5 Zon Dalam Lautan

8,155

Kira-kira 70% daripada permukaan bumi ini terdiri daripada lautan. Secara kasar, laut bumi ini mengandungi 1.35 billion kubik kilometer air, atau 97% daripada jumlah keseluruhan air di bumi, manakala selebihnya ialah air tawar, atau 3% sahaja.

Lautan adalah sebab mengapa sesuatu hidupan boleh meneruskan hidupnya di bumi. Selain itu, ia juga sebab mengapa bumi ini dilihat memiliki warna biru, sekiranya diperhatikan dari angkasa.

Dari kawasan persisiran pantai sehingga ke kawasan dasar laut itu sendiri, lautan itu dipenuhi dan didiami oleh pelbagai spesies hidupan.

Ratusan ribu spesies marin yang saiznya bermula dari sekecil-kecil alga dan bakteria, sehinggalah ke haiwan bersaiz paling besar yang pernah wujud di muka bumi, iaitu paus biru atau nama saintifiknya Balaenoptera musculus.

Pada setakat ini, bumi adalah satu-satunya planet dalam sistem solar kita yang diketahui mengandungi air. Walau bagaimanapun, saintis kini sedang giat mencari bukti kewujudan ‘cecair kehidupan’ atau (H2O) ini di planet-planet yang lain.

Kawasan Lautan?

Walaupun lautan yang meliputi permukaan bumi ini merupakan satu badan air yang mempunyai sambungan kepada antara satu sama lain, ahli oseanografi membahagikan ia kepada empat lautan atau kawasan umum seperti berikut:

– Lautan Pasifik

– Lautan Atlantik

– Lautan Hindi

– Lautan Artik

Ketiga-tiga lautan utama iaitu lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi bersambung kepada perairan berais benua Antartika.

Sesetengah ahli oseanografi mendefinisikan perairan berais ini sebagai kawasan lautan ke-5, dikenali sebagai Lautan Antartika atau Lautan Selatan.

Dari kelima-lima lautan tersebut, terdapat 3 lautan utama; dan ia adalah lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi. Ketiga-tiga lautan ini merangkumi 90% daripada jumlah kawasan lautan di bumi.

Lautan Pasifik merupakan lautan terbesar di bumi. Yang mana kawasannya seluas 181 juta kilometer persegi. Meliputi hampir 1/3 daripada seluruh permukaan bumi. Kedua terbesar adalah lautan Atlantik, iaitu seluas 94 juta kilometer persegi. Dan yang ketiga adalah lautan Hindi, 74 juta kilometer persegi.

Zon Lautan

Baiklah, kita telah pun mengenali kawasan-kawasan lautan di bumi. Sekarang mari kita mengenali zon-zon atau lapisan lautan yang dibahagikan berdasarkan faktor jaraknya dari permukaan. Dalam erti kata lain, kedalaman laut tersebut.

Berikut adalah 5 zon utama di dalam laut berserta ciri-cirinya;

1. Zon Epipelagik.

Zon Epipelagik merupakan zon atau lapisan yang terletak di bahagian paling atas sesuatu lautan tersebut. Bermula dari permukaan laut, zon ini menjangkau sehingga ke kedalaman 200 meter (660 kaki).

Zon Epipelagik turut dikenali sebagai zon fotik dan eufotik (photon = partikel cahaya), kerana cahaya matahari itu dapat menembusinya dengan baik. Justeru membenarkan proses fotosintesis untuk berlaku.

Bagi yang tidak tahu apa itu fotosintesis, secara mudahnya ia adalah sebuah proses yang mana sesuatu organisma yang mempunyai sel kloroplas berklorofil itu untuk menukarkan (cahaya dari matahari + gas karbon dioksida) itu, kepada tenaganya dan gas oksigen.

Di lautan, fotosintesis mengambil tempat di dalam tumbuhan dan alga. Tumbuhan seperti rumput laut adalah sama seperti tumbuhan daratan, yang mana ia memiliki akar, tangkai dan juga daun. Alga pula adalah organisma akuatik (air) dan juga berkebolehan untuk melaksanakan proses fotosintesis. Kenal rumpai laut? Rumpai laut juga sebenarnya sejenis alga.

Seterusnya, organisma mikroskopik dikenali sebagai fitoplankton (plankton tumbuhan), turut hadir dan hidup dengan jumlah yang sangat banyak di lautan.

Walaupun saiznya terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar, apabila berbilion daripada fitoplankton berkumpul, ia akan membentuk apa yang dikenali sebagai “algal bloom”. Justeru membolehkan ia untuk dilihat dari udara sebagai tompok berwarna biru atau hijau di lautan.

* Oh ya, seperti daun dimiliki oleh tumbuhan daratan, pigmen atau warna klorofil dalam sel kloroplas jugalah yang memberikannya warna hijau.

Fitoplankton atau plankton tumbuhan ini merupakan asas kepada sumber makanan di lautan. Haiwan seperti krill (sejenis udang halus), ikan dan organisma mikroskopik yakni zooplankton (plankton haiwan), semuanya makan fitoplankton. Kemudian, haiwan kecil dan hidupan mikroskopik ini dimakan pula oleh haiwan besar lain seperti ikan paus, ikan besar, burung lautan, dan manusia.

Akhir sekali, fitoplankton juga turut melalui proses fotosintesis dan menghasilkan oksigen sebagai (“by-product”). Bahkan, fitoplankton bertanggungjawab dalam menghasilkan lebih daripada separuh jumlah kesuluruhan oksigen yang dilepaskan ke atmosfera bumi.

Sekecil-kecil hidupan pun mempunyai peranan yang penting kan?

Pengumpulan berbillion Fitoplankton “algal bloom”.
Contoh-contoh hidupan yang dikenali sebagai Zooplankton

2. Zon Mesopelagik.

Zon seterusnya adalah zon Mesopelagik. Ia bermula dari kedalaman 200 meter sehingga ke kedalaman 1000 meter. Zon ini turut dikenali sebagai “twilight zone” (senja). Kerana cahaya matahari tidak dapat menembusi dengan baik dan samar-samar.

Seterusnya, tiada tumbuhan yang boleh didapati di zon ini, dek kurang penerimaan atau pendedahan terhadap cahaya matahari. Kurang cahaya matahari bermaksud, proses fotosintesis itu tidak boleh dilakukan dengan efisien.

Jadi hidupan marin zon mesopelagik makan apa?

Jenis makanan atau sumber nutrisi bagi hidupan yang menetap di zon mesopelagik, terdiri daripada makanan yang agak rendah kandungan tenaga. Misalnya seperti cebisan organik, pelet najis ikan dan mamalia, atau cebisan bangkai haiwan zon epipelagik yang jatuh ke bawah.

Bagaimana hidupan zon mesopelagik bertahan?

Masih ingat tulisan aku tentang blobfish? Secara teknikalnya, gaya hidup haiwan di zon mesopelagik ini, sama seperti blobfish, yang mana sangat perlahan dan tak perlu banyak bergerak. Selain itu, organ dan tisu badannya berkebolehan berfungsi tanpa menggunakan tenaga yang banyak. Satu adaptasi yang berjaya dibangunkan, disebabkan oleh sumber makanan yang sedikit.

Ada pelbagai organisma atau hidupan yang menetap di zon mesopelagik ini dilengkapi tisu badan yang berkeupayaan untuk menghasilkan cahaya sendiri (bioluminescence). Bermakna, ia mampu menyala dalam keadaan gelap. Warna-warna yang dihasilkan turut berbeza dan berpelbagai.

Selain itu, ada ikan yang Tuhan anugerahkan akan kebolehan pandangan inframerah. Yang membolehkan ia untuk melihat mangsa dalam persekitaran yang gelap.

Walaupun persekitaran di zon mesopelagik ini tidaklah segelap seperti di zon seterusnya, banyak haiwan yang menetap di sini berjaya beradaptasi dalam menghasilkan cahaya, atau mempunyai kebolehan bioluminescence ini atas sebab-sebab yang tertentu.

Pada hakikatnya, kebolehan ini memainkan peranan yang lebih besar dan penting untuk haiwan dan hidupan tinggal di dalam zon atau persekitaran yang gelap gelita tanpa cahaya.

3. Zon Bathypelagik.

Zon Bathypelagik bermula selepas 1000 meter dan menjangkau sehingga ke kedalaman 4000 meter dari permukaan laut. Ia turut dikenali sebagai “Midnight Zone”, oleh kerana tiada cahaya matahari yang dapat menembusinya, mengakibatkan kawasan ini gelap gelita.

Seperti di zon mesopelagik, tiada tumbuhan yang boleh didapati hidup di zon ini. Makanan utama hidupan di zon bathypelagik terdiri daripada bahan organik seperti plankton dan dinoflagella yang telah mati, serta cebisan bangkai haiwan dari zon atas yang jatuh ke bawah.

Bagi haiwan yang tidak memakan sisa-sisa organik yang telah jatuh itu, kebiasaannya akan menjadikan hidupan yang memakan sisa tersebut sebagai mangsa.

Faham tak bahagian ni?

(Haiwan A makan sisa, Haiwan B makan si A)

Seterusnya, haiwan yang hidup di zon bathypelagik ini bersaiz kecil. Tetapi, yang menariknya, haiwan di sini didapati memiliki bukaan mulut atau rahang yang luas serta dilengkapi oleh barisan gigi tajam. Selain itu, hidupan di zon ini turut mempunyai perut yang besar, justeru membolehkan ia untuk memakan atau menelan apa sahaja haiwan.

Perlu tahu bahawa banyak haiwan dan hidupan di zon bathypelagik ini tidak mempunyai organ penglihatan yakni mata (yang berfungsi). Kerana di dalam keadaan gelap gelita, ia sesuatu yang tidak diperlukan.

Disebabkan oleh tekanan yang sangat tinggi dan sumber makanan yang terhad, haiwan di zon bathypelagik bergerak dengan sangat perlahan. Selain itu, ia turut dilengkapi oleh insang yang sangat efisien untuk mengekstrak oksigen yang terkandung di dalam air laut tersebut.

Sebagai fakta tambahan;

Kadangkala, paus sperma atau nama saintifiknya Physeter macrocephalus, dan sotong colossal (Mesonychoteuthis hamiltoni), menyelam ke zon ini untuk mencari makanan.

Kedua-dua haiwan ini adalah musuh tradisi.

Paus sperma gemar memakan sotong colossal. Jika paus sperma diperhatikan secara dekat, dapat dilihat banyak parut di permukaan badannya yang disebabkan oleh gigitan paruh sotong.

Tahukah anda bahawa ambergris atau lebih dikenali sebagai ‘muntah paus’ itu, dihasilkan oleh paus sperma sahaja? Bagaimana ia dihasilkan boleh baca di sini;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2019740234986300&id=100008510296344

Paus Sperma VS Sotong Colossal

4. Zon Abyssopelagik.

Bermula dari kedalaman 4000 meter sehingga 6000 meter, air laut di zon ini sangat masin dan sangat sejuk. Purata suhu direkodkan di zon abyssopelagik, menunjukkan ia berada di paras 2 darjah celsius.

Tekanan yang wujud di pengakhiran zon ini juga sangat hebat. Iaitu pada kadar 11,000 pound atau 4990 kilogram per inci persegi. Jika menurut logik, sangat mustahil bagi mana-mana haiwan itu untuk hidup di zon ini.

Walau bagaimanapun, haiwan di sini mempunyai pelbagai adaptasi aneh yang membolehkan ia untuk bertahan dalam ekosistem atau persekitaran bathypelagik yang membunuh.

Ikan di zon abyssopelagik mempunyai rahang yang tidak bersambung atau bersendi. Ini memberikannya keupayaan untuk mengheret mulutnya atau rahangnya ke permukaan dasar laut dalam mencari makanan seperti kepah, udang-udang kecil, dan organisma mikroskopik.

Seterusnya, banyak haiwan seperti ikan dan sotong di zon abyssopelagik ini dikurniakan kebolehan untuk menghasilkan cahaya dari badannya sendiri (bioluminescence).

Apa itu bioluminescence?

Bioluminescence adalah salah satu daripada bentuk chemiluminescence (kimia), bermaksud cahaya tersebut dihasilkan oleh tindak balas kimia.

Dalam sesetengah haiwan, cahaya tersebut dihasilkan oleh organisma simbiotik, misalnya seperti bakteria dari genera Vibrio.

Tetapi majoriti hidupan atau kebiasaannya, cahaya itu dihasilkan sendiri oleh haiwan tersebut (autogenik).

Secara umumnya, haiwan bioluminescent yang menghasilkan cahaya bergantung kepada reaksi kimia yang terkandung dalam badan, iaitu sejenis molekul penghasilan cahaya dikenali sebagai luciferin dan sejenis enzim yakni luciferase.

Rajah Reaksi Kimia Dalam Proses Bioluminescence.

5. Zon Hadalpelagik.

Zon hadalpelagik merupakan zon terakhir di dalam sesebuah lautan. Ia bermula sejurus selepas titik akhir abyssopelagik, iaitu 6000 meter sehinggalah ke kawasan dasar paling dalam laut bumi, yang berkedalaman 11,000 meter dari permukaan laut.

Titik paling dalam di seluruh lautan adalah satu kawasan yang dikenali sebagai “Challenger Deep” (10,911 meter) di dalam Jurang Mariana. Jurang ini terletak kira-kira 200 kilometer dari luar persisiran pantai negara Jepun.

Suhu air di zon ini juga sangat sejuk dan hampir berada di takat beku. Seterusnya, tekanan yang wujud di titik akhir zon ini berada di paras 8 tan per inci persegi! Jadi, boleh bayangkan yang setiap inci persegi daripada badan kau sedang dihempap oleh lori 8 tan?

Walaupun dengan persekitaran membunuh, masih ada hidupan yang berjaya meneruskan kelangsungan hidupnya di zon hadalpelagik. Misalnya Invertebrata (hidupan tanpa tulang) seperti timun laut dan span laut.

Selain itu, seperti di zon-zon lain, haiwan di sini bergantung kepada ‘hujan bahan organik’ yakni cebisan hidupan, tumbuhan atau bangkai haiwan yang telah mati dari zon atas.

Walau bagaimanapun, tidak semua haiwan dasar laut bergantung kepada hujan sisa organik tersebut. Ini kerana, pada tahun 1977, ahli oseanografi menemukan komuniti haiwan dasar laut zon hadalpelagik memakan bakteria yang wujud di sebuah bukaan dikenali sebagai bolong hidrotermal.

Bolong-bolong hidrotermal ini mengeluarkan air yang sangat panas dan diperkaya dengan pelbagai jenis mineral dari lapisan dalaman bumi. Mineral-mineral ini memberi nutrisi kepada bakteria, kemudian bakteria ini dimakan pula oleh haiwan seperti ketam, kepah dam sebagainya.

Bolong Hidrotermal
Ketam Yeti dasar laut berhampiran bolong hidrotermal.
Ketam Yeti.

Walaupun ia berwarna putih (menurut logik mudah dikesan pemangsa), tetapi disebabkan ia menetap di zon hadalpelagik yang gelap gelita, ia tidak memberi kesan yang signifikan kepada kelangsungan hidup ketam yeti.

Cacing tiub. Merupakan cacing polychaete.

Cacing tiub. Merupakan cacing polychaete.

PS: Gambar haiwan yang disediakan dalam hantaran ni tak ikut turutan atau zon ia ditemui.

Lanternfish dari keluarga Myctophidae.
Pacific Viperfish a.k.a Chauliodus macouni
Frilled Shark a.k.a Chlamydoselachus anguineus
Telescopefish a.k.a Gigantura
Pelican / Gulper eel a.k.a Eurypharynx pelecanoides

Diberikan nama saintifik pelican, sebab mulut ikan ni menyerupai mulut burung pelican.

Daggertooth dari genera Anotopterus
Tripodfish a.k.a Bathypterois grallator

Ikan ini kebiasaannya berjalan di dasar laut ketika mencari makanan. Namun ia pernah diperhatikan saintis berenang menggunakan siripnya.

Barbelled Dragonfish dari keluarga ikan Stomiidae. Salah satu daripada ikan yang berupaya untuk menghasilkan cahaya dari badannya (bioluminescence).
Barreleyes fish dari keluarga Opisthoproctidae.

Dapat dilihat kepalanya memiliki kulit yang lutsinar.

Blobfish dari genera Psychlorutidae
Fangtooth

Gigi ikan Fangtooth adalah antara yang terbesar dalam kumpulan haiwan, berdasarkan nisbah saiz badan.

Anglerfish.

Salah satu daripada ikan bioluminescent. ‘Umpan’ ketumbuhan yang dikenali sebagai illicium, dan esca (‘mentol’) itu mengandungi bakteria yang menghasilkan cahaya.

RUJUKAN:

National Oceanic and Atmospheric Administration: Ocean Zones.

Dunn, Margery G. (1993). “Exploring Your World: The Adventure of Geography.” Washington, D.C. National Geographic Society.

“Animal Adaptations and Distribution I & II”. University of Southern Florida.

Piper, Ross (2007), Extraordinary Animals: An Encyclopedia of Curious and Unusual Animals, Greenwood Press.

National Geographic Xpeditions. “Bioluminescence: Living Light”

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.