5 Deria Pelayar Bugis

1,136

Saya masih lagi belajar-belajar tentang khazanah ilmu falak dan ilmu pelayaran Melayu. Sangat sedikit pengetahuan saya dalam bidang ini walaupun ini adalah satu bidang ilmu yang cukup menarik. Antara tokoh-tokoh yang hebat dalam bidang ini yang saya anggap sebagai guru saya adalah Tuan Mohd Salleh Mazukhi dan Dr Azzam Nur.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit ilmu pelayaran suku Bugis yang menyebabkan mereka terkenal sebagai pelayar yang pintar dan cekal. Antaranya, sejak dari kecil mereka dilatih dengan lima deria pelayaran iaitu tiga deria zahir dan dua deria batin seperti berikut:-

1) Pakkita (penglihatan)
2) Parengkalinga (pendengaran)
3) Paremmau (ciuman)
4) Penedding (firasat hati)
5) Tentuan (keyakinan)

Dari kelima-lima deria ini, mereka tahu tentang petanda-petanda dalam pelayaran. Sebagai contoh, untuk mengetahui arah pelayaran, mereka akan melihat bintang tiga sejajar yang sama jarak antara satu sama lain. Ini dikenali sebagai bintang Telu-Telu’e.

Jika melihat tiga kumpulan bintang yang dikenali sebagai bintang Tanrae, maka mereka akan tahu bahawa angin kencang bakal datang.

Jika tercium ada bau hanyir pada waktu siang sejauh 1 batu, maka itu petanda ada batu karang di depan dan wajib diubah haluan kapal.

Sekiranya terdengar bunyi bawah kapal berdetak-detak, maka itu petanda di depan air lautnya cetek. Banyak lagi khazanah ilmu pelayaran Bugis-Makassar yang wajar dipelajari oleh generasi sekarang. Ilmu kepintaran nenek moyang, jika tidak dipelajari maka ianya akan hilang ditelan zaman.

Gambar : Di pusat pembuatan perahu yang ulung di Bulukumba, Sulawesi Selatan dan contoh bintang Tellu-tellue

Hasanuddin Yusof 
Maktab Penyelidikan 
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.