Kegeniusan Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip bin Yahya ini melayakkan dirinya digelar sebagai Bapa Teknik Kesan Khas filem Melayu.

Beliau pernah diberi anugerah “Bintang Legenda” dan menjadi Ahli Kehormat Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) pada tahun 2017 sebagai penghargaan kepada bakat seni yang dimiliki pelakon dan pengarah veteran itu semasa hayatnya.

Mat Sentol adalah seorang yang gemar bereksperimen dengan kesan-kesan khas. Ideanya ‘gila-gila’ dan tak masuk akal tetapi ada keunikan yang tersendiri.

Filem-filem Mat Sentol semasa di Cathay Keris mempunyai ‘branding’ yang agak kuat serta mendahului zamannya. Kali ini saya akan senaraikan 7 filem arahan Mat Sentol yang paling kelakar tak ingat dunia!

  • MAT 3/4 (1965)

Filem MAT 3/4 (baca: Tiga Suku) pada asalnya merupakan sebuah filem pendek berdurasi 55 minit yang diarahkan oleh S. Roomai Noor. Ia kemudiannya dipanjangkan kepada durasi 90 minit oleh Mat Sentol kerana pihak Cathay enggan membekalkan filem ini untuk TV Singapura dengan alasan tidak menguntungkan. Percaya atau tidak, proses penggambaran filem ini hanya mengambil masa selama seminggu sahaja! MAT 3/4 mendatangkan keuntungan selepas ditayangkan di pawagam dan Mat Sentol terus dilantik sebagai pengarah tetap di studio Cathay Keris.

  • MAT BOND (1967)
    Arahan bersama M. Amin

Filem ini terinspirasi daripada siri televisyen popular GET SMART yang dilakonkan oleh Don Adams, Barbara Feldon dan Edward Platt pada tahun 1965. Ia juga merupakan satu parodi kepada filem-filem James Bond yang sangat popular pada tahun 1960-an. Pihak studio Cathay Keris meminta Mat Sentol dan M. Amin membuat sebuah filem Melayu tentang seorang ejen perisik yang menyelesaikan kes dengan kebodohannya. Babak MAT BOND pergi ke bilik rahsianya dengan masuk ke dalam tandas itu diambil daripada watak ejen Maxwell Smart lakonan Don Adams yang pergi ke bilik rahsianya dengan masuk ke dalam pondok telefon. Tapi Mat Sentol punya style lebih kelakar lah.

Perbandingan babak ke bilik rahsia dalam GET SMART (atas) dan MAT BOND
  1. MAT RAJA KAPOR (1967)
    Arahan bersama M. Amin

Filem MAT RAJA KAPOR ini merupakan sambungan kisah MAT BOND yang melarikan diri pada penghujung filem itu. Mat kemudiannya sampai di sebuah negeri yang bernama Darul Funfair. Pelbagai kejadian lucu berlaku semasa Mat berada di situ kerana dia dianggap sebagai putera raja yang memiliki rupa paras serupa dengannya. Filem ini juga memaparkan sindiran tajam kepada golongan atasan yang dibuat dalam bentuk komedi. Babak yang paling diingati dalam filem ini ialah Mat bergaduh dengan seorang mamak di Toseh Bar.

  1. MAT LANON (1968)
    Arahan bersama Nordin Ahmad

Filem MAT LANON adalah sambungan kepada filem MAT RAJA KAPOR yang meneruskan pengembaraannya. Mat kini bekerja sebagai penyembelih labi. Ketika sedang bekerja, dia terjumpa sebuah buku kecil yang terdapat dalam perut labi. Di dalam buku kecil itu terkandung pelbagai ilmu hikmat yang mengubah nasib Mat.

Mat kemudiannya diculik oleh sekumpulan lanun dan dikerah untuk menjadi tukang masak mereka. Filem ini agak berlainan dengan filem Mat Sentol yang sebelumnya kerana terdapat banyak babak pergaduhan. Babak-babak pergaduhan ini diarahkan oleh Nordin Ahmad yang sememangnya pengamal ilmu persilatan.

  1. MAT TOYOL (1969)

Filem MAT TOYOL mengisahkan Mat yang dilantik menjadi pembantu kepada Tok Bomoh. Mat disuruh mencari akar kayu Apollo untuk dibuat toyol. Dalam filem ini, Mat Sentol banyak menggunakan teknik silap mata untuk menghiburkan penonton. Mat Sentol membuat filem ini dalam corak komedi seram. Ia merupakan filem yang menyindir orang yang mempercayai bomoh dan tahyul.

  1. MAT KARONG GUNI (1970)

Di dalam filem ini, Mat bekerja sebagai penjual botol dan besi buruk. Dia sering membawa karung guni ke mana sahaja sambil memakai kasut roda. Pada satu hari, Mat tanpa sengaja telah membeli barang kemas yang disangka kaca pecah dengan harga $1.20. Dia menjualnya semula dengan harga $5.00. Setelah mengetahui perkara sebenar, Mat perlu mencari semula barang kemas itu untuk mendapatkan ganjaran lumayan daripada pemilik asalnya. Filem MAT KARONG GUNI ini mengandungi unsur-unsur komedi seks yang membuatkan ia agak jarang ditayangkan di televisyen masa kini.

  1. MAT MAGIC (1971)
    Arahan bersama John Calvert

Kerjasama antara Mat Sentol dan ahli silap mata terkenal dari Amerika Syarikat, akhirnya membuahkan hasil dengan terbitnya filem MAT MAGIC. Dalam filem ini, John Calvert berlakon sebagai dirinya sendiri dengan menjadi ahli silap mata yang memenuhi hasrat Mat untuk membuat pertunjukan di Pulau Hantu bagi menyambut hari lahir bossnya. John Calvert tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu tetapi dibantu oleh tenaga kerja masa penggambaran filem ini. Ini merupakan satu-satunya filem Melayu lakonan John Calvert.

Mat Sentol bersama John Calvert

Boleh dikatakan Mat Sentol adalah seniman yang mempunyai pemikiran yang sangat advance dalam berkarya. Hampir kesemua filem MAT ini dibuat tanpa skrip yang lengkap. Kebanyakannya dibuat secara spontan dengan idea daripada Mat Sentol sendiri.

Walaupun dibuat dengan bajet rendah, rata-rata filem Mat Sentol mendapat sambutan menggalakkan semasa ditayangkan di pawagam. Perkara ini sedikit sebanyak menggembirakan pihak studio Cathay Keris yang ketika itu bergelut dalam soal bajet dan sambutan terhadap filem-filem Melayu yang kian pudar pada penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an.

Dalam ketujuh-tujuh filem ini, yang mana menjadi kegemaran anda? Kongsikan pandangan anda terhadap filem Mat Sentol!

RUJUKAN:

  1. Hamzah Hussin, 2004. Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  2. Amin dan WAHBA, 1998. Layar Perak dan Sejarahnya. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
  3. Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan A. Malek Mokhtar, 1993. Daftar Filem Melayu (1933-1993). Ampang: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.