7 Dalam 3 Minit – PWII Mahmor Said PGB

0
603
views

Sejarah pasukan pertahanan negara menyaksikan antara lainnya, penubuhan pasukan-pasukan khas berkemahiran tinggi untuk tujuan tertentu, dan sebaik tujuan tersebut tidak lagi kelihatan, maka timbullah ura-ura untuk pasukan tersebut dibubarkan kerana dianggap tidak lagi relevan. Itulah nasib yang hampir menerima pasukan GGK (ketika itu MSSU atau RGKM), yang ditubuhkan dengan tujuan spesifik iaitu mengatasi ancaman konfrantasi yang dilancarkan oleh Indonesia pada tahun 1965.

Setelah terbentuknya pasukan MSSU, latihan demi latihan keras dijalankan bagi mempersiapkan pasukan untuk menjalankan operasi seperti yang dikehendaki, iaitu melancarkan serangan terhadap kekuatan musuh di wilayah mereka sendiri setelah perisikan tentera berjaya menghidu berita tentang penambahan kekuatan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pulau Djemur, kawasan Selat Melaka. Namun belum sempat misi dilancarkan, berita tersebar dari Indonesia mengatakan KOGAM (Konfrantasi Ganyang Malaysia) tersebut telah dihentikan berikutan kejayaan Lt. Gen. Soeharto telah menumpaskan GESTAPU 1965 pada 11 Mac 1966. Usaha damai yang diusahakan secara senyap-senyap oleh kedua-dua negara pula akhirnya membawa kepada perjanjian damai di antara kedua-dua negara pada 11 Ogos 1966.

Dilahirkan di Parit Sulong, Johor, anak keempat daripada 12 adik- beradik ini pernah menerima latihan asas komando daripada 40th British Commando di Kem Majidee pada tahun 1965. Pejuang kental yang lebih dikenali sebagai Pak Tam ini telah menerima pingat PGB daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah pada 5 Jun 1968 di atas keberanian dan kecemerlangannya dalam menjalankan tugas bersama Rejimen Gerakhas Malaysia (RGKM) semasa satu operasi di Gunung Perigi yang terletak di dalam Kompleks Gunung Gading, Lundu, Sarawak.

Dalam kejadian tersebut, beliau yang bertugas bersama-sama rakan-rakannya dalam terup nombor satu RGKM telah tiga hari berada di situ bagi memburu satu kumpulan berkekuatan 8 hingga 15 pengganas Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) – satu serpihan daripada pasukan komunis Kalimantan Utara (PARAKU).

Pada hari itu, di dalam kedinginan tengahari yang mencengkam kawasan sekitar gunung itu, beliau yang ketika itu berusia 25 tahun bersama-sama rakan beliau, Tpr. (Trooper) Omar Abdul Rahman dan Kpl. (Koperal) Sulaiman Salut sedang memasak air untuk membancuh teh. Senjata RISLBnya diletakkan kira-kira 5 meter daripada kedudukannya, menghala ke arah laluan pulang pasukan ronda yang telah keluar menghantar rakan yang sakit ke Titik Pendaratan (LP). Di sebelah senjata itu diletakkan pouches yang penuh berisi peluru. Satu lagi kumpulan ronda diketuai Lt. (Leftenan) Mohd Ramli Ismail juga bakal pulang bila-bila masa. Memikirkan laluan itu tidak akan dilalui musuh, mereka merasa lebih tenang, tapi tetap terus berwaspada.

Tiba-tiba terdengar bunyi daun kering dipijak orang. Sangkaan Tpr. Mahmor, itu adalah rakan-rakannya yang baru pulang, tetapi ia tak dapat dipastikan kerana pemandangannya dihalang oleh pohon rimbun. Sangkaan itu adalah berdasarkan pengetahuannya bahawa laluan menurun bukit itu baru saja dilalui satu daripada 3 kumpulan ronda, serta menjadi laluan biasa bagi anggota semboyan, LKpl. (Lans Koperal) Jamaludin Suriani yang kerap turun naik menukar bateri set radionya yang rosak. Bila mendengar suara yang makin ramai, Tpr. Mahmor menyangka ianya kumpulan ronda Sjn. (Sarjan) Nordin Sidek yang baru pulang daripada meronda.

Baru saja Tpr. Mahmor berpusing untuk memberitahu Kpl Sulaiman, rakannya itu telah terlebih dahulu terperasan yang rupa-rupanya ia adalah kumpulan musuh yang sedang berada di denai yang terletak di kaki gunung itu. Dengan pantas beliau menghala senjata MGK ke arah tersebut, tetapi tiada bunyi tembakan yang kedengaran kerana senjata tersebut telah tersekat.

“Apalagi Mor?!” jerit Kpl Sulaiman kepada Tpr. Mahmor. Namun, Tpr. Mahmor tidak terus bertindak kerana belum pasti tentang apa yang berlaku. Beliau bergerak menghampiri tepi denai untuk memastikan siapa sebenarnya yang sedang menghampiri mereka, takut kalau-kalau ianya sebenarnya adalah rakan mereka. Di situ, kira-kira 8 meter di hadapannya, beliau terlihat.. Memang sah ianya adalah kumpulan musuh. Musuh lelaki yang berada paling depan dalam barisan itu terkejut melihat tiba-tiba Tpr. Mahmor tercegat di depannya. Rakan-rakannya yang berada di belakangnya terus menghampiri tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku.

Beberapa saat berlalu dalam keadaan kedua-duanya terpaku dan bertentang mata. Itulah kali pertama Tpr Mahmor yang masih baru dalam pasukan, berdepan dgn musuh. Namun, otaknya lebih cepat mentafsir apa yang berlaku lalu membuatkannya mengambil tindakan lebih dahulu sebelum musuh sempat bertindak. Beliau segera melompat ke arah senjatanya yang berada kira-kira 6 meter daripada tempat beliau berdiri. Senjata itu terus diangkat ke paras pinggang dan dicekah, lalu beliau terus menyemburkan peluru ke arah musuh tersebut.

Tembakan daripada kelopak pertama 30 butir peluru 7.62mm berjaya menumbangkan beberapa musuh. Melihat masih ada yang bergerak dan mula menembak balas, beliau mengambil kelopak kedua dari pouchesnya dan melepaskan 30 lagi das tembakan diikuti kelopak ketiga yang menghamburkan 25 tembakan. Segala-galanya berlaku begitu pantas, dalam masa tidak sampai 3 minit. Adrenalin yang menderu membuatkan beliau tidak sedar yang sebutir peluru telah sipi-sipi menyinggahinya, dan mematahkan pokok kecil yang berada kira-kira sejengkal daripadanya. Seorang musuh yang cedera di tangan dan cuba melarikan diri dikejar selama hampir setengah jam oleh Tpr. Malik namun gagal ditangkap.

Reda bunyi tembakan dan selesai pertempuran, Tpr. Mahmor dan rakan-rakannya membuat penggeledahan atas arahan Kpl. Ali Mohd Tahir. Hasilnya, mereka menemui satu longgokan 2 mayat, dan satu lagi longgokan 5 mayat musuh dalam keadaan bertindih. Hasil rampasan termasuk 7 laras senjata MK4 dan Sten Gun serta lapan beg galas berisi peralatan peribadi dan peluru. Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh suara Sjn. Tohalus Lantar yang telah menjumpai beberapa batang rokok daripada jenis yang sering dihisap rakan mereka – Ramli, serta beg galas kepunyaan Tpr. Ahlal Ismail. Rasa risau mula mencengkam perasaan masing-masing, kerana tertanya-tanya tentang apa yang sudah berlaku kepada kedua rakan mereka itu. Pada ketika itu, kumpulan ronda yang baru pulang tidak berani menghampiri lokasi kejadian kerana takut disilap tembak kerana disangka sebagai musuh. Selepas menunggu agak lama, barulah mereka dipanggil, dan menghampiri kumpulan Tpr. Mahmor. Masing-masing lega melihat Ramli dan Ahlal turut berada dlm kumpulan itu, walaupun keduanya sendiri tidak faham bagaimana barang-barang mereka berada bersama musuh.

Malam itu, Tpr. Mahmor dan rakan-rakannya terpaksa bermalam bersama mayat-mayat musuh itu. Hanya keesokannya, mereka ditarik keluar menggunakan helikopter.

Mej Jen Ibrahim Ismail diperkenalkan kepada Tpr Mahmor oleh Sjn Md Lazim

Kejayaan Tpr Mahmor itu telah melakar sejarah kpada RGKM (kini GGK). Untuk peristiwa itu, beliau memegang 3 rekod yang masih belum dipecah sehingga ke hari ini, iaitu :

1) anggota RGKM pertama menumbangkan musuh sejak penubuhan pada 1965

2) berjaya membunuh musuh paling ramai dalam satu operasi secara bersendirian

3) berjaya membunuh musuh dalam masa paling singkat iaitu 7 musuh menggunakan 85 butir peluru

Beliau bersara setelah 21 tahun berkhidmat dlm GGK dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran II dan kini menetap di Batu Pahat….=WRA=

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here