6 Ciptaan Maju Zaman Silam Yang Mengatasi Pemahaman Moden

1,713

Rahsia untuk menghasilkan beberapa ciptaan yang paling berguna dalam lipatan sejarah telah pun hilang dari genggaman kita. Dalam pada kebijaksaan dan kepintaran yang kita miliki pada hari ini, nenek-moyang kita pada ribuan tahun yang lampau masih mampu membingungkan kita dengan kebijaksanaan dan penciptaan mereka. Walaupun kita berhasil membangunkan versi moden bagi sebahagian ciptaan tersebut, ianya hanya berlaku pada tahun-tahun kebelakangan ini.

API YUNANI – SENJATA KIMIA MISTERI

Ilustrasi meunjukkan Api Yunani digunakan bagi menentang armada Thomas si Slav.Kapsyen di atas kapal sebelah kiri berbunyi, “armada Rom membakar armada musuh”

Byzantine pada abad ke-7 hingga abad ke-12 Masehi melemparkan suatu bahan misteri kepada musuh-musuh mereka semasa menghadapi pertempuran laut. Cecair ini ditembak menerusi tyiub atau sifon, lalu membakar kapal-kapal yang berada di atas laut dan hanya dapat dipadam dengan menggunakan cuka, pasir dan air kencing.Kita masih tidak tahu bahan apakah yang digunakan untuk membuat senjata kimia yang dikenali sebagai Api Yunani ini. Byzantine menjaga rahsia tersebut dengan begitu ketat, memastikan hanya sebilangan yang terpilih sahaja mengetahui rahsia itu. Kemudian, pengetahuan tersebut hilang secara keseluruhan.

KACA FLEKSIBEL – BAHAN YANG SANGAT BERHARGA

Tiga catatan purba berkenaan ciptaan yang dikenali sebagai vitrum flexile, atau kaca fleksibel tidak cukup jelas untuk meraih kepastian sama ada ciptaan tersebut benar-benar wujud ataupun tidak. Kisah berkenaan ciptaan ini kali pertama diceritakan oleh Petronius (mati 63 Masehi).
Di dalam tulisannya, dicatatkan bahawa terdapat seorang tukang kaca yang menghadiahkan sebuah bekas kaca kepada Maharaja Tiberius (memerintah 14-37M).

Beliau kemudiannya meminta maharaja itu agar memberikan semula bekas tersebut kepadanya. Lantas, si tukang kaca itu melempar bekas kaca itu ke lantai, namun ianya tidak pecah berkecai sebaliknya hanya sekadar kemek. Kemudian, tukang kaca itu pun menukul bekas kaca itu sehingga menjadi bentuk asal semula. Oleh kerana khuatir akan berlaku penurunan nilai bagi bekas kaca yang amat berharga itu, Tiberius menitahkan agar si tukang kaca itu dipancung supaya rahsia penciptaan vitrum flexile dikuburkan bersamanya.

Kisah ini turut diceritakan oleh Pliny the Elder (mati 79M). Menurutnya, walaupun kisah ini sering diceritakan, ianya berkemungkinan tidak memiliki kebenaran secara keseluruhan.

Satu versi penceritaan yang disampaikan beberapa ratus tahun kemudian oleh Dio Cassius pula mengubah imej tukang kaca itu seolah-olah menjadi ahli magis. Menurutnya, selepas bekas kaca itu pecah berderai setelah dilempar ke lantai, si tukang kaca itu membaikinya dengan tangan kosong.
Pada tahun 2012, kilang pembuat kaca bernama Corning memperkenalkan “Kaca Kapuk” yang fileksibel. SIfatnya yang kalis haba dan cukup fleksibel untuk digulung terbukti sangat berguna untuk tujuan pembuatan panel solar.

Jika tukang kaca Rom tersebut benar-benar telah mencipta vitrum flexile, maka beliau sesungguhnya telah melangkaui ribuan tahun ke hadapan di zamannya.

ANTIDOT BAGI SEMUA RACUN


Suatu bahan yang dianggap sebagai ‘antidot sejagat’ yang berfungsi bagi kesemua jenis racun dikatakan telah dicipta oleh Raja Mithridates VI dari Pontus (memerintah 120-63SM) dan disempurnakan oleh tabib peribadi Maharaja Nero.

Formula asal penghasilan antidot ini telah pun hilang, ujar Adrienne Mayor, seorang ahli hikayat dan sejarahwan sains di Universiti Standord dalam sebuah jurnal tahun 2008 yang berjudul “Greek Fire, Poison Arrows & Scorpion Bombs: Biological and Chemical Warfare in the Ancient World”.

Namun begitu, para sejarahwan di zaman purba memaklumkan kepada kita bahawa antara bahan bagi mencipta antidot berkenaan adalah candu, bahagian badan ular kapak yang telah dikerat, serta kombinasi dos kecil antara racun dan antidot haiwan berkenaan.\

Gambaran Mithridates VI dari Pontus

Antidot yang amat berharga ini dikenali sebagai Mithridatium, bersempena nama Raja Mithridates VI.

Mayor turut mencatatkan bahawa Serguei Popov, iaitu seorang bekas penyelidik senjata biologi tinggi dalam program Bipreparat kelolaan Soviet Union yang kemudiannya berpaling tadah kepada Amerika Syarikat pada tahun 1992, pernah melakukan percubaan untuk menghasilkan Mithridatium moden.

SENJATA SINARAN HABA

Ahli matematik Yunani bernama Archimedes (mati 212SM) pernah mencipta sejenis senjata sinaran-haba. Mayor merincikan senjata tersebut sebagai “perisai-perisai gangsa yang telah digilap, yang disusun dalam barisan, yang berupaya memantulkan sinaran matahari kepada kapal-kapal musuh.”

Gambaran bagaimana Archimedes membakar kapal-kapal Rom di hadapan Syracuse dengan bantuan cermin parabola

Walaupun “Mythbusters” dari Discovery Channel gagal menghasilkan semula senjata purba ini lalu mengisytiharkannya sebagai mitos, cubaan para pelajar MIT meraih kejayaan pada tahun 2005. Mereka berhasil membakar sebuah perahu di pelabuhan San Francisco dengan menggunakan replika senjata berusia 2200 tahun itu.

Pada tahun 2001, sejenis senjata sinaran-haba diperkenalkan oleh Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) menggunakan gelombang mikro untuk menembusi “kulit mangsa, lalu menghangatkannya sehingga mencecah 130 darjah Fahrenheit, suhu yang cukup untuk membuatkannya terasa seolah-olah sedang dibakar,” jelas Mayor.

KONKRIT ROM

Konkrit Rom digunakan untuk menghasilkan pantheon besar, yang bertahan sehingga dua milenia

Binaan-binaan besar Rom yang tersergam selama ribuan tahun adalah testimoni kepada kelebihan yang dimiliki oleh konkrit Rom berbanding konkrit yang digunakan oleh kita pada hari ini yang mana konkrit pada hari ini akan memperlihatkan penurunan kualiti setelah 50 tahun.
Para penyelidik pada tahun-tahun kebelakangan ini berusaha untuk mengenal pasti rahsia di sebalik ketahanan konkrit dari zaman purba itu. Dipercayai bahawa bahan rahsianya adalah abu gunung berapi.

Sebuah artikel yang disiarkan pada tahun 2013 oleh University of California-Berkeley News Center mengumumkan bahawa para penyelidik universiti buat kali pertamanya menjelaskan tentang bagaimana campuran stabil antara kalsium-aluminium-silikat-hidrat (C-A-S-H) dengan luar biasanya mengikat kesemua bahan konkrit Rom.

Proses penciptaan konkrit ini dikatakan berupaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida jika dibandingkan dengan proses yang diguna pakai pada hari ini. Namun, antara kekurangan proses ini adalah ianya mengambil masa yang lebih lama untuk konkrit tersebut kering. Tambahan lagi, walaupun ianya mampu bertahan dengan lebih lama, konkrit ini lebih lemah jika dibandingkan dengan konkrit moden.

BESI DAMSYIK

Sebilah pedang yang diperbuat daripada besi Damsyik

Pada zaman pertengahan, pedang-pedang yang diperbuat daripada sejenis bahan dipanggil sebagai besi Damsyik dihasilkan di Timur Tiengah dari bahan mentah yang dikenali sebagai besi Wootz dari Asia. Bahan ini tersangatlah kuat. Hanya ketika berlakunya Revolusi Industri, bahan ini tidak dapat dihasilkan lagi.

Rahsia pembuatan besi Damsyik dari Timur Tengah muncul semula menerusi penelitian mikroskop pengimbas elektron yang dijalankan di makmal-makmal moden. Besi ini kali pertama digunakan sekitar tahun 300SM dan ilmu menghasilkan pedang Damsyik hilang sekitar pertengahan kurun ke-18.

Dipercayai bahawa nanoteknologi turut digunakan dalam penghasilan besi Damsyik, di mana bahan-bahan tersebut ditambah semasa penghasilan besi demi menghadirkan tindak balas kimia pada peringkat kuantum, jelas pakar arkeologi yang bernama K. Krist Hirst dalam sebuah artikel yang ditulis untuk About Education.

Hirst memetik sebuah kajian yang diketuai oleh Peter Paufler di Universiti Dresden, disiarkan di dalam jurnal Nature pada tahun 2006. Paufler dan pasukannya berpendapat bahawa bahan-bahan semula jadi bagi penghasilan besi Wootz dari Asia apabila digabungkan dengan bahan-bahan tambahan yang dimasukkan semasa proses penghasilan besi Damsyik di Timur Tengah berupaya menghasilkan satu tindak balas yang dirincikan oleh Hirst sebagai “logam membangunkan sebuah struktur mikro yang dipanggil ‘carbide nanotube’, sejenis tiub karbon yang sangat keras yang muncul pada permukaan besi dan menghasilkan bilah yang ampuh.”

Antara bahan yang ditambah semasa penghasilan besi Damsyik adalah kulit pokok Cassia auriculata, pokok lembiaga, vanadium, kromium, batu kawi, kobalt, nikel dan beberapa elemen jarang lain yang diyakini datang dari lombong-lombong di India.Hirst menulis lagi, “Apa yang berlaku pada pertengahan kurun ke-18 (sehingga penghasilan besi Damsyik terhenti) adalah pembentukan kimia bagi bahan mentahnya berubah – kuantiti sau atau lebih mineral hilang, berkemungkinan kerana telerang menjadi haus.

SUMBER:

Tara Maclsaac. (7 Februari 2015). 6 Advanced Ancient Inventions Beyond Modern Understanding. Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/6-advanced-ancient-inventions-beyond-modern-understanding-002652

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.