7 Negara Yang Namanya Datang Dari Nama Individu

2,665

https://bit.ky/kombowww

Untuk makluman semua pembaca, pada masa kini, terdapat 193 buah negara yang diiktiraf dan menjadi ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB / UN) termasuklah Negara Haram Israel yang tidak diiktiraf oleh puluhan negara ahli PBB termasuklah Malaysia. Negara terbaharu yang diiktiraf ialah Republik Sudan Selatan pada tahun 2011 yang lepas, iaitu wilayah selatan negara terbesar di Afrika itu.

Setiap negara ada sejarahnya tersendiri, begitu juga adat, budaya, bangsa, agama dan keunikan masing-masing. Nama setiap negara juga ada maksud dan sejarah nama masing-masing, sama ada berdasarkan bangsa, individu atau ketamadunan lepas.

Dalam artikel pendek penulis kali ini, kita akan membincangkan berkenaan 7 buah negara yang namanya berdasarkan nama tokoh-tokoh individu yang wujud dalam sejarah. Mari kita mengembara, belayar dan terbang merentasi lima buah benua untuk menjejak ketujuh-tujuh negara tersebut.

1. ARAB SAUDI

Negara yang paling dikenali namanya berasal daripada nama individu tidak lain dan tidak bukan ialah Arab Saudi. Arab Saudi adalah sebuah negara semenanjung, sama seperti geografi Semenanjung Malaysia (Semenanjung Tanah Melayu), Arab Saudi ialah Semenanjung Tanah Arab. Negara tersebut terpisah daripada benua Afrika di sebelah baratnya oleh Laut Merah dan Terusan Suez dan terpisah daripada Iran oleh Teluk Parsi. Secara rasminya, negara monarki berkuasa mutlak tersebut terbentuk pada tahun 1932 dan Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman as-Sa’ud ditabal sebagai Raja Arab Saudi yang pertama.

Keluarga as-Sa’ud adalah daripada keturunan Sa’ud bin Muhammad iaitu pemerintah wilayah Diriyah di utara Riyadh sekitar awal abad ke-18. Selepas peninggalannya, kuasa pemerintahannya diteruskan pula oleh anaknya iaitu Muhammad bin Sa’ud. Dalam masa seabad, kekuasaan keluarga tersebut semakin meluas di Semenanjung Tanah Arab sehingga akhirnya terbentuknya sebuah negara Arab dengan nama keluarga mereka. Pada masa kini, Arab Saudi masih diperintah oleh generasi putera-putera Raja Abdul Aziz dan Raja Salman ibni Raja Abdul Aziz as-Sa’ud sedang menduduki takhta negara tersebut.

2. AMERIKA SYARIKAT

Dari benua Asia kita berpindah sekejap ke benua Amerika. Tahukah anda bahawa nama Amerika pada negara dan kedua-dua benua diambil sempena nama seorang tokoh individu? Beliau ialah Amerigo Vespucci (1454-1512), seorang pengembara lautan, jurumudi dan ahli kartografi dari Itali. Beliau adalah sarjana pertama yang menyatakan bahawa benua yang “baharu ditemui” oleh para pengembara lautan Eropah atau dikenali sebagai “New World” adalah dua benua berasingan daripada benua Asia. Ini kerana sebelum itu, para pengembara Eropah termasuklah Christopher Colombus sendiri menyangka bahawa mereka mengembara ke sebelah barat benua kecil India apabila mereka tiba di benua baharu tersebut.

Seorang ahli kartografi Jerman, Martin Waldseemuller kemudiannya melakar kembali peta “benua baharu” tersebut dan menamakannya sebagai Amerika sempena nama Amerigo. Amerika adalah nama versi perempuannya. Pada asalnya, hanya benua Amerika Selatan sahaja dinamakan sempena namanya, tetapi kemudiannya nama tersebut turut diberikan kepada “benua baharu” di utara yang pada masa kini dikenali sebagai benua Amerika Utara. Nama tersebut juga turut melekat pada salah sebuah negara di benua Amerika Utara iaitu Amerika Syarikat sehingga ke hari ini.

3. LIECHTENSTEIN

Kita seberang Lautan Atlantik ke benua Eropah pula. Mengenali sebuah negara monarki kecil yang terletak di banjaran pergunungan Alps antara negara Jerman dengan Austria. Sistem pemerintahan negara kecil ini unik kerana pemerintahan monarki berpelembagaannya diperintah oleh seorang individu yang bukan bergelar Raja tetapi Putera (Princely House). Ini kerana pada masa lampau, wilayah tersebut termasuk dalam kekuasaan empayar Rom Barat. Oleh itu, wilayah tersebut tunduk pada kekuasaan Maharaja Rom. Sekitar awal abad ke-17, Maharaja Rom Barat telah mengurniakan gelar “Putera” kepada Karl I daripada keluarga bangsawan Liechtenstein.

Apabila Putera Johann Adam Andreas I iaitu pewaris keturunan keluarga Liechtenstein berjaya memiliki wilayah Schellenberg dan Vadus pada tahun 1712, maka terbentuklah sebuah wilayah Liectenstein yang dinamakan berdasarkan nama keluarga mereka. Pada masa kini, tampuk pemerintahan negara kecil tersebut dipegang oleh Putera Hans Adam II.

4. FILIPINA

Puas bermain salji di Eropah, kita terbang pula ke negara kepulauan tropika di Asia Tenggara iaitu Filipina. Sepertimana yang kita tahu, dari segi sejarah, rumpun bahasa dan bangsanya, Filipina termasuk dalam kepulauan Alam Melayu. Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol kemudian oleh Amerika Syarikat. Seorang jurumudi Sepanyol bernama Ruy Lopez de Villalobos adalah individu pertama yang menamakan kepulauan tersebut sebagai “Filipinas” pada pertengahan abad ke-16 sebagai penghormatan kepada Putera Philip ketika itu yang kemudiannya ditabal sebagai Raja Sepanyol bergelar Raja Phillp II. Pada asalnya, nama tersebut digunakan untuk merujuk kepada Pulau Leyte dan Samar sahaja di kepulauan tersebut.

Nama “Filipinas” kemudiannya diletakkan dalam peta oleh ahli geografi Itali yang bernama Giovanni Battista Ramusio untuk merujuk kepada nama seluruh kepulauan tersebut. Apabila penjajahan Amerika Syarikat berlaku, maka nama “Filipinas” ditukar kepada “Phillipines.” Nama tersebut terus dikekalkan oleh negara republik tersebut setelah merdeka sehingga kini walaupun ada beberapa usaha yang cuba diketengahkan oleh beberapa orang tokoh negara tersebut untuk menukar nama republik tersebut termasuklah Jose Rizal.

5. MOZAMBIQUE

Daripada Asia Tenggara, kita belayar pula ke sebuah negara di benua Afrika iaitu Republik Mozambique. Negara tersebut terletak di pesisir tenggara Afrika, dengan Lautan Hindi di timur dan bertentangan dengan Pulau Madagascar. Pengaruh penjajah Portugis amat kuat pada bahasa penduduknya sehingga bahasa rasmi negara tersebut ialah bahasa Portugis. Penjajah Portugis jugalah yang memberi nama kepada tempat tersebut.

Sebelum penjajah Portugis berlabuh di tempat tersebut, terdapat seorang Arab bernama Musa bin Beik, dalam catatan lain namanya Mussa bin Mbiki. Sumber-sumber ilmiah pelbagai dalam menyatakan perihal berkenaan individu bernama Musa tersebut. Ada yang menyatakan beliau adalah seorang Sultan yang memerintah wilayah tersebut ketika itu, ada catatan lain menyatakan beliau seorang pedagang Arab di sana, dan ada juga sumber ilmiah lain yang menyatakan beliau seorang shaykh Arab yang menetap di sana. Walau apapun, kemasukan orang-orang Arab ke wilayah tersebut dalam urusan perdagangan telah lama berlaku, jauh sebelum kedatangan penjajah Portugis lagi.  Disesuaikan dengan lidah dan bahasa orang Portugis, maka nama individu tersebut disebut “Mozambique” dan nama tersebut kekal sehingga kini sebagai sebuah negara republik.

6. BOLIVIA

Dari pesisir tenggara Afrika kita ke sebuah negara di benua Amerika Selatan iaitu Bolivia. Bolivia adalah sebuah negara yang tiada pesisir pantai (landlock) dan dikelilingi oleh negara-negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Peru, Argentina, Paraguay dan Chile. Nama negara tersebut adalah berasal daripada nama seorang tokoh pembebasan negara-negara Amerika Latin iaitu Simon Bolivar (1783-1830).

Simon Bolivar berasal dari Venezuela tetapi keluarga nenek moyangnya bersusurgalur daripada Sepanyol yang bermigrasi ke Amerika Selatan. Sepanjang perjuangannya, beliau berjaya memimpin gerakan pembebasan beberapa negara Amerika Latin yang pada masa kini dikenali sebagai Bolivia, Venezuela, Peru, Ecuador, Colombia dan Panama daripada penjajahan Sepanyol. Beliau juga berjaya menyatukan wilayah-wilayah tersebut sehingga terbentuknya negara Colombia Raya (Gran Colombia) walaupun negara tersebut tidak bertahan lama. Pada masa kini, matawang negara Bolivia dan Venezuela juga dinamakan sempena nama tokoh tersebut (Bolivian Boliviano / Venezuelan Bolivar).

7. KEPULAUAN MARSHALL

Di tengah-tengah Lautan Atlantik, terdapat sebuah negara kepulauan yang dinamakan sempena nama seorang pengembara British iaitu Kapten John Marshall (1747-1819). John Marshall bukanlah pengembara Eropah pertama yang menemui kepulauan tersebut. Pengembara Sepanyol, Alvaro de Saavedra berlabuh pertama kali di salah satu kepulauan tersebut pada pertengahan abad ke-16. John Marshall melawat kepulauan tersebut pada akhir abad ke-18. Kepulauan tersebut merdeka sebagai sebuah negara republik pada tahun

Sedikit maklumat menarik, di kepulauan Marshall, terdapat sebuah kawasan laut batu karang yang sering dijadikan tempat ujian senjata nuklear iatu Bikini Atol. Kemungkinan nama tempat dalam siri kartun SpongeBob SquarePants iaitu Bikini Bottom adalah berdasarkan nama tempat tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi negara yang namanya berdasarkan nama tokoh individu yang wujud dalam sejarah, artikel pendek ini cuma membincangkan tujuh negara daripadanya. Ada negara yang berasaskan nama keluarga diraja atau keluarga bangsawan yang masih memerintah negara tersebut sehingga kini seperti Arab Saudi dan Leichtenstein, ada juga daripada nama tokoh pembebasan seperti Bolivia dan ada juga nama negara berdasarkan nama tokoh individu yang secara langsungnya tiada kena mengena dalam sejarah pembentukan negara tersebut seperti Amerika dan Filipina. Apapun, setiap nama negara mempunyai keunikan dan sejarahnya tersendiri.

RUJUKAN DAN CADANGAN BAHAN BACAAN:

– Heather Moore Niver, Amerigo Vespucci: Explorer of South America and The West Indies, New York: The Rosen Publishing Group Inc, 2017.

Marshall Islands Diplomatic Handbook, USA: IBP, 2007.

Saudi Arabia, Vol. 4, No. 3, 1987.

– M. C Halili, Phillipines History, Manila: Rex Book Store Inc, 2004.

– Colin Darch, Historical Dictionary of Mozambique, Rowman & Littlefield, 2019.

– Marie Arana, Bolivar: American Liberator, New York: Simon & Schuster Paperbacks, 2013.

– Laman web rasmi negara Liechtenstein, www.liechtenstein.li/en, diakses pada November 2019.

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.