5 Fasa Akhir Zaman: Fahaman Hizbut Tahrir

12,116

Jika pengkaji Teori Konspirasi di Barat sering memetik ayat-ayat Bible, pengkaji Teori Konspirasi yang beragama Islam pula sering memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Walaubagaimanapun, kadangkala golongan ini memetik ayat al-Quran dan Hadis hanya secara zahir terjemahan sahaja sehingga keluar dari konteks sebenar ayat. Kadangkala ianya bercanggah dengan tafsiran para ulama muktabar.

Kebanyakkan orang awam menyangka apabila setiap dakwaan itu dihiasi dengan ayat al-Quran dan Hadis, sudah pasti dakwaan itu benar belaka. Sedangkan, mereka tidak tahu bahawa kebanyakkan ajaran sesat muncul adalah dengan membawa dalil-dalil al-Quran dan Hadis jua. Bukanlah al-Quran dan Hadis itu yang sesat, tetapi tafsiran ke atas dalil itulah yang sesat. Ayat al-Quran dan Hadis walaupun berstatus Sahih mahupun Mutawatir sekalipun, jika ditafsir secara salah dan luar konteks, maka ianya boleh membawa kepada kesesatan.

Tidak salah untuk menjadi peminat mahupun pengkaji Teori Konspirasi. Teori Konspirasi tidaklah 100% salah dan tidak pula 100% benar. Maka masyarakat perlu bijak menapis maklumat agar tidak mengambil maklumat yang salah. Oleh itu, perlunya ada ilmu bagi membezakan maklumat benar dan palsu terutama dalam bab agama. Namun apa yang mengejutkan, ramai peminat Teori Konspirasi pada hari ini mengambil asas doktrin Hizbut Tahrir sebagai salah satu huraian utama dalam memahami realiti dunia semasa.

Ajaran Hizbut Tahrir pada asalnya adalah merupakan sebuah parti politik yang diasaskan oleh Taqiyuddin Nabhani pada tahun 1953. Taqiyuddin Nabhani pada mulanya merupakan seorang ahli Ikhwanul Muslimin dari tahun 1928 sehingga tahun 1953, namun setelah kecewa dengan kepimpinan Ikhwanul Muslimin, dia bertindak keluar dari Ikhwanul Muslimin malah ingin menentangnya lalu mendirikan Parti Hizbut Tahrir.

Negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Algeria, Bahrain, Comoros, Djibouti, Iraq, Jordan, Kuwait, Libya, Mauritania, Mesir, Morocco, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Somalia, Sudan, Turki, Tunisia dan Syria telah menolak bahkan mengharamkan Hizbut Tahrir. Setelah beberapa negara menghalau tokoh-tokoh Hizbut Tahrir, mereka lari ke Britain dan menubuhkan pusat gerakan baharu di sana kerana lebih bebas untuk bergerak.

Di Britain, mereka merekrut para pelajar Islam yang datang ke sana untuk menyebarkan fahaman di negara masing-masing. Di Nusantara, Hizbut Tahrir mula bertapak kukuh di Indonesia dengan nama Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) pada tahun 1986. Kemudian, Hizbut Tahrir mula menjalar menubuhkan komuniti di Malaysia dengan nama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sekitar tahun 1996. Namun, Hizbut Tahrir Malaysia bukanlah sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah. Hizbut Tahrir Indonesia pula telah dibubarkan pada tahun 2017 dan diharamkan gerakannya oleh kerajaan Indonesia dengan fatwa para ulama di sana.

Penulis enggan menghukumi Hizbut Tahrir kerana bukanlah berautoriti dalam hal ini, tetapi penulis merujuk fatwa dari beberapa Jabatan Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri yang bernaung dibawah kuasa Sultan sebagai Ulil Amri agar para pembaca dapat nilai sendiri. Jabatan Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap Hizbut Tahrir sebagai sesat dan menyeleweng kerana Hizbut Tahrir mirip Muktazilah pada akidah dan Khawarij pada politik. Menurut kajian terperinci Jabatan Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri, antara penyelewengan Hizbut Tahrir yang terdapat dalam kitab mereka sendiri adalah seperti berikut :-

1) Menolak Qadha dan Qadar
2) Menolak adanya Azab Kubur
3) Menyamakan Allah dengan makhluk
4) Menafikan adanya ulama Salaf yang melakukan Tafsir Takwil
5) Para Nabi maksum hanya setelah dilantik
6) Semua orang bebas berijtihad
7) Menuduh umat Islam sesat dan Demokrasi adalah kufur

Ajaran Hizbut Tahrir yang paling popular tersebar dalam pemikiran masyarakat tanpa disedari adalah tentang isu “Khalifah”. Pengasas Hizbut Tahrir iaitu Taqiyuddin Nabhani di dalam bukunya “Daulah Islamiyyah” menjadikan hadis riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah al-Yamani sebagai asas doktrin ajarannya. Menurut Hizbut Tahrir, dunia akhir zaman terbahagi kepada lima fasa iaitu :-


1) Fasa Nabi Muhammad
2) Fasa Khulafa ar-Rasyidin
3) Fasa Monarki Umayyah, Abbasiyyah & Uthmaniyyah (kerajaan menggigit)
4) Fasa fitnah Dajjal (kerajaan menyombong)
5) Fasa Imam Mahdi (khilafah manhaj Nabi)
Menurut Hizbut Tahrir, umat Islam pada era moden sekarang ini hidup di fasa keempat iaitu fasa fitnah Dajjal. Dunia menuju ke fasa kelima iaitu fasa Imam Mahdi dan Hizbut Tahrir inilah yang dimaksudkan sebagai Khalifah Akhir Zaman.

Doktrin ini mula tersebar melalui sebuah klip video Teori Konspirasi di Youtube serta ditulis di dalam blog-blog berbahasa Indonesia. Penceramah-penceramah Teori Konspirasi dari Indonesia kerap menyebar luaskan fahaman ini. Segala maklumat yang bersumber dari blog dan video dari Indonesia ini di “copy and paste” setelah diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Doktrin “5 Fasa Akhir Zaman” Hizbut Tahrir yang dahulunya hanyalah ditulis di blog-blog, kini dikutip, dihurai dan diangkat oleh ramai penceramah di dalam Youtube bahkan dalam rancangan television popular.

Para ulama Hadis Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak mensyarah dan menafsir hadis tersebut sepertimana yang dibawa oleh Hizbut Tahrir. Para ulama tidak pernah membahagikan akhir zaman kepada 5 fasa. Hadis ini bukanlah mengenai kedatangan Imam Mahdi. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal yang meriwayatkan hadis ini, beliau mensyarahkan bahawa yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Khalifah Umar Abdul Aziz. Para ulama hadis lain yang sepakat dengan Imam Ahmad bin Hanbal antaranya ialah Imam al-Bazzar, Imam Abu Daud at-Thayalisi, Imam Abu Nuaim al-Asfihani, Imam al-Baihaqi, Imam Ibn Rejab al-Hanbali dan Imam Jalaluddin as-Suyuthi.

Bahkan, datuk kepada pengasas Hizbut Tahrir, iaitu Syeikh Yusuf Nabhani, seorang ulama besar Palestin yang dilantik sebagai Qadhi Beirut oleh Khilafah Uthmaniyyah di zaman mutaakhirin sendiri pun menolak fahaman cucunya itu terhadap tafsiran hadis “khilafah ala minhaj nubuwwah” ini. Syeikh Yusuf Nabhani dalam kitabnya Hujjatullah ala al-Alamin fi Mukjizat Sayyidil Mursalin menyatakan bahawa yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Doktrin Hizbut Tahrir di Malaysia aktif disebarkan melalui penyebaran risalah setiap kali selepas solat Jumaat di masjid, flashmob, demonstrasi, media sosial, blog dan video di Youtube. Hizbut Tahrir juga giat menyelinap masuk ke institusi-institusi pendidikan terutama sekali melalui aktiviti usrah Muslimat dengan membawa tajuk catchy seperti:

“Perkasakan Wanita Menuju Kebangkitan Khalifah” dan sebagainya. Hizbut Tahrir sememangnya sering menggunakan sentimen slogan “Khilafah Islam”, “Tegakkan Hukum Syariat”, “Tentera Imam Mahdi” dan “Panji Hitam Dari Timur” sehingga mereka menjadikan bendera putih berkalimah Syahadah (al-Liwa) serta panji hitam berkalimah Syahadah (ar-Rayah) sebagai identiti mereka.

Hizbut Tahrir seringkali mencabar pihak autoriti seperti Majlis Agama Negeri yang bernaung dibawah kuasa Sultan selaku Ulil Amri di mahkamah atas tuduhan memfitnah kumpulan mereka dan bersikap berat sebelah dalam mengeluarkan fatwa. Namun setakat ini, Hizbut Tahrir masih lagi gagal memenangi kes-kes ini di mahkamah bagi membuktikan tuduhan mereka ke atas pihak Jabatan Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri.

* Sebarang perkongsian maklumat atau sesi soal jawab, sila follow penulis di : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN :
1) Fatwa Negeri Pahang
http://mufti.pahang.gov.my/index.php/perkhidmatan/bahagian-fatwa/keputusan-fatwa/26-keputusan-fatwa-2009/100-kedudukan-hizb-al-tahrir-di-malaysia 

2) Fatwa Negeri Selangor
http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/442-fatwa-dasar-pengurusanagihan-manfaat-sewaan-perbadanan-wakaf-selangor-pws-3

3) Fatwa Negeri Sembilan
https://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/919-fatwa-berkaitan-dengan-fahaman-dan-ajaran-hizbut-tahrir

4) Fatwa Negeri Sabah
http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15863

5) Fatwa Wilayah Persekutuan
http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/

6) Fatwa Pulau Pinang
http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/

7) Fatwa Johor
– https://jainj.johor.gov.my/lain2info/AJARANSESAT.pdf
– https://www.sinarharian.com.my/article/23914/EDISI/Johor/Polis-bantu-JAINJ-serbu-program-Hizbut-Tahrir

8- Pengharaman Hizbut Tahrir di Indonesia
https://www.hmetro.com.my/global/2017/07/246027/indonesia-haramkan-hizbut-tahrir

Ruangan komen telah ditutup.