Tanpa dapat dinafikan, Piramid Agung Giza merupakan salah sebuah ikon yang paling masyhur dari dunia purba. Namun hakikatnya, terdapat ribuan piramid lain yang wujud bukan sahaja di Mesir, tetapi di seluruh dunia, termasuklah Eropah, Asia, Oceania dan Amerika.

Sehingga ke hari ini, kita belum berupaya menjelaskan mengapa begitu banyak tamadun purba membina piramid pada sekitar waktu yang sama walaupun kebanyakannya tidak pernah pun berinteraksi antara satu sama lain. Apapun, kebanyakan binaan monumental ini bertahan sehingga ke hari ini sebagai legasi tinggalan tamadun-tamadun purba. Dalam artikel ini, kita akan meninjau lima buah piramid yang agak kurang dikenali.

PIRAMID DI TENGAH KOTA ROME, ITALI

Rome sememangnya masyhur dengan binaan-binaannya yang unik seperti Colosseum, Pantheon, Pasar Trajan dan Forum Rom. Namun, terdapat satu binaan yang seringkali tidak disebut, iaitu piramid. Tepat di tengah-tengah kota Rome berdiri sebuah piramid berusia 2000 tahun, dengan ukurannya 30 meter di setiap sisi dan 35 meter tinggi. Ketinggiannya ini tentu sekali tidak akan membuatkannya terlepas dari pandangan mata, namun tetap jua tidak ramai yang pernah mendengar nama Piramid Cestius.

Piramid Cestius dibina di Laluan Ostiensis, iaitu sebuah jalan yang penting di zaman Rome purba, sekitar kurun ke-18 hingga kurun ke-12SM. Tidak seperti piramid-piramid Mesir yang fungsinya sebagai makam diragui, Piramid Cestius sememangnya dibina dengan tujuan khusus sebagai sebuah makam.

Di dalam piramid ini terdapat sebuah ruang pengebumian yang menurut prasasti yang terdapat di bahagian timur dan barat piramid, menempatkan jasad seorang ahli politik Rom yang bernama Gaius Cestius Epulo, seorang tribunepraetor dan ahli majlis paderi. Prasasti kedua pula mencatatkan bahawa pembinaan piramid ini siap dalam tempoh 330 hari.

Piramid Cestius

PIRAMID-PIRAMID TENERIFE, KEPULAUAN CANARY

Tenerife yang bertempat di Kepulauan Canary agak masyhur sebagai sebuah destinasti pelancongan utama. Namun, ramai pelancong yang mengunjungi pulau berkenaan tidak menyedari kewujudan piramid-piramid di sana. Siapakah yang membina piramid itu, bila ia dibina dan mengapa ia dibina?

Piramid-piramid ini berdiri di Guimar, sebuah bandar di bahagian selatan Tenerifa. Dibina dengan menggunakan batu lava tanpa penggunaan sebarang lepa (atau adunan simen), kewujudan piramid-piramid ini mencetuskan banyak kontroversi dalam kalangan ahli akademi. Satu kajian meletakkan usia piramid-piramid ini pada kurun ke-19M, berdasarkan ujian pentarikhan yang dilakukan ke atas barangan tembikar yang ditemui berhampiran tapak piramid berkenaan.

Kajian ini juga mengandaikan bahawa piramid-piramid ini tidak lain hanyalah sebuah timbunan batu volkanik yang ditimbunkan oleh para petani ketika membersihkan kawasan tersebut. Namun, andaian ini dibantah. Seorang peneroka dari Norway yang bernama Thor Heyerdhal menyatakan bahawa piramid-piramid ini dibina oleh suku Guanche, masyarakat Berber asli yang menghuni Kepulauan Canary setelah berpindah ke kepualaun itu sekitar 1000SM.

Hayerdahl mengemukakan bahawa piramid-piramid ini direka supaya mempunyai tingkat-tingkat yang bertangga, di samping kesejajarannya dengan kedudukan jasad samawi mempunyai tujuan-tujuan khusus, misalnya bagi mengadakan upacara tahunan pada Solstis Musim Panas. Pada tahun 1991, Juan Antonio Belmonte Avilles, Antonio Aparicio Juan, dan Cesar Esteban Lopes, yang masing-masing merupakan pakar dari Institusi Astrofizik Canary, menyatakan bahawa sisi-sisi teres yang panjang yang mengelilingi piramid-piramid Guimar merupakan tanda arah solstis musim sejuk dan musim panas.

Heyerdahl mengandaikan bahawa piramid-piramid Canary ini membentuk sebuah titik perhentian geografik di antara tamadun Mesir purba dan Maya, sekaligus melahirkan kontroversi yang menggamit minat seluruh sejarahwan, ahli arkeologi, ahli astronomi dan masyarakat umum yang meminati bidang tersebut.

Salah sebuah piramid di Guimar

PIRAMID AGUNG CHOLULA, MEXICO

Walaupun piramid ini diperakui oleh Guinness Book of Records sebagai piramid terbesar di dunia dari segi isipadu, tidak ramai yang pernah mendengar nama Piramid Agung Cholula. Lokasinya terletak benar-benar di luar bandar Puebita. Piramid ini dibina khas untuk kultus Quetzalcoatl, salah satu dewa utama dalam pantheon Mesoamerika. Pada era pra-Colombia, Cholula merupakan sebuah bandar besar dan berfungsi sebagai pusat keagamaan di tanah tinggi Mesico.

Pembinaan piramid-kuil ini dimulakan pada kurun ke-2SM dan menjalani beberapa peringkat pengubahsuaian sebelum mencapai bentuknya yang terakhir. Sekitar tahun 1100M, bandar ini jatuh ke tangan Toltec-Chichimeca dan piramid ini serta-merta ditinggalkan lantaran piramid-piramid kuil yang baru sudah pun dibina. Seiring peredaran masa, piramid ini pun ditutupi oleh rupa bumi dan belantara. Hanya pada tahun 1910, iaitu tahun di mana kerajaan Mexico memulakan projek pembinaan sebuah pusat rawatan mental, barulah piramid purba ini ditemui.

Satu sudut dari runtuhan Piramid Agung Cholula, Puebla, Mexico


PIRAMID PUTIH XIAN, CHINA YANG SETINGGI 1000 KAKI

Di dataran rata lagi terpencil yang terletak di Wilayah Shaanxi, berhampiran ibu kota purba Xi’an, terdapat belasan piramid yang kurang dikenali oleh masyarakat luar. Kewujudan makam-makam di kawasan ini bercampur-aduk dengan legenda berkenaan sebuah piramid setinggi 1000 kaki yang kononnya lebih megah berbanding Piramdi Agung Giza. Walaupun sebilangan pihak meyakini Piramid Putih Xi’an sebagai binaan yang sama dengan Permakaman Maoling (makam Maharaja Wu Han) jika dilihat dari udadra, terdapat juga pihak yang mengandaikan bahawa piramid legenda itu masih belum ditemui.

Laporan tentang penampakan sebuah piramid putih gergasi di China hadir lebih kurang sekurun yang lalu di dalam entri-entri diari seorang pedagang merangkap ejen pelancongan dari Amerika, iaitu Fred Meyer Schroder. Beliau kononnya ternampak sebuah piramid gergasi dari jauh ketika sedang berjalan dengan seorang sami Buddha di Wilayah Shaanxi pada tahun 1912. Schroder menganggarkan bahawa piramid tersebut setidak-tidaknya berukuran 300 meter tinggi dan setiap sisinya pula sepanjang 500 meter. Ukuran sebegini secara tidak langsung mengandaikan bahawa isipadu piramid tersebut sepuluh kali ganda lebih besar berbanding Piramid Agung Mesir.

Bogdo, si sami Buddha dari Monggolia yang berjalan bersama Schroder memaklumkan bahawa usia piramid itu setidak-tidaknya mencecah 3000 tahun dan pengetahuan tentang kewujudan piramid itu terkandung dalam dokumen-dokumen monastik purba. Menurutnya lagi, piramid itu agak masyhur dalam legenda tempatan.

Selain itu, terdapat dua peristiwa lain yang melibatkan penampakan piramid putih ini.

Penampakan pada 1940an ini dilaporkan oleh juruterbang  yang penerangan masing-masing mengukuhkan lagi dakwaan Schroder berkenaan saiz dan ciri piramid berkenaan. Sebilangan pihak berpendapat bahawa piramid itu mungkin berdiri di Pergunungan Qin Ling. Kedudukannya yang berada di celahan gunung-ganang yang tinggi dan jurang-jurang yang dalam menyukarkan usaha untuk menemukannya. Ramai penyelidik dan peneroka cuba mencari Piramid Putih Xi’an, namun tiada yang meraih keberhasilan.

PIRAMID BANDAR CARAL, PERU YANG BERUSIA 5000 TAHUN

Tamadun Norte Chico dari Supe, Peru merupakan tamadun pertama yang diketahui di Amerika. Ibu kota tamadun ini ialah Kota Keramat Caral, sebuah metropolis berusia 5000 tahun yang lengkap dengan amalan pertanian yang kompleks, adat-istiadat yang kaya, dan seni bina monumental yang agung, termasuklah binaan batu dan tanah, kuil, amfiteater, plaza-plaza berbentuk bulat, kawasan perumahan dan piramid enam tingkat.

Kota purba ini ditemui buat pertama kali pada tahun 1905 oleh Max Uhle, seorang ahli arkeologi dari Jerman. Pun begitu, hanya pada tahun 1970an barulah ahli-ahli arkeologi menyedari bahawa bukit-bukit yang dahulunya dianggap sebagai bukit semula jadi pada hakikatnya adalah piramid bertingkat. Memasuki 1990an, keluasan penuh bandar Caral dan enam buah piramid di dalamnya berjaya diteroka setelah ia terselindung selama lima ribu tahun lamanya.


Runtuhan Piramid Agung Caral

Walaupun pada hari ini kita sudah pun menyedari kewujudan ribuan piramid di seluruh dunia, ilmuwan mengandaikan bahawa masih terdapat ratusan piramid lagi yang belum ditemui.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (7 Oktober 2017). 5 Pyramids of the Ancient World that You May Not Have Heard About. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/5-pyramids-ancient-world-you-may-not-have-heard-about-008922


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.