Sekarang ini, Shopee sedang hangat mempromosikan ‘7.7 Mid Year Sale’.

Tak keruan dibuatnya orang yang ‘bernafsu beli-belah’ ini. Alhamdulillah, saya terkecuali (harapnya begitulah).

Tapi kan, hendak dijadikan cerita, sempena promosi ini juga, saya sebenarnya ada belanja satu barang dalam Shopee pada hujung bulan lepas.

Rupa-rupanya, usai melakukan pembayaran, baru saya tahu bahawa produk tersebut baru hendak dihantar dari China dan bukan sudah sedia ada di Malaysia.

Aduh, kena tunggu lama sedikitlah untuk item tersebut sampai dengan selamat ke dalam dakapan mesra saya! Harap-harap, tiada viruslah melekat pada bungkusan itu.

Ya Tuhan, mohon simpang!

“Sekejap, kau beli barang apa sebenarnya, Min?” Jeng jeng jeng…

Sambil-sambil melayan Shopee, terbaca pula data menarik berkaitan platform e-dagang yang satu ini.

Menurut data daripada iPrice Group, pada suku pertama 2020, Shopee telah mengalahkan Lazada dengan 81.82 juta bilangan kunjungan dalam tempoh tersebut berbanding Lazada (36.96 juta) di Malaysia.

Jadi, secara puratanya, jumlah bilangan lawatan yang diterima oleh Shopee adalah sebanyak 27.27 juta kunjungan sebulan; jauh meninggalkan pesaing Lazada dengan cuma 12.32 juta sebulan!

Begitu juga sepertimana yang dikemukakan oleh Statista.com. Shopee bukan sekadar mendahului carta pentas beli-belah dalam talian di Malaysia sahaja, bahkan jua di Indonesia dan Vietnam.

Kalian pernah terfikir tak, macam mana penangan Shopee ini boleh jadi begitu berpengaruh ya, khususnya dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara?

Jika hendak dibandingkan antara dua pelantar e-dagang (e-commerce platforms) gergasi di Asia Tenggara iaitu Shopee dengan Lazada, Lazada ternyata lebih ‘abang’ berbanding si adik Shopee.

Lazada yang dimiliki oleh Alibaba Group ditubuhkan pada tahun 2012, sedangkan Shopee yang berada bawah kendalian Sea Group pula cuma dilahirkan tiga tahun selepas itu, yakni pada 2015.

Persamaan antara kedua-dua e-dagang ini ialah, kedua-duanya beribu pejabat di Singapura.

Namun begitu, apa sebenarnya rahsia dan faktor yang membuatkan kehadiran si adik Shopee lebih digemari dan diminati ramai, seterusnya memintas populariti si abang Lazada yang pernah merajai kedudukan beberapa tahun sebelum ini?

Sehinggakan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2020 Dalam Talian yang sedang berlangsung kini pun memilih Shopee sebagai pusat perjalanan aktivitinya!

Jangan lupa memborong buku-buku kami di PBAKL 2020. Nah ni link shopee kami.
https://shopee.com.my/thepatriotsasia


1️⃣ ???????????????????????????????????? ???????????????????????????????? ???????????????????????????????????????? ???????????????????????????? ???????????????????? ????????????????.

Shopee sedar bahawa pada masa akan datang, peranti mudah alih (mobile device) bakal menjadi ‘medan tempur’ utama bagi tujuan e-dagang, bukan lagi komputer meja (desktop) atau komputer riba (laptop) .

Dengan purata penggunaan Internet mudah alih oleh seorang warga Asia Tenggara setinggi 3.6 jam sehari berdasarkan kajian oleh Google dan Temasek, maka pelaburan terhadap penggunaan peranti mudah alih secara optimum dilihat sangat mustahak.

Tambahan pula, seorang pengguna aplikasi (app user) lebih cenderung untuk lebih banyak berbelanja berbanding jika dia melayari platform beli-belah dalam talian melalui laman sesawang.

Maka, kesempatan ini telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Shopee dalam membangunkan dan memajukan aplikasinya.

2️⃣ ???????????????????????????????????????? ???????????????????????????????????? ???????????? ???????????????????????????????????? ???????????????? ????????????????????.

Bermula sebagai model pelanggan-kepada-pelanggan (C2C), Shopee berhasil membangunkan jaringan yang sangat besar antara pembeli dengan penjual tanpa masalah inventori.

Sesiapa sahaja boleh menjadi penjual dalam Shopee dan menggunakan perkhidmatan logistiknya dengan cara yang sangat mudah, ditambah pula dengan suasana Asia Tenggara yang banyak dilatari dengan perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Kesan rangkaian (network effect) yang dimainkan telah berjaya menarik banyak lagi para penggerak SME untuk masuk ke dalam platform Shopee menggunakan kaedah pemasaran yang berbeza, seterusnya membawa kepada kepelbagaian produk.

Walhasil, sebagai akibat daripada peningkatan mendadak para pengguna ini juga telah memudahkan Shopee untuk memulakan model perniagaan-kepada-pelanggan (B2C) pula dengan meletakkan para pembekal (supplier) utama untuk bersaing secara anak jantan dengan Lazada.

3️⃣ ???????????????????????? ???????????????????????? ???????????????????????? ???????????????????????????? ???????????? ????????????????????????????.

Perkara ini memang sangat tidak boleh dinafikan.

Kalian masih ingat lagi tak bagaimana sekitar dua tiga tahun lepas; apa teknik pemasaran yang telah digunakan oleh Shopee?

Ya, tak lain dan tak bukan adalah dengan lagu Shopee Shark (Di Shopee pi pi pi pi pi pi pi…) berserta pakej tarian mereka. Hinggakan, Cristiano Ronaldo pun dapat ‘dibeli’ untuk tujuan pengiklanan mereka!

Saya tahu, awal-awal dahulu, memang ramai yang berasa semacam “apakah ini?”, loya tekak, dan bersumpah seranah.

Sudahlah setiap tempat mahu ditembusinya. Buka YouTube, tertonton iklan Shopee. Buka Spotify, terdengar iklan Shopee. Jalan-jalan di luar pula, terserempak lagi dengan iklan Shopee. Ah, serabut!

Namun, setelah berlalu beberapa ketika, perkara sebegitu seolah-olah sudah dapat diterima dan seringkali terngiang-ngiang saja dalam benak fikiran.

Puncanya disebabkan apa? Ya, sebab selalu diulang, ulang, dan ulang kembali.

Mungkin sekali Shopee konsisten mengamalkan suatu peraturan dalam pengiklanan yang disebut sebagai ‘The Marketing Rule of 7’.

Katanya, seseorang prospek atau pelanggan itu perlu melihat atau mendengar sesuatu mesej iklan sekurang-kurangnya TUJUH KALI sebelum mereka mengambil keputusan untuk membeli apa-apa barangan atau mendapatkan satu-satu perkhidmatan.

Bukan sekadar itu, bahkan Shopee juga istiqamah menjalankan kempen promosi dan diskaun setiap bulan (7.7, 8.8, 9.9, dan seterusnya) dengan tawaran penghantaran percuma, jualan kilat, dan baucar diskaun.

Siapa yang tidak tergiur!

4️⃣ ???????????????????????????????? ???????????????? ???????????????????????????????????????? ????????????????????????????????.

Fuh, seriuslah? Ya, sebab itu acapkali orang bisnes menyebut, “perkara paling asas dalam sesuatu perusahaan ialah KEPERCAYAAN antara penjual dengan pembeli.”

Bagi memastikan kesetiaan jenama Shopee sentiasa dikenang dan menempel dalam sanubari setiap penggunanya, Shopee telah melakukan suatu tindakan yang amat bijak sekali.

Difahamkan, di setiap negara yang telah ditembusi oleh Shopee termasuk di Malaysia, Shopee akan menggajikan kakitangan tempatan yang bisa memahami budaya dan adat istiadat satu-satu negara itu.

Sebagai tambahan, Shopee juga bekerjasama dengan bank tempatan dan rakan logistik di setiap negara terbabit bagi memahami bagaimana pengalaman beli-belah dan khidmat penghantaran dapat ditingkatkan kelancarannya, seterusnya lebih menjimatkan kos.

Nampak tak? Sebab itu tidak pelik jika laman atau aplikasi Shopee di negara kita sudah tersedia dalam bahasa Melayu dengan bahasa yang amat mudah difahami.

Bagi setiap perayaan kaum-kaum utama di negara kita pula, pasti akan ada promosi khusus sepanjang musim perayaan tersebut.

Demikian juga, proses pembayaran pun sangat lancar dan mudah dengan pelbagai pilihan boleh dibuat; bayar secara tunai, perbankan dalam talian, kad debit atau kredit, dan sebagainya.

Banyak perkara yang boleh kita belajar sebenarnya daripada kaedah dan strategi yang diambil oleh Shopee dalam menembusi relung jiwa marhaen.

Dalam bidang dakwah atau penyampaian mesej Islam misalnya, apa ikhtiar dan perancangan teliti yang boleh kita terapkan bagi memastikan jenama ‘Islam’ ini benar-benar bisa diterima dan ‘digilai’ oleh semua pihak?

Bagaimana mahu memastikan agama Allah yang diredai ini benar-benar dilihat sebagai suatu cara hidup yang sangat mudah, praktikal, penuh dengan keindahan, dan amat meraikan kearifan tempatan (local wisdom) masyarakat setempat?

Hal-hal sebeginilah yang amat perlu untuk kita senantiasa ambil renungan sebagai tauladan, cuba perbaiki segala kekurangan, dan tambah baik segala kelebihan dalam meningkatkan keupayaan diri dan umat.

Kita sedar, masa depan umat Islam adalah dalam tangan kita. Disebabkan hakikat ini, persiapan pengetahuan dan persediaan kemahiran, lebih-lebih lagi pada era Revolusi Industri Keempat (4IR) masa ini amat perlu dilengkapkan sebaiknya.

Agar dengan itu, kita berhasil meneruskan junjungan nama Islam dengan bergaya lagi mesra masyarakat murba selaras dengan kecanggihan teknologi dan tuntutan semasa.

Ternyata, beginilah Shopee mengajar kita!

Oh ya, sebelum terlupa, hantaran ini BUKAN bertujuan untuk mempromosi Shopee atau Lazada ya. Jadi, jangan salahkan saya seandainya duit kalian bakal banyak dihabiskan di sana selepas membaca penulisan ini!

????
Muhaimin Safaruddin.
https://t.me/MuhaiminSafaruddin

RUJUKAN:

1. Kuek Ser Kwang Zhe, “Shopee beats Lazada in 1Q20 in Malaysia in website visits,” The Edge Markets, April 29, 2020, https://www.theedgemarkets.com/article/shopee-beats-lazada-1q20-malaysia-website-visits.

2. “Shopee Trumped Lazada In Southeast Asia E-Commerce Market: A Lesson Of Localization,” BoxMe, dicapai pada Julai 06, 2020, https://blog.boxme.asia/shopee-trumped-lazada-in-southeast-asia-e-commerce-market-a-lesson-of-localization.

3. J. Müller, “Top 10 e-commerce sites in Malaysia as of 1st quarter 2020, by monthly traffic,” Statista, Mei 15, 2020, https://www.statista.com/statistics/869640/malaysia-top-10-e-commerce-sites.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.