7 Bukti Bumi Ini Sfera

0
3740
views

Beberapa hari lepas, Elon Musk lancarkan kereta Teslanya ke angkasa lepas melalui program SpaceX dan menyatakan ini bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera, bukan rata seperti yang didakwa sesetengah pihak. Berikutan itu, geng bumi rata melatah dan membidas dakwaan Musk serta menyifatkan pelancaran tersebut palsu. Bagi kita sendiri, kita sebenarnya tak perlu lancarkan kereta ke angkasa lepas macam versi sebenar Tony Stark itu. Cukup dengan menunjukkan beberapa fenomena semulajadi, adakalanya terlalu remeh tapi sebagai bukti bumi ini berbentuk sfera.

1. ‘LIHATLAH KE ANGKASA.’

Figure 1: Keadaan buruj berbeza mengikut lokasi kita berada di bumi.

Setiap malam, pasti ada yang mengambil peluang mengamati bintang-bintang yang bertaburan di angkasaraya. Dan jika anda perasan, sesetengah bintang ini boleh membentuk corak buruj menarik seperti Ursa Major, Libra dan Aquarius. Tetapi tahukah anda, sesetengah buruj ini hanya boleh dilihat dari sesetengah tempat di bumi dan pada masa tertentu saja. Buruj yang kita lihat di Malaysia berkemungkinan berbeza dengan buruj yang dilihat oleh rakan-rakan kita di luar negara seperti Australia, Mesir atau Kanada. Untuk pengetahuan penyokong teori bumi rata, andai benarlah dakwaan awak ini, logiknya kita patut lihat buruj yang sama di seluruh dunia, kan? Tetapi itu tidak berlaku sama sekali. Ini disokong oleh pemerhatian cendekiawan Yunani, Aristotle sekembalinya beliau dari satu perjalanan ke Mesir. Menerusi Aristotle, fenomena buruj berbeza yang dilihat dari lokasi berbeza ini hanya boleh berlaku sekiranya bumi itu berbentuk sfera.

2. ‘OH BULAN’

Figure 2: Fasa-fasa gerhana bulan.

Fenomena gerhana bulan sangat mengasyikkan dan merupakan antara tanda kebesaran Ilahi. Tetapi bagi orang Yunani, ia satu fenomena misteri yang mendorong mereka mengkaji fenomena ini. Dan antara individu yang mengkaji fenomena gerhana bulan ialah Aristotle sendiri. Semasa memerhati fenomena tersebut, beliau mendapati bayang pada permukaan bulan itu bulat. Bayang-bayang yang kelihatan pada bulan itu sebenarnya bayang-bayang planet kita sendiri dan itu sebenarnya sudah cukup menceritakan keadaan sebenar bumi yang berbentuk sfera. Apabila bumi berputar, bayang-bayang yang kelihatan pada bulan bukan saja berbentuk bulat tetapi juga sebenarnya berbentuk sfera. Siapa sangka Tuhan Maha Kuasa sudah memberi bukti paling nyata untuk menangkis teori bumi itu rata.

3. BAYANG

Satu tabiat kita pada zaman kanak-kanak ialah bermain dengan bayang-bayang sendiri. Dan kadang-kadang kita gunakan bayang tersebut untuk cipta pelbagai watak mengikut imaginasi kita. Dan dengan bayang ini juga digunakan oleh kerajaan Islam terdahulu untuk mengukur masa terutama waktu solat melalui penciptaan jam matahari. Tetapi siapa sangka, bayang-bayang juga sebenarnya bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera.

Kalau benarlah dakwaan bumi ini rata, sepatutnya saiz bayang kita seharusnya sama dan takkan berubah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku. Kalau kita ukur saiz bayang-bayang dari tempat berbeza di bumi, kita akan dapati saiz bayang tersebut berbeza. Dan ini dilakukan seorang cendekiawan Yunani bernama Eratosthenes. Beliau melakukan satu eksperimen dengan meletakkan dua tiang di dua bandar berbeza di Mesir. Hasil dari eksperimen tersebut, Eratosthenes melihat saiz bayang-bayang berbeza mengikut lokasi, sekaligus mengukuhkan kenyataan bahawa bumi ini sfera. Dan dari eksperimen ini juga menjadi asas kepada penciptaan jam matahari.

4. ‘KURUS ATAU TAK’

Waqaf Saham

Sesetengah orang memang takut dengan penimbang berat badan kerana ia bakal mendedahkan sama ada kita masih kurus atau sudah menambah berat badan. Tetapi berat badan sebenarnya memberi pengenalan satu lagi bukti membangkang teori bumi rata iaitu graviti. Graviti akan menarik semua orang pada bahagian tengah planet kita, sekaligus akan memastikan berat kita sentiasa sama tak kiralah di mana anda berada. Andai benar bumi ini rata, mana-mana yang berada pada bahagian tengah pasti akan ditarik ke bawah. Dan tanpa graviti, ia sebenarnya boleh memberi kesan buruk pada kesihatan manusia termasuk kematian. Menurut Jolene Creighton dalam artikelnya untuk laman sesawang Futurism, ketiadaan graviti akan menjejaskan keadaan planet dan akan menyebabkan planet jadi hancur dan terapung di angkasa.

5. ‘ANTARTIKA ITU DINDING AIS’

Satu dakwaan melucukan berkenaan teori bumi rata ialah mereka mendakwa Antartika itu sebenarnya dinding ais besar yang mengelilingi keadaan bumi yang rata. Begini sajalah, kalau benarlah bumi ini rata, patutnya semua kapal terbang yang melintasi Antartika terhempas, kan? Begitu juga kalau kapal-kapal berlayar melepasi Antartika, jika mereka melepasi kononnya dinding itu, pasti mereka akan jatuh karam, kan? Tetapi semua itu tidak berlaku kerana apabila kapal atau kapal terbang melintasi Antartika, pasti mereka melihat kelengkungan permukaan bumi sekaligus membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera.

6. ‘LIHATLAH SAUDARA-SAUDARAKU’

Figure 3: Pemerhatian Galileo pada planet-planet lain membuktikan bahawa bumi itu bersifat sfera dan ia dikongsi oleh semua planet lain dari Utarid sampai Neptun.

Geng bumi rata mengatakan planet bumi berbeza dengan planet-planet lain. Itu memang benar tetapi planet kita turut berkongsi beberapa persamaan seperti saiz yang sama dan berputar mengikut orbit masing-masing. Andai benarlah dakwaan mengarut bumi rata ini, pasti akan mengubah apa yang kita tahu berkenaan pembentukan planet dan bintang, orbit planet dan kesan graviti pada sesebuah planet. Pendek kata, kita bukan saja syak bumi berbentuk sfera tetapi kita tahu ianya satu fakta, bukan satu lagi teori konspirasi mengarut.

Buktinya, seorang ahli astronomi Itali bernama Galileo Galilei. Pada tahun 1610, Galileo memerhatikan bulan-bulan Musytari mengelilingi planet tersebut dan beliau menggambarkan dalam catatannya sebagai planet-planet kecil yang mengelilingi sebuah planet besar. Idea radikal Galileo dianggap satu revolusi dan mencabar idea gereja bahawa bumi ini merupakan pusat dunia. Hasil pemerhatian beliau turut mendapati planet-planet lain juga berbentuk sfera dan semuanya berputar mengelilingi matahari.

7. ZON MASA

Figure 4: Zon masa dunia yang berbeza-beza.

Kalau ikut jam ketika ini, sekarang 7.47 malam di Malaysia. Sementara di London, sudah hampir waktu tengah hari iaitu 11.47 pagi. Di Arab Saudi pula terutama bagi yang sedang mengerjakan ibadat umrah, jam menunjukkan 2.47 petang. Semua zon masa berbeza ini hanya boleh terjadi sekiranya bumi itu berbentuk sfera dan berputar pada paksinya. Pada satu masa, matahari memancarkan sinarnya pada satu bahagian sementara bahagian lain akan jadi gelap dan seterusnya. Ini membenarkan kewujudan perbezaan masa dan zon masa, lebih spesifik bagi zon masa lebih daripada 12 jam.

Kalau benarlah bumi itu rata, pasti matahari akan kelihatan walaupun ianya tidak berada di atas kepala kita seperti lampu sorot untuk menerangi pentas walaupun penonton duduk dalam keadaan gelap. Satu-satunya cara untuk mencipta zon masa berbeza dengan cahaya pada satu tempat sementara satu lagi tempat bergelap ialah dunia itu berbentuk sfera. Dan itu hakikat sebenar berkenaan bumi kita.

SUMBER

  1. Schottlender, Moriel. (2016). Popular Science. 10 easy ways you can tell for yourself that the Earth is not flat. https://www.popsci.com/10-ways-you-can-prove-earth-is-round
  2. Barras, Colin. (2016). BBC. What would happen to you if gravity stopped working? http://www.bbc.co.uk/earth/story/20160212-what-would-happen-to-you-if-gravity-stopped-working
  3. Launder, Mimi. (2018). The Independent. 7 ways you can prove the Earth is not flat. https://www.indy100.com/article/prove-earth-is-round-flat-earth-theory-conspiracy-win-flatearther-argument-8196911

 

 

 

Previous articleMalaysia Mengubah London Stock Exchange Untuk Selamanya
Next articleFilem-Filem P Ramlee Yang Terbengkalai
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE