetapi selepas dia menunjukkan dua tapak pembunuhan dan bagaimana pembunuhan tersebut dilakukan, pihak perisikan Jerman Barat percaya dengan dakwaannya. Pada Oktober tahun yang sama, Stahinsky dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan selama lapan tahun. Pada tahun 1966, dia dibebaskan dari penjara lebih awal dan diserahkan secara rahsia kepada CIA. Agensi kemudiannya memberi identiti baru kepada Stahinsky dan isterinya dan menyediakan suaka politik di Afrika Selatan pada 1984.

GEORGI MARKOV

Seperti Kesatuan Soviet, mana-mana negara satelit blok komunis turut tidak ketinggalan menghapuskan mana-mana individu yang dianggap ancaman kepada mereka. Contoh paling mudah, penggiat teater Bulgaria yang kemudian menjadi wartawan BBC, Georgi Markov. Markov menjadi sasaran berikutan tindakan beliau mensatirakan kehidupan kelompok elit komunis di negara asalnya.

Pada tahun 1978, semasa hendak pulang, beliau perasan seorang lelaki menjatuhkan payung pada kakinya. Lelaki itu memohon maaf dan berlalu pergi. Setibanya Markov di rumah, suhu badannya naik mendadak dan beliau meninggal dunia empat hari selepas itu. Berdasarkan pemeriksaan mayat yang dibantu saintis-saintis kerajaan dari pusat perang kimia di Porton Down, Markov dibunuh pelet mengandungi 0.2 miligram dos racun risin. Operasi pembunuhan ini didalangi agensi perkhidmatan rahsia Bulgaria disokong oleh KGB.

Pada tahun 2005, seorang lelaki Denmark dikenalpasti bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut bernama Francesco Guillino. Guillino dikatakan berkhidmat dengan agensi rahsia Bulgaria dengan menjadikan pekerjaannya sebagai penjual barang antik sebagai samaran. Mengikut naratif penyelidik, Guillino dihantar ke Copenhagen dan diarahkan menubuhkan perniagaan barangan antik sebagai samarannya. Selepas itu, dia masuk ke London dengan karavan yang didaftarkan di Austria dan diarah membunuh Markov di bawah kod Ejen Piccadilly atas arahan diktator Todor Zhikov. Khidmatnya bersama agensi tersebut dianggap lumayan di mana antara tahun 70-an sehingga 1990, dia dibayar 30,000 paun sterling. Selepas itu, Guillino bergerak ke Rom untuk memberitahu penyelianya. Pada tahun 1993, Guillino ditahan di Denmark dan disoal siasat selama 11 jam sebelum dilepaskan atas ketiadaan bukti. Namun bukti baru yang dikemukakan oleh penyelidik Bulgaria, Klaus Dexel menunjukkan Guillino melakukannya bersama seorang lagi ejen di bawah kod Belatuk (The Woodpecker).

GEORGI OKOLOVICH & NIKOLAI KHOKLOV

Pada tahun 1954, Kapten Nikolai Khoklov diberi arahan menghapuskan seorang pemimpin Rusia dalam buangan bernama Georgi Okolovich di Frankfurt, Jerman. Jika Moscow menyangka arahan tersebut sudah dilaksanakan, salah kerana ia membawa kepada pengkhianatan paling pelik dalam era Perang Dingin. Khoklov mengetuk pintu Okolovich dan bertanya apakah pemilik rumah ialah Okolovich. Selepas Okolovich mengakui siapa dirinya, Khoklov berkata, “Saya Kapten Khoklov dari KGB. Saya datang kerana Jawatankuasa Pusat Parti Komunis mahukan anda mati.” Beliau seharusnya membunuh Okolevich dengan pistol yang disembunyikan dalam bentuk kotak tembakau tetapi Khoklov memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Selepas Khoklov berpaling tadah dan lari ke Amerika Syarikat, KGB memutuskan untuk membunuhnya. Khoklov hampir terbunuh pada tahun 1957 selepas menghadiri persidangan anti-Soviet di Frankfurt. Pada ketika itu, secawan kopi diletakkan di mejanya walaupun beliau tidak memesan kopi tersebut. Selepas minum kopi tersebut, beliau mengalami konvulsi dan matanya mengeluarkan darah. Selepas dirawat di hospital selama beberapa bulan, saintis-saintis kerajaan mendapati kopi tersebut telah dicemari dengan elemen thallium yang ditambah dengan unsur radiasi, sekaligus melukakan perutnya sehingga memasuki saluran darah. Menurut doktor yang merawatnya, sekiranya Khoklov tidak dirawat dengan lebih pantas dan mati, pasti kesan yang dicari tidak akan dijumpai.

Berikutan tindakannya yang berpaling tadah, isteri Khoklov, Yanina dibuang daerah ke Siberia selama lima tahun. Khoklov juga terpaksa menceraikan isterinya atas permintaannya yang tidak mahu membebankan minda beliau. Selepas itu, Khoklov menetap di California dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi sebelum bersara dengan pangkat Profesor Emeritus. Sembilan tahun selepas gagal membunuh Okolovich, beliau berkahwin dengan isteri keduanya, Tanya. Pada tahun 1992, Boris Yeltsin memberi pengampunan kepada beliau, sekaligus membolehkannya kembali ke Rusia dan dipertemukan semula dengan bekas isteri dan anaknya.

PAUS JOHN PAUL II

Figure 3: Paus John Paul II

Apabila nama Kardinal Karol Jozef Wojtyla dipilih sebagai Paus pada tahun 1979, rejim Soviet tidak merasa gembira dengan perlantikan tersebut. Ini kerana mereka percaya Paus baru yang dipilih ini berpotensi menggugat kuasa mereka terutama di Poland. Oleh itu, apabila beliau ditembak pada 13 Mei 1981, semua mahu tahu sebab penembak beliau, seorang lelaki Turki bernama Mehmet Ali Agca menembak Paus. Namun sehingga ke hari ini, motifnya masih belum diketahui.

Pada tahun 70-an, Agca menyertai kumpulan pelampau berhaluan kanan Turki dikenali sebagai Gray Wolves. Kumpulan ini bertanggungjawab membunuh ramai pegawai awam, ketua buruh, wartawan dan aktivis berhaluan kiri sebagai sebahagian daripada misi mereka menghapuskan pengaruh haluan kiri dari Turki. Pada Februari 1979, seorang editor liberal bernama Abdi Ipekci dibunuh berhampiran rumahnya di Istanbul. Berikutan itu, Agca ditahan dan didakwa atas jenayah tersebut. Namun sebelum pihak pendakwa mendakwanya, Agca melarikan diri dari penjara pada November 1979. Agca meninggalkan surat dalam selnya berkenaan rancangannya untuk membunuh Paus John Paul II. Dalam surat itu, dia menyifatkan Paus sebagai komander tentera salib yang bersembunyi di sebalik samaran sebagai tokoh agama dan mendesak lawatannya ke Turki dibatalkan. Jika tidak, Agca bersedia menembak Paus. Berikutan itu, kawalan keselamatan diperketatkan semasa Paus John Paul II melawat Turki. Sementara itu, mahkamah Turki menyabitkan Agca bersalah atas jenayah bunuh.

Pada 9 Mei 1981, Agca terbang dari Majorca, Sepanyol ke Milan, Itali dengan menggunakan identiti palsu. Dia menyewa sebuah bilik berhampiran Vatican dan pada 13 Mei, berjalan ke Dataran St. Peter dan menembak Paus dengan pistol automatik Browning 9mm. Semasa ditahan, sekeping nota ditemui yang mengandungi motif Agca: protes kepada tindakan imperialis Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat serta bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai di Afghanistan dan San Salvador. Pada Julai tahun yang sama, Agca dihukum penjara seumur hidup. Setahun selepas itu, dia mendedahkan plot tersebut dirancang oleh agensi rahsia Bulgaria dengan kerjasama KGB berikutan pendirian anti-komunis Paus.

Pada tahun 1983, Paus John Paul II bertemu dengan Agca di penjara dan memaafkannya. Berikutan pendedahan tersebut, tiga lelaki Bulgaria dan tiga lelaki Turki ditahan dan dibicarakan pada tahun 1985. Tetapi kes tersebut tidak bertahan lama berikutan kenyataan gila Agca di mahkamah. Setahun selepas itu, kesemua defendan dilepaskan berikutan ketiadaan bukti. Bagi Agca sendiri, dia mendapat pengampunan Presiden Itali, Carolo Giampi pada tahun 2000 sebelum diekstradisi ke Turki untuk menjalani hukuman kes bunuh Ipekci.

ALEXANDER LITVINENKO

Pada awal abad ke-21, kes pembunuhan ini merupakan kes pembunuhan paling berprofil tinggi membabitkan tokoh Rusia dalam buangan. Jika Khoklov menyangka cubaan bunuh ke atasnya saja dilihat sofistikated, pembunuhan Alexander Litvinenko jauh lebih ngeri. Litvinenko berkhidmat bersama KGB dari 1986 sehingga kejatuhan Tirai Besi, kemudian meneruskan khidmat bersama Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) di mana antara tugasnya ialah menyusup masuk dalam kumpulan jenayah terancang.

Namun Litvinenko mula meragui FSB pada tahun 1998 apabila mendakwa FSB terlibat dalam kegiatan jenayah seperti penculikan, ugutan dan pembunuhan termasuk plot membunuh ahli perniagaan, Boris Berezovsky. Berikutan itu, Litvinenko ditahan sebanyak dua kali dan dipecat secara peribadi oleh Vladimir Putin. Litvinenko sendiri dituduh mengebom bangunan apartmen Rusia dan membunuh seorang wartawan Rusia untuk membunuh Putin.

Untuk mengelak jadi sasaran, Litvinenko berhijrah ke London dan mula menulis buku berkenaan perisikan Rusia. Pada masa sama, beliau turut berperanan sebagai penasihat kepada bahagian perisikan Britain. Pada tahun 2006, semasa minum teh bersama dua warga Rusia bernama Andrei Lugovoi dan Dmitri Kovtun di sebuah hotel di Grosvenor Square, London, pada saat itulah Litvinenko diracun. Ini mengakibatkan keadaannya menjadi lemah dan tidak boleh berjalan.

Hasil semakan mendapati teh tersebut mengandungi polonium-210, elemen radioaktif yang mengeluarkan radiasi alfa. Radiasi ini hanya memberi kerosakan kepada tisu manusia apabila dihadam. Dan dari semakan sama mendapati teh tersebut mengandungi dos 200 kali ganda dari dos biasa yang boleh membawa maut. Pihak Britain cuba mengekstradisi Lugovoi dan Kovtun untuk dibicarakan tetapi dinafikan permintaan mereka oleh pihak Rusia.

SUMBER

  1. BBC. (2003). Stalin ‘tried to kill John Wayne’. http://news.bbc.co.uk/2/hi/americas/3114963.stm
  2. Walsh, Nick Paton. (2003). The Guardian. Book tells how John Wayne survived Soviet assassination. https://www.theguardian.com/world/2003/aug/01/film.russia
  3. Daily Mirror. (2012). I LED KGB HIT SQUAD. http://www.mirror.co.uk/news/uk-news/i-led-kgb-hit-squad-492545
  4. Holdsworth, Nick & Mendick, Robert. (2013). The Telegraph. Prime suspect in Georgi Markov ‘umbrella poison’ murder tracked down to Austria. http://www.telegraph.co.uk/news/uknews/crime/9949856/Prime-suspect-in-Georgi-Markov-umbrella-poison-murder-tracked-down-to-Austria.html
  5. Brooks-Pollock, Tom. (2014). The Telegraph. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/russia/11003050/Alexander-Litvinenko-inquiry-Evidence-Russia-was-involved-in-his-death.html
  6. Klein, Christopher. (2015). History.com. The Trotsky Assasination. http://www.history.com/news/the-trotsky-assassination-75-years-ago
  7. Rayner, Gordon & Burke, Myles. (2016). The Telegraph. The poisoning of ex-KGB spy Alexander Litvinenko – in 90 seconds. http://www.telegraph.co.uk/news/2016/03/21/the-poisoning-of-ex-kgb-spy-alexander-litvinenko—in-90-seconds/
  8. Stilwell, Blake. (2016). Business Insider. 9 infamous KGB assassination attempts straight out of spy novels. http://www.businessinsider.com/kgb-assassination-attempts-like-spy-novels-2016-8/?IR=T/#2-franz-josip-tito-2
  9. History.com. This day in history. Trotsky assassinated in Mexico. http://www.history.com/this-day-in-history/trotsky-assassinated-in-mexico
  10. History.com. This day in history. Pope John Paul II shot. http://www.history.com/this-day-in-history/pope-john-paul-ii-shot 

 

Previous articleKalau Roboh Kota Melaka… Papan Dijawa Hamba Dirikan!
Next articleAbdul Rahman I: Helang Quraysh Yang Dikagumi
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.