5 Sebab Nazi Jerman Gagal Halang Pendaratan Normandy

0
2121
views

Kita semua tahu, menjelang Jun 1944, situasi Perang Dunia Kedua (WWII) tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman dan mereka dipaksa bertahan diasak dari semua penjuru. Di sebelah timur, Tentera Merah terus mara dengan lancar dengan dendam kesumat kesan dari tindakan Operasi Barbarossa. Di sebelah barat pula, tentera Bersekutu menyerang dari sebelah situ. Ini belum dicampur bandar-bandar dan kilang-kilang mereka dibom bertubi-tubi sepanjang masa oleh pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Dan pukulan maut kepada moral di barisan hadapan di sebelah barat ialah pendaratan tentera Bersekutu di Normandy pada 6 Jun 1944. Namun, tahukah anda pihak Bersekutu menimbang kemungkinan Operasi Overlord iaitu nama kod pendaratan tersebut boleh gagal dan apa faktor yang menghalang Nazi Jerman dari mengekang pendaratan mereka?

1. PEMILIHAN TEMPAT PENDARATAN

Pada awal tahun 1944, semua orang tahu serangan pihak Bersekutu akan berlaku di Perancis. Penduduk Britain pasti tahu kerana mereka menyaksikan kehadiran divisyen-divisyen tentera Amerika Syarikat di situ. Adolf Hitler juga sedar akan senario tersebut. Jika tidak, mengapa beliau memutuskan untuk memindahkan divisyen-divisyen elit kereta kebal Panzer dari Barisan Timur ke sebelah barat? Cuma satu persoalan yang memeningkan kepala kepimpinan tertinggi Jerman bukan bila pendaratan tersebut berlaku tetapi di mana ia akan berlaku. Dengan lautan luas kini di bawah kawalan tentera Bersekutu, mereka boleh saja menyerang dari mana-mana lokasi dari Perancis hingga ke Norway.

Berdasarkan maklumat, Semenanjung Normandy merupakan satu kemungkinan namun pilihan utama yang dikatakan lokasi pendaratan ialah Pas de Calais, sebuah bandar kecil Perancis yang mempunyai jarak 32 kilometer di seberang Selat Inggeris dari Dover. Kebanyakan tentera Wehrmacht berpangkalan di situ dan pihak Bersekutu sengaja menampakkan persiapan mereka untuk merahsiakan lokasi sebenar pendaratan, Normandy. Mereka mencipta unit tentera palsu dipimpin Jeneral George S. Patton bagi memberi gambaran serangan akan dilancarkan ke Calais.

Ini mendorong kepimpinan tertinggi Jerman mengekalkan mereka di situ selama berbulan-bulan kerana yakin Normandy hanyalah satu helah untuk memperdayakan mereka. Harga yang perlu dibayar akibat terpedaya dengan helah ini ialah pertahanan Normandy diserang habis-habisan sehinggalah pihak Bersekutu berjaya menembusinya dan meneruskan kemaraan mereka terus ke Jerman.

2. BILANGAN DIVISYEN PANZER TIDAK MENCUKUPI

Antara kemungkinan yang dipertimbangkan pihak Bersekutu ialah kemungkinan divisyen-divisyen kereta kebal Panzer melancarkan serangan balas dan memaksa mereka berundur. Dan ini satu kemungkinan yang tidak dipandang remeh kerana divisyen Panzer yang mengandungi kereta kebal Tiger hasil rekaan Ferdinand Porsche boleh saja menjahanamkan mereka terutama ketika mereka baru saja mendarat. Namun kemungkinan tersebut tidak berlaku apabila serangan dilancarkan pada 6 Jun 1944.
Mengapa senario ini tidak terjadi?

Pertama, Hitler dan jeneral-jeneralnya tidak dapat meneka lokasi sebenar pendaratan. Kedua, komander-komander kumpulan Panzer Barat menggesa kereta-kereta kebal diletakkan berhampiran Paris bagi memudahkan mereka menghapuskan sebarang bentuk penentangan dari pihak Bersekutu. Ini strategi yang digunakan di Rusia di mana unit-unit ini bergerak depan dan belakang di sepanjang kawasan medan perang untuk menghancurkan pergerakan tentera Soviet.

Namun, Field Marshall Erwin Rommel berhujah perlunya akan kehadiran divisyen-divisyen Panzer di Normandy untuk menghancurkan pendaratan dalam tempoh 48 jam. Dan tidak seperti di Rusia, Rommel juga sedar akan kekuatan udara tentera Bersekutu di Afrika dan tidak mahu pisang berbuah dua kali di Normandy. Selepas mendengar semua pandangan mereka, Hitler memutuskan divisyen-divisyen Panzer diletakkan di satu tempat tidak terlalu jauh dari Paris tetapi tidak berguna untuk membantu Rommel.

Figure 1: Rommel mahukan beberapa divisyen Panzer untuk mengekang pendaratan tentera Bersekutu di Normandy tetapi ditolak Hitler.

Pada hari serangan berlaku, Rommel dan unit-unit pimpinannya memberi tentangan sengit kepada tentera-tentera Bersekutu yang mendarat. Namun divisyen-divisyen lain yang mahu membantu terpaksa menunggu keizinan Fuhrer dan apabila mereka mengajukan permintaan tersebut, mereka diberitahu Hitler masih tidur di katil. Hanya Divisyen Ke-21 Panzer saja yang menyerang balas tetapi cukup untuk memaksa mereka berundur pada hari pertama. Sekiranya Divisyen Ke-21 disokong beberapa divisyen lain, mereka boleh saja membedil kedudukan tentera Bersekutu termasuk kapal-kapal laut. Dan ini boleh mencetuskan situasi huru-hara dan menyukarkan mereka untuk mempertahankan kedudukan mereka. Bayangkan sekiranya Rommel mempunyai 10 divisyen Panzer dan mendapat izin Fuhrer untuk menyerang balas di Normandy, pasti panglima besar tentera Bersekutu, Jeneral Dwight D. Eisenhower pasti akan membaca eulogi yang ditulis pada notanya itu.

3. CUACA BURUK

Musuh sebenar yang dibimbangi Eisenhower bukan Hitler tetapi cuaca buruk. Jika mereka melancarkan pendaratan tentera dalam keadaan cuaca ribut dengan ombak boleh saja menenggelamkan kenderaan-kenderaan mereka. Maka atas sebab itu, beliau terpaksa menunda tarikh operasi iaitu 5 Jun kepada 6 Jun berikutan cuaca buruk. Dan ini atas nasihat pakar kaji cuaca yang melihat keadaan kering bersesuaian untuk operasi pendaratan mereka, satu perkara yang tidak disedari tentera Nazi Jerman.

Namun bayangkan sekiranya pendaratan diteruskan juga walaupun dalam keadaan cuaca buruk? Ia boleh memberi kesan besar bukan saja dari segi logistik tetapi juga dari segi moral dan kehilangan nyawa. Contohnya pada 19 Jun, ribut kuat memusnahkan kawasan-kawasan pendaratan dan beberapa pelabuhan buatan Mulberry. Kerosakan ini mengakibatkan penangguhan penghantaran bekalan dan tentera tambahan dalam menghadapi ancaman musuh. Jika ini berlaku pada 6 Jun, ia dilihat memberi kelegaan kepada Rommel dan barisan tentera yang mengawal Tembok Atlantik.

4. KEKUATAN UDARA

Pada awal WWII, ramai berasa gerun dengan kekuatan Luftwaffe iaitu Tentera Udara Nazi Jerman terutama serangan berani mati juruterbang Stuka mereka. Namun menjelang tahun 1944, Luftwaffe tidak lagi mampu membantu Nazi Jerman menghadapi ancaman tentera Bersekutu. Mengapa ia berlaku? Pertama, pesawat mereka sudah tidak mampu bersaing pesawat-pesawat RAF kerana teknologi yang digunakan sudah usang dan ketinggalan. Bukan itu saja, pesawat mereka juga tidak mempunyai bekalan minyak mencukupi untuk menyerang balas terutama apabila cuba menyerang konvoi pengebom tentera Bersekutu. Ini ditambah kehilangan juruterbang yang handal semasa perang meletus.

Secara teori, Rommel boleh saja meminta bantuan tambahan tentera dalam menghadapi ancaman tentera-tentera Eisenhower atas sebab mereka boleh memperkuatkan semula kedudukan mereka dengan pantas. Namun hakikatnya, ini sukar berlaku atas sebab landasan-landasan keretapi musnah sama ada dibom oleh pesawat pengebom RAF dan USAF atau disabotaj pejuang-pejuang partisan Perancis. Jika mereka cuba bergerak pada siang hari, pasti mereka menjadi sasaran mudah pesawat udara. Ini memaksa tempoh masa diperlukan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka memakan masa bukan beberapa hari tetapi beberapa minggu.

Namun, apakah senario ini akan berlaku sekiranya Luftwaffe memperkenalkan pesawat jet di medan pertempuran lebih awal? Ini bukan auta tetapi fakta. Jika tidak kerana masalah teknikal dan campur tangan Fuhrer sendiri yang terlalu obses dengan pesawat pengebom berkuasa jet, pasti pesawat jet ME-262 sudah terbang di udara dan melakukan kerosakan besar kepada angkatan udara tentera Bersekutu. Pesawat ini jauh lebih pantas dari pesawat USAF Mustang dan pesawat RAF Spitfire. Angkatan pengebom Jerman mungkin sudah tiada tetapi sekiranya Luftwaffe mempunyai bilangan pesawat ME-262 yang banyak, mereka boleh saja menakutkan tentera udara Bersekutu. Dari situ, ini membantu divisyen-divisyen Panzer menyerang balas kedudukan tentera Bersekutu tanpa perlu risau diserang.

Figure 2: Pesawat berkuasa jet ME-262 Nazi Jerman.

 5. GAS BERACUN

Salah satu misteri WWII yang tidak berkesudahan ialah mengapa kedua-dua Pakatan Axis dan Bersekutu enggan menggunakan senjata kimia dan biologi antara satu sama lain? Dan berdasarkan rekod selepas kejatuhan Nazi Jerman, mereka berkemampuan menghasilkan apa saja termasuk senjata nuklear.

Alasan Hitler ialah mengelak sebarang bentuk tindak balas. Beliau sedar sekiranya senjata-senjata ini digunakan oleh mana-mana pihak, pasti pihak yang terkena akan membalas semula serangan. Berdasarkan rekod, gas sarin milik Jerman dilihat jauh lebih berkesan berbanding senjata kimia yang dimiliki tentera Bersekutu termasuk gas mustard. Namun, ini tidak diketahui sama sekali oleh kepimpinan tertinggi Nazi Jerman.

 

Figure 3: Hitler enggan menggunakan senjata kimia dan biologi kerana bimbang akan tindak balas dari pihak Bersekutu seperti semasa perang terdahulu.

Dan sekiranya taktik ini diteruskan, kepimpinan tentera Bersekutu boleh saja menggugurkan bom-bom antraks di Jerman sebagai tindak balas. Tetapi ceritanya di sini ialah apakah ianya berkesan sekiranya digunakan di Normandy. Ia pasti satu senario menakutkan kerana sudahlah mereka kesejukan kerana berendam dalam air laut. Ini belum ditambah dengan mara dalam keadaan ditembak dan dibedil bertubi-tubi. Ini saja sudah dianggap sukar. Nak pakai topeng gas dalam keadaan tersebut merupakan satu mimpi ngeri kepada mereka.

Jika Rommel dapat memaksa mereka berundur sekalipun, apa jaminan kemenangan akan kembali berpihak kepada Hitler dan Nazi Jerman? Walaupun operasi tersebut akan dianggap gagal, pasti pihak Bersekutu akan mencuba lagi dan perang akan terus berlaku. Sekiranya beliau berpandangan senario kemenangan ini akan membawa kepada rundingan damai, ia takkan membantu Jerman dalam pelbagai aspek. Ini kerana Rusia semakin menghampiri kedudukan mereka dan pihak Bersekutu pasti takkan mengulangi kesilapan sama dalam Operasi Overlord sekiranya operasi tersebut gagal.

SUMBER

Peck, Michael. (2014). National Interest. Five Ways D-Day Could Have Been A Disaster. http://nationalinterest.org/feature/five-ways-d-day-could-have-been-disaster-10601

 

 

Previous articleMeledin: Sultan Yang Tidak Sekadar Menewaskan Tentera Salib. Baginda Menenggelamkan Mereka!
Next articleBaghdad Kota Buku Yang Dikagumi
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.